Pada suatu ketika, ikan bandang lazimnya dipancing atau diperoleh secara tidak sengaja ketika sedang memancing spesies lain seperti siakap atau spesies di estuari atau pesisir pantai.

 

Justeru ketika itu ia dianggap sebagai spesies pengacau namun disebabkan kekuatan luar biasa, kelajuan dan tindakan akrobatik yang mengagumkan, ia mula menjadi spesies sasaran khususnya dalam aktiviti sukan memancing. Sekali gus menjadikan ikan bandang sebagai ikan sukan atau game fish.

 

Apa yang menjadi satu keterujaan bagi pemancing ialah tindak balas ikan bandang apabila terkena mata kail. Ikan bandang akan menjadi begitu agresif dengan melakukan lompatan ke udara atau aksi akrobatik.

 

 

Larian atau pecutannya begitu bertenaga dan akan mendatangkan masalah kepada pemancing untuk mengekalkan mata kail yang tertancap pada mulutnya. Kegagalan meregangkan tali pancing akan berakhir dengan kemenangan kepada spesies ini.

 

Ikan bandang amat aktif memburu makanan dan akan menyambar apa saja umpan yang menyerupai diet makanan dan boleh dipancing tanpa mengira status kepakaran seseorang memancing. Malah kanak-kanak juga boleh memancing bandang tanpa sebarang masalah.

 

Lazimnya ikan ini akan mencari secara kawanan atau berkumpulan. Aktiviti pemburuan ini dapat disaksikan di permukaan air sama ada menerusi impak serangannya atau kehadiran burung-burung pemakan ikan. Justeru, apabila bertemu dengan situasi maka peluang untuk memancing dan peratusan mendaratkan ikan bandang agak tinggi.

 

 

Apabila bertemu dengan situasi tersebut maka penggunaan umpan tiruan atau gewang amat praktikal. Gewang yang disarankan adalah gewang permukaan. Ketepatan balingan gewang permukaan di radius ikan bandang mendidih atau boiling itu adalah penting.

 

Begitu juga dengan saiz gewang permukaan yang digunakan. Paling efektif ialah gewang permukaan bersaiz kecil hampir menyamai skala mangsa yang dikerjakan oleh bandang.

 

Penggunaan gewang selaman turut efektif berikutan bandang lazimnya bergerak pada aras sub permukaan air. Manakala warna gewang yang disyorkan adalah kombinasi warna perak dan putih yang berkilau (berkilat). Karauan pantas dengan kepelbagaian aksi renangan bakal mencetuskan hasil yang menakjubkan.

 

 

Ikan bandang sering kali sukar tertancap kukuh pada mata kail berikutan rahangnya yang agak keras. Apabila terkena mata kail pula lazimnya bandang akan berhempas pulas dengan tindakan agresif di udara untuk cuba memuntahkan mata atau memutuskan perambut.

 

Justeru perambut harus dipantau pada setiap kali sambaran yang berlaku. Walaupun sukar untuk mengena atau hook up tetapi ikan bandang tidak serik untuk menyerang lagi berkali-kali.

 

Tinggalkan Komen