Sebagai ibu bapa, pastinya bukan mudah untuk meyakinkan anak-anak anda meminati sesuatu perkara.
Kanak-kanak masa kini lebih cenderung terhadap gajet berbanding aktiviti-aktiviti luar seperti memancing.
Jadi, kami berasa terpanggil untuk kongsi beberapa tip untuk mengajar anak-anak anda memancing.
💡 Tip 1
Jadikan ia mudah difahami untuk permulaan, janganlah anda menjadi begitu teknikal dengan anak-anak anda.
Jangan sesekali bercerita tentang teknik-teknik yang susah untuk mereka fahami. Cukuplah sekadar ajar anak anda mengisi umpan dan merasai tarikan ikan.
Risau pula jika ia menjadi terlalu teknikal, mereka akan hilang minat.
💡 Tip 2
Biarkan anak-anak lakukan kesilapan Kesilapan masa menaikkan ikan memang perkara biasa bagi mereka yang baru nak menjinakkan diri dalam aktiviti ini.
Jangan sesekali marah anak-anak anda jika mereka lakukan kesilapan. Seeloknya, beritahu mereka apa kesilapan yang telah dilakukan dan tunjukkan cara sebenar dalam versi yang mudah difahami oleh kanak-kanak.
Ads
💡 Tip 3
Jadikan aktiviti ini seronok untuk anak-anak yang baru mengenal aktiviti luar, penting untuk ibu bapa menjadikan aktiviti ini lebih santai dan menyeronokkan.
Selitkan unsur-unsur permainan sewaktu memancing dan galakkan mereka untuk berimaginasi bagi menarik minat mereka.
💡 Tip 4
Sokongan dan galakan sokongan dan galakan memang penting untuk menguatkan mental anak-anak kita, apatah lagi bila ikan belum menjamah umpan.
Sentiasa memberikan kata-kata semangat dan terapkan nilai positif dalam diri mereka. Jika mereka mendapat strike, teruslah memberikan sokongan agar keyakinan mereka meningkat untuk menaikkan ikan.
Ads
💡 Tip 5
Jangan syok sendiri jika anda membawa anak-anak keluar memancing, janganlah anda jadi syok sendiri dan memancing sendirian.
Waktu ini seharusnya menjadi waktu untuk anda kurangkan fokus terhadap joran sendiri dan lebihkan fokus untuk mengajar anak anda teknik-teknik mudah sewaktu memancing.
💡 Tip 6
Ads
Terapkan aspek-aspek keselamatan kepada anak-anak aspek keselamatan memang menjadi perkara utama yang harus dititikberatkan sewaktu melakukan aktiviti luar.
Perkara ini sangat penting untuk mengelakkan kes-kes kecederaan. Almaklumlah, keterujaan kanak-kanak ni lain macam sikit.
💡 Tip 7
Abadikan kenangan mereka bersama ikan penting untuk ibu bapa membawa kamera bersama-sama sewaktu memancing. A
pabila anak-anak anda mendapat ikan, ambillah gambar mereka bersama hasil tangkapan untuk menaikkan lagi semangat mereka.
💡 Tip 8
Bawa mereka memancing sewaktu cuti sekolah Untuk memastikan minat ini berterusan, keraplah membawa mereka keluar memancing sewaktu cuti sekolah.
Dengan ini juga, pengalaman dan ilmu mereka akan lebih bertambah.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Tenggiri berkembang biak dengan cara bertelur. Tenggiri mencari perairan laut cetek untuk pembiakan dan akan kembali ke laut dalam setelah proses tersebut selesai. Jadi, tak bermakna kat kawasan cetek takde tenggiri dan saiznya juga besar-besar.
Ikan ini dikategorikan sebagai ikan sukan yang sangat digemari oleh ramai pemancing kerana kepantasan renangan dan kualiti dagingnya yang bergred tinggi. Selain itu, ikan tenggiri sangat baik untuk kesihatan kerana kandungan nutrisinya yang lengkap.
Meskipun tersenarai dalam spesies ikan perenang pantas dan juga termasuk salah satu ikan predator, ikan tenggiri yang lebih kecil seringkali menjadi santapan bagi predator lain yang lebih besar, khususnya barracuda monster.
Ikan tenggiri betina dapat hidup selama 11 tahun namun tiada kajian pula jangka hayat bagi tenggiri jantan. Namun untuk menemui tenggiri tua yang dah tak bergigi bukanlah mudah.
Di India, orang menyebutnya ikan anjai. Di Filipina lebih dikenali dengan nama ikan dilis, dan di Thailand lebih mesra dengan istilah ikan thu insi.
Jumlah penangkapan ikan tenggiri terbesar di dunia pernah tercatat di Indonesia, diikuti Filipina, Sri Langka, Yaman, dan Pakistan.
Dipercayai ikan tenggiri yang ditewaskan dengan penggunaan joran dan kekili lebih mahal harganya berbanding tenggiri yang terperangkap pada jaring. Kebanyakan tenggiri yang mati lemas pada jarring kualiti dagingnya merosot.
Walaupun populasi ikan tenggiri kian menurun namun, sama ada ia ditangkap secara sengaja atau pun tidak, jarang sekali ia dilepaskan kembali ke laut. Percaya atau tidak?
Menebing merupakan istilah yang diguna pakai oleh kaki pancing bagi meringkaskan aktiviti memancing dari tebing sungai atau muara. Tidak kiralah apa saja teknik yang diamalkan, aktiviti menebing haruslah dilakukan dengan tertib demi keberhasilan dan keselamatan.
Alatan lengkap
Perkara ini perlu diuruskan di rumah dengan cermat sebelum keluar menebing. Adalah teramat penting tidak ketinggalan sebarang peralatan memancing kerana ia akan mengganggu kosenterasi dan mood. Malah, sesetengah pemancing tebing beranggapan ia sebagai petanda awal anda akan kumpau jika tertinggal alatan memancing.
Kawasan aman
Pastikan juga port pilihan itu selamat dari sebarang ancaman yang tak terduga seperti serangan binatang berbisa. Elakkan dari berada di port yang terdapat sarang tebuan atau ular. Jadi, sebaiknya pilih kawasan yang agak lapang.
Had kawasan
Pantau sempadan kawasan yang selamat untuk duduk, beraksi dan mendaratkan tangkapan. Ia amat penting terutamanya memancing di tebing tinggi agar tidak terjatuh atau tanah lembik agar tidak terjerlus hingga tenggelam anggota badan.
Kenali jenis ikan
Mengenali jenis ikan bukan saja penting bagi membolehkan anda menggunakan umpan yang tepat tetapi juga anda membawa pulang jenis ikan betul. Manalah tahu kalau-kalau emak atau isteri anda memesan ikan sembilang untuk dibawa pulang tetapi ikan belukang pula yang anda tapau.
Cara pengendalian ikan
Setelah anda mengenali jenis ikan maka anda perlu tahu cara untuk memegang ikan khususnya ketika menanggalkan mata kail. Pengendalian yang silap, contohnya memegang ikan duri atau sembilang sebagaimana memegang ikan gelama pastinya mengundang padah terkena sengat.
Air minuman
Meskipun anda tidak bercadang untuk memancing dalam tempoh yang agak panjang, sebaiknya jangan lupa untuk membawa bekalan air minuman terutamanya air mineral. Selain dari mustahak untuk keperluan badan, air putih atau mineral ini boleh dijadikan bahan keperluan yang amat penting bagi sebarang kejadian yang tidak diingini.
Amaran pasang surut
Selain dari perlu mengetahui had kawasan untuk duduk menebing, anda juga perlu tahu had air pasang dan surut. Ia boleh boleh menimbulkan bencana sekiranya leka berada kawasan yang akan tenggelam ketika air pasang. Ada sesetengah jeti memancing akan tenggelam apabila fenomena air pasang besar berlaku.
Kawasan putih
Pastikan juga port menebing itu adalah kawasan putih. Kawasan berputih bermaksud ia bebas dari sebarang ancaman jenayah. Kawasan menebing sebenarnya kawasan yang mudah kepada penjenayah untuk menghapuskan bukti jenayah. Jadi, sebaiknya anda memancing secara berteman.
Jangan mudah terpedaya
Seperkara yang harus anda ingat dan faham ialah kawasan muara sungai juga ini merupakan kediaman makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Secara tidak langsung kita sudah menceroboh kawasannya. Jadi, jika terlihat atau terdengar sesuatu di luar kebiasaan, jangan mudah terpengaruh dan terpedaya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...