Untuk memikat senangin, terutama sekali pemancing harus tahu keadaan pasang surut air. Pada kebiasaannya, paras air pasang dari 1.8 ke 3.0 meter merupakan waktu yang terbaik.
Apabila air mula pasang, tunggu sehingga paras air naik ke separuh nak penuh baru boleh cuba untuk memikat senangin. Keadaan air pula wajib berarus.
Tetapi tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu perlahan. Cubalah memikat sehingga paras air hampir pasang penuh.
Apabila air sudah pasang penuh, senangin agak kurang makan dan tidak aktif. Tunggulah sehingga air mula bergerak sudut dan mencuba lagi memikat sehingga paras air surut dan kembali normal.
Lazimnya senangin sangat suka dengan keadaan dasar yang berpasir dan tidak terlalu dalam. Jangkaan dalam 2-3 meter kedalaman air.
Ads
Untuk memikat senangin, pemancing boleh cuba teknik top water (popping), gewang crank selaman dalam dan micro jig (10-20 gram) mengikut tempat dan kelajuan air.
Pemilihan gewang sebaiknya tidak terlalu besar. Memadai gewang bersaiz 7cm hingga 9 cm. Untuk teknik popping pula, pemancing harus memilih popper yang agak bising (bunyi kuat) untuk menarik perhatian senangin.
Selain itu teknik karauan juga memainkan peranan. Kebiasaannya, karauan laju dan jerk menjadi keutamaan.
Bagi penggunaan gewang crank selaman dalam pula, lakukan karauan seperti biasa sahaja. Hanya baling dan karau santai.
Ads
Bagi penggunaan micro jig pula, teknik jerk hujung joran dan karau untuk dua atau tiga pusingan dilakukan berulang kali.
Sebaiknya setiap balingan ke sesuatu spot yang sama itu diulang beberapa kali sebelum beralih ke spot yang lain. Kebiasaannya senangin memburu makanan secara berkumpulan.
Oleh yang demikian, pemancing boleh melontar gewang di tempat yang sama apabila nampak ada pemangsa mula menyambar gewang.
Kemungkinan senangin yang lain pula akan menyambar gewang yang anda lontarkan.
Ads
Senangin juga memiliki aksi akrobatik apabila terkena gewang. Seperti siakap, ia juga berkebolehan memutuskan tali pancing dengan pipinya yang tajam.
Jadi pemancing harus pandai control drag sewaktu ikan mengena dan berhati-hati melayan sehingga ikan selamat didaratkan.
Untuk pengetahuan semua, tip dan panduan ini amat berkesan di padang pancing khususnya di muara Sungai Penor, Kuantan.
Mungkin di lokasi lain sebelah pantai barat sedikit berbeza namun tiada ruginya jika pemancing ingin mencubanya.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pada Asasnya, ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin dalam kitaran makanan lautan. Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krustasia sebagai mangsanya sekali gus menjadikan senarai tersebut sebagai diet makanan utama.
Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidak sesukar mana. Bermula dari kawasan muara sehinggalah ke laut lepas. Antara lokasi terbaik memancing ebek ialah di kebanyakan perairan Terengganu dan Pahang.
Waktu sesuai untuk memburu ebek dikatakan sekitar bulan Februari hingga Jun setiap tahun. Lubuk terbaik untuk memburu ebek ialah di kawasan yang mempunyai struktur seperti batu atau karang.
Selain dipancing dengan menggunakan umpan konvensyional, ebek turut menjadi spesies idaman penggemar teknik jigging menggunakan kepingan besi atau jig. Tidak dinafikan dalam sukan memancing, ebek merupakan antara spesies buruan berikutan aksi pertarungan yang dipersembahkannya.
Ebek boleh dipancing dengan teknik dasar atau jigging/light jigging di kawasan berbatu. Jig yang dipilih sebaiknya warna silver, hijau. Tetapi warna jig yang terang seperti pink, juga boleh, namun bergantung juga kepada lokasi, air, kedalaman air.
Diet utama ebek ialah krustasia bergerak perlahan. Jadi umpan yang efektif yang mungkin anda boleh cuba ialah udang hidup. Selain itu, tamban, ketam angin dan sotong cumit juga boleh digunakan. Gunakan perambut yang panjangnya sekitar 3 kaki ke atas.
Menjelang bulan April banyak trip menyandat sotong dirancang. Kebanyakan trip tertumpu di perairan pantai timur. Terengganu merupakan destinasi pilihan. Hampir kebanyakan pemancing datang dari negeri-negeri di sebelah pantai barat.
Ramai antaranya adalah penyandat-penyandat mahir yang datang setiap kali musim menyandat tiba. Selebihnya adalah penyandat-penyandat baru yang mula berjinak-jinak dengan aktiviti ini.
Penyandat-penyandat baru ini telah mendengar keseronokan menyandat dari rakan-rakan mereka pada tahun-tahun sebelumnya. Ramai juga peserta trip dianggotai oleh penyandat-penyandat dari kaum hawa.
Setelah perancangan beberapa bulan, maka trip ditetapkan. Selepas trip berakhir, keindahan yang digambarkan tidak seindah kejadian.
Ramai anggota trip yang mabuk, cemas berhadapan ribut, hujan serta hasil yang diperoleh kurang memuaskan. Dua kemungkinan yang akan berlaku, sama ada penyandat berkenaan akan datang lagi atau sudah serik.
Perkara-perkara ini dapat dielakkan jika penyandat dan bakal penyandat mengambil masa untuk belajar dan membuat persediaan yang sepatutnya sebelum menyertai trip menyandat.
Dari pengalaman saya mengikut trip-trip menyandat, berani saya menyatakan bahawa kebanyakan penyandat baru tidak membuat persediaan yang secukupnya terutama dari segi ilmu menyandat sotong sebelum menyertai trip.
Ada di antaranya yang membawa joran udang dan joran tenggiri untuk menyandat sotong. Tidak kurang juga yang mula terkial-kial belajar menggunakan serek atau koyan yang sering digunakan oleh nelayan-nelayan tempatan.
Satu trip menyandat sotong satu malam melibatkan kos sewaan bot antara RM1000-RM2000. Jika kumpulan trip datang dari Kuala Lumpur, kos perjalanan, penginapan, perbelanjaan makanan dan peralatan tidak mustahil mencecah sehingga RM3000 bagi setiap kumpulan trip menyandat.
Walau bagaimanapun kos sewaan bot bergantung kepada lokasi dan tidak diseragamkan. Menjelang musim puncak, kos sewaan bot candat meningkat dengan mendadak.
Bayangkan kos dan masa yang dilaburkan tidak membuahkan hasil yang memuaskan. Sotong yang dibawa balik pun tekong dan awak-awak bot yang tolong candat. Aktiviti menyandat bukanlah sesuatu yang boleh dirancang dengan sambil lewa.
Beberapa faktor seperti pemilihan bot, penyediaan alat dan kelengkapan, pemilihan ahli kumpulan, faktor kesediaan fizikal dan mental, serta pengetahuan menyandat perlu diberi perhatian sebelum sesuatu trip.
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung.
Biasanya kita akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal.
Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah. Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal.
Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas.
Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
laluan kapal-kapal barang
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi.
Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb. Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup. Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok.
Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik. Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut.
Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya.
umpan udang lipan
Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
pengunaan kekili eletrik lebih praktikal
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
misi yang sempurna
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah. Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai.
Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...