Terdapat pelbagai cara untuk menangkap haruan dengan penggunaan set pancing, namun teknik melontar dan menggerakkan umpan dengan cara mengarau kekili merupakan method yang disukai ramai pemancing.

 

Teknik yang lebih dikenali sebagai mengilat atau casting lazimnya menggunakan umpan semula jadi terutamanya katak.

Begitu pun pemancing moden masa kini lebih menggemari penggunaan gewang seperti katak tiruan.

Biarpun penggunaan katak tiruan tidak mampu menandingi keberkesanan katak asli, dari aspek lain ternyata memihak kepada katak tiruan.

 

Apa yang paling penting untuk casting haruan selain peralatan pancing yang tepat, sepadan dan serasi ialah kecekapan mengesan kewujudan haruan itu sendiri. Haruan boleh dikesan sama ada dengan deria penglihatan dan pendengaran.

 

 

Melalui deria penglihatan, anda boleh mengesan kelibat haruan meneguk udara di permukaan air.

Buat permulaan ia mungkin boleh mengelirukan juga dengan ikan-ikan lain, namun sedikit demi sedikit akan dapat membezakannya.

Lazimnya, haruan kurang aktif bergerak. Oleh yang demikian ia akan muncul kembali meneguk udara di kawasan yang sama.

 

Satu lagi cara mengesan dengan daya penglihatan ialah mencari kelompok anak haruan. Kaedah ini paling digemari ramai pengilat kerana peluang untuk berjaya adalah lebih tinggi.

Jika kumpulan anak haruan itu masih kecil dan belum terusik oleh sesiapa, peluang untuk mendaratkan haruan lebih dari seekor juga cerah.

 

 

Satu lagi kaedah ialah melalui deria pendengaran. Sebarang bentuk hentaman haruan terhadap mangsa di permukaan air akan menghasilkan bunyi dentuman.

Oleh yang demikian, anda perlu peka terhadap bunyi tersebut untuk menghantar umpan yang digunakan.

 

Mengilat atau casting haruan agak mudah kerana haruan gemar kepada benda bergerak.

Namun, sekiranya anda menemui spot yang dikenal pasti ada haruan tetapi tiada sebarang aksi sambaran, tip berikut boleh dicuba.

 

 

  1. Lontar gewang dan buatlah karauan laju tiga hingga empat kali. Kemudian ubah kepada karau perlahan sambil melakukan henjutan pada gewang secara perlahan.

 

  1. Sekiranya menggunakan jump frog atau soft frog, selang-seli kadar karauan sambil mengenjut gewang yang digunakan.

 

  1. Lakukan karauan perlahan kemudian berhenti dan biarkan gewang pegun seketika. Kemudian lakukan henjutan dan teruskan dengan karauan perlahan.

 

  1. Jika masih tiada sambaran, tukar pula gewang atau soft frog aksi tenggelam. Karau perlahan-lahan disulami henjutan kecil.

 

Tinggalkan Komen