Ikan cencaru sangat penting bagi industri perikanan di seluruh Indo-Pasifik, termasuk Malaysia.
Statistik menunjukkan tangkapan tahunan spesies ini telah meningkat dari 70,000 tan pada tahun 1997 kepada 107,000 pada tahun 2007.
Pengguna utama spesies dari data ini adalah Indonesia dan Malaysia.
Selain industri perikanan, ikan cencaru turut menjadi ikan sasaran dalam industri perikanan rekreasi.
Dalam dunia memancing, walaupun ikan cencaru bukanlah ikan sukan namun ia tetap menjadi spesies yang dicari keseronokan memancing serta sebagai hidangan di meja makan.
Seperkara lain, ikan cencaru turut digunakan sebagai umpan untuk memancing ikan lain khususnya bagi memancing ikan layaran apabila kesukaran untuk mendapatkan umpan pelagik lainnya.
Ikan cencaru boleh dipancing dengan pelbagai kaedah. Sebagaimana yang sedia maklum, teknik memancing menggunakan sabiki atau apollo merupakan aplikasi yang paling umum dan banyak dipraktikkan.
Pancingan cencaru melalui teknik sabiki atau apollo ini boleh dilakukan di pelbagai lokasi memancing juga.
Kebiasaannya di kelong, unjam, boya dan kapal parkir menjadi lokasi popular memburu ikan pelagik ini.
Sementara waktu terbaik untuk memancingnya adalah ketika kemuncak air pasang besar.
Selain teknik apollo, cencaru juga boleh dipancing dengan keadah mengilat (casting) dan jigging.
Bagi aplikasi mengilat, lokasi pantai berpasir dan berbatu merupakan spot terbaik untuk mencari spesies ini. Begitu juga di pesisir pulau.
Manakala untuk aktiviti jigging pula, penggunaan jig mikro merupakan senjata yang paling ampuh untuk menjeratnya.
Penggunaan jig dengan assist hook yang berambu-ramba dan berbulu lebih menarik perhatian cencaru untuk mengejarnya.
Keterujaan dalam memancing cencaru ialah apabila bertemu dengan kumpulan cencaru bersaiz kasar atau lebih popular dengan gelaran cencaru kuda.
Perlawanan dengan menggunakan set pancing ringan atau ultra ringan merupakan satu permainan yang cukup menghiburkan dan membuatkan pemancing ketagih untuk memburu spesies berbadan torpedo ini.