Pari sungai atau pari air tawar adalah spesies yang kian terancam dan hanya terdapat di dua buah sungai utama di Semenanjung, Sungai Pahang dan Sungai Perak. Namun ia masih boleh ditemui di perairan Sungai Pahang seperti Kuala Lipis, Jerantut atau Temerloh.
Ketika air surut jernih di Sungai Jelai, Kuala Lipis memang waktu terbaik untuk memancing udang galah, ikan kerai dan juga tengalan. Tetapi siapa yang dapat menyangka pari sungai
yang menyentap dan memakan umpan yang dipertaruhkan seperti cacing air dan anak udang sungai.
Sesetengah orang luar dari kawasan Pahang masih tidak percaya tentang kewujudan pari sungai. Mereka beranggapan ia adalah pari tuka, akan tetapi bukan ikan tuka.
Ikan ini merupakan speisis pari air tawar yang bersaudara dengan pari air tawar gegasi yang terdapat di Thailand, bukan semua tempat ada ikan pari air tawar.
Tempat saya memancing iaitu sungai jelai sangat jauh beratus kilometer dari laut dan air masin.
Pari sungai banyak terdapat di Sungai Jelai, Sungai Jerantut dan juga Temerloh. Habitat atau lubuk yang disukainya ialah kawasan berpasir.
Ads
Antara teknik yang boleh dicuba termasuklah kaedah dasar dengan mengunakan umpan cacing dan anak udang.
Dalam pancingan ikan pari, joran akan melengkung apabila ditarik pari. Adakala ikan pari akan mendap atau masuk ke dalam pasir menyebabkan sukar untuk bawak naik .
Kalau sudah berjaya didaratkan, haruslah berhati-hati kerana bisa pari sungai juga adalah sangat berbisa dan bahaya seperti pari air masin.
Badan pari sungai juga sangat berlendir berbanding pari laut. Bagi orang Kuala Lipis, isi pari sungai sangatlah sedap.
Ads
Menu biasa bagi saya orang Kuala Lipis adalah ikan pari masak tempoyak.
Secara peribadi sudah beberapa kali saya memancing di Taman Negara Kuala Tahan. Kalau tak silap pada perkiraan kali terakhir saya memasuki dan memancing di Taman Negara Kuala Tahan ialah pada 2012 yang lalu. Jika tidak silap juga ketika itu Taman Negara Kuala Tahan di Sungai Tahan dibuka untuk aktiviti memancing bagi tempoh sebulan sahaja.
Saya juga pernah memancing secara bermalam dan balik hari di sungai Tahan tersebut namun tiada sebarang hasil yang boleh dibanggakan. Sebabnya bukan kerana ikan terutamanya kelah di sana sudah sukar untuk diperolehi tetapi disebabkan faktor cuaca. Boleh dikatakan kesemua trip memancing saya ke sungai Tahan itu disusuli oleh cuaca buruk.
Namun, apabila pihak Taman Negara Pahang mengisyhtiharkan bahawa aktiviti memancing di Sungai Tahan akan dibuka kepada umum. Aktiviti ini bermula pada 16 Mei dan 17 Mei ini (setiap RABU dan KHAMIS) dengan beberapa syarat dan peraturan, saya yakin impian saya untuk menjinakkan dua spesies utama di Sungai Tahan iaitu kelah dan tapah memperlihatkan sinarnya.
Cuma amat mengecewakan aktiviti CASTING pula diharamkan atas faktor keselamatan. Berikut merupakan syarat dan peraturan yang ditetapkan…
Syarat Memancing di Sungai Tahan, Taman Negara Pahang
Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan bot diwajibkan mendaftarkan diri di Kaunter Penguatkuasaan sebelum memulakan aktiviti memancing.
Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan bot perlu mengambil Permit Masuk (RM1), Lesen Memancing (RM10/rod) dan Lesen Mengambil Gambar (RM5/kamera) terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti memancing di Kaunter Penerangan Taman Negara Pahang, Kuala Tahan.
Syarat-Syarat Lain:
Terbuka kepada semua Warganegara dan Luar Negara.
Aktiviti memancing dibuka setiap hari Rabu dan Khamis. Sebarang perubahan waktu memancing adalah tertakluk kepada pihak Pengurusan Taman Negara Pahang.
Masa aktiviti memancing bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang sahaja.
Kawasan aktiviti memancing yang dibenarkan adalah dari Kuala Tahan ke Jeram Bahala sahaja.
Aktiviti memancing ini hanya boleh menggunakan bot sahaja. Trekking ke kawasan memancing adalah tidak dibenarkan.
Jumlah bot yang dibenarkan ialah 10 bot sehari dan seorang pemancing boleh mengambil Lesen Memancing maksima dua (2) lesen sahaja. Tempoh sah lesen memancing hanya satu (1) hari sahaja.
Sebuah bot boleh membawa maksima empat (4) orang pemancing sahaja dan pemandu bot dan juruhaluan mesti bersama dengan pemancing sepanjang aktiviti memancing.
Aktiviti memancing kaedah ‘casting’ tidak dibenarkan bagi tujuan keselamatan pelancong/pemancing lain.
Peralatan yang dibenarkan:
Peralatan untuk memancing sahaja (mata kail, tangsi, batu ladung, joran, reel dan lain-lain peralatan yang menggunakan kaedah pancing yang ditetapkan oleh Penguasa)
Peralatan yang dilarang dibawa:
DILARANG mengganggu, mencederakan, mengambil atau membunuh hidupan liar dan serangga di dalam Taman Negara.
DILARANG merosak, memotong, memindah, mengubah, memusnah pokok, batu, papan tanda atau tempat perlindungan hidupan liar.
DILARANG membuang sampah mahupun puntung rokok di dalam kawsan Taman Negara. Semua sampah hendaklah dibawa balik dan dibuang ke tempat pembuangan sampah semasa keluar.
DILARANG memasang unggun api di dalam kawasan Taman Negara.
DILARANG membawa, memiliki, mengedar dadah atau meminum minuman keras/ beralkohol di dalam kawasan Taman Negara.
Tambahan:
Pemeriksaan barang terhadap pemancing diwajibkan sebelum dan selepas aktiviti memancing.
Hanya bot yang berdaftar dengan Jabatan Perhilitan sahaja dibenarkan untuk membawa pemancing di dalam kawasan Taman Negara Pahang.
Pemancing perlu membawa permit dan lesen setiap masa semasa menjalankan aktiviti bagi memudahkan tujuan pemeriksaan Jabatan.
Pihak Jabatan Perhilitan berhak memeriksa bot pada bila-bila masa.
Pihak Jabatan Perhilitan berhak meminda syarat dan peraturan memancing pada bila-bila masa atau membatalkan aktiviti memancing ini pada bila-bila masa dan tertakluk kepada keadaan semasa.
Tempahan memancing dan bot memancing hanya boleh dibuat melalui Persatuan Bot Dalaman Taman Negara, Kuala Tahan sahaja.
Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan diwajibkan memakai ‘life jacket’ sepanjang aktiviti memancing.
Pemancing diwajibkan mengisi dan melengkapkan Borang Pelepasan Tanggungjawab (Lampiran I) di Kaunter Penguatkuasaan sebelum menjalankan aktiviti memancing.
Semua jenis ikan dibenarkan untuk dipancing. Ikan Kelah yang beratnya 1 Kilogram hingga 4 Kilogram sahaja dibenarkan. Ikan Kelah yang beratnya kurang dari 1 Kilogram atau melebihi 4 kilogram hendaklah dilepaskan kembali di tempat ianya ditangkap.
Pemancing diwajibkan mengisi Borang Daftar Aktiviti Memancing (Lampiran II) di Rakit Jabatan Perhilitan apabila siap memancing untuk tujuan rekod inventori pihak Taman Negara Pahang.
Kelulusan adalah tertakluk kepada Penguasa Taman Negara Pahang.
DENDA
Sesiapa yang didapati memancing di dalam kawasan Taman Negara Pahang tanpa permit atau tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan adalah melakukan kesalahan mengikut Enakmen Taman Negara (Pahang), 1939 dan Keadah 11, Kaedah-kaedah Taman Negara Pahang.
Oleh itu, mereka yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit (RM 5,000) atau penjara selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Aktiviti perikanan rekreasi di Terengganu sama ada di sistem air tawar dan air masin bolehlah dikatakan seimbang.
Dengan kewujudan sistem empangan di sungai-sungai menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi perikanan rekreasi popular.
Manakala pembinaan pelantar minyak menyemarakkan lagi aktiviti memancing di perairan Laut China Selatan ini.
Namun kebelakangan ini, apabila salah satu teknik memancing iaitu mengunjun atau jigging kian menular, secara tidak langsung menyaksikan industri memancing di Terengganu semakin meriah.
Dengan peningkatan penggemar teknik pancingan mengunjun dan operator bot memancing menyaksikan perairan Terengganu bermula dari Kemaman hinggalah ke Besut menjadi destinasi memancing pilihan sejurus berakhirnya monsun.
Perairan Marang yang sebelum ini hanya popular apabila tibanya musim mencandat sotong turut tidak terkecuali terkena tempias dalam fenomena ini.
Untuk merasai sendiri bahang fenomena ini, saya sertai satu trip jigging di perairan Marang dengan menggunakan khidmat operator bot jigging tempatan yang tersohor di FB, Seby Shya.
Misi dan taktikal yang dipraktikkan dalam aktiviti memancing adalah memburu spesies tenggiri dengan teknik fast jigging.
Justeru spot memancing yang menjadi sasaran utama ialah unjam-unjam. Berikutan kekurangan spesies tenggiri di perairan Marang, tekong memutuskan untuk cuba nasib di perairan Dungun.
Namun masa perjalanan lebih satu jam dari jeti Marang dengan menjadikan unjam dan barisan paip sebagai spot permainan.
Mengunjun kepingan jig besi seberat 40-60 gm dengan karauan sepantas mungkin di kawasan unjam berselirat dengan rintangan benar-benar memerah kudrat dan pengorbanan.
Pengorbanan yang dimaksudkan adalah bersedia berhadapan dengan situasi kehilangan set jig atau lebih malang lagi putus tali utama akibat mata kail tersangkut pada tali unjam atau apa-apa struktur di kawasan tersebut.
Dan ia bukan sekali dua terjadi kepada kami, bukan sedikit jig kami lebuh menjadi tukun, malah saya sendiri turut kehilangan satu gelendong tali utama.
Di sebalik kehilangan banyak jig dan tenaga, hasil yang diperoleh sebenarnya tidaklah terlalu mengecewakan.
Setelah ditolak penyebab kegagalan mendaratkan spesies sasaran seperti tali kevlar putus, putus tali perambut, split ring melocot keluar, mata kail terkangkang lurus dan beberapa lagi masalah teknikal, kami berjaya membawa dua ekor tenggiri beberapa ekor lain spesies lain seperti tongkol, ebek dan cermin.
Musim panas yang berlaku sekitar pertengahan hingga hujung tahun seperti diramalkan seakan memberi impak kepada hidupan air. Paras air empangan juga dikatakan menjadi semakin surut, begitu juga dengan terusan air yang semakin menyusut dan mengering menambahkan lagi kebimbangan di hati.
Apa tidaknya, trip Royal Belum yang telah dirancang awal lagi mungkin berpotensi menemui kegagalan akibat faktor cuaca ini. Sudah tentulah paras air di sana akan lebih rendah dan lubuk-lubuk yang terbentuk akan menjadi sangat terhad.
Hari Pertama
Seawal jam 6.00 pagi kami sudah tiba di jeti Tasik Temenggor. Sebaik sahaja tekong tiba tidak lama selepas itu, kami seramai 9 orang pemancing menaiki bot terus meredah kedinginan pagi. Terlebih dahulu, kami perlu mendaftarkan diri di pondok Jabatan PERHILITAN untuk mengambil permit.
Tanpa berlengah masa, kami terus sahaja menyusuri lubuk yang telah pun ditentukan oleh tekong. Sepanjang perjalanan kelihatan paras air tidaklah sesurut seperti yang kami gambarkan. Tetapi ia tetap juga menampakkan perbezaan paras air di tebing dan kedalaman suak yang menjadi agak cetek.
Pada awal pagi, tiada sambaran langsung diterima oleh kami walaupun mencuba pelbagai jenis gewang. Lontaran demi lontaran dibuat ke arah suak atau reba-reba yang diyakini dihuni oleh sang pemangsa namun masih tiada sambaran diterima.
Apabila jam menunjukkan ke angka 10 pagi, Ojang yang tidak jemu bertukar tukar teknik mencuba jig ringan 14 gram menerima sambaran daripada penghuni lubuk. Teknik henjutan jig berwarna kuning keemasan ke kawasan reba pokok tumbang betul-betul memberikan sinar harapan buat kami. Terkulai sang sebarau bersaiz remaja di tangan Ojang.
Azman yang menukar kepada spoon dengan mata kail tunggal terus melakukan lontaran ke arah tunggul kayu yang berada 10 meter dari bot kami. Tidak menunggu lama, ia terus direntap spesies yang diyakini sebarau. Lantas, beliau terus mengunci drag dan mengawal larian pemangsa tersebut. Tepat sekali, sebarau bersaiz 500 gram berjaya juga dijinakkan Azman.
Apabila matahari terpacak atas kepala, bahang yang panas mula merimaskan kesmua ahli komplot. Sambil itu, kami terus menyusuri suak demi suak mencari lubuk berpotensi. Pelbagai jenis gewang lagi ditukar, sama ada jenis tenggelam, separa timbul, timbul, gemerincing, tidak gemerincing dan bermacam-macam lagilah.
Riak air yang bergerak di permukaan air menandakan adanya kawanan anak toman terus sahaja menerbitkan nafsu untuk kami mencuba melontarkan gewang. Mana tahu ada mama toman berada di bawahnya. Malangnya, tetapi, tiada sambutan yang diterima. Dan kami akur, kawanan anak toman yang berjalur ini, mungkin sudah kehilangan ibunya.
Selepas hampir 2 jam berehat dan makan tengah hari, kami menyambung semula aktiviti casting hingga lewat petang. Namun, hanya seekor toman saja yang berjaya dijinakkan Affendy dan ia menjadi penutup hari pertama buat kami.
Hari Kedua
Hari kedua yang juga hari terakhir trip ini, kami sepakat untuk meneroka semaksimum spot berpotensi. Mana tahu hari kedua lebih baik dari hari pertama walaupun kami sebenarnya terpaksa menerima hakikat pencarian tangkapan pada ketika dan musim ini bukanlah mudah.
Banyak perkara yang dapat kami belajar dari hari pertama kami di sini, terutamanya tentang ‘rumah’ sang sebarau yang gemar mendominasi lubuk-lubuk yang dalam dan mempunyai reba sebagai tempat mencari makan.
Tidak sesukar hari pertama, hari kedua nampaknya rezeki lebih banyak memihak kami. Konsep memujuk atau menanti di setiap lubuk sehingga sebarau sudi menjamah umpan adalah antara teknik yang kami terapkan sepanjang hari kedua ini. Namun boleh dikatakan situasi ini amat mencabar dan menguji ketahanan mental.
Walaupun ada masa kami agak was-was dengan lubuk yang disinggahi, namun hasil pengalaman dan tunjuk ajar tekong yang lebih mengetahui isi dasar yang mempunyai banyak reba menjadikan hari kedua kami menjadi semakin baik.
Bot akan berhenti betul-betul di atas reba tersebut dan jig diturunkan dicelah celah dahan dan ranting yang mula mereput dimamah air. Di situlah banyak sambaran sang sebarau yang kami terima.
Penutup
Kesimpulannya, biarpun berdepan dengan keadaan cuaca panas yang tidak menentu, namun ia masih memberikan kami hasil yang memuaskan. Biarpun dikatakan paras air akan terus mengering, namun ia seakan tidak menjejaskan kawasan Royal Belum kerana ia masih banyak menerima air dari banyak sumber cabang sungai yang ada di sini.
Teknik ala jigging boleh digunakan dengan menjatuhkan jig terus ke dasar yang di bawahnya dipercayai terdapat tunggul atau kayu balak tumbang yang sering kali menjadi ‘rumah’ sebarau. Walaupun bersaiz kecil, jig boleh dilontar jauh terutama ketika ikan boiling jauh dari bot.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...