Aktiviti perikanan rekreasi di Terengganu sama ada di sistem air tawar dan air masin bolehlah dikatakan seimbang.
Dengan kewujudan sistem empangan di sungai-sungai menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi perikanan rekreasi popular.
Manakala pembinaan pelantar minyak menyemarakkan lagi aktiviti memancing di perairan Laut China Selatan ini.
Namun kebelakangan ini, apabila salah satu teknik memancing iaitu mengunjun atau jigging kian menular, secara tidak langsung menyaksikan industri memancing di Terengganu semakin meriah.
Dengan peningkatan penggemar teknik pancingan mengunjun dan operator bot memancing menyaksikan perairan Terengganu bermula dari Kemaman hinggalah ke Besut menjadi destinasi memancing pilihan sejurus berakhirnya monsun.
Ads
Perairan Marang yang sebelum ini hanya popular apabila tibanya musim mencandat sotong turut tidak terkecuali terkena tempias dalam fenomena ini.
Untuk merasai sendiri bahang fenomena ini, saya sertai satu trip jigging di perairan Marang dengan menggunakan khidmat operator bot jigging tempatan yang tersohor di FB, Seby Shya.
Misi dan taktikal yang dipraktikkan dalam aktiviti memancing adalah memburu spesies tenggiri dengan teknik fast jigging.
Ads
Justeru spot memancing yang menjadi sasaran utama ialah unjam-unjam. Berikutan kekurangan spesies tenggiri di perairan Marang, tekong memutuskan untuk cuba nasib di perairan Dungun.
Namun masa perjalanan lebih satu jam dari jeti Marang dengan menjadikan unjam dan barisan paip sebagai spot permainan.
Mengunjun kepingan jig besi seberat 40-60 gm dengan karauan sepantas mungkin di kawasan unjam berselirat dengan rintangan benar-benar memerah kudrat dan pengorbanan.
Pengorbanan yang dimaksudkan adalah bersedia berhadapan dengan situasi kehilangan set jig atau lebih malang lagi putus tali utama akibat mata kail tersangkut pada tali unjam atau apa-apa struktur di kawasan tersebut.
Ads
Dan ia bukan sekali dua terjadi kepada kami, bukan sedikit jig kami lebuh menjadi tukun, malah saya sendiri turut kehilangan satu gelendong tali utama.
Di sebalik kehilangan banyak jig dan tenaga, hasil yang diperoleh sebenarnya tidaklah terlalu mengecewakan.
Setelah ditolak penyebab kegagalan mendaratkan spesies sasaran seperti tali kevlar putus, putus tali perambut, split ring melocot keluar, mata kail terkangkang lurus dan beberapa lagi masalah teknikal, kami berjaya membawa dua ekor tenggiri beberapa ekor lain spesies lain seperti tongkol, ebek dan cermin.
Hasil keseluruhan yang diperoleh
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sejak Majalah Umpan ditransformasi ke era digital, amat jarang sekali kami bekas warga kerja Majalah Umpan dapat komplot bersama.
Disebabkan dah terlalu rindu nak memancing bersama seperti dahulu, satu trip mengejut pun direncanakan.
Trip yang bertemakan reunion team Umpan ini bukanlah untuk mencari spesies-spesies mega di lautan mahupun pemangsa ganas air tawar, sebaliknya hanyalah trip santai untuk mencari si sepit biru atau lebih mesra dipanggil jenggo.
Sesudah mendapat pelepasan daripada ketua masing-masing, akhirnya saya, Paez, Amang dan Pet Fitry memilih tarikh yang sesuai untuk komplot kami.
Lokasi yang dipilih ialah Sungai Dulang di Bagan Datoh, Perak yang merupakan lubuk baharu bagi saya, Paez dan Pet, manakala untuk Amang, lubuk ini pernah menjadi padang permainannya suatu ketika dahulu.
Malang untuk kami, tarikh yang dipilih itu agak kurang sesuai dek faktor cuaca yang sering hujan pada siang hari.
Atas faktor itu, paras air sungai menjadi semakin tinggi dan ia turut membawa sampah-sarap yang boleh memberi kesan kepada trip kali ini.
Setibanya di Sungai Dulang pada pagi Sabtu, cuaca dilihat agak baik dan tiada tanda-tanda menunjukkan hari mahu hujan. Ini mungkin petanda baik untuk kami. Tapi nampaknya, kami silap.
Masalah lain pula menyambut kami di sini. Bot yang sepatutnya kami naiki pada jam 8 pagi terpaksa dianjak lebih sejam dek masalah komunikasi dengan pemilik bot.
Sudahlah lewat, tekong yang sepatutnya membawa sebuah bot yang kami tempah tidak dapat turun dan tempatnya terpaksa diganti dengan tekong lain.
Hampir jam 10.00 pagi barulah dua bot kami dapat memulakan perjalanan ke lubuk udang galah.
Saya yang menaiki bot bersama Paez menjadi pembuka tirai trip kali ini. Seekor udang bersaiz sederhana cukup untuk membakar semangat kami.
Namun, disebabkan keadaan air yang masih tinggi di sebelah pagi, udang agak pasif memakan umpan yang kami hidangkan.
Sebaliknya, spesies ikan seperti duri dan lundu paling galak menyambar umpan.
Malang untuk Paez apabila joran yang diletakkan di belakang bot tidak semena-mena terjun ke dalam air dipercayai disambar ikan.
Cubaan kami untuk menyelamatkan joran itu gagal setelah beberapa kali mencuba.
Walaupun kecewa rod udang bertuahnya menjadi tukun di dasar sungai, tapi nasib Paez berubah selepas itu apabila joran lainnya disambar jenggo pertama trip ini.
Saiz yang agak baik untuk kami dan dapat dilihat senyuman kembali terukir di wajah Paez.
Selepas itu, kami bergilir-gilir menaikkan udang pelbagai saiz. Pet Fitry dan Amang di bot satu lagi turut memperoleh hasil yang diinginkan.
Menjelang tengah hari, hasil semakin kurang dan kami mengambil keputusan untuk berehat seketika. Apabila cuaca mulai redup pada sebelah petang, kami kembali meneruskan sesi pancingan.
Tapi hasil di sesi petang ini tidaklah semeriah seperti pagi tadi. Jenggo tidak menunjukkan kelibatnya sebaliknya ‘udang maggi’ (udang bersaiz kecil) yang galak memakan umpan.
Hampir menjejak senja, kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti. Melihat kepada hasil yang diperoleh boleh dikatakan ianya agak kurang memberangsangkan. Faktor cuaca dan pelbagai masalah kecil lain menjadikan trip ini agak sendu.
Walaupun begitu, ini bukanlah satu kegagalan untuk kami. Sebaliknya, bagi saya ini satu kejayaan kerana bukan mudah untuk mengumpul kembali team Umpan (walaupun masih belum cukup kuorum).
Diharapkan, komplot ini tidak terhenti di sini. Saya menjangkakan akan ada lebih banyak trip dapat kami rangka bersama selepas ini kerana kebanyakan daripada kami sudah agak lama membiarkan rod bersawang di rumah masing-masing.
Kami tiba di lubuk pertama pada waktu senja. Lubuk pertama merupakan sebuah unjam yang banyak terdapat di timur Pulau Similan. Menurut tekong, Pulau Similan yang terletak di Laut Andaman mempunyai struktur laut yang unik. Di sebelah timur pulau, lautnya amat cetek dengan kedalaman hanya 50 – 80 meter sahaja.
Di kawasan ini banyak terdapat unjam dan tukun tiruan yang dibina oleh nelayan tempatan. Kawasan ini kaya dengan lambakan sotong dan ikan-ikan karang. Kelihatan berpuluh-puluh bot pukat dan sotong sedang beroperasi di kawasan tersebut.
Pada sebelah barat Pulau Similan pula, keadaan lautnya amat berbeza. Hanya kurang satu batu nautika dari pulau tersebut, kedalamannya mencecah drop off sehingga 300 meter. Di kawasan inilah terdapatnya kerapu hitam yang kami sasarkan. Ruby snapper, tuna dan banyak lagi spesies ikan laut dalam juga boleh di pancing di kawasan ini.
Selepas singgah di lubuk pertama di sebuah unjam. Tekong Sai Yan berhubung dengan bot nelayan berhampiran untuk membeli umpan segar. Ikan tongkol dan sotong segar dibeli dengan kuantiti yang banyak sebagai bekalan umpan kami.
Di unjam, kumpulan kami mengamalkan pancingan dasar di hadapan bot dan jigging di belakang bot. Tanpa menunggu lama, pelbagai ikan bersaiz kasar yang berjaya dinaikkan. Ikan ebek kelihatan banyak terdapat di kawasan unjam ini selain ikan merah dan kerapu. Selepas semalaman memancing di unjam, pelbagai jenis ikan yang berjaya dinaikan oleh kumpulan kami.
Antara ikan-ikan tersebut ialah kerapu (Malabar grouper, Epinephelus malabaricus), ebek (Diamond trevally, Alectis indica), merah (Lutjanus erythropterus), kakap merah (Mangrove jack, Lutjanus argentimaculatus) dan banyak lagi spesies ikan lain.
IKAN SASARAN, KERAPU HITAM!
Awal-awal pagi lagi tekong mula bertolak ke kawasan drop off di sebelah barat Pulau Similan untuk memancing ikan kerapu hitam. Kami segera membuat persediaan untuk memancing sepanjang perjalanan ke sana. Perambut appollo berkekuatan 100-120lb diikat bersama mata kail 4X circle hook bersaiz 7/0. Penggunaan ‘bangla’ atau kekili elektrik amat digalakkan kerana mampu menyimpan tali utama lebih 500 meter.
Batu ladung yang akan digunakan untuk memancing di kawasan sedalam ini seberat 2kg. Pasti pemancing akan keletihan jika menggunakan kekili manual apabila berhadapan situasi seperti begini. Semasa memancing ikan kerapu hitam, hanya sebelah kanan bot sahaja dibenarkan untuk memancing. Ini kerana kami akan memancing secara berhanyut kerana bot tidak mampu melepaskan sauh di tempat yang begitu dalam.
Apabila tekong memberi isyarat, kami segera menurunkan umpan. Umpan tongkol yang dibeli oleh nelayan semalam terus disambar ikan dengan rakusnya. Bangla kepunyaan kami terpaksa berhempas pulas melawan asakan ikan kerapu supaya tidak lari ke dalam lubang yang menjadi tempat persembunyiannya. Selepas beberapa ekor ikan kerapu berjaya ditawan, tekong akan berubah tempat ke lubuk yang lain.
Bot hanya berhenti seketika sahaja di setiap lubuk. Aktiviti sedemikian kami lalui sehingga petang. Masa seakan-akan berlalu dengan pantas kerana kami sentiasa sibuk memancing ikan kerapu ini dan hasilnya berbelas-belas ekor ikan kerapu hitam yang berjaya kami perolehi.
UNJAM DI HARI KEDUA
Selepas seharian memancing ikan kerapu, tekong bergerak menuju ke kawasan unjam sebelum hari menjadi gelap. Selepas selesai menikmati makan malam. Kami menyambung semula aktiviti memancing. Kami amat bertuah pada malam kedua di unjam. Lambakan sotong jarum banyak terdapat di sini. Kami berpesta mencandat sotong di sini.
Kehadiran sotong-sotong yang banyak ini juga menarik pelbagai ikan pemangsa di kawasan unjam. Selain mencandat, kami juga berpesta dengan acara jigging. Ikan alu-alu, ikan cupak, skipjack tuna dan amberjack banyak dinaikkan melalui teknik jigging. Bagi yang suka memancing dasar, banyak ikan karang yang berjaya diperoleh. Sotong yang di candat oleh kumpulan kami serta merta dijadikan umpan hidup untuk pancingan dasar.
Banyak ikan kerapu karang/boron yang bersaiz lebih 7kg berjaya kami perolehi. Tekong Sai Yan juga tidak melepaskan peluang turut serta jigging bersama-sama kami ketika kumpulan kami sedang berpesta ikan. Walaupun kami dalam keletihan dan tidak cukup tidur, semuanya hilang akibat seronok berpesta dengan ikan-ikan yang tidak henti-henti memakan umpan hingga ke subuh.
KENA BULI
Waktu pagi seterusnya, tekong bergerak semula ke lubuk ikan kerapu hitam. Kali ini tekong Sai Yan akan membawa ke lubuk yang didiami ikan kerapu yang lebih besar berbanding semalam. Berbekalkan pengalaman semalam, kumpulan kami tampak lebih bersedia. Umpan diturunkan selepas tekong memberi isyarat.
Seperti semalam, umpan tongkol terus disambar oleh ikan. Tetapi kali ini tekanan yang kami hadapi lebih hebat. Mesin bangla kami tidak mampu membuat karauan. Sekali sekala kami terpaksa mengarau secara manual. Mulanya kami ingatkan umpan kami telah sangkut di struktur berbatu di dasar laut, tetapi disangkal oleh tekong Sai Yan. Beliau mengatakan tekanan yang hebat berpunca daripada kerapu hitam yang besar.
Keadaan ini sering berlaku apabila umpan dimakan oleh kerapu bersaiz besar dan sentiasa disangka seperti tersangkut oleh pemancing. Kali ini tekong Sai Yan dan awak-awak beliau terpaksa turun padang membantu kami menewaskan kerapu ini. Tali utama ditarik menggunakan tangan secara perlahan-lahan. Tempoh beberapa minit diambil untuk memujuk kerapu yang memakan umpan keluar dari lubang yang menjadi tempat perlindungannya.
Selepas terasa ikan telah keluar dari kawasan lubang, kami segera membuat karauan dengan pantas supaya ikan tersebut tidak berpatah balik masuk semula ke dalam lubang. Memang benar tekaan kami, ikan kerapu hitam yang bersaiz gergasi kelihatan di permukaan air. Saiz ikan yang lebih besar daripada semalam amat mengujakan kami.
Kemudian beberapa ekor lagi kerapu gergasi berjaya kami tawan di lubuk-lubuk berhampiran menggunakan teknik yang sama. Kami dibuli teruk pada kali ini. Beberapa orang ahli kumpulan kami terpaksa berhenti memancing akibat tali utama putus sepanjang 200 meter.
Walaupun kami menggunakan bangla atau kekili elektrik yang mengarau secara automatik, kami bagaikan kehabisan tenaga akibat menarik tali utama secara manual untuk memujuk ikan keluar dari lubang sebelum membuat karauan menggunakan bangla kami. Puluhan lubuk yang kami terokai bersama tekong Sai Yan tidak mengecewakan. Puluhan kilo kerapu hitam berjaya kami sumbat di dalam tong ikan.
PUAS HATI
Selepas 3 hari 2 malam kami melakukan aktiviti yang sama, kami bersiap sedia untuk pulang ke jeti. Keletihan amat terasa sekali. Tong ikan yang dibawa oleh kami semuanya telah penuh diisi dengan ikan bersaiz kasar.
Selepas mengemas segala peralatan yang kami bawa. Kami melelapkan mata akibat keletihan sepanjang aktiviti memancing. Perjalanan pulang ke jeti akan mengambil masa 6 jam lagi. Selepas itu perjalanan mengharungi 1200km untuk pulang ke rumah akan kami tempuhi sekali lagi.
Walaupun keletihan, kelihatan semua ahli sangat berpuas hati dengan trip ini. Kesimpulannya, trip ekplorasi pertama kali di perairan Laut Andaman di Pulau Similan boleh dikategorikan sebagai trip first class dan berjaya dengan jayanya. Pelbagai pengalaman pahit manis yang kami telah lalui bersama tekong Sai Yan. Apa yang pasti, sayalah orang yang paling gembira atas kejayaan trip ini kerana impian untuk memancing di Laut Andaman telah pun dipenuhi.
Setibanya di lubuk pertama, tekong mengambil sedikit masa untuk memakir bot agar berada tepat di lubuk yang disasarkan.
Umpan sotong dihulur secepat mungkin kerana umpan yang mencecah dasar dahulu mempunyai peluang yang tinggi untuk memikat mangsa yang terkejut dengan makanan yang berada di sarangnya!
Memang benar telahan awal apabila hanya beberapa saat sahaja Alley menerima ragutan kasar yang cuba melarikan umpannya, sentapan kasar dibuat melawan asakan mangsa agar mata kail benar-benar tertancap kemas di mulut dan kukuh untuk didaratkan.
Menggunakan kekili elektrik X4 dipadankan dengan joran PE 3-6 ikan dipujuk naik secara perlahan.
Sesekali mangsa mengenjut kekili namun teknologi yang telah dicipta berjaya menahan asakan mangsa secara lembut. Akhirnya spesies merah seberat 5 kg berjaya didaratkan ke dalam bot.
Bertalu talu spesies merah dan spesies lain mengena umpan hingga sekeliling bot merasai tarikan dan asakan mangsa yang terjerat olah mata kail kami.
TENGGIRI MENGGILA!
Apabila waktu semakin senja, tekong bergerak ke lubuk yang terletak 2 jam perjalanan dari lubuk pertama tadi. Dengan kelajuan 10 knot dan suasana laut yang sedikit tenang melancarkan perjalanan ke lubuk tersebut.
Ilham yang berada di posisi belakang menggunakan kelebihan yang menggunakan teknik drifting atau lebih dikenali teknik melayang umpan. Dengan mencangkukkan umpan kembung disokong dengan perambut dawai 40 lb ia dilepaskan dalam jarak 20 hingga 30 meter dari bot.
Mat yang duduk di bahagian tepi bot MV juga melayangkan umpan yang sama menggunakan belon agar kedudukan umpan berada sekitar kedalaman 7 meter daripada permukaan.
Tanpa disangka kawanan tenggiri yang merapati bot juga tetarik dengan layangan umpan.
Secara serentak joran Ilham dan Mat diasak dan gelendong kekili manual siri 6000 memuntahkan tali.
Bimbang dua ekor spesies pelagik ini memintal tali, Mat bertindak berganjak dari kedudukan asal berlari ke bahagian hadapan manakala Ilham masih bertahan di bahagian belakang mengawal lariannya.
Mangsa berjaya didaratkan dibalas dengan sorakan. Ilham berjaya mendaratkan tenggiri seberat 6 kilogram manakala Mat berjaya mendaratkan tenggiri seberat 5 kilogram.
Pa’an dan rakan-rakan yang lain menggunakan teknik jigging dan melontar sejauh mungkin di kawanan tenggiri. Berpeluh melontar jig bersaiz 180gram berulang kali akhirnya disambut juga spesies pelagik ini.
Dengan berbekalkan joran yang agak ringan, permainan tarik menarik sengaja dibiarkan berlarutan sehingga 15 minit. Mangsa yang agak kasar ini terpaksa digancu supaya dapat didaratkan dengan selamat ke atas dek bot MV.
Pertarungan melawan kawanan si gigi tajam ini berlanjutan sehingga jam 5pagi dan selepas itu ianya hilang dan senyap terus dari mengena mata kail.
LELAPKAN MATA!
Akibat keletihan berjaga malam dan lengan cukup keletihan diasak dan mengasak ikan, sebahagian daripada kami merebahkan diri berehat dari menurunkan umpan. Persediaan hari ketiga yang juga hari terakhir adalah lebih kepada untuk pancingan bottom sahaja.
Umpan kembung dan hirisan sotong menjadi umpan utama sesi memancing dasar. Masa yang singkat digunakan sebaiknya kerana setiap lubuk yang dilawati hanya akan disinggahi
sekitar sejam sahaja setelah 5 atau 6 ekor ikan didaratkan dan sekiranya dalam masa 15b minit tiada respon diterima, tekong akan mengubah ke lubuk lain.
Keseluruhannya semua berjalan lancar dan semua ahli trip berpuas hati dengan sambutan yang diterima dari spesies demersal dan pelagik di perairan Sarawak ini. Perjalanan yang berbaloi dan sudah semestinya kami akan kembali ke sini lagi tahun hadapan!.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...