Pancingan di perairan pelantar minyak merupakan satu trip memancing yang agak ekstrem dan memerlukan bukan sahaja tenaga malah perbelanjaan yang besar juga.
Justeru perlu ada perancangan rapi sebelum bertarung dengan monster-monster di pelantar minyak.
Sekiranya kewangan kurang mengizinkan untuk membayar kos trip secara langsung, maka perlulah membuat tabungan sekurang-kurangnya setahun awal daripada tarikh bertolak.
Kos trip dalam anggaran RM800-RM1000 (sewa bot). Selain itu perlu sediakan dalam RM500 lagi bagi menampungkan kos pengangkutan, makan minum serta peningkatan kos trip sekiranya ada ahli yang menarik diri.
Wajib ada satu kekili elektrik atau mesin ‘bangla’ yang lengkap dan sempurna. Sekiranya belum ada maka kenalah berusaha mendapatkannya (bukan murah harganya) atau meminjam daripada kawan-kawan.
Set kekili elektrik wajib ada sekiranya pancingan dasar merupakan fokus utama trip.
Selain itu set jigging (kekili, joran dan jig) juga perlu dibawa. Jika berhasrat untuk main GT maka set jigging perlulah yang sepadan. Begitu juga kalau berhasrat nak main popping.
Yang pasti satu set ringan untuk kegunaan apollo umpan hidup atau mencandat sotong wajib di bawa.
Perlu buat persiapan rapi. Jika pergi dengan peralatan tidak sesuai dan ala kadar, ada baiknya tidak payah pergi kerana mungkin anda akan buang duit, letih badan dan rugi masa.
Stamina dan kesihatan badan juga perlu dijaga. Elakkan demam atau sakit sebelum bertolak.
Bagi kaki jigging mereka ada kalanya bersenam di gym untuk membentuk ketahanan otot tangan, kaki dan badan.
Bersedia untuk menukar sistem tidur kerana aktiviti memancing di pelantar minyak lebih aktif pada waktu malam.
Sementara waktu siang bot lebih banyak bergerak untuk bertukar lubuk atau sebagainya. Jadi, alangkah ruginya jika kita tidur ketika pemancing lain bergasak dengan ikan.
Trolling merupakan satu teknik memancing dengan cara menunda gewang di belakang sampan, bot, kapal dan sebagainya.
Trolling di laut, muara dan sungai mempunyai perbezaan yang ketara dan memerlukan peralatan dan yang sesuai.
Disini saya kongsikan beberapa tip untuk trolling di muara atau sungai kecil.
(perkongsian oleh: Pengail Tegar)
Struktur sungai
Sebelum melakukan teknik trolling, kita perlu mengenal pasti struktur sungai terlebih dahulu. Ia kurang sesuai struktur sungai terdapat banyak bangkar kayu mati.
Trolling dilakukan berhampiran reba atau kawasan tanah runtuh atau berhampiran susur tebing.
Ini kerana lazimnya ikan-ikan gemar bermain di dasar kawasan tersebut untuk mencari makanan atau menghendap mangsa.
Gewang
Gewang yang paling sesuai digunakan untuk teknik ini adalah selaman 3 meter hingga 5 meter bergantung pada paras air sungai tersebut.
Tidak kisahlah jenis atau jenama gewang apa yang ingin digunakan. Selain gewang selaman dalam, gewang selaman cetek atau minnow juga boleh digunakan meskipun peratusan strike lazimnya berpihak kepada gewang selaman dalam.
Joran
Untuk keselesaan trolling di muara sungai, memadai joran aksi sederhana (medium heavy).
Disarankan joran kekuatan 6-12 lb, 6-16 lbs 8-17 lb, 8-20 lb atau 10-20 lb. Panjang joran pula sebaiknya 6 hingga7 kaki panjang.
Tali dan perambut
Tali yang digunakan untuk trolling haruslah tidak terlalu halus atau kasar. Jika terlalu halus, ia akan mudah putus jika tersangkut atau disentap oleh ikan bersaiz besar.
Jika terlalu kasar pula ia akan menghasilkan getaran dan bunyi semasa ditunda. Ini akan menyebabkan bunyi bising dan peluang untuk strike ikan agak tipis.
Cadangan paling sesuai adalah dalam 20lb-30lb sahaja atau diameter tali 0.18mm-0.28mm.
Jarak
Berkaitan dengan jarak, terdapat dua perkara yang perlu diketahui semasa trolling. Pertama adalah jarak antara bot dangan tebing dan kedua adalah jarak antara bot dengan gewang. Semasa trolling, jarak paling sesuai bot dengan tebing adalah antara 5-10 meter.
Pada kedudukan jarak ini, gewang selaman dalam yang kita gunakan akan sampai ke sasaran. Jika terlalu jauh ke tengah sungai, gewang tidak akan sampai ke dasar.
Jarak yang kedua perlu dipertimbangkan adalah jarak antara bot dengan gewang yang kita tunda dibelakang bot. Kebiasaannya jarak paling sesuai adalah antara 30-50 meter.
Amat sesuai jika menggunakan tali yang bewarna-warni kerana lebih senang buat ukuran (10 meter setiap warna).
Kelajuan
Tip ini adalah antara yang terpenting perlu diketahui jika melakukan teknik trolling. Semasa trolling pastikan bot dalam kelajuan yang paling minima.
Kerana ini dapat memberi peluang kepada ikan untuk mengejar gewang tersebut. Jika bot kita dalam keadaan laju, kebanyakan ikan tidak mahu atau dapat mengejar gewang tersebut.
Penyelamat Gewang
Jangan Lupa! Amat penting untuk kita membawa alat ini. Ini kerana, semasa trolling peluang untuk sangkut pada batu dan kayu di dasar sungai adalah tinggi.
Tidak dinafikan dengan adanya penyelamat ini, gewang anda akan selamat sekalipun tersangkut berkali-kali.
Siakap merah sebenarnya jika diperincikan merupakan spesies ikan yang melahap apa sahaja sasarannya bila waktu mencari makan. Namun begitu, bergantung juga pada pemerhatian anda pada sesuatu lubuk dikunjungi tersebut.
Ini kerana ada kalanya, spesies ini juga berasa was-was dengan jenis gewang tiruan yang dihulurkan. Pilihlah gewang jenis minnow yang berbadan sedikit ‘slim’. Namun, jika mengaplikasikan umpan hidup, udang merupakan umpan yang lazim dijadikan bagi spesies ini.
Di sesetengah tempat, seperti di Kuala Trong, Perak contohnya, ikan jejulong adalah umpan hidup terbaik untuk menjerat ikan ini.
Pilihan set pancing
Memandangkan ikan sasaran kami adalah siakap merah, kami memilih gewang tiruan untuk di aplikasikan. Memancing menggunakan bot adalah cara terbaik untuk menjejaki spot terbaik ikan berada.
Pemilihan saiz gewang yang memiliki saiz yang ideal iaitu tidak terlalu besar adalah penting. Gewang-gewang bersaiz ini sungguh efektif dipraktikkan pada lubuk berpotensi tinggi didiami siakap merah.
Selain itu, penggunaan gewang tiruan separa selaman dalam contohnya seperti Strike Pro Slingshot Minnow bersaiz 12 cm iaitu struktur bentuk panjang dan tiris juga terbaik kerana ia berupaya melakukan renangan yang laju.
Tentang joran, anda bebas memilih sama ada set baitcasting atau spinning bila berada di atas bot, joran panjang adalah ideal dan ia bergantung pada pemancing. Manakala kekili adalah dari kategori ringan dan sederhana berat bersaiz 2000-3000 adalah memadai.
Tentang tali, ia bergantung pada kawasan pancingan. Saiz 15-30lb adalah yang sesuai dan jangan lupa gunakan tali perambut yang bersesuaian, 30 lb ke atas bagi mengekang asakan ikan ini seandainya ia memasuki reba.
Kebiasaannya, kaki pancing perlu bersedia semasa karauan dibuat. Ini kerana, bila-bila masa sahaja di saat ini, strike akan berjaya diperolehi. Apabila terkena sahaja, siakap merah akan menekan dan akan mencari reba berhampirannya untuk menyelinap masuk.
Ketika ini, pemancing perlu menahan dan melakukan karauan sepantas mungkin agar ikan ini, tidak sesekali berjaya membawa ke reba.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...