Tenggiri Challenge 2018 merupakan program memancing anjuran Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kolaborasi Taufik Emas Sport Fishing.
Pertandingan yang menyasarkan ikan tenggiri sebagai ikan trofi melalui teknik pancingan jigging ini merupakan kesinambungan dari program pertama yang telah dilangsungkan pada tahun lalu.
Program kali kedua ini telah diadakan pada 14-15 September 2018 di perairan Pulau Kapas, Marang.
Kejohanan kali ini berjaya menarik penyertaan seramai 150 orang peserta termasuk tekong dan melibatkan 25 buah bot.
Menurut jurucakap Taufik Emas Sport Fishing, dengan adanya Terengganu Tenggiri Challenge 2018 ini, bearlah harapan ia dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama
pemancing (jiggers) di seluruh Malaysia. Ini terbukti berikutan para peserta bukannya datang kawasan setempat sahaja bahkan dari seluruh negeri.
Pada sama yang objektif program untuk mengumpul para pecinta teknik jigging dan memperkenalkan potensi perairan Pulau Kapas berhasil dan para peserta dapat berkongsi pengalaman serta teknik pancingan masing-masing.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu & Beautiful Terengganu Malaysia, peserta-peserta pertandingan, penaja-penaja pertandingan, AJK, dan semua yang terlibat untuk menjayakan program Terengganu Tenggiri Challenge 2018.”
“Alhamdulillah program ini berjalan dengan lancar. Pihak penganjur menyusun sepuluh jari memohon maaf di atas kekurangan yang ada sepanjang program ini dijalankan.
Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk kita berjumpa lagi di edisi akan datang.”
IKLAN
Begitulah harapan pihak penganjur dalam sesi majlis penyampaian hadiah yang dilangsungkan di Ombak Kapas Island Beach Resort.
Bagi sesetengah pemancing, belut bukanlah spesies ikan yang menyeronokkan untuk dipancing. Malah, ramai di antara pemancing yang tidak pernah sekali pun memancingnya. Contoh terdekat adalah saya sendiri. Namun, bukanlah saya tidak pernah sekali pun memancing belut. Cuma ia tersangat jarang.
Setelah mencubanya buat kali pertama kira-kira enam atau tujuh tahun sebelumya, kerinduan untuk mengocak umpan di lubang belut dan bertarung menarik ia keluar dari lubangnya yang melingkar kembali menjengah.
Bezanya, jika pada kali pertama dahulu saya mengocak lubang belut di bawah terik matahari, kali ini akan mengocak lubang belut pada waktu malam pula. Atas sebab itulah sebenarnya saya tertarik untuk mencubanya. Belum pernah lagi saya meredah sawah bendang pada waktu malam untuk menyuluh dan memancing belut.
Usai solat Maghrib, bersama seorang rakan, Anhar, kami bertolak dari Sungai Buloh ke Sungai Besar. Sungai Besar yang terletak di Selangor sememangnya padang pancingan belut popular berikutan kawasan sawah padinya yang luas.
Setibanya di rumah Iwan di Parit 1, hampir sepuluh orang pemancing belut yang sudah bersedia untuk meredah kegelapan sawah padi yang sudah dituai hasil sepenuhnya. Sebelum turut serta, kami dipelawa untuk mengalas perut dengan menjamah ikan gerepoh dan cencaru bakar yang disediakan oleh oleh Iwan.
Setelah berpecah secara berkumpulan, saya dan Anhar ditemani oleh Iwan sendiri sebagai guide. Parit kecil atau parit bendang tidak jauh di belakang rumah Iwan menjadi lokasi pertama kami. Sekiranya hasil kurang memberangsangkan, barulah kami akan menjelajah bendang sawah yang lain pula.
Sebelum ini saya hanya menggunakan joran pendek saja untuk memancing belut. Jadi, hanya joran pendek yang saya bawa. Rupanya ia satu kesilapan besar. Kesilapan saya menggunakan joran sependek empat kaki kerana menjangkakan parit bendang itu cetek dan sempit separas lutut sebagaimana parit bendang yang pernah saya pancing dahulu. Rupanya parit bendang itu agak lebar dan bertebing tinggi. Joran tanpa kekili itu tidak mampu dihulurkan ke lubang belut. Akibatnya saya sekadar dapat menyaksikan Anhar yang baru pertama kali memancing belut bersorak riang setelah berjaya mengeluarkan dua ekor belut dari lubangnya. Awal-awal lagi saya sudah kena 2-0.
Setelah meminjam set pancing yang sepadan dari Iwan, kami berkereta pula mencari parit bendang yang berpotensi. Tidak semua parit bendang sesuai untuk mencari lubang belut. Ada parit bendang yang sudah kering airnya, ada yang masih tinggi airnya dan ada pula sukar untuk dilalui kerana semak tinggi.
Setelah beberapa petak sawah diredah, kami beralih ke parit bendang di tepi palong pula. Untuk memancing belut di sini kami perlu memanjat dan meniti palong. Ia tidaklah terlalu berisiko tetapi tersilap langkah boleh mendatangkan kecederaan juga. Apatah lagi penglihatan yang terbatas pada waktu malam.
Mungkin disebabkan joran pinjam yang telah `hanyir’, nasib saya segera berubah. Keseronokan awal mula terasa apabila melihat riak air di permukaan lubang apabila umpan direndam, menandakan lubang tersebut berpenghuni.
Cabaran sebenar memancing belut ialah pemasaan. Masa yang tepat untuk melakukan strike apabila umpan disedut belut. Sentapan yang terlalu awal menyebabkan mata kail tidak tercangkokng kemas pada mulutnya. Sementara sentapan yang lewat pula memberi ruang kepada belut melingkar di dalam lubangnya dan ia bukanlah tugas yang mudah untuk menariknya keluar.
Setelah beberapa jam memancing dan hampir jam tiga pagi barulah kami kembali ke rumah Iwan. Walaupun hasil keseluruhan yang dikumpul tidaklah sebanyak mana, namun kepuasan bertarung menarik belut keluar dari lubangnya sememangnya satu pengalaman yang menyeronokkan dan bakal mendatangkan rasa rindu untuk mengulanginya lagi pada masa mendatang.
Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, diterajui pengarahnya, Halimi Hanip, 8 Ogos lalu mencatat sejarah paling manis dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi usaha pelepasan lebih sejuta benih udang galah bernilai RM120,000 ke sistem Sungai Timun, Rembau.
Majlis simbolik pelepasan benih udang galah (baka udang galah mega atau jenggo) kira-kira 1,139, 472 itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Pengkalan Nelayan Sungai Timun.
Sijil MBOR berkenaan disampaikan sendiri wakil MBOR, Muhammad Shukri kepada Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan. Menurut Ismail, Negeri Sembilan telah menyumbang pengeluaran udang galah sebanyak 86 tan metrik bersamaan 32.12 peratus pengeluaran udang galah di negara ini bernilai RM4.2 juta dan menjadi negeri kedua terbesar selepas negeri Perak bagi sumbangan hasil berkenaan.
Muhammad (dua, kiri) menyerahkan sijil MBOR kepada Ismail
“Terdapat pengurangan trend pendaratan udang galah bermula pada tahun 2011 iaitu sebanyak 3.52 tan metrik kepada 0.61 tan metrik pada tahun 2015. Oleh itu, menjadi tanggungjawab Jabatan Perikanan bagi memulihara dan meningkatkan sumber udang galah di Sungai Timun ini.
”
Dalam program ini, pihak Syarikat Tg. Utara sudi menyumbang benih udang galah sebanyak 1 juta ekor dan sekiranya 10% kadar hidup, dianggarkan hasil sebanyak 3.3 tan metrik dengan nilai RM 233 ribu akan dihasilkan,” katanya sempena Majlis Pelepasan Benih Udang Galah Mega di Pengakalan Nelayan Sungai Timun,
Ismail berkata, di Negeri Sembilan terdapat tiga buah hatcheri udang galah aktif dan bilangan penternak udang galah di negeri ini adalah sebanyak 35 orang. Menurutnya, untuk rekod tahun lalu sahaja, Sungai Timun berjaya menarik hampir 680 pemancing rekreasi dan purata sebulan seramai 50 orang.
Pengarah Perikanan Negeri, Halimi Hanip (kanan) turut sama melebihkan benih udang
Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Halimi Hanip berkata, program pelepasan 1 juta benih udang galah ini merupakan rekod terbanyak yang pertama kali dalam sejarah negara dan telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Recods.
Jabatan berharap dengan pelepasan ini di kawasan Pengkalan Nelayan Sg. Timun (iaitu Sg. Rembau yg mengalir ke Sg. Linggi), ia akan meningkatkan sumber udang galah dan seterusnya dapat dinikmati hasilnya oleh pemancing rekreasi serta meningkatkan sosio ekonomi penduduk kampung setempat.
Lewat sehari sahaja bot sepanjang 85 kaki sudah ditempah pemancing lain. Bot tersebut adalah di antara bot yang paling selesa di Kota Kinabalu, Sabah. Nasib baik bot ketiga milik Jack, pengusaha bot terbabit masih lagi kosong pada tarikh yang kami hajati.
Ketika sampai di jeti pada hari yang dirancang, hanya bot kami sahaja yang belum berlepas kerana kebanyakan bot bergerak seawal pagi. Saya bersama 9 lagi pemancing terdiri dari 7 orang geng Lembah Klang dan 3 orang wakil dari Johor dalam trip ini.
Selesai urusan mendapatkan bekalan umpan dan makanan baru kami memberi isyarat kepada tekong untuk berlepas dari jeti. Selama 5 jam masa yang bakal ditempuh menuju ke lubuk pertama memberi ruang untuk kami merehatkan badan dan ‘qadha’ waktu tidur.
Sesi Memanas badan
Entah apa nama lubuk saya sudah lupa apabila disebut tekong ketika melabuhkan sauh buat kali pertama. Air sedalam 80 meter berpandukan kepada bacaan pada kekili elektrik. Sesi pemanas badan menurut kata tekong. Hanya Hidayyad dan Muslim sahaja menggunakan kekili elektrik selebihnya kekili manual dalam ekspedisi kali ini.
Kebanyakan kaki pancing yang menyertai saya kali ini menggunakan tali tangsi sebagai tali utama terpaksa memasang ladung yang lebih berat untuk menampung tolakan arus. Getuan joran yang menggunakan tangsi kelihatan lemah kerana tangsi mengganjal dan memerlukan masa untuk hantar isyarat dari ragutan ikan ke hujung joran.
Setelah diberi tunjuk ajar cara untuk membuat sentapan berpandukan gegaran pada joran, barulah ikan mengena ’hook up’ pada mata kail.
Kedatangan kami ke sini pula memang berhajat untuk memancing ikan ruby snapper kerana ramai di kalangan ahli trip belum pernah menaikkan spesies ini. Sebaik sahaja tiba ke destinasi kedua, hujan mencurah sehingga lewat malam.
Ini memaksa aktiviti memancing dihentikan seketika. Hujan reda sedikit menjelang jam 2 pagi namun angin belum berhenti sepenuhnya. Hanya Wak Jo, Hidayyad dan Amin yang sanggup menghadapi deruan angin malam sambil menunggu joran disentap ikan. Ketabahan mereka membuahkan hasil walaupun tidak untuk ikan ruby snapper, tapi tenggiri dan cermin membuatkan usaha mereka berbaloi.
Hari kedua bot kemudian menuju ke kawasan yang lebih dalam lagi. Kali ini kedalaman melebihi 170 meter untuk mencari ikan idaman ramai. Bila dah terlalu dalam, kesian pula yang menggunakan kekili manual dengan tali tangsi. Dua kekili elektrik tersenyum sahaja menjunam ke air dalam mencari sasaran.
Jigging berseorangan ketika itu masih lagi mencari-cari ke mana perginya ikan pemangsa. Tangan terasa sengal kerana tiada sentapan, gantung joran lagi. Pemancing yang guna manual nak periksa umpan pun terpaksa menunggu bila getuan terhenti.
Umpan silih berganti walaupun air dalam demi memburu yang dihajati. Basung, isi tongkol dan sotong semuanya digunakan untuk menarik minat ikan pujaan meragut umpan. Kebetulan Jupri yang menggunakan sotong cumit terlihat jorannya Gator HandCrafted 50Ib-130 lb melentur seketika, kemudian tiada gerakan lagi pada joran beliau.
Masa yang sama 3 lagi joran melentur serentak dengan joran Jupri. Masing-masing mula mengarau kekili manual dan seperti yang dijangkakan terasa tarikan besar berlaku.
Di pertengahan air hanya tinggal joran Jupri yang mengena, joran yang lain tiba- tiba sahaja kosong. Tumpuan kemudiannya terarah kepada ikan aji-aji muncul di permukaan sebagai ikan bersisik terbesar hari itu. Saat aji-aji muncul di permukaan, ia membangkitkan semangat buat pemancing lain. Saya terus mencapai jig dan mula mengayakan pelbagai rentak.
Spesies lain yang sudi menyambar gewang dan perambut sekali gus lenyap membuatkan sekali lagi jigging di berhentikan. Tidak lama selepas itu saya terpancing seekor jerung kecil dalam 2 kaki panjang, badan menipis dan bermata hijau terang. Ia berada pada kedalaman lebih dari 180 meter.
Nikmat ikan fresh
Kemudian tekong beralih ke lokasi lebih cetek memandangkan banyak peralatan yang tidak setanding dengan kedalaman air. Bagi peluang kekili manual yang sederhana pula beraksi setelah hanya melihat big mama sahaja yang mampu berlabuh di air dalam.
Sekali lagi hujan turun mencurah supaya kami jadi penonton pula. Kali ini angin turut sepi sebaik sahaja hujan berhenti. Laut tenang dan aktiviti memancing disambung kembali. Hanya saya dan Din yang demamnya belum reda sahaja yang berehat. Walaupun tiada lagi kelibat ikan besar dari aji-aji Jupri, suasana memancing tetap ceria dalam keadaan laut cukup tenang.
Sesekali joran melentur ketika ahli trip silih sibuk melantak ikan stim yang dilumur dengan rempah kari dan dibungkus dalam aluminium foil untuk pusingan kedua. Hasil bukanlah untuk dibawa balik ke semenanjung sepenuhnya, yang sedap dan fresh ‘elok bebenor’ dijuadahkan ketika dalam bot.
Dengan rasa yang masih melekat, isi ikan yang melekit, bau aroma menusuk ke lubang hidung menjadikan ramai memilih untuk mencubit isi ikan berbanding duduk menghadap joran. Inilah yang terbaik dalam satu-satu trip, terus menikmati keenakan ikan tanpa diperam dalam ais. Puas melantak pelbagai jenis ikan perairan Sabah!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...