Makan minum disediakan percuma sepanjang tempoh memancing. Yuran memancing pun percuma bagi sesi memancing selama 8 jam.
Lebih hebat lagi para pemancing akan diberi duit raya bernilai RM 10 sebagi setiap ekor ikan melebihi 8 kg (diturunkan ke 6 kg pada 3 jam terakhir) yang berjaya didaratkan!
Dan ia merupakan jemputan umum secara terbuka kepada sesiapa saja yang ingin menyertainya.
Pernah tak korang menerima tawaran pakej open house raya macam tu? Memang susah nak jumpa punya. Tauke balak, tauke lombong kaya raya pun takde buat pakej open house macam tu.
Tetapi itulah yang telah dijayakan oleh pemilik kolam memancing, Kolam Mancing Harmoni yang terletak di Pulau Meranti, Puchong.
Ads
Menurut pemilik Kolam Mancing Harmoni yang lebih senang dikenali dengan panggilan Wak Sani, beliau hanya berniat untuk bersedekah dengan mengadakan majlis tersebut.
Ads
Satu kepuasan dan kegembiraan pada beliau apabila melihat pemancing secara beramai-ramai memancing dengan santai dan mesra di kolamnya.
Majlis rumah terbuka, memancing dan pemberian duit raya itu ternyata mendapat sambutan meriah dari pemancing tetap kolam, pemancing setempat dan jauh, juga pemancing yang baru pertama kali menjejakkan kaki.
Biarpun dikunjungi ramai pemancing namun suasana atau sesi memancing berlangsung dengan selesa dan mesra.
Ads
Bagi kebanyakan pemancing yang hadir, kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk berkenalan antara satu sama lain serta mengeratkan silaturahim.
Ia turut memberi peluang kepada pemancing memperkenalkan kelab memancing yang mereka naungi. Sementara pengusaha umpan memancing pula tidak melepaskan peluang mempromosi produk yang ditawarkan.
GALERI
Wak Sani menyampaikan duit raya
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Di sini, saya dapat merasai sendiri pengalaman pertama menangkap ketam menggunakan bento ini. Tidaklah sesukar mana rupanya untuk mengendalikan bento ini.
Hanya menggunakan isi ikan atau ayam sebagai umpan dan meletakkan ke dalam bento tersebut.
Kemudiannya, bento itu dilepaskan di dasar Sungai Gading selama kira-kira 30 minit sebelum kami kembali semula untuk memungut hasil.
Sementara menunggu waktu untuk memungut ketam, saya dibawa menyusuri sepanjang sungai untuk melihat sendiri suasana hutan paya bakau yang begitu menenangkan.
Saya turut diperjelaskan, bahawa kawasan hutan bakau di sini merupakan habitat pelbagai burung migrasi.
Selain itu, kami turut bertembung dengan beberapa kumpulan pemancing yang sedang memancing di sini.
Menurut mereka, sungai ini juga menjadi antara spot terbaik untuk memancing siakap putih, siakap merah, kerapu, semilang dan pelbagai spesies lagi.
Setelah seketika menyusuri sungai yang dikelilingi pokok bakau ini, saya kembali semula ke tempat pelepasan bubu untuk melihat hasil tangkapan.
Saya diberi peluang merasai sendiri pengalaman menaikkan bento ketam ke dalam bot.
Bagaikan membuka kotak hadiah misteri, tali ditarik perlahan-lahan untuk mendaratkan bento. Bubu yang pada mulanya kosong berjaya memerangkap seekor ketam nipah yang bersaiz besar dan sedikit agresif.
Pengalaman manis
Setibanya di jeti, saya diajar teknik mudah untuk mengikat ketam yang ditangkap menggunakan tali rafia bagi mengelakkan terkena penangan sepitan ketam ini.
Ketam yang ditangkap boleh hidup di darat dalam jangka masa yang lama kerana kerana mempunyai satu ruang yang mengandungi sedikit air pada insangnya yang boleh ditutup untuk membantu pernafasannya.
Seusai misi pencarian, saya dibawa untuk menjamu selera dengan masakan kampung yang amat menyelerakan.
Asam pedas resipi asli, kangkung goreng belacan, sambal, ketam dan udang, apa lagi yang ditunggu, kami makan dengan berselera. Memang lazat!
Sememangnya, aktiviti sebegini memberi pengalaman baru terutamanya buat anak-anak muda untuk merasai suasana sebenar masyarakat nelayan serta menghargai eko sistem alam semula jadi.
Tambahan pula, sedikit ilmu dapat dibawa pulang dimana pengalaman menangkap ketam menggunakan bento merupakan suatu aktiviti yang amat menyeronokkan.
Jelaslah, Kampung Sungai Melayu ini boleh diketengahkan untuk menjadi salah satu lokasi eko-pelancongan yang popular di masa hadapan.
Saya dikhabarkan akan ada lebih banyak homestay akan dibina di kampung ini khusus untuk menaikkan industri pelancongan di kawasan ini.
Diharapkan dengan usaha berterusan ini akan mampu menarik lebih ramai pelancong, khususnya kaki pancing untuk bertandang dan merasai pengalaman menjadi nelayan sehari di sini.
Selain crab netting, Kampung Sungai Melayu turut terkenal dengan aktiviti sungai seperti menangkap kupang, ikan dan udang.
Kulit kupang turut dijadikan sebagai salah satu produk kraftangan oleh masyarakat tempatan.
Selain itu, pelancong turut dapat melihat sendiri rutin kehidupan penduduk dan perusahaan kecil seperti pembuatan belacan.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Empat orang pemancing menyusuri kuala sungai cetek memulakan coretan dan pengalaman rutin memancing di kawasan paloh kapal.
Dari pengkalan Sementa, Klang kami menuju ke arah matahari terbenam sebaik sahaja keluar dari muara pulau pintu gedung.
Sudah lumrah menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat kerana arus dan arah angin bertentangan.
Alun semakin reda apabila mula memasuki tengah selat yang sibuk dalam di kawasan laluan kapal dagang.
Menyedari kekurangan umpan yang kami bawa, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Klang merupakan persinggahan sementara untuk apollo anak ikan.
Bila musim sotong kurita sukar, apollo ikan adalah kemestian mencari umpan alternatif.
Bila dah lenguh tangan mengarau pancing dalam sesi mencari umpan, barulah perkataan `jom umpan dah cukup’, keluar dari mulut.
Sampan yang dinaiki milik Kapten Khairi mudah membelah alun menuju ke lubang yang kami jumpai dalam trip pertama sebelumnya.
Perjalanan memakan masa 20 minit pada kelajuan 26 knots dari arah koordinat boya merah. Kedudukannya agak selamat dari laluan utama kapal dagang.
Kali ini mengulangi episod sebelum ia diketahui oleh pemancing lain. Lumrahnya bila ada lubuk potensi ramai yang mengintai untuk diterjah saban minggu.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan membaca pergerakan arus, kemudian sampan akan digerakan di hadapan selari dengan kedudukan lubuk yang di tandakan.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki, kapal kontena dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Kapten Khairi memilih untuk berhanyut di sebelah atas lubang mengikuti arus yang ketika itu sedang surut. Beliau akan memberi signal apabila kami mula memasuki kawasan dasar berlopak tersebut. Perlahan atau cepat memasuki zon strike bergantung kepada halaju sampan berhanyut.
Yang penting ialah umpan dipastikan sentiasa berada hampir dengan dasar ketika berhanyut, jangan gantung ladung terlalu tinggi.
Ketika arus laju, ikan biasanya mendiami kawasan berlopak dan lubuk untuk berlindung daripada pergerakan arus.
Bayangkan jika mula berhanyut pada kedalaman 100 kaki kemudian masuk lopak ikan sedalam 160 kaki, pemancing yang leka tidak menyedari umpannya tergantung 60 kaki
dari dasar, sebab itu ada pemancing yang memperoleh GT, talang dan aruan tasik ketika berhanyut. Ada juga spesies ini menjamah umpan yang terseret pada dasar selat.
Dalam masa 20 minit umpan ikan yang diperoleh di boya merah semuanya laku kecuali anak ikan pelata sahaja yang masih bertahan berenang di dalam petak umpan.
Tiga jenis umpan yang kami gunakan hari itu, iaitu kurita oleh Sarjan Omar Dan Sarjan Leman, pelata hidup oleh Kapten Khairi dan penulis sendiri memilih menggunakan tamban apollo yang dah kaku.
Empat joran dilabuhkan ke dasar mengikut turutan agar tali pancing tidak bertindih antara satu dengan lain. Selesai proses menurunkan pancing kami semua dalam mood bersedia.
Sambil pada itu Kapten Khairi turut melepaskan umpan pelata hidup hanyut di belakang sampan.
Ketika berhanyut Kapten Khairi akan bertindak seperti kapten kapal terbang, sering memberitahu kedudukan dan kedalaman semasa supaya kami tidak terleka membiarkan umpan tergantung.
Bila semakin hampir dengan spot yang di tandakan, lebih kuat suara kapten memberitahu supaya bersiap sedia… dah nak terjah lubuk katanya.
Tabiat ikan berkait dengan hala tuju arus, ada masa ia makan ketika betul-betul masuk lubuk dalam, ada masa ia makan di tubir lubuk dan kadang kala ia makan sewaktu umpan mula melepasi lubuk.
Sukar juga untuk membaca perangai ikan di dasar. Tak kisah kat mana ia merembat umpan yang penting ialah tahu di kawasan mana ia berada.
Bila mula memasuki lubuk merah, kami masing-masing hulurkan tali berterusan sehingga ladung mencecah dasar. Sedetik ia mula menuruni lopak dari 100 kaki ke 150 kaki, terasa umpan penulis disergah ikan.
Biarkan saja seketika sambil terus memberi tali agar ikan terus terleka umpan di mulutnya. Terhenti hulur tali mula menegang kembali, serentak itu baru joran melentur.
Buka satu, tapi tiga serentak. Dua kali balas dan belum sempat karau tali sudah muntah keluar. Usaha memujuk ikan mengikut berhasil apabila merah pertama muncul di permukaan dan diikuti ikan merah kedua dan ketiga.
Melepasi lubuk pertama, kapten berpatah balik mengulangi laluan yang sama. Pusingan kedua pula kami mengena dua strike tapi ikan nampaknya lebih bernasib baik di mana perambut putus dan satu lagi terlucut. Pantang terlepas, ikan terus hilang ketika kami membuat pusingan ketiga.
Lama juga menanti strike berikutnya selepas hilang merah di lopak pertama. Kami terus berhanyut santai menanti umpan menerjah ke lopak-lopak berikutnya.
Semuanya sunyi, kemudian joran kapten berumpan pelata hidup hanyutkan mengena pula. Jadilah tiada bawah atas pula memberi kepuasan.
Kemudian kami beredar menuju satu lagi boya di tengah Paloh 3 mencari umpan hidup berikutan umpan hidup sudah kehabisan.
Yang tinggal hanyalah umpan kaku dan pudar kilauan sisiknya. Semasa berlabuh di boya sempat lagi kami memancing ikan talang menggunakan ikan anak selar yang kami apollo.
Puas juga melayan talang memandangkan umpan yang dilabuhkan di dasar tidak menerima sambutan.
Sebelah petang banyak masa kami habiskan menjajah lubuk-lubuk lama yang tiada penghuni. Kalau dah saban minggu dikunjungi tentu lubuk berkenaan sudah diangkut penghuninya oleh pemancing-pemancing yang bertali arus.
Cuma harapan ikan yang baru sahaja yang akan bertandang mendiami lubuk yang sepi. Persoalannya bila dan waktunya siapa pun tidak tahu.
Spot jigging sudah terbentang di hadapan mata. Masing-masing tidak sabar lagi nak beraksi. Dasarnya yang dalam sehingga 300 meter membuatkan kami lebih bersedia dengan pelbagai jenis jig. Set berat dikeluarkan untuk mengunjun besi jig seberat 250 gram hingga 350 gram.
Saya hanya menggunakan jig Runaway 270 gram kerana faktor stamina yang kurang memberangsangkan. Kebanyakan jigger yang bertandang ke sini sudah pasti melakukan latihan keras atau sekurang-kurangnya masuk ke gimnasium untuk persiapan memperkemas otot-otot lengan, bahu dan pinggang.
Jika terserempak dengan kawanan burung menjunam ke permukaan air maka tekong sudah pasti akan berhenti dan menduga apa yang terdapat di situ. Apa yang pasti tuna-tuna berlegar di bawah permukaan air sambil mengejar anak-anak sardin. Ketika inilah peluang perlu dimanfaatkan dengan menghulurkan besi jig.
Melihat Somchok menggunakan set sederhana kami kembali teruja. Masing-masing menyimpan set aksi berat dan menukar kepada set aksi sederhana untuk membuat perhitungan. Saya hanya menggunakan kekili Shimano Stella 8000SW dan joran Expert p.e 3-5 sahaja untuk melayan skipjack dan baby yellow fin tuna.
Masing-masing mempraktikan pelbagai jenis variasi jigging laju, perlahan, lembut dan campuran. Sebagai orang baru kita kena cuba apa sahaja teknik. Jangan malu belajar dan bertanya, apa yang penting mencuba dan terus mencuba tanpa jemu pasti kejayaan akan menjelma.
Selesai minum petang kami berpindah lubuk untuk meneruskan aksi jigging. Entah lubuk mana entah yang tekong singgah. Ketika senja inilah tuna semakin galak mengejar besi jig yang di unjun secara mendatar. Para jigger terpaksa melontar jauh jig masing-masing dan dibiarkan sedikit tenggelam lalu dijig dengan laju. Jigging ketika senja ini lebih memberangsangkan. Kali ini lebih rancak, tekong dan awak-awak turut jigging sama.
Di sinilah kami berjaya menewaskan beberapa ekor yellow fin tuna dan dogtooth tuna. Spesies malam juga mengancam. Selain tuna, lubuk ini dihuni juga ruby snapper dan kakap merah. Azuan dan Zulkefly lebih bernasib baik dengan hasil jigging masing-masing.
Berkat kesabaran, berjaya juga yang lain-lainnya dengan spesies yang sama di samping yellow fin tuna. Tak sangka pula red bass juga membaham jig milik saya. Masing-masing dapat merasakan sendiri pertarungan tanpa henti yang membuatkan kami tidak lena tidur sehingga ke pagi.
SPOT JIGGING RINGAN
Suatu ketika tekong sempat singgah di karang bergunung yang kedalamannya hanya sekitar 100 meter. Inilah masanya nak praktikkan pelbagai jenis variasi jigging menggunakan tengkorak besi dan juga crystal ball. Daripada yang mahal dan berkualiti seperti Duel hinggalah yang agak ekonomi keluaran Eupro. Manakala yang murah seperti Sure Catch dan Hinomiya juga tidak kurang hebatnya.
Acara jigging ringan di sini boleh dikatakan sesi bersantai setelah lebih berjigging berat. Selain itu, inilah masanya untuk mencuba produk-produk terbaru di pasaran. Sebenarnya kitalah merupakan ’tester’ tidak bertauliah yang banyak memberi manfaat kepada pemancing-pemancing baru.
Kami mempraktikkan teknik popular di sini dengan menurunkannya ke dasar lalu di unjun sedikit demi sedikit dengan aksi perlahan. Kadangkala ia diunjun-unjun setempat tanpa mengarau tali. Tengkorak besi ini akan terlompat-lompat seperti seekor sotong kurita kecil yang sedang berenang. Aksinya yang semula jadi akan membuatkan mangsa lebih geram.
Spesies karang seperti kerapu bara dan kerapu pisang sudah tentu akan menyerang hendap apabila jig ini melintas di hadapan mata. Satu lagi teknik yang berkesan dengan membuat lontaran jauh melepasi kawasan karang. Kemudian dikarau perlahan secara mengenjut-enjut agar ia kelihatan seperti terlompat-lompat melalui kawasan dasar batu karang.
Lontaran dilakukan berulang-ulang kali tanpa jemu dan pelbagai arah untuk menarik sang kerapu keluar dari tempat persembunyiannya. Kami lakukan secara beramai-ramai agar penghuni di dasar lebih teruja.
Hasil usaha mencuba dan mencuba, akhirnya berbaloi juga dengan tertumpasnya kerapu bara, kerapu chonoh dan kerapu pisang. Selain itu, spesies karang yang lain juga sudi membaham jig-jig kami yang pelbagai. Sehinggakan red bass turut sama tergoda lalu mengejar jig tanpa henti.
Suatu ketika ikan-ikan karang seperti jebong dan barat-barat banyak membuat kacau. Selain itu terdapat pelbagai spesies pelik yang geram dengan jig tengkorak besi ini seperti moonfish, merah duri dan tidak ketinggalan, ular ginjal (eel)!
LUBUK RUBY DAN KERTANG
Kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 160lb untuk menahan asakan ruby snapper. Setelah kedudukan bot betul-betul di atas spot yang tepat, pesta pun bermula. Ruby snapper mula menyerang. Semua peserta sibuk melayan asakan si merah ini walaupun cuaca panas terik.
Setiap pemancing berupaya menaikkan dua ekor sekali gus. Itu yang membuatkan awak-awak tak menang tangan menggancu ikan. Rata-rata ruby snapper berskala 10-12 kg berjaya didaratkan. Di samping itu, ada juga kerisi bali pelbagai saiz yang mencuri umpan kami. Masing-masing tersenyum apabila hasil tangkapan memenuhi tong merah besar.
Lubuk terakhir kami ialah lubuk kertang hitam. Tekong menyarankan kami menggunakan perambut sekurang-kurangnya 180-200 lb jika tidak mahu tewas lagi. Sebenarnya kami sudah bersedia dengan perambut mono tebal sebegitu. Tak perlu tunggu lama.
Sebaik sahaja umpan tongkol mencecah dasar pastinya ada ragutan kasar dari bawah. Rata-rata kertang hitam berskala 30-40 kg menjadi milik kami. Kedalaman 200 hingga 300 meter memerlukan kekili elektrik, rod heavy, mata kail kasar dan batu ladung berat.
Kekili elektrik perlu bekerja lebih keras. Kekili Tanacom Bull dan Command X sudah memadai untuk misi di sini. Menurut tekong, terdapat juga kertang hitam dianggarkan lebih 100 kg yang menghuni lubuk ini. Jika persiapan yang rapi dilakukan tidak mustahil hasil akan lebih lumayan.
Kata bijak pandai, wang bukan menjadi ukuran. Kepuasan peribadi lebih menjadi keutamaan. Bercuti bersama-sama rakan memang menyeronokkan di samping mengeratkan lagi tali persahabatan setelah penat bekerja siang dan malam. Sikap bertolak ansur dan happy go lucky yang ada pada kumpulan ini membuatkan trip-trip yang dianjurkan menjadi lebih ceria.
Tambahan pula hasil tangkapan dibahagikan sama rata maka tidak timbul masalah perebutan tempat memancing di dalam bot. Sebenarnya terdapat banyak faktor yang menyebabkan kumpulan saya tidak melepaskan peluang setiap tahun berkunjung ke sini. Di samping spesies dasarnya yang bersepah, kekuatan tarikan tuna yang hebat menyebabkan masing-masing sentiasa hendak datang lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...