Tenggiri Challenge 2018 merupakan program memancing anjuran Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kolaborasi Taufik Emas Sport Fishing.
Pertandingan yang menyasarkan ikan tenggiri sebagai ikan trofi melalui teknik pancingan jigging ini merupakan kesinambungan dari program pertama yang telah dilangsungkan pada tahun lalu.
Program kali kedua ini telah diadakan pada 14-15 September 2018 di perairan Pulau Kapas, Marang.
Kejohanan kali ini berjaya menarik penyertaan seramai 150 orang peserta termasuk tekong dan melibatkan 25 buah bot.
Menurut jurucakap Taufik Emas Sport Fishing, dengan adanya Terengganu Tenggiri Challenge 2018 ini, bearlah harapan ia dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama
pemancing (jiggers) di seluruh Malaysia. Ini terbukti berikutan para peserta bukannya datang kawasan setempat sahaja bahkan dari seluruh negeri.
Pada sama yang objektif program untuk mengumpul para pecinta teknik jigging dan memperkenalkan potensi perairan Pulau Kapas berhasil dan para peserta dapat berkongsi pengalaman serta teknik pancingan masing-masing.
“Terima kasih diucapkan kepada pihak Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu & Beautiful Terengganu Malaysia, peserta-peserta pertandingan, penaja-penaja pertandingan, AJK, dan semua yang terlibat untuk menjayakan program Terengganu Tenggiri Challenge 2018.”
“Alhamdulillah program ini berjalan dengan lancar. Pihak penganjur menyusun sepuluh jari memohon maaf di atas kekurangan yang ada sepanjang program ini dijalankan.
Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk kita berjumpa lagi di edisi akan datang.”
Ads
Begitulah harapan pihak penganjur dalam sesi majlis penyampaian hadiah yang dilangsungkan di Ombak Kapas Island Beach Resort.
Saya sering perhatikan mata kail dan apollo yang tidak digunakan selalunya disangkut di merata-rata tempat sama ada pagar kelong, tiang, dinding mahupun tempat duduk di kelong. Perbuatan kurang bertanggungjawab ini mampu mengundang kecederaan terutamanya jika ada kanak-kanak di atas kelong.
Sampah sarap pula dibiar bertaburan yang kemudiannya akan jatuh ke laut di tiup angin. Sampah ini akan hanyut ke pesisir pantai atau pintu muara dan mengotori pemandangan di sana. Walaupun pihak kelong ada menyediakan plastik sampah namun tidak ramai pemancing yang mahu menggunakannya.
Perairan Lukut sebagai contoh merupakan kawasan laluan dan cari makan bagi penyu dari spesies karah. Sekiranya bernasib baik, kita akan dapat melihat sang penyu berenang di sekitar kelong. Jadi plastik sampah yang dihanyutkan tadi mungkin boleh mengundang bahaya kepada spesies ini.
Plastik yang hanyut akan kelihatan seperti obor-obor, antara makanan utama penyu dan sekiranya termakan, sang penyu akan mati tercekik. Jadi sedar atau tidak kita menjadi penyumbang kepada pembunuhan penyu.
Selang beberapa bulan sebelum trip ini, kami ada merancang untuk memancing ke sebelah timur semenanjung untuk melampiaskan nafsu memancing yang semakin bergelora. Namun hajat dan gejolak nafsu ini terpaksa kami batalkan kerana padang pancing yang diidamkan untuk kami turun bertarung masih lagi bergelora.
Monsun barat daya masih menghasilkan lambungan ombak setinggi dua hingga tiga meter. Kadar ketinggian yang mampu membuatkan si pemancing diam terkedu pening tanpa mampu memancing. Maka perairan sebelah barat semenanjung lah yang menjadi pilihan kami.
Lokasi pilihan
Pulau jarak merupakan lokasi yang menjadi impian ramai pemancing baik baru mahu pun yang lama untuk menguji peralatan, skil dan teknik pemancingan terkini. Di pulau jarak ini jugalah ramai pemancing tumbang dek kekurangan skil namun ada juga yang terus ketagihan kerana ‘tersampuk’ listrik dari kekuatan tenaga ikan-ikan ‘big game’ yang bermastautin di perairan ini.
Pulau ini tidak mempunyai sebarang pantai. Ia lebih kepada dinding-dinding batu granit vetikal yang menganjur ke lantai laut. Ini menjadikan lokasi ini lokasi yang ideal untuk pembiakan plankton, batu-batu karang lalu menjadi rumah yang sesuai untuk banyak spesies ikan. Malah ia menjadi lokasi yang cantik untuk penyelam datang menyelam dan menyingkap rahsia isi kandung laut di perairan jarak ini.
Empat orang pemancing berkumpul di kuala lumpur pada petang 11 januari lalu bagi merealisasikan impian dan meleraikan ketagihan memancing yang sudah beberapa bulan tidak bertarung dengan spesies rakus di pulau jarak. Bob, dan panglima ghaib merupakan pemancing yang pernah dan juga agak kerap turun ke sini untuk memancing. Manakala Mahfudz dan Bernard yang masih baru dalam arena jigging, ingin mencuba nasib di perairan ini.
Gelora gigil
Jam 6.45 pagi, suara garang enjin menderum menandakan bot sudah sedia untuk berlepas ke lokasi. Cuaca yang cantik terzahir pada langit yang membiru terang dan deruan angin yang berhembus selesa lalu menambahkan ‘gelora gigil’ tangan masing-masing. Perjalanan ke pulau jarak yang mengambil masa satu jam tiga puluh minit dirasakan sekejap kerana ombak tidaklah begitu tinggi. Keadaan ini cukup selesa buat kami menuju ke lokasi tanpa banyak perlu bot menghempas ombak.
Lokasi yang menjadi sasaran kami adalah kawasan yang mempunyai tunggul-tunggul karang atau struktur bukit laut. Satu lokasi yang mempunyai struktur yang menganjur naik dari lantai laut yang membentuk bukit-bukit kecil di dasar laut. Kawasan ini sangat subur dari segi jumlah batu-batu karang dan tumbuhan laut yang lain.
Teknik pilihan
Teknik jigging sambil berhanyut pada jarak sekitar antara 60 meter hingga 100 meter dari kawasan bukit dasar laut merupakan teknik pilihan atas nasihat tekong abang lan. Matahari yang cukup terik menemankan kami di geladak bot dimana masing-masing berdiri berposisi untuk jigging. Peralatan ‘light-jigging’ sudah lama tersedia sejak dari dalam perjalanan ke sini tadi.
Daripada bacaan radar ‘echo-sounder’ yang terpasang di bot, kedalaman di padang pancing ini adalah sekitar antara 50 meter sehingga 90 meter. Agak dalam juga perairan ini dan peralatan yang menjadi pilihan untuk ‘bermain’ disini antaranya dari siri pe1 sehingga pe4. Kekili yang dipilih untuk bertarung terdiri dari siri 4000 hingga 6000 berserta tali sulam antara pe2 hingga pe4. Perambut yang mampu bertahan di sini adalah dari skala 50lb hingga 70lb.
Kepingan besi jig hampir kesemuanya mempunyai berat di antara 150 gram sehingga 180 gram digunakan. Ini kerana arus yang agak laju mampu ‘melayangkan’ atau ‘mengapungkan’ gewang jig jika berat yang digunakan berskala 100gm ke bawah.
Jig-jig yang banyak menjadi pilihan di sini adalah terdiri dari yang berprofil gemuk dan pendek (leaf type), jig madai dan warna yang memang ‘hit’ ketika itu ialah yang berwarna biru dan mempunyai adunan warna putih dan perak. Jig jenis ini sangat sesuai dimainkan di separa air dengan kelajuan yang sekata dan mempunyai renangan ‘vertikal’ dan ‘horizontal’ yang cantik dari lantai ke permukaan air.
Bila jig jadi tukun
Bagi mahfudz yang baru lagi berjinak dengan arena jigging ini, teknik menghanyut masih lagi asing baginya. Beberapa keping jig menjadi makanan karang. Hanyutan jig yang terlalu hampir pada lantai laut membuatkan kepingan jig kerap tersangkut pada tunggul karang.
Dalam kelekaan meleraikan kekusutan fikiran angkara batu karang yang membaham jig, joran xzoga bertuankan Bernard melendut keras. Laluan diberi kepada bernard dengan semua kawan-kawan serta merta menggulung tali masing-masing. Laluan kini terbentang luas untuk bernard yang pertama kali memancing di perairan ini. Senyum dalam terpaksa buat bernard kerana hentakan ikan di bawah semakin meruntun jiwa.
Tangan semakin sakit, pinggang semakin keras. Duduk yang selesa tadi kini sudah menjadi tidak keruan. Selepas 15 minit bertarung, akhirnya ikan menyerah kalah. Gerepoh (giant trevally) berskala hampir 11kg tersadai di pangkuan bernard.
Selepas itu, kekili abang lan pula menjerit nyaring. Dengan belasan tahun pengalaman memancing di laut, jenahak 2kg tidak langsung menjadi masalah langsung buat abang lan. Hanya beberapa minit diperlukan untuk mendaratkan ikan tersebut. Usai jenahak didaratkan, sekali lagi gerepoh membaham jig. Kali ini joran panglima ghaib melentur dengan disertakan dengan larian yang agak kuat dari pemangsa di bawah bot. Gerepoh berskala 4kg melarikan jig 150gm yang menjadi pilihan untuk mengunjun di perairan jarak kali ini.
Karen pemancing baru
Selesai sahaja bergambar dengan spesies tangkapan yang kuat melawan ini, giliran bob pula beraksi. Rod poseidon ‘spin jerker’ pe2.5 yang dipadankan dengan kekili daiwa saltiga z4500 kini mengambil bahagian beraksi di kala air mula mahu beralih dari surut kepada bunga pasang.
Joran poseidon yang berkekuatan pe2.5 ini cukup cantik beraksi dengan mudah menumpaskan seekor lagi ikan gerepoh (giant trevally) yang dianggarkan seberat 5kg. Bernard yang sedari tadi hanya memerhati dan membantu, kini turut beraksi sekali lagi hanya beberapa minit selepas bob melepaskan ikan gerepoh tadi. Tiada masalah bagi bernard kerana kali ini ikan gerepoh yang didaratkan hanyalah seberat 6kg, namun ia tidak mudah mengalah. Ini membuatkan bernard berjanji akan ke sini lagi bila ada peluang. Dah kena ‘karen’ la tuu…
Menjelang jam 3 petang, jig dihulurkan panglima ghaib disambar kasar penghuni dasar. Tali beberapa kali mencurah keluar dari kekili saltiga game 3500. Jig tersebut disambut di pertengahan air maka tidak syak lagi, mangsa pasti gerepoh bersaiz kasar. Pertarungan selama 15 minit akhirnya berpihak ke panglima ghaib yang tersenyum menaikkan gerepoh seberat 12kg.
Seketika kemudian, joran mahfudz pula direnggut kasar dan beberapa sentapan padu dilakukan untuk memastikan tancapan kemas mata kail, akan tetapi permainan hanya berlangsung beberapa saat. Diam seketika. 5 minit berlalu tanpa aksi dan gewang jig ini dirasakan telah tersangkut di karang.
Namun setelah dinasihatkan oleh abang lan, mahfudz hanya sabar menanti dan cuba merentap tali pada kekili avet jx 6/3 miliknya, dan kedapatan satu larian ke atas membuatkan mahfudz sedikit kaget. Rupanya gewang jig tadi ditelan oleh seekor kerapu yang cukup cantik.
Sesudah beberapa hanyutan terakhir dilakukan, akhirnya sekali lagi jig mahfudz bersambut kasar, mahfudz menyentap kemas dan cuba mengangkat tinggi joran dari posisi jigging yang normal dan terasa joran dihentak kasar membenam ke dasar. Hanya 6 minit sahaja diperlukan untuk mengarau seekor jenahak montel berskala 3kg ke atas bot. Mahfudz tersandar lega. Muka ada senyumm..!
Itulah ikan terakhir dalam trip ‘balik hari’ kali ini. Ini merupakan satu kejayaan pendek bagi pemancing baru seperti bernard dan mahfudz, sehinggakan mahfudz terlupa seketika dengan set pancing layang yang baru dibelinya.
Cuaca yang sangat lenang sejak kami tiba awal petang menambahkan lagi kekuatan untuk mengatur strategi sebelah malam. Kaki pancing dasar di hadapan bot manakala team jigging pula mengambil tempat di kedudukan belakang bot.
Mungkin cuaca yang tenang membuatkan arus senak, bila keadaan begini berlaku, ikan pula enggan membuka mulut. Di hujung malam tidak banyak saiz ikan kasar yang ditemui. Di separuh malam satu joran dan reel kesayangan terjun ke laut disambar ikan.
Kebetulan joran tersebut tidak diikat pada bot. Hanya satu sahaja serangan ikan yang benar-benar menguji kekuatan bangla apabila 3 orang pemancing tidak berdaya menahan asakan berterusan sebelum ia hilang bersama perambut.
HARI KEDUA
Pagi hari kedua, kami masih lagi berlabuh di lokasi yang sama. Ketika kaki jigging masih lagi mendapatkan rehat yang secukupnya di kabin, geng pancing dasar mengambil alih kedudukan termasuk tekong kami.
Menyedari banyak perambut tersangkut apabila teknik perambut 3 depa bersama tanduk tidak begitu sesuai dengan kedudukan karang tinggi terlalu hampir dengan bot kami, menyebabkan ramai kehilangan perambut termasuk tanduk sekali.
Bangkai bot yang berkarang tinggi yang tidak menentu dibantu kedudukan bot sering berubah menyukarkan sukatan untuk melabuhkan umpan. Atas dasar ini umpan terpaksa digantung lebih tinggi supaya ia tidak sama paras dengan rimbunan karang di bahagian dasar.
Masa untuk beraksi bermula setelah beberapa ekor selayang disambar ikan cermin purata saiz purata sekilo. Boleh tahan juga ikan cermin yang rakus dengan umpan selayang hidup pada awal pagi. Kebetulan tempat yang sama terdapat anak ikan yang dipancing menggunakan set apollo. Bekalan umpan hidup sentiasa cukup untuk sesi pancing pagi tersebut.
Ikan cermin hanya datang meronda sesekali di kawasan tempat kami berlabuh umpan sebab itu serangan kumpulan cermin tidak berterusan. Sekejap makan kemudian hilang dan datang semula. Mata kail saiz 3/0 sebentuk diikat pada perambut 50lb sudah mampu bertahan dari asakan cermin. Dalam masa yang sama, perambut yang putus juga agak banyak kerana alu-alu banyak mengikuti pergerakan umpan kami.
Ketika yang lain fokus melayan ikan cermin, set pancing Suhaidi pula mengena seekor ikan jenahak yang menelan sotong kurita yang dibeli dari Tanjung Karang. Sotong yang sama juga berjaya mengena beberapa ekor ebek. Melihat kehadiran ebek, geng jigging tidak senang duduk.
Ketulan jig kecil dilontar ke air bertujuan untuk memikat ebek. Dalam usaha yang berterusan hanya seekor sahaja ebek diperdaya dengan teknik jigging. Pada masa yang sama jig yang dilayan perlahan di kawasan dasar menemui sentuhan kecundang apabila sebaik sahaja jig diligan, ikan terus membuat larian tanpa menoleh ke belakang lagi.
Pemancing di atas terpinga-pinga menanti bila ikan nak buat pusingan ‘U’. Belum sempat ‘U’, tali dalam gelendong kekili sudah habis.
DOMINASI TEKNIK DASAR
Petang hari selepas melakukan aktiviti apollo untuk stok umpan segar, tekong mengesyorkan kami untuk berpindah ke cabang saluran gas (pipeline) di sebelah selatan Tenggol. Saranan dituruti sahaja kerana misi kini beralih kepada ikan merah.
Apabila bot berlabuh, arus adalah dua kali ganda laju berbanding malam semalam. Ada sedikit harapan. Yang berjigging pula mengeluh kerana terpaksa menukar kepada jig yang lebih berat. Jig bersaiz kecil dan ringan semuanya hanyut jauh ke belakang. Itu pun ada juga yang sanggup layan jig. Bila lagi kata mereka nak guna jig yang dibeli sebelum trip!
Secara keseluruhan malam kedua akhirnya memihak kepada geng dasar dengan beberapa ekor ibu kerisi bersaiz sedang, tambak dan jahan yang akhirnya mendominasi tangkapan terberat dalam misi kali ini. Merah yang dicari hanya seekor sahaja berjaya ditundukkan, sekadar cukup satu hidangan saiznya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...