Saya sering perhatikan mata kail dan apollo yang tidak digunakan selalunya disangkut di merata-rata tempat sama ada pagar kelong, tiang, dinding mahupun tempat duduk di kelong. Perbuatan kurang bertanggungjawab ini mampu mengundang kecederaan terutamanya jika ada kanak-kanak di atas kelong.
Ads
Sampah sarap pula dibiar bertaburan yang kemudiannya akan jatuh ke laut di tiup angin. Sampah ini akan hanyut ke pesisir pantai atau pintu muara dan mengotori pemandangan di sana. Walaupun pihak kelong ada menyediakan plastik sampah namun tidak ramai pemancing yang mahu menggunakannya.
Perairan Lukut sebagai contoh merupakan kawasan laluan dan cari makan bagi penyu dari spesies karah. Sekiranya bernasib baik, kita akan dapat melihat sang penyu berenang di sekitar kelong. Jadi plastik sampah yang dihanyutkan tadi mungkin boleh mengundang bahaya kepada spesies ini.
Ads
Plastik yang hanyut akan kelihatan seperti obor-obor, antara makanan utama penyu dan sekiranya termakan, sang penyu akan mati tercekik. Jadi sedar atau tidak kita menjadi penyumbang kepada pembunuhan penyu.
“Belida di tali air? Biar betul ni?” Itulah antara hasil perbualan dengan sahabat baik saya baru-baru ini. Bagaikan tidak percaya ikan pemangsa ini boleh berada di tali air. Tetapi itulah hakikat sebenar di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah.
Mendengar sahaja perkhabaran ini, saya terus merancang untuk mengadakan trip memancing di sana. Iyelah, bukannya senang nak mendengar berita yang belida menghuni di tali air. Oleh sebab ini saya berasa sungguh teruja hendak ke sana. Apatah lagi member asyik Whatsapp gambar-gambar belida yang berjaya dinaikkan di sana. Hati siapa yang tak terbakar.
Kunjungan saya di Tikam Batu disambut gembira oleh Addin, sahabat saya dan keluarganya. Bagaikan menyambut ketibaan VVIP pula rasanya. Hati pula semakin berkobar-kobar hendak memancing apabila makan tengah hari pada hari itu di sajikan dengan hidangan ikan belida goreng.
Nak diklasifikasi ikan belida ini sebagai spesies yang enak dimakan itu memanglah jauh sekali. Iyelah, dengan tulang yang banyak dan isi yang tawar ia bukanlah suatu pilihan utama di meja makan. Namun begitu, apabila ia dihidangkan panas-panas, ditambah pula dengan ulam-ulaman dan sambal belacan sesiapa saja pun boleh terliur!
Setelah berehat sehari, keesokan paginya awal-awal lagi saya mengatur misi memancing belida. Misi mencari belida disertai Addin, Hasmida dan ahli keluarganya. Sebelum menuju ke lokasi ban yang pertama, kami terlebih dahulu mencari umpan yang dikatakan amat efektif untuk belida di sini iaitu anak ikan seluang. Rupanya begitu mudah mendapatkan anak ikan seluang di sini. Hanya perlu gunakan penyauk dan sauk sahaja di tepi-tepi rumput di tepi tali air yang ada di sini.
BAN KAMPUNG POKOK KABU
Sebelum keluar memancing pagi ini, saya sempatlah meminta tip memancing belida daripada Pak Hassan iaitu bapa kepada Hasmida. Menurut Pak Hassan, untuk memancing belida di sini, perlu gunakan mata kail bersaiz kecil.
Jika menggunakan mata kail yang lebih besar, langsung tidak mahu dijamahnya.Tambahnya lagi, teknik yang biasa digunakan adalah bottom ataupun menggunakan pelampung. Kedua-dua teknik ini memang berkesan dipraktikkan di sini.
“Waktu yang terbaik untuk memancing belida di sini adalah pada awal pagi, lewat petang dan pada sebelah malam,” katanya.
Lokasi pertama kami pagi ini ialah di Ban Kampung Pokok Kabu. Lokasi ini dikatakan antara spot terbaik menjerat belida. Jelas Hasmida, di sinilah kawasan yang menyambungkan air dari Sungai Muda ke ban-ban yang ada di sekitar Tikam Batu ini.
BELIDA PERTAMA
Pada awal kedatangan kami lagi kami sudah disambut meriah penghuni ban ini. Mana tidaknya, kami disajikan dengan satu persatu kocakan air yang menandakan ikan sedang aktif di sini. Tanpa membuang masa, kami terus mempersiapkan peralatan memancing kami.
Setelah melabuhkan umpan, kami terus dengan sabar menunggu ikan menjamah umpan. Belum pun 10 minit menunggu, umpan telah disambar. Namun nasib tidak menyebelahi kerana spesies yang dipercayai belida itu bijak melarikan umpan anak seluang yang dihulurkan.
Tidak lama selepas itu satu persatu joran disentuh sang ikan. Namun, kejadian sama masih berulang, iaitu ikan lebih pantas melarikan umpan. Tertanya-tanya juga di mana silapnya? Namun, kami tetap tidak berputus asa.
Menjelang 10 pagi kami dikejutkan oleh jeritan Nana, anak Pak Hassan yang memancing berhampiran jambatan. Meliuk lentuk rod teleskopik yang kerap digunakan untuk mengail ikan puyu ditarik sang belida. Pak Hassan yang ada berhampiran tampil memberikan bantuan. Akhirnya tewas seekor belida berskala 600 gram.
Menjelang tengah hari, ikan semakin culas memakan umpan. Oleh sebab yang demikian kami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah berehat dan kami merancang untuk menyambung semula aktiviti kami pada sebelah malam.
MISI MALAM PERTAMA
Setibanya di lokasi yang sama seperti pagi tadi kami dikejutkan dengan jaring yang dipasang merentasi ban tersebut. Bukannya satu sahaja jaring yang dipasang, malah di sepanjang ban ada sahaja kelibat pelampung jaring. Sakitnya hati melihat kerakusan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memasang jaring di sini.
Bukannya apa, bagi penulis, baik ban, sungai, mahupun pantai, semuanya untuk kita kongsi bersama. Janganlah kerana dek ketamakan menjadikan manusia itu hilang kewarasan untuk mengaut semua hasil yang ada.
Disebabkan jaring itulah, ikan dikhuatiri telah menjadi culas. Hingga ke jam 12 tengah malam langsung tiada getuan sang ikan, meskipun kami melabuhkan joran agak jauh dari lokasi jaring tersebut.
LOMPATAN AKROBATIK BELIDA
Keesokan pagi, awal-awal lagi kami dikhabarkan dengan berita ada penduduk kampung yang berjaya menaikkan 6 ekor belida berskala 1 – 3kg pada malam tadi! Terpinga-pinga kami dibuatnya. Iyalah, mana sahajalah lubuk yang diteroka oleh penduduk kampung ini? Kami yang kumpau teruk semalam terus membayangkan masih ada sinar untuk kami mendapatkan belida
Hari kedua, saya bersama rakan cuba untuk meneroka ban-ban lain yang ada di sini. Berbekalkan lubuk rahsia yang diberitahu penduduk kampung, kami terus mengatur perjalanan ke sana sambil mencari potensi lubuk yang lain. Lepas Maghrib kami sekali lagi mencuba ke lokasi yang dimaksudkan.
Di sini, setelah hampir 2 jam menunggu, hanya getuan-getuan daripada ikan kecil sahaja yang mengganggu. Namun tetap gagal dan ada kalanya langsung tiada getuan yang diterima dalam tempoh yang agak lama. Oleh sebab itu, kami mengambil keputusan untuk bertukar lokasi.
Kali ini kami memilih lokasi betul-betul di atas jambatan. Pak Hassan yang awal-awal lagi tiba di lokasi ini terus menghulurkan tali koyan yang menggunakan pelampung dan berumpankan anak seluang. Belum sampai 5 minit di situ, kami dikejutkan dengan jeritan Pak Hassan yang menyuruh kami mengambil tangguk. Rupa-rupanya pelampung yang dihulurkan betul-betul di bawah jambatan telah dilarikan sang ikan.
Tanpa membuang masa Pak Hassan terus menyentap tali koyan itu. Apa lagi sang belida terus menarik tali itu ke tengah. Tidak lama selepas itu dapatlah kami saksikan ikan itu melakukan lompatan akrobatik di tengah ban.
Melihat kelibatnya sahaja kami sudah tahu ia belida bersaiz besar! Namun begitu, ekoran daripada lompatan itu akhirnya ikan tersebut berjaya memuntahkan kembali mata kail yang mungkin tidak tertancap kemas di mulutnya. Hampa kami dibuatnya.
Namun, menjelang tengah malam, berjaya jugak rakan saya Addin menaikkan seekor belida berskala hampir sekilogram di sini.
“Jadilah, daripada takde langsung”, kata Pak Hassan berseloroh.
BELIDA MALAM TERAKHIR
Ekoran trip sebelum ini yang hampir menemui jalan buntu, kami masih tidak berputus asa untuk mencari lubuk berpotensi. Akhirnya setelah recce punya recce, kami jumpa satu lubuk yang agak berpotensi untuk pancingan belida. Pada petang itu, kami saja-saja mencuba nasib untuk memancing di lokasi itu.
Di sini kami masih lagi membawa bekalan anak seluang hidup, di samping cengkerik dan dedak untuk memancing lampam. Saya yang hanya cuba-cuba mengail lampan merasa juga menaikkan seekor lampam bersaiz juvenil.
Menjelang lewat petang kami dikejutkan lenturan kuat pada joran yang berada betul-betul di tepi empangan. Athirah yang berada berhampiran terus menyentap dan dapat kami lihat lenturan yang agak kuat di hujung jorannya. Namun, belum sempat berbuat apa-apa ikan tersebut berjaya meloloskan diri.
Oleh sebab yang demikian, kami bercadang untuk repeat lagi pada malam ini. Pada malam ini kami amat berharap tuah menyebelahi kami. Kami sedikit kecewa apabila tiba di lokasi dan mendapati pintu empangan dibuka dengan luas. Disebabkan ini arus di ban ini akan menjadi lebih kuat. Jadi kami mengambil keputusan untuk memancing di kawasan yang jauh sedikit dengan empangan itu.
Ternyata nasib kami berubah pada malam ini apabila joran Pak Hassan disambar kuat penghuni ban. Tanpa membuang masa beliau terus menyentap joran yang ada di sisinya. Serentak dengan sentakan itu, dengan jelas kami nampak kelibat belida melompat dari air untuk meloloskan diri. Kali ini kami lebih bersedia. Pak Hassan berhati-hati melayani spesies yang terkenal dengan daya juang yang tinggi ini.
Setelah hampir 5 minit melayan, akhirnya ikan dengan skala 2 kg ini berjaya juga disauk. Terpancar kegembiraan di wajah semua. Di lubuk ini sahaja lebih banyak sambaran yang kami terima. Ternyata ikan belida ini terlalu bijak melarikan umpan terutamanya daripada sang juvenil. Menjelang jam 3 pagi akhirnya kami mengambil keputusan untuk menamatkan aktiviti memancing.
LUBUK BERPOTENSI
Pada pagi itu, sebelum penulis berangkat pulang ke Shah Alam, sempat juga penulis mencuba untuk mengail puyu dan haruan yang ada di sekitar sawah padi yang ada di sini. Sepadan dengan nama negeri Jelapang Padi Malaysia, memang banyak lubuk mengail puyu dan haruan yang ada di sini. Jika kena lubuknya memang tidak menang tangan kami dibuatnya. Saiz puyu dan haruan di sini juga sihat-sihat belaka. Sungguh teruja penulis melihatnya.
Apa yang penulis dapat simpulkan melalui trip kali ini ialah memang terbukti terdapat banyak lubuk yang berpotensi di kawasan Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah ini. Tidak terhad kepada belida sahaja, kawasan di sini juga dihuni oleh pelbagai spesies lain seperti lampam, terbul, baung, keli dan udang galah bersaiz besar! Pada kunjungan penulis sebelum ini, penulis sendiri pernah menaikkan jenggo dengan skala lebih 200 gram ketika memancing di bawah jambatan Sungai Kuala Muda.
Namun begitu, saya sedikit terkilan kerana tidak berpeluang merasai tarikan kerana belum lagi dapat merasai tarikan belida di sini. Mungkin aplikasi casting boleh di cuba di ban tali air ini. Terima kasih juga kepada keluarga Pak Hassan yang sudi melayan kunjungan di sana. Saya berharap akan dapat menjejakkan kaki lagi di sini untuk mencari lesen menewaskan penghuni licik di sini.
Kali ini saya ke perairan Pulau Jarak lagi. Untuk sekian kalinya saya mengandaikan trip memancing ke Pulau Jarak akan terbantut lagi. Apatah lagi ketika memandu secara solo ke Lumut, cuaca agak kurang memberangsangkan.
Hampir seluruh negeri hujan turun termasuklah negeri Perak yang menyambut kedatangan saya dengan hujan juga.
Tapi mujurlah… (lega yang amat) trip hari pertama ini cuaca merestui kami. Tiada hujan yang turun dan angin yang menjadi penentu sesuatu trip memancing ke perairan jarak juga agak ramah.
Walau bagaimana pun berikutan cuaca yang tidak menentu itu, tekong bot Baby Tuna mengambil keputusan menguji kawasan berdekatan terlebih dahulu sebelum ke perairan Pulau Jarak.
Mungkin disebabkan faktor cuaca yang agak muram dan arus turut sama lemah-gemalai, ia sangat mempengaruhi hasil pancingan kami hari itu.
Seolah-olah ikan mengambil kesempatan di sebalik cuaca yang murung dengan berkurung di dalam sarang masing-masing.
Membawa ke petang apa yang kami peroleh adalah ikan-ikan kecil yang menjadi diet pemakanan kepada ikan-ikan pemangsa monster.
Terutamanya spesies conor dan pelbagai spesies kerapu berstatus juvenil. Tatkala waktu memancing berbaki kurang dua jam, barulah suasana kembali meriah di atas Baby Tuna.
Ia bermula dengan jig yang saya gunakan disambar sesuatu sehingga menyebabkan perambut putus ketika dalam proses jig tenggelam ke dasar.
Hampir serentak pada waktu seorang lagi pemancing di bahagian hadapan bot mengalami situasi yang sama.
Namun nasib berbeza dialami oleh dua orang pemancing yang berada di bahagian tengah bot. Melihat pada kesan gigitan pada tali perambut yang agak tidak kemas, saya jangkakan ia adalah perbuatan alu-alu.
Namun spesies yang berjaya dinaikkan oleh dua pemancing di bahagian tengah bot rupanya adalah spesies Spanish mackarel atau pun tenggiri.
Menyedari kehadiran spesies bergigi tajam itu hampir kesemua pemancing beralih arah daripada memburu boron kepada spesies tenggiri.
Hasilnya, beberapa ekor lagi tenggiri berjaya didaratkan. Sementara beberapa orang pemancing lain kehilangan jig termasuklah saya sendiri.
Setelah kawanan tenggiri yang muncul dan menghilang secara tiba-tiba, kami meneruskan sesi memburu boron sehingga tamat tempoh memancing dan bertekad untuk memburunya lagi pada keesokan hari.
Ketika ahli Team Alucast merancang satu trip ala-ala family day di Marang, Terengganu dalam Whatsapp group team, saya tak ambil kisah sangat.
Lagipun tarikhnya masih lambat. Lebih kurang dua bulan lagi pada waktu itu.
Apabila tentatif program mula direncanakan dalam kemas kini trip tersebut, saya mula tertarik apabila terselit acara cadangan jigging dan mencandat sotong.
Memandangkan majoriti ahli Team Alucast lebih fokus pada cabang mengilat di tasik-tasik sungai maka saya percaya cadangan acara tersebut kurang mendapat sambutan. Terutamanya jigging.
Seminggu sebelum trip family day tersebut bermula, sebagaimana yang dijangkakan hanya cadangan acara mencandat sotong mendapat sambutan.
Itu pun masih belum penuh. Berikutan ada tugasan di Kuala Terengganu pada tempoh waktu itu, saya pun selitkan nama untuk join trip candat sotong.
Melalui ahli Team Alucast yang merupakan anak tempatan Marang, segala urusan dilakukan oleh beliau termasuklah trip mencandat sotong.
Apa yang membuatkan saya agak teruja untuk turut serta kerana inilah julung-julung kalinya Team Alucast yang terkenal dengan Megatrip tahunan ke Tasik Kenyir turun ke laut.
Tanpa disangka trip yang dianggar akan kekurangan korum seramai 8 orang akhirnya bukan saja penuh malah berlebihan pula.
Berikutan ramai ahli trip datang dari luar Terengganu maka agak lewat sikit kami turun mencandat.
Boleh dikatakan bot kami merupakan bot terakhir yang bergerak keluar dari jeti Marang menuju perairan Pulau Kapas.
Hampir jam 8 malam barulah kami memulakan aktiviti mencandat sotong dengan harapan yang menggunung.
Tambahan pula menurut kata tekong yang dikenali sebagai Pok Tar (Mokhtar), pelanggan yang menaiki bot beliau pada hari kelmarin berjaya membawa pulang 40 kg sotong, walaupun lebih ramai yang mabuk laut daripada yang memancing.
Sebaliknya sesi mencandat sotong kami bermula dengan begitu perlahan sekali.
Saya sendiri hampir setengah jam barulah berjaya memperoleh lesen setelah mendaratkan sotong yang pertama.
Sementara yang belum memperoleh lesen mulalah buat perangai sehingga ada yang meminta tekong tolong sentuh joran dan macam-macam lagi.
Begitu pun tekong sangat membantu dengan memberi tunjuk yang sewajarnya.
Walaupun agak perlahan hasil yang dinaikkan namun ia lebih dari mencukupi untuk kami jadikan juadah.
Dan apabila masing-masing mula kekenyangan setelah menjamu sotong sambal dengan nasi putih panas-panas, mata pun mula layu.
Saya sendiri hanya mampu bertahan sehingga jam 1.30 pagi sahaja. Sotong bukan tiada langsung cuma sesekali saja hadir dalam kumpulan yang kecil.
Jadi saya tidur dulu dan bercadang untuk bangkit jam 4 pagi bagi menyambung semula aktiviti.
Tatkala seronok melelapkan mata di ruang sempit belakang bot, terdengar pula enjin bot berderum lama. Takkan nak berpindah lubuk begitu lama.
Rupanya bot sudah menghala ke jeti atas permintaan seorang dua rakan yang dengan alasan tertentu. Saya jam belum pun 3.00 pagi. Setuju tak setuju terpaksa jugalah turut saja.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...