Cabaran paling getir memancing ikan pari ialah bila berhadapan dengan tindakan ikan pari melekap seluruh tubuhnya di dasar laut. Berikutan daripada itulah munculnya pelbagai petua untuk membebaskan pari daripada melekap. Ada petua yang logik tetapi kebanyakannya langsung tak boleh boleh diterima akal.
JENTIK TALI
Jentik tali pancing macam main gitar. Alasannya, pari akan terasa ngilu akibat daripada getaran tali pancing yang turut menggetarkan mata kail yang tertusuk pada mulut pari. Di mana logiknya korang fikirkanlah sendiri.
CURAH AIR TAWAR
Curah air tawar sama ada air paip atau air minuman pada tali pancing. Alasannya, air tawar yang akan mengenai mulut ikan pari akan menyebabkan kejutan atau melemahkannya. Sekaligus akan membuatkan ia bergerak keluar dari melekap. Logik ke air tawar boleh sampai ke mulut ikan pari setelah dicurahkan pada tali pancing?
GENTEL TEMBAKAU
Gentel atau lurutkan tembakau rokok pada tali pancing laju-laju. Alasan dan kesannya sama juga macam jentik tali pancing supaya ikan pari akan rasa ngilu. Di mana logiknya pun lebih kurang sama juga. Tak tercapai dek akal macam mana getaran tersebut boleh sampai ke mulut pari sekaligus rasa ngilu boleh mengatasi rasa sakit akibat tertusuk mata kail.
LEPASKAN BATU LADUNG
Sama ada menggunakan klip atau snap yang disangkutkan batu ladung, kemudian dilepaskan menerusi tali pancing dengan tujuan untuk mengetuk kepala atau mulut ikan pari, ia tetap merupakan satu tindakan yang tak masuk akal. Lebih-lebih lagi teknik pancingan tersebut menggunakan perambut tanduk atau ranggung.
TURUNKAN TEMBAKAU
Dikatakan ikan pari tidak suka bau tembakau (usah bincang bila masa pulak pari pernah hidu bau tembakau), maka tembakau dimasukkan di dalam uncang kain dan diturunkan melalui tali pancing menggunakan batu ladung sebagai pemberat. Persoalan paling utama, tak tersangkut ke uncang tembakau tu pada batu ladung yang digunakan di tanduk atau ranggung?
GUNA KAIN BERPETROL
Konsep yang sama menggunakan uncang tembakau. Kesannya juga nampak macam boleh diterima akal. Tapi pelaksanannya tetap tidak pratikal. Lebih buruk ia boleh mencemarkan alam sekitar. Silap-silap ikan lain yang ada di lubuk tersebut semua cabut lari sebab tak suka bau petrol.
Begitu juga dengan kaedah menggunakan tempurung kelapa, tutup botol atau daun sireh… semuanya petua yang susah untuk dihadam oleh logik akal.
Tak dinafikan orang Cina cukup pandai menyediakan masakan ikan ketutu. Malah mereka jugalah yang lebih ramai menyukai kelazatan ikatan ketutu ini. Jadi, kalau korang nak rasa kelazatan ikan ketutu, kenalah belajar cara memasak ala Cina.
Bahan-bahan
1 ekor ikan ketutu saiz 1kg
1 ketul halia muda, dihiris nipis – ikutlah nak banyak mana
1 ulas bawang besar, diracik halus
2 ulas bawang putih, dicincang
5-6 biji cili padi, dipotong (kalau nak pedas)
Daun sup dicincang
Daun bawang dipotong
Bahan sos digaul bersama
2-3 sudu besar kicap manis atau kicap biasa yang pekat tu
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap cair – boleh gantikan dengan garam
1 sudu besar tepung jagung
1 cawan air (atau lebih jika perlu)
1 sudu kecil lada sulah
1 sudu teh minyak bijan
Bahan tumis
Sedikit halia yang diracik
3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
sedikit minyak
Cara penyediaan
Ikan digaul dengan garam dan letakkan dalam pinggan atau dulang kukus. Ratakan halia muda, bawang putih dan bawang besar diatas ikan serta letak sedikit didalam perut ikan
Tabur cili padi, daun sup dan daun bawang.
Panaskan kukusan sehingga mendidih.
Masukkan ikan. Tuang bahan sos yang dikacau sebati.
Kukus sehingga masak. sesekali buka penutup, dan kacau sos ditepi ikan supaya rata. Jika mata ikan sudah putih dan lembut tandanya ikan kukus siap masak
Panaskan sedikit minyak, tumis bahan tumis sehingga kekuningan. Terus curahkan ke atas ikan di dalam kukusan tadi. Letakkan juga sedikit minyak tumisan tu. Jangan terlalu banyak.
Saya percaya, hampir semua kaki pancing laut dalam bermula dengan pancingan muara atau menebing, kemudian barulah melangkah yang peringkat berikutnya. Di sini saya ingin berkongsikan apa yang saya alami dan mungkin juga anda juga turut mengalaminya.
Menebing (landbase)
Dahulu sewaktu mula-mula berjinak dengan pancingan muara, hampir serata jambatan sama ada yang dibenarkan ataupun larangan, jeti tinggal, kuala sungai dan pinggir hutan bakau diterjah pada setiap hujung minggu. Asalkan ada getuan dan aksi tarikan tanpa mengira apa jenis ikan sudah memadai.
Dari memancing secara berseorangan memancing, lama kelamaan dapat berkenalan dengan kaki pancing yang lain maka bertambah geng yang sealiran. Lubuk dan kawasan pancing dapat diperluaskan. Sebut sahaja pesisir pantai sepanjang Selangor hampir semuanya dijelajahi.
Ketika itu perumpun sarang menjadi umpan paling mujarab, beli hari ini boleh bertahan 4 hari jika simpan tempat yang sesuai. Kadangkala cuba juga menggunakan udang hidup yang dibeli di tepi jalan namun banyak kes ia ‘kojol’ dan kemerahan sebelum sampai di kawasan memancing.
Dengan akal yang ada maka umpan yang berada di kawasan berhampiran seperti sesiput, kupang dan anak ikan yang dipancing turut boleh dijadikan umpan sekiranya kehabisan perumpun.
Atas pengalaman itu hanya perumpun sahaja yang terbaik untuk bergerak ke serata di kawasan muara sungai menggunakan kenderaan darat. Masa itu agas atau nyamuk bukan halangan asalkan dapat menghilangkan stress tekanan kerja pada hujung minggu.
Lama kelamaan apabila asyik gelama, gegerut, bebolos, duri dan sesirat, tetuka dan anak tetanda yang berjaya didaratkan, hati mula berteriak mencari spesimen yang lebih besar, lebih nilai, lebih gred sesuai dengan pengalaman memancing sudah mengembang.
Namun bila setiap kali terpandang sampan pemancing mundar mandir di kawasan kita memancing, hati tertanya-tanya bila pula masanya untuk merasai memancing bersampan. Dah sampai waktunya, takkan selamanya asyik nak menebing?
Bersampan dan bertekong
Dari situ mula beranikan diri menyewa sampan kecil berserta tekong untuk memancing di sekitar Pelabuhan Klang. Barulah puas dapat melabuhkan umpan di tempat yang selama ini kena lontar sekuat tenaga. Dari atas sampan cuma hulur sahaja ke bawah.
Menggunakan khidmat tekong kadang kala masa memancing terasa terlalu singkat, tekong kenalah banyak kerja lain yang dilakukannya. Almaklum beliau bukan tekong sepenuh masa. Mana cukup nak menyara keluarga kalau hanya bawa orang memancing dengan kadar sewa RM200.
Sampan berukuran 19 kaki menggunakan enjin sangkut 30Hp dengan kapasiti muatan 3 orang pemancing dan seorang tekong. 4 orang berada dalam sampan kecil tidak banyak pergerakan yang boleh dilakukan.
Duduk setempat seharian hingga kematu punggung. Belum masuk ke anak sungai bila tekong terpaksa menjala mencari bekalan umpan udang hidup. Keluar dari anak sungai muka merah-merah dipenuhi dengan tompokan lumpur sungai dan kesan lebam dek sang agas. Bila bersampan sesekali dapat merasa tarikan sembilang, ikan pari, tebal pipi dan senangin.
Spesies ikan yang gemar udang hidup atas sebab itu kami tiada pilihan lain kecuali mengikut tekong menjala di anak sungai bila air dah surut. Banyak juga kes terpaksa menunggu tekong yang tidak muncul-muncul. Masa memancing terbuang begitu sahaja. Panas hati membara apabila sering kena tipu dan kansel trip pada saat akhir.
Misi solo
Hati pemancing jarang sekali merasa puas. Bila tak tahan penangan agas, suruh tekong pergi menjala dahulu dengan kos tambahan umpan dan minyak dipersetujui. Dapat lama lagi memancing tanpa membuang masa mencari umpan. Apabila kita ada waktu terluang, tekong pula ada hal lain. Kemudian hati mula memberontak lagi, sewa sampan bawak sendiri lagi senang.
Lebih mudah, ada waktu terluang, beli umpan, isi minyak, bayar duit sewa sampan, start enjin terus ke lubuk. Bebas ke sana ke mari berpindah apabila hasil tidak menepati sasaran. Setiap kali air bah, setiap kali pantai berubah, pepatah yang hakiki kenyataannya.
Mana tidaknya, kalau memancing di tebing senang nak cam kawasan, ada jalan, ada pokok dan kesan lama kita memancing, tapi kalau di tengah sungai nak cam pokok tiba-tiba dah hilang ditebang dan ada yang tumbang ke air.
Kemudian apabila membuat penilaian dan rumusan trip keputusan hasil amat tidak berpadanan dengan kos yang dileburkan untuk memancing. Melihat orang lain membawa hasil yang lebih baik maka hati sekali lagi tersentak. Kawasan sama, argggh… Mungkin nasib mereka lebih baik. Atau mereka kena lubuk, tapi kita kena serbuk!
Apabila sukar nak cam lubuk kerana keadaan tebing yang berubah dek pembangunan, maka tiada jalan pintas lain kecuali menggunakan alatan yang sesuai. Selepas itu dunia pancing mula mengenal GPS dan carta pasang surut.
Mana boleh kalah sepanjang waktu. Memancing perlu ada pembaharuan, perlu ada revolusi seperti pesisir pantai dataran muara Klang, dari hanya Pelabuhan Selatan, kemudian Pelabuhan Utara dan seterusnya Pelabuhan Barat.
Ketika pembinaan Pelabuhan Barat, banyak lubuk dan lokasi kapal karam tempat tumpuan memancing dimusnahkan, laluan diperdalami untuk memudahkan kapal dagang masuk ke pelabuhan. Pesisir pantai dan hutan bakau digondol dan diganti dengan jeti dan dermaga siap sekali dengan papan tanda ‘KAWASAN LARANGAN MEMANCING’. Itu juga satu revolusi…!!!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...