Melatih Manusia Hidup Hemat Dan Sederhana

 

Islam adalah agama yang mementingkan kesederhanaan hidup dalam segala aspek. Sesuai dengan falsafah dan hikmah puasa yang mengajar manusia menahan diri daripada makan dan minum di siang hari kerana melaksanakan tuntutan ibadah kepada Allah.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Ertinya: “Sungguh Berjaya orang Islam dan rezekinya cukup dan berasa cukup dengan segala yang diberikan oleh Allah kepadanya.” (HR. Muslim)

Sederhana dan hemat dari segi perbelanjaan,makan dan minum ketika melaksanakan ibadah puasa dalam bulan Ramadhan dapat menyelamatkan seseorang dari sifat boros,membazir dan berbuat perkara sia-sia.

 

Mendorong Manusia Bertadarus Al-Quran

Bulan Ramadhan merupakan bulan turunnya Al-Quran dan kitab-kitab suci yang lain seperti Taurat,Zabur dan Injil. Allah telah memilih bulan Ramadhan untuk menurunkan Al-Quran dan kitab-kitab suci tersebut kerana banyak hikmah dan keberkatannya.

Tiada ibadah lain yang lebih mulia selain dari bertadarus Al-Quran sepanjang bulan Ramadhan disamping umat Islam juga digalakkan menperbanyakkan berzikir, bertasbih, beristighfar dan membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. yang sudah pasti akan memperoleh ganjaran pahala yang besar disisi Allah. Sesungguhnya pengaruh Al-Quran sangat besar bagi pembacanya sebagai penerang kehidupan di bumi dan langit serta akhirat.

 

Dapat Masuk Syurga Melalui Pintu Ar-Rayyan

 

Bagi orang yang berpuasa kerana menjunjung perintah Allah s.w.t. dan menyiapkan diri menjadi takwa serta mengharapkan redha Allah,nescaya pada hari kiamat akan memperoleh penghormatan yang cukup istimewa di sisi Allah iaitu dapat memasuki syurga melalui pintu yang dinamakan Ar-Rayyan bermaksud memuaskan dahaga.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Ertinya: “Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu yang bernama Ar-Rayyan (memuaskan dahaga). Maka pada hari kiamat akan dipanggil: ’Hai mana orang yang berpuasa?’ Maka apabila telah masuk orang yang terakhir dari mereka ditutuplah pintu syurga itu.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Dengan bekalan iman dan takwa akan lahir kecintaan kepada Allah melalui ibadah puasa kerana mengharapkan keredhaanNya.

 

Menjadi Perisai Daripada Api Neraka

 

IKLAN

Orang yang berpuasa semata-mata mengharapkan redha Allah akan selamat dari azab api neraka pada hari akhirat dan memperoleh beberapa ganjaran yang istimewa darinya.

Dalam hadith qudsi Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa Allah berfirman: Ertinya: “Puasa itu adalah banteng yang akan dibentengkan oleh hambaKu dan api neraka.” (HR. Tabrani)

Untuk memperoleh ganjaran bahawa puasa dapat menjadi banteng daripada api neraka bukanlah perkara mustahil.Di samping itu perlu disiplin lain seperti menjaga tutur kata,tingkah laku dan mengharapkan puasanya diterima Allah.

 

Dicintai Oleh Allah s.w.t.

 

Puasa merupakan suatu amal taqarrub yang amat dicintai oleh Allah s.w.t. kerana setiap hambanya akan dikurniakan pelbagai keutamaan dan keberkatan yang telah dijanjikanNya. Orang yang ikhlas berpuasa kerana Allah sehari suntuk menghadapi pelbagai cabaran semata-mata untuk menguji tingkat kesabaran dan ketabahan serta meningkatkan keimanan.

Allah s.w.t. memerintahkan orang yang berpuasa agar segera berbuka setelah masuk waktu tanpa melengahkannya agar dapat mensyukuri nikmat makanan dan minuman mengikut selera dan kemampuannya.

Rasulullah s.a.w bersabda: Ertinya: “Allah s.w.t. berfirman:’sesungguhnya hamba-hambaKu yang amat Kucintai ialah orang-orang yang lebih cepat dalam berbuka.” (HR.Ahmad dan Tirmidzi)

 

Bau Mulut Di Sisi Allah Lebih Harum Daripada Kasturi

 

IKLAN

Ini merupakan satu lagi lagi keistimewaan yang dikurniakan Allah terhadap manusia kerana taat melaksanakan ibadat puasa. Pada hakikatnya manusia tidak dapat mengukur atau membezakan konsep keharuman mulut orang yang berpuasa, melainkan Allah sahaja yang Maha Mengetahui hikmah disebalik keharuman tersebut.

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadith qudsi: Ertinya: “Demi Zat yang diriku ditanganNya, sungguhpun bau busuknya mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.” (HR. Bukhari)

 

Mendorong Umat Islam Mendirikan Solat Sunat Tarawih

 

Oleh kerana solat sunat tarawih hanya disyariatkan oleh Allah hanya pada bulan Ramadhan sahaja dan tidak pada bulan-bulan lain sudah tentu mempunyai hikmat dan fadhilat yang besar.

Menurut ulama solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadhan tidak diwajibkan tetapi sunat muakkad dan mendatangkan pahala dan keutamaan yang besar.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Ertinya: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. selalu mengingatkan para sahabat untuk melakukan qiyam Ramadhan (solat tarawih) tanpa mewajibkan yang demikian ke atas mereka.” (HR. Al-Jama’ah)

 

Adanya Malam Lailatul Qadar

 

IKLAN

Di tengah-tengah kesibukan melakukan iktikaf menjelang akhir bulan Ramadhan, umat Islam hendaklah mencari malam lailatul qadar yang merupakan malam yang banyak keistimewaan yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. Malam lailatul qadar adalah malam kemuncak bagi umat Islam yang melaksanakan ibadat puasa bulan Ramadhan kerana memperoleh ganjaran pahala yang amat besar di sisi Allah.

Malam lailatul qadar merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman kerana mengandungi banyak keberkatan dan ganjarannya adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Bahkan ianya lebih baik dari umur hidup manusia di dunia ini.

Malam lailatul qadar bermaksud malam penentuan kerana pada malam itu Allah s.w.t. mentakdirkan agamaNya dalam menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka dari kerosakan dan kebinasaan.Pada malam itu Allah s.w.t. menurunkan keberkatan, kerahmatan, kemuliaan dan kesejahteraan khusus kepada umat Nabi Muhammad s.a.w.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Ertinya: “Carilah dengan segala upaya malam lailatul qadar itu di malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan.”

 

Zakat Fitrah Membersihkan Dosa Orang Yang Berpuasa

 

Zakat fitrah adalah wajib dikeluarkan oleh setiap muslim.Kewajipan zakat fitrah hanya ditentukan kepada orang yang mampu sahaja iaitu mereka yang mempunyai kelebihan dari perbelanjaan rumah tangga untuk hari raya.

Zakat fitrah dikeluarkan untuk dirinya dan seluruh ahli keluarga yang menjadi tanggungjawab. Setiap orang diwajibkan membayar atau mengeluarkan zakat sama ada lelaki, wanita besar atau kecil tua atau muda tanpa mengira pangkat dan kedudukan seseorang.

Firman Allah s.w.t. : Ertinya: “Dirikan solat dan keluarkan zakat dan apa-apa yang kamu usahakan di antara kebaikan untuk dirimu nescaya kamu memperoleh pahalanya di sisi Allah.Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah:110)

Menurut ulama waktu yang sunat mengeluarkan zakat fitrah ialah awal bulan Ramadhan lagi tetapi lebih afdal ialah tiga hari atau dua hari atau sehari sebelum hari raya aidilfitri. Pada saat inilah golongan fakir dan miskin sangat memerlukan bantuan dan sumbangan dari umat Islam bagi membolehkan mereka turut menyemarakkan lagi merayakan hari raya aidil fitri yang mulia.

 

Melatih Manusia Sabar Dan Tabah Menghadapi Dugaan Hidup

 

Dalam Islam setiap ibadat yang dilakukan memerlukan kesabaran dan ketahanan agar memperlihatkan keikhlasan hatinya untuk mencapai keredhaan Allah.Justeru itu oleh kerana puasa merupakan ibadat badaniah amaliah sudah pasti akan melatih umat Islam agar tekun,tabah hati dan sabar mengerjakannya semoga memperoleh kejayaan dan diterima oleh Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Ertinya: “Puasa itu separuh dari kesabaran.” (HR. Ibnu Majah)

Dengan sabar inilah terbentuk jiwa yang yang murni diiringi dengan keikhlasan serta menharapkan keredhaan Allah dengan sentiasa menjaga ketertiban dan kesempurnaan ibadat puasa.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI