Tidak lama selepas zohor, hanya mereka bertiga di atas sampan di tasik tersebut. Dia pun mengajak kawannya naik. Ikan memang sombong dan jual mahal hari itu, sudah setengah hari baru dapat tiga ekor keli biasa, tidak berbaloi untuk sewa sampan.
Tetapi kawan-kawan minta tunggu hingga asar. Manalah tahu kot-kot ikan kebulur selepas zohor, dan menyambar umpan. Kalau tidak dapat untung, dapat bayar sewa sampan pun kira okey. Buat malu anak bini kalau pulang memancing hanya bawa umpan dan joran.
Rupanya betul, ikan lapar selepas zohor. Tidak habis-habis umpan disambar. Tali kail bergetar dan joran berhenjut-henjut melayan rentapan. Bagi pemancing tidak kira apa ikannya juga tidak kira berapa besarnya, apa yang paling seronok ialah umpan dihulur ke bawah dan bersambut.
Dalam masa tidak sampai sejam selepas tengah hari, banyak ikan naik ke perut sampan. Ada haruan, toman, malah seekor ketutu seberat lebih 1 kg. Pada harga pasaran semasa, ketutu yang seekor itu pun sudah cukup untuk membayar sewa sampan.
Sebenarnya, kalau dibahagi cara kasar, tiap seorang sudah boleh dapat dua kilo. Sudah boleh membuat isteri dan anak-anak di rumah tersenyum dan berlapang dada. Itu adalah bukti para suami betul-betul memancing ikan, bukan memancing orang.
Tetapi adat orang memancing, kalau ikan sedang galak menyambar umpan, susah sekali hendak meletakkan joran. Rezeki tengah ada, kenapa pula hendak pulang. Selalu ada rasa tamak. Kalau boleh biarlah naik bapak haruan sebesar betis, panggang atas api kayu, cicah pula sambal asam tempoyak, fuhh!
Lagi pun siapa tahu akan naik pula beberapa ekor lagi ketutu? Kalau nasib baik bapak ketutu sebesar betis orang dewasa akan merentap kail, boleh buat untung besar kalau jual di pasar. Pendek kata bukan setakat sewa sampan, kalau hendak beli sampan sendiri pun boleh.
Dan, siapa tahu banyak lagi ikan-ikan tasik akan dinaikkan ke dalam sampan. Lagi pun orang sudah tidak ada, jadi semua ikan lapar itu hanya akan menyambar umpan kita. Inilah masanya untuk berpesta dalam tasik. Rezeki semakin murah.
Selepas Asar ikan semakin galak, maka niat untuk pulang dengan sendirinya dibatalkan. Macam-macam ikan sudah tersadai dalam sampan, sesetengahnya masih terkapar-kapar sebab baru dilepaskan dari cengkaman mata kail.
Gerimis merenjis permukaan tasik. Ada tanda-tanda hujan akan turun, sebab langit semakin pekat, matahari entah di mana. Tetapi ikan semakin galak. Pantang umpan mencecah air pasti ada yang menyambar.
Tangan lenguh sebab joran tidak berhenti bergetar. Rasanya sudah lebih dari cukup, sebab kalau dibahagi sudah boleh dapat paling kurang lima kilo seorang. Tetapi masing-masing enggan pulang, walaupun asar sudah di penghujung. Lagi pun semakin kasar gerimis, semakin ligat pula putaran tali kail.
Timbul idea tamak dan ada yang mencadangkan supaya kenduri bakal haji di KL itu dilupakan. Doa selamat boleh dibuat bila-bila masa, tetapi rentak dan tarian bapak haruan dan emak ketutu bukan selalu ada. Maka semua bersetuju!
“Kita tunggu sampai maghrib!”
Sedang galak melayan rentapan ikan, tiba-tiba pancing salah seorang dari mereka direntap ikan besar. Dua tiga kali ikan itu kelihatan seperti ketutu menggelepar di permukaan air. Semakin dekat dengan sampan, semakin jelas kelihatan.
Memang ketutu yang tersangkut pada mata kail. Tetapi hanya tinggal beberapa depa hendak masuk ke sampan, tiba-tiba tali kail putus. Adat orang memancing, bila terlepas ikan tentu disangka paling besar. Adat orang memancing juga, apabila tali putus itu pertanda tidak baik.
Ikan sudah banyak, hari makin gelap, maghrib pun makin hampir. Gerimis sudah bertukar menjadi hujan. Salah seorang mencadangkan supaya naik ke darat.
“Tak sedap pulak hati aku sebab tali kail putus, lagi pun hujan makin kasar, baik kita naik dulu.”
Tetapi, perasaan tamak menguasai diri. Dua lagi berkeras tidak mahu naik. Lagi pun semakin hampir maghrib, ikan semakin rancak menyambar umpan.
Dalam hujan makin lebat dan petir sabung-menyabung, tiba-tiba terasa umpan direntap dengan kuat. Hebat sekali ikan yang menyambar umpan. Joran melintuk hingga mencecah air, menggeletar tangan dibuatnya.
Oleh sebab tidak terdaya melayan ikan di hujung tali, dua orang lagi turut membantu memegang joran, sambil hati berdebar-debar ikan apakah yang amat luar biasa menarik sampan ke tengah tasik. Tidak pula dia muncul di permukaan air menunjukkan diri.
Petir membelah langit, sinarnya bagaikan mencecah permukaan tasik. Hujan semakin lebat, airnya melimpah dalam sampan. Sementara ikan di hujung tali semakin hebat merentap, joran yang dipegang oleh tiga orang bagaikan hendak terlepas.
Dengan tenaga tiga orang, akhirnya yang ditarik semakin hampir ke sampan. Tetapi alangkah mengejut dan menyeramkan, yang muncul di sebelah sampan bukan ikan, tetapi satu lembaga aneh berbentuk manusia.
Dalam cahaya kilat yang memancar kelihatan dengan jelas lembaga berwarna serba putih dengan rambut berjurai di air, mata merah bersinar, dan mulut ternganga luas, sambil mendengus seperti orang marah.
Untuk beberapa saat makhluk aneh itu muncul sambil merenung tepat kepada tiga sahabat. Semua tidak terkata, dan joran terlepas dari tangan.
Makhluk aneh itu perlahan-lahan hilang dari permukaan, tetapi rambutnya yang panjang itu berkilat-kilat dalam pancaran petir.
Tiba di darat tiga pemancing itu bagaikan hilang semangat. Seluruh tubuh menggigil kesejukan dan ketakutan. Untuk beberapa hari berikutnya semua demam teruk. Makhluk berambut panjang dengan mata merah itu sentiasa menjelma dalam tidur….!
Masalah mabuk laut ini memang sering terjadi terutama kepada ‘newbie’ yang baru berjinak-jinak untuk merasai pengalaman memancing di laut. Pergi sekali mabuk, kali kedua mabuk dan kali ketiga pun mabuk juga, lebih parah muntah hijau.
Akibatnya set pancing laut yang dibeli mahal-mahal tu ditinggalkan, berhabuk dan bersawang. Sampai satu masa, akhirnya set berkenaan ‘ditolak’ kepada rakan-rakan atau di Facebook. Untuk mengubat hati yang lara, layanlah kolam air masin atau memancing di tepian pantai dan muara.
Tetapi ada juga kaki pancing baru yang tidak mabuk walaupun kali pertama mengikuti trip laut. Berbincang topik ini, terdapat banyak juga petua yang dicipta dan dikatakan boleh menangani masalah mabuk laut ini.
Ada yang kata kalau mabuk, kena minum air laut lah, ada yang suruh tampal koyok di pusat, itu belum lagi anda disuruh terjun ke laut untuk menghilangkan simptom-simptom mabuk ini.
Terdapat begitu banyak petua dari orang-orang lama ini, namun ada juga yang beranggapan petua-petua lama lebih mujarab untuk mengatasi masalah mabuk ini.
Ada yang mengatakan pengambilan ubat-ubatan moden lebih berkesan daripada mengikuti petua orang-orang lama ini. Dan ada juga yang beranggapan kedua-dua kaedah ini tidak memberi kesan langsung! Namun bukan semuanya terbukti berkesan.
Apa kata Netizen Umpan:
“Bagi aku mabuk laut ni tak kiralah sama ada ambil ubat ke tak, kalau dia nak jadi dia akan jadi jugak. Ubat tahan mabuk tu gunanya untuk mencegah saja. Yang lain-lain adalah faktor ketahanan diri dan mental seseorang tu juga.
Bagi aku, antara petua yang penting sebelum seseorang tu turun ke laut adalah mesti mendapatkan rehat yang mencukupi, alas perut sebelum dan semasa turun ke laut, dan apa yang paling penting adalah mind set kita. Kalau kita dah set minda cakap kita akan mabuk, maka mabuk lah jadinya nanti. Jadi kita kena lawan perasaan mabuk tu.”
– APAN SAFUAN
“Cerita fasal tak nak mabuk ni saya dengar macam-macam petua. Paling pelik yang pernah saya dengar makan kangkung mentah… makan sirih pun tak lah seteruk ni. Pendapat saya la kan kalau kita tak biasa turun ke laut buat la ape cara sekalipun, tetap akan mabuk.
Orang yang biasa turun ke laut pun kalau situasi badan yang kurang sihat pun tetap akan mabuk walaupun ada banyak pengalaman di laut. Jadi telan pil tahan mabuk yang terdapat di farmasi adalah cara yang paling moden dan bagus.”
– MOHAMMAD ZAM
“Nak cerita pasal mabuk laut tu susah nak komen. Sebab saya belum pernah lagi diberi peluang memancing di laut dalam. Keinginan tu memang ada, apatah lagi bila lihat di TV dan baca majalah pengalaman pemancing mendaratkan ikan yang besar-besar.
Saya bayangkan satu hari nanti saya akan berjaya menaikkan ikan layaran. Saya akan menjerit bagi tahu yahooo!!! Aku berjaya. Insyaallah jika diberi kesempatan pasti saya akan dapat mengalami sendiri pengalaman memancing di laut.”
– MUHAMMAD ADDIN
“Masa mula-mula aku turun ke laut dulu memang sentiasa akan mabuk. Pernah sekali tu mabuk sampai keluar air dari malam sampai ke pagi. Tapi, aku ni jenis yang hati kering. Mabuk macam mana pun, aku tetap tak pernah serik. Pernah sekali tu masa mancing dalam keadaan mabuk, aku gulung reel guna kaki je. Tapi tu semua dulu, sekarang dah ok dan aku dah boleh biasakan diri.
Apapun, satu tip untuk para pemancing, kalau dah rasa pening-pening tu kalau boleh pergilah rehat dan jangan lah memancing buat semenctara waktu. Bila da lega baru sambung balik. Dan satu lagi, kalau boleh, masa mabuk tu kurangkan membuat kerja yang memerlukan fokus yang tinggi. Contoh macam ikat mata kail atau betulkan tali yang serabut. Biasanya kerja-kerja fokus ni yang buat seseorang tu bertambah mabuk.”
– FADLI AZRIN
“Mabuk ni ada banyak faktor. Antara faktor utamanya ialah baru pertama kali turun ke laut. Bagi orang yang baru-baru nak menjinakkan diri ni memang akan ada masalah mabuk ni, tambahan bila time angin kencang dan laut bergelora. Selain tu, tak cukup rehat, perut terlalu kosong atau terlalu penuh juga antara faktor mabuk ni.
Antara yang biasa saya praktikkan semasa memancing di laut dalam ialah jika perjalanan bot ke lubuk ambil masa yang panjang 2-3 jam perjalanan, biasanya saya akan rehat dan tidur di dalam kabin untuk kembalikan tenaga.
Apa pun, satu prinsip yang boleh saya kongsikan ialah kalau mabuk macam mana pun, cuba untuk kuatkan semangat. Terus pegang joran dan jangan sesekali mudah mengalah atau patah semangat. Sedikit sebanyak dengan cara ini dapat mengembalikan keyakinan anda untuk memancing dan pada masa yang sama dapat membiasakan diri anda untuk menangani masalah mabuk laut ini.”
Mata kail jenis ini didatangkan lengkap dengan pemberat pelbagai saiz dan bentuk yang dikhususkan bagi kegunaan pancingan teknik casting dan juga jigging. Lazimnya gewang soft plastic akan dicangkukkan pada mata kail ini. Selain soft plastic, umpan lain seperti anak ikan atau hirisan ikan juga boleh dicangkuk padanya.
Pada awal penciptaannya, mata kail untuk kegunaan aktiviti pancingan teknik jigging ini direka bentuk dengan duri pandan berada di bahagian luar teras. Namun kini kedudukan duri pandannya dibentuk sama sahaja dengan mata kail biasa.
Assist hooks ini diperbuat daripada pelbagai jenis logam dan corak bentuk bagi kesesuaian teknik jigging yang ingin dipraktikkan.
Double hook atau kail dua mata merupakan mata kail yang dikembarkan atau memiliki dua cangkuk. Kail dua mata ini biasanya dipasang pada gewang permukaan seperti jump frog atau soft frog bagi tujuan mengurangkan masalah tersangkut pada objek yang terdapat di permukaan air atau pun di dasar perairan.
Mata kail tiga atau mata tiga merupakan mata kail yang mempunyai tiga cangkuk. Ia digabungkan menjadi satu dengan tujuan meningkat peratus hook up berbanding mata kail tunggal. Mata tiga ini biasanya diperbuat daripada pelbagai jenis logam, saiz dan kekuatan.
Mata tiga ini lebih banyak dipasangkan pada gewang. Walau bagaimana dalam sesetengah teknik memancing ia turut digunakan menggantikan mata tunggal.
Saya tidak menemui nama global mata kail jenis ini dalam istilah mata kail. Namun ia masih tergolong dalam custom hooks. Biasanya mata tiga atau treble hooks dilekatkan dengan pemberat pada dasarnya sama ada dengan cara mengikat dipateri.
Walau bagaimana pun penggunaan mata sembat ini tidak dibenarkan dalam peraturan memancing. Selain digunakan untuk menyembat ikan, mata sembat turut digunakan dalam proses mencari joran yang jatuh ke lubuk memancing.
Mata kail belut merupakan satu-satunya 100% custom hooks. Oleh yang demikian tiada istilah khusus bagi mata kail jenis ini kerana pengeluar atau kilang yang menghasilkannya. Jadi, anda tidak akan menemuinya di kedai-kedai pancing.
Biasanya mata kail belut ini dihasilkan sendiri oleh pemancing belut. Biasanya juga mereka akan menggunakan dawai keras seperti lidi basikal dan membentuknya seperti mata berteras panjang tanpa duri pandan.
Tiger prawn hook atau mata kail udang harimau merupakan mata kail yang tergolong dalam custom hooks. Ia adalah mata kail udang atau prawn hook yang diubahsuai dengan menambahkan pemberat pada lengkungannya bagi membolehkan ia berkedudukan mendongak di dasar.
Tujuannya adalah untuk membolehkan hook up sempurna terhadap udang harimau sama ada ketika mengutis umpan atau cuba melarikan umpan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...