Pemancing tegar tidak mengenal masa. Sama ada pagi, tengah hari, petang atau malam sentiasa ingin memancing. Setiap waktu pasti ada keistimewaan tersendiri. Namun bagi yang lebih menggemari memancing pada waktu malam, sedikit persediaan peralatan tambahan dan tingkah laku amat penting bagi melancarkan aktiviti memancing.
Penghalau serangga
Insect repellent atau ubat penghalau serangga juga perlu ada demi untuk keselesaan kecuali sudah kebal dengan gigitan nyamuk dan agas serta serangga-serangga hutan.
Lampu suluh
Torchlight atau lampu suluh wajib ada! Tak kiralah apa jenis lampu suluh sekalipun ia adalah keperluan kedua terpenting selepas peralatan memancing. Kalau bawak lampu suluh tak bawa peralatan memancing itu dah kira tujuan lain.
Warna hitam
Ads
Nak pakai pakaian macam pergi pejabat pun boleh asalkan jangan berwarna hitam. Pakaian serba hitam memang bagus bagi penyamaran kerana ikan tidak nampak kehadiran kita tetapi tidak bagi nyamuk.
Berkumpulan
Sebaik-baiknya memancinglah secara berkumpulan. Walaupun cuma di sungai belakang rumah atau tepi lombong, ia dapat membantu jika berlaku apa-apa insiden yang tidak diingini.
Ads
Jangan suluh sembarangan
Seboleh-bolehnya kurangkan penggunaan lampu suluh terutamanya tabiat gemar menyuluh ke arah air. Cahaya dari lampu suluh boleh menyebabkan ikan menjauhi kawasan pancingan kita.
Unggun api
Sebaiknya juga buatkan unggun api bagi menjauhkan binatang-binatang buas dan berbisa menghampiri kawasan pancingan kita (kalau di daratan la, jangan buat unggun api di dalam sampan!)
Ads
Simpan peralatan
Simpan peralatan memancing yang tajam seperti mata kail atau pisau di tempat asal selepas digunakan bagi mengelakkan kecederaan yang tidak diduga.
Ikan bersengat
Kenali terlebih dahulu spesis tangkapan yang berjaya didaratkan sebelum mengendalikannya bagi mengeluarkan mata kail agar tidak terpegang ikan sembilang sama seperti memegang ikan gelama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Tidak kira apa perairan air tawar, ikan cenderung menjadikan beberapa spot untuk berkumpul, bermain dan mencari makan. Jika anda ingin memperoleh hasil ketika memancing di kawasan perairan ini maka anda harus mengenal pasti spot-spot berikut terutamanya di parit atau paya.
Rumput bersemak
Kawasan rumput dan bersemak di dalam paya merupakan spot kegemaran ikan-ikan pemangsa seperti haruan, toman atau mungkin juga sebarau. Teknik pancingan yang sesuai ialah mengilat mengunakan umpan tiruan seperti jumpfrog atau soft plastic.
Rerumput samai pendek
Di kawasan yang banyak rerumput samai pendek ini biasanya terdapat lubang yang menjadi tumpuan anak-anak ikan. Lontarkan umpan anda di lubang ini kerana jika ada banyak ikan kecil maka lambat-laut akan datang ikan pemangsa atau ikan yang lebih besar.
Tumpukan ranting atau pokok tumbang
Dalam tumpukan ranting yang terbentuk di suatu sudut paya atau rawa biasanya terdapat ikan yang mencari makan dengan memakan serangga atau makanan hanyut yang tersekat pada tumpukan ranting. Ikan kaloi biasanya memang gemar berlegar di kawasan ini.
Perbatasan air
Di paya atau tasik kecil kecil biasanya ada kawasan yang perbatasan air cetek dengan air dalam. Sepanjang perbatasan itu merupakan lokasi berkumpulnya anak-anak ikan. Banyaknya anak ikan inilah yang membuatkan ikan-ikan predator gemar meronda di kawasan ini.
Kawasan berlekuk atau teluk kecil
Di paya atau tasik kecil khususnya di kawasan pinggir terdapat kawasan yang berbentuk lekukan atau teluk yang kecil. Di bahagian lekukan yang agak dalam, biasanya menjadi tempat persembunyian ikan-ikan yang hidup di dasar.
Pintu air
Apa yang dimaksudkan pintu air ialah lokasi masuknya air ke dalam paya atau tasik kecil. Di kawasan ini biasanya ikan-ikan predator akan menunggu dan menyerang hendap anak-anak ikan dengan agresif. Jangan lepaskan peluang untuk memancing di kawasan ini sama ada menggunakan umpan tiruan ataupun umpan alami.
Tanjung daratan
Jika ada lokasi daratan yang menghela ke paya atau tasik kecil seperti tanjung, ia juga merupakan lokasi yang banyak dihuni oleh ikan. Spot-spot ini juga biasanya digemari oleh pemancing kerana dapat melabuhkan umpan atau memancing tanpa banyak rintangan.
Ikan gelama memiliki sisik halus dan kebanyakan berwarna perak dan kadangkala kuning kehitaman. Orang Putih menamakan spesies ini Croaker kerana bunyi yang dikeluarkan seperti “krook” atau lebih kurang bunyi katak!
Bunyi ini bukan saja dapat didengar di atas malah di dalam air ia mengeluarkan bunyi yang mudah dikesan oleh juruselam berpengalaman untuk nelayan masa kini bagi menjalankan aktiviti menjaring. Bunyi juga boleh menentukan saiz, jenis dan besar kumpulan ikan ini di bawah air.
Hampir seperuh dari jenis spesies ini mempunyai mulut yang menghala ke bawah sesuai dengan tabiat mencari makanan di dasar. Manakala yang mempunyai gigi yang agak tajam mempunyai mulut yang menghala ke atas dan lurus ke depan.
Jenis yang mempunyai gigi yang lebih besar dan tajam biasanya mempunyai mulut yang lebih besar adalah bermusim, seperti contoh gelama papan di sebelah pantai Timur boleh dipancing apabila ikan ini mula membanjiri kawasan pantai dan sungai.
Musim ini anda akan lihat ramai pemancing di kawasan pantai memancing ikan yang purata saiznya 300gram berumpankan ikan yang dibeli di pasar sama ada udang mati atau ikan selayang.
Memancing gelama agak mudah kerana ia dalam jumlah yang banyak, serta boleh ditemui di serata tempat. Gelama tidak memilih umpan selain udang, perumpun, sotong, ikan malah anak ketam, siput, ala-ala, kupang dan dan sebagainya pernah dijumpai di dalam perutnya.
Ia adalah spesies pemakan tidak kira waktu. Sepanjang masa ia sentiasa sibuk melayan kerenah pemancing. Hampir 70% spesies gelama membesar kurang dari sekilogram, peralatan jenis ringan adalah paling sesuai dengan kaedah dua mata.
Kalau yang kecil gunakan mata kail udang (kecil, halus dan tajam) supaya ia cepat melekat pada mulutnya dan paling baik umpan tidak terlalu besar untuk mulut gelama yang kecil saiznya.
Gelama juga pernah menyambar bulu atau pancing apollo yang dihenjutkan di dasar air. Gelama adalah spesies yang mudah boleh dipujuk memakan umpan dengan kaedah mengampai umpan di dasar serta mengangkatnya perlahan-lahan atau menghenjut hujung joran berulang kali dengan lembut sebelum membalas apabila sentapan berlaku.
Umpan terbaik untuk memujuk gelama ialah perumpun. Kaedah ini membolehkan anda membawa satu peti gelama balik kerumah untuk dikeringkan. Ia mungkin seronok apabila sekali naik dua dan tarikannya boleh tahan pada permulaan sahaja sebelum ia lemah di kaki pancing.
Memancing sudah menjadi adat, kalaulah gelama tiada, susah jugak memancing sementara menunggu ikan besar merangut umpan.
Sunyi pulak rasanya tanpa dilayan oleh gelama tidak pilih waktu makan. Jenis gelama yang lebih besar seperti tirusan, jarang gigi, san gaa atau ibu gelama memerlukan tali berkekuatan 15Ib ke atas serta mata kail yang bersaiz 1/0, 2/0 ke atas.
Memburu spesies yang agak besar perlu keluar sedikit dari kawasan muara.
Ramai tidak gemar memancing gelama kerana ia kurang enak rasanya. Satu perkara lagi ialah asyik gelama saja yang naik, sebab itu ramai pemancing mula bosan melayan kerenahnya dan beralih kepada spesies lain. Gelama paling sesuai dimasak ialah gelama kering dan jeruk (digaramkan).
Malah industri mengeringkan gelama adalah menguntungkan kerana ia memang popular di pasaran tempatan yang banyak dijual di pasaraya disebabkan harga adalah murah.
Di antara gelama yang biasa dimasak tanpa dikeringkan ialah gelama tiga gigi, gelama pisang, gelama papan dan gelama jarang gigi. Kesemua jenis ini memiliki badan membujur dan memanjang badan dari kepala hingga ke ekor.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...