Tasik ini merupakan tasik buatan manusia kedua terbesar di Asia Tenggara. Lokasi ini merupakan kediaman kepada pelbagai spesies ikan air tawar dan kehidupan liar eksotik sehingga membuatkannya terkenal sebagai ‘port’ untuk kaki pancing. Tasik ini dinilai sebagai antara tarikan pelancong yang terbaik buat pencinta alam semulajadi, penggemar memancing dan juga jurugambar.
Tasik Temenggor, Perak
Tasik buatan manusia terbesar di Perak ini merupakan lokasi sesuai untuk pencinta alam sekitar kerana dikelilingi keindahan flora dan fauna. Jika anda mahu memancing ikan air tawar seperti kelah, sebarau, toman, baung, tenggalan, sinilah lokasi yang patut dituju sepanjang percutian nanti. Selain itu tasik-tasik yang berkesinambungan dengan Tasik Temenggor seperti Tasik Bersia, Raban dan seterusnya turut sama wajib dikunjungi.
Ads
Tasik Bera, Pahang
Tasik semulajadi yang terbesar di Malaysia ini merupakan salah satu destinasi tasik buat kaki pancing. Tasik Bera menawarkan perkhidmatan bermain perahu, berkayak, memancing dan merentas hutan. Bulan-bulan hujan yang lembab dari April hingga Mei dan dari September hingga Januari menawarkan penggemar-penggemar memancing masa yang terbaik untuk menebarkan joran-joran pancing anda. Anda boleh dapat banyak ikan selepas hujan lebat.
Ads
Tasik Chini, Pahang
Memandangkan ada sebanyak 144 spesies ikan air tawar yang ada didapati di tasik ini, ramai pelancong yang mahu memancing sambil menikmati keindahan flora yang jarang ditemui akan memilih tasik ini sebagai percutian yang tidak boleh dilupakan. Namun, tidak semua kawasan di sini anda boleh terus datang untuk memancing. Untuk info, boleh rujuk pegawai yang bertugas di sekitar kawasan itu terlebih dahulu.
Tasik buatan yang terletak di utara Malaysia ini terhasil dari pembinaan empangan Beris pada bulan Ogos 2010. Persekitaran yang berbukit, pemandangan yang cantik dan udara yang segar membuatkan suasana tenang. Untuk mengelilingi di sekitar tasik, bot sewa ada disediakan untuk pengunjung. Tasik ini merupakan pilihan kaki pancing kerana terdapat beberapa kehidupan air tawar seperti toman, siakap, lampam, baung dan tilapia.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Spot jigging sudah terbentang di hadapan mata. Masing-masing tidak sabar lagi nak beraksi. Dasarnya yang dalam sehingga 300 meter membuatkan kami lebih bersedia dengan pelbagai jenis jig. Set berat dikeluarkan untuk mengunjun besi jig seberat 250 gram hingga 350 gram.
Saya hanya menggunakan jig Runaway 270 gram kerana faktor stamina yang kurang memberangsangkan. Kebanyakan jigger yang bertandang ke sini sudah pasti melakukan latihan keras atau sekurang-kurangnya masuk ke gimnasium untuk persiapan memperkemas otot-otot lengan, bahu dan pinggang.
Jika terserempak dengan kawanan burung menjunam ke permukaan air maka tekong sudah pasti akan berhenti dan menduga apa yang terdapat di situ. Apa yang pasti tuna-tuna berlegar di bawah permukaan air sambil mengejar anak-anak sardin. Ketika inilah peluang perlu dimanfaatkan dengan menghulurkan besi jig.
Melihat Somchok menggunakan set sederhana kami kembali teruja. Masing-masing menyimpan set aksi berat dan menukar kepada set aksi sederhana untuk membuat perhitungan. Saya hanya menggunakan kekili Shimano Stella 8000SW dan joran Expert p.e 3-5 sahaja untuk melayan skipjack dan baby yellow fin tuna.
Masing-masing mempraktikan pelbagai jenis variasi jigging laju, perlahan, lembut dan campuran. Sebagai orang baru kita kena cuba apa sahaja teknik. Jangan malu belajar dan bertanya, apa yang penting mencuba dan terus mencuba tanpa jemu pasti kejayaan akan menjelma.
Selesai minum petang kami berpindah lubuk untuk meneruskan aksi jigging. Entah lubuk mana entah yang tekong singgah. Ketika senja inilah tuna semakin galak mengejar besi jig yang di unjun secara mendatar. Para jigger terpaksa melontar jauh jig masing-masing dan dibiarkan sedikit tenggelam lalu dijig dengan laju. Jigging ketika senja ini lebih memberangsangkan. Kali ini lebih rancak, tekong dan awak-awak turut jigging sama.
Di sinilah kami berjaya menewaskan beberapa ekor yellow fin tuna dan dogtooth tuna. Spesies malam juga mengancam. Selain tuna, lubuk ini dihuni juga ruby snapper dan kakap merah. Azuan dan Zulkefly lebih bernasib baik dengan hasil jigging masing-masing.
Berkat kesabaran, berjaya juga yang lain-lainnya dengan spesies yang sama di samping yellow fin tuna. Tak sangka pula red bass juga membaham jig milik saya. Masing-masing dapat merasakan sendiri pertarungan tanpa henti yang membuatkan kami tidak lena tidur sehingga ke pagi.
SPOT JIGGING RINGAN
Suatu ketika tekong sempat singgah di karang bergunung yang kedalamannya hanya sekitar 100 meter. Inilah masanya nak praktikkan pelbagai jenis variasi jigging menggunakan tengkorak besi dan juga crystal ball. Daripada yang mahal dan berkualiti seperti Duel hinggalah yang agak ekonomi keluaran Eupro. Manakala yang murah seperti Sure Catch dan Hinomiya juga tidak kurang hebatnya.
Acara jigging ringan di sini boleh dikatakan sesi bersantai setelah lebih berjigging berat. Selain itu, inilah masanya untuk mencuba produk-produk terbaru di pasaran. Sebenarnya kitalah merupakan ’tester’ tidak bertauliah yang banyak memberi manfaat kepada pemancing-pemancing baru.
Kami mempraktikkan teknik popular di sini dengan menurunkannya ke dasar lalu di unjun sedikit demi sedikit dengan aksi perlahan. Kadangkala ia diunjun-unjun setempat tanpa mengarau tali. Tengkorak besi ini akan terlompat-lompat seperti seekor sotong kurita kecil yang sedang berenang. Aksinya yang semula jadi akan membuatkan mangsa lebih geram.
Spesies karang seperti kerapu bara dan kerapu pisang sudah tentu akan menyerang hendap apabila jig ini melintas di hadapan mata. Satu lagi teknik yang berkesan dengan membuat lontaran jauh melepasi kawasan karang. Kemudian dikarau perlahan secara mengenjut-enjut agar ia kelihatan seperti terlompat-lompat melalui kawasan dasar batu karang.
Lontaran dilakukan berulang-ulang kali tanpa jemu dan pelbagai arah untuk menarik sang kerapu keluar dari tempat persembunyiannya. Kami lakukan secara beramai-ramai agar penghuni di dasar lebih teruja.
Hasil usaha mencuba dan mencuba, akhirnya berbaloi juga dengan tertumpasnya kerapu bara, kerapu chonoh dan kerapu pisang. Selain itu, spesies karang yang lain juga sudi membaham jig-jig kami yang pelbagai. Sehinggakan red bass turut sama tergoda lalu mengejar jig tanpa henti.
Suatu ketika ikan-ikan karang seperti jebong dan barat-barat banyak membuat kacau. Selain itu terdapat pelbagai spesies pelik yang geram dengan jig tengkorak besi ini seperti moonfish, merah duri dan tidak ketinggalan, ular ginjal (eel)!
LUBUK RUBY DAN KERTANG
Kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 160lb untuk menahan asakan ruby snapper. Setelah kedudukan bot betul-betul di atas spot yang tepat, pesta pun bermula. Ruby snapper mula menyerang. Semua peserta sibuk melayan asakan si merah ini walaupun cuaca panas terik.
Setiap pemancing berupaya menaikkan dua ekor sekali gus. Itu yang membuatkan awak-awak tak menang tangan menggancu ikan. Rata-rata ruby snapper berskala 10-12 kg berjaya didaratkan. Di samping itu, ada juga kerisi bali pelbagai saiz yang mencuri umpan kami. Masing-masing tersenyum apabila hasil tangkapan memenuhi tong merah besar.
Lubuk terakhir kami ialah lubuk kertang hitam. Tekong menyarankan kami menggunakan perambut sekurang-kurangnya 180-200 lb jika tidak mahu tewas lagi. Sebenarnya kami sudah bersedia dengan perambut mono tebal sebegitu. Tak perlu tunggu lama.
Sebaik sahaja umpan tongkol mencecah dasar pastinya ada ragutan kasar dari bawah. Rata-rata kertang hitam berskala 30-40 kg menjadi milik kami. Kedalaman 200 hingga 300 meter memerlukan kekili elektrik, rod heavy, mata kail kasar dan batu ladung berat.
Kekili elektrik perlu bekerja lebih keras. Kekili Tanacom Bull dan Command X sudah memadai untuk misi di sini. Menurut tekong, terdapat juga kertang hitam dianggarkan lebih 100 kg yang menghuni lubuk ini. Jika persiapan yang rapi dilakukan tidak mustahil hasil akan lebih lumayan.
Kata bijak pandai, wang bukan menjadi ukuran. Kepuasan peribadi lebih menjadi keutamaan. Bercuti bersama-sama rakan memang menyeronokkan di samping mengeratkan lagi tali persahabatan setelah penat bekerja siang dan malam. Sikap bertolak ansur dan happy go lucky yang ada pada kumpulan ini membuatkan trip-trip yang dianjurkan menjadi lebih ceria.
Tambahan pula hasil tangkapan dibahagikan sama rata maka tidak timbul masalah perebutan tempat memancing di dalam bot. Sebenarnya terdapat banyak faktor yang menyebabkan kumpulan saya tidak melepaskan peluang setiap tahun berkunjung ke sini. Di samping spesies dasarnya yang bersepah, kekuatan tarikan tuna yang hebat menyebabkan masing-masing sentiasa hendak datang lagi.
Ikan baji tidak mendiami satu kawasan pada satu-satu masa, ia juga bergerak satu tempat ke satu tempat mengikut perubahan arus dan paras pasang surut air. Ini bermakna ia mampu meneroka satu-satu kawasan buruan mengikut pergerakan pasang surut air.
Baji mempunyai persamaan dengan spesies ikan sebelah dan ikan lidah dari segi sifat, penyamaran dan cara memburu mangsa.
Ikan baji adalah pemangsa dasar (bottom feeding). Ia boleh dikaitkan dengan spesies dasar yang lain seperti bebolos, sebelah dan lidah yang mana hanya tertumpu makanan dasar dan amat jarang menerkam mangsa yang lebih dari sekaki atas dari dasar.
Teknik memancing sama seperti mana memancing ikan dasar seperti bebolos. Umpan harus berada di dasar dan menggunakan perambut pendek memberi kelebihan untuk memerangkap ikan ini.
Jika bebolos, penggunaan mata kail halus dipraktikan, sebaliknya untuk baji, mulutnya yang leper mampu membuka luas mata kail kasar bersaiz 1/0, 2/0 tidak menjadi masalah untuk memerangkap ikan pemalas ini.
Mangsa utama baji adalah ikan-ikan kecil yang melintas di hadapan mulutnya. Manakala perumpun, udang dan sotong digunakan secara meluas oleh pemancing di negara ini. Diet baji sering dikaitkan dengan pergerakan mangsa lalu di hadapannya. Oleh itu menggunakan umpan mati lebih berkesan jika umpan tersebut dihenjut lembut setiap masa untuk mengelirukan baji.
Satu cara lagi memancing hanyut. Ramai yang tidak suka teknik menghanyut umpan di dasar kerana keberangkalian sangkut pada reba dan sebagainya amat tinggi di kebanyakan lokasi. Selain umpan yang disebutkan tadi, satu lagi umpan yang jarang sekali di pratik di negara kita ialah umpan tiruan dari plastik lembut. Cara ini banyak diamalkan secara meluas di Australia.
Walaupun gigi tajam, bentuknya tidak mampu memotong tangsi perambut 20Ib. Baji biasanya menelan mangsa setelah dicengkam rakus. Kebarangkalian mata kail tertelan di dalam perutnya amat jarang berlaku kerana ia melarikan diri setelah menyambar umpan.
Fenomena mangsa sudah tersangkut hanya disedari setiap kali umpan diperiksa disebabkan ia tidak banyak bergerak setelah meragut umpan.
Tiada siapa pun pun yang boleh menjangka keadaan cuaca apatah lagi hasil trip memancing yang bakal ditempohi sehingga hari kejadian.
Begitulah yang kami hadapi apabila memilih tarikh trip yang berpotensi untuk memunggah hasil, tetapi berhadapan dengan cuaca yang kurang mesra pada hari kejadian.
Hujan yang turun pada awal pagi hari tersebut menyebabkan beberapa buah bot memancing menangguhkan seketika aktiviti memancing di perairan Teluk Kemang.
Hujan sebenarnya bukanlah menjadi penghalang sebaliknya angin yang bertiup agak kencang bersama hujan itulah yang menyebabkan para tekong tidak berani untuk mengambil risiko membawa pemancing ke laut.
Setelah lebih satu jam termenung di pangkalan dan cuaca seperti mengizinkan, barulah para tekong bersedia membawa kami mencuba nasib.
Saya bersama tiga orang rakan memancing hari itu turut sama turun memancing dengan menggunakan khidmat tekong tersohor perairan Port Dickson, Shariman atau lebih dikenali dengan nama Apex Kecil.
Berikutan cuaca yang masih berangin, kami sepakat sekata untuk tidak pergi memancing jauh ke tengah laut. Justeru cadangan tekong untuk jigging spesies senangin di dalam kawasan teluk segera dipersetujui oleh kesemua ahli trip.
Hampir setengah jam berjigging, nasib ternyata menyebelahi saya apabila jig slow pitch 80 gm disambar pemangsa sekitar beberapa kaki dari dasar. Setelah melayan pecutan dan lariannya seketika, akhirnya seekor senangin berskala saiz sederhana berjaya didaratkan.
Kejayaan itu sedikit sebanyak merangsang semangat kami untuk kekal lebih lama di teluk tersebut. Tidak lama kemudian giliran tekong pula mempamerkan kehandalannya.
Namun nasib lebih menyebelahi senangin apabila berjaya meloloskan diri dari mata kail sejurus tiba di permukaan air untuk didaratkan.
Setelah beberapa kali berhanyut di spot yang sama, saya berjaya menerima strike namun pemangsa yang dipercayai adalah senangin ghaib ketika dalam pertarungan.
Nasib yang sama turut dialami oleh tekong. Malah ia berlaku lebih dari sekali. Ketika seperti hampir menjadi mangsa buli senangin, muncul Shahrul menjadi penyelamat keadaan apabila berjaya mendaratkannya setelah turut sama dibuli sebelumnya.
Episod dibuli senangin semakin berterusan apabila Shahrul berjaya mendaratkan seekor lagi senangin. Selepas itu hampir kesemua ahli trip hanya sempat merasai jig disambar pemangsa sebelum rabut begitu sahaja.
Dan kemuncak kami menjadi mangsa buli senangin apabila seekor senangin bersaiz kasar yang menyambar jig saya melakukan aksi akrobatik di hadapan mata kami semua dan berjaya memutuskan tali utama.
Selepas kejadian itu tiada sambaran yang kami terima sekali gus mengakhiri pemburuan kami. Walaupun kami berjaya mendaratkan tiga ekor senangin namun pembulian hampir sepuluh kali yang kami terima benar-benar menguji kesabaran kami.
Sekaligus menjadi trip yang meninggalkan memori manis buat kami berempat.
Kami meneruskan sesi slow jigging ke tengah laut namun hanya ramah buat beberapa jam sahaja. Tidak tahan dengan alun kian bergelora, kami kembali ke teluk tersebut untuk mencuba nasib sekali lagi.
Selepas satu jam mencuba tanpa sebarang sambaran, kami memutuskan untuk kembali ke darat dan mencari kedai makan untuk menikmati senangin segar tersebut.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...