Sebesar manakah hasil tangkapan yang pernah korang daratkan? Cuba tengok hasil tangkapan dan lokasi ia didaratkan di bawah ini… setandang tak dengan hasil korang?

 

Lautan Pasifik – Ketam (King Crab)

Ketam juga merupakan salah satu hidupan akuatik yang mempunyai ciri-ciri yang unik serta mempunyai rasa yang lazat sebagai hidangan. Namun begitu, tahukah anda ketam terbesar yang pernah dinaikkan mempunyai berat sehingga 15kg? Itulah seekor ketam Varanger (Varanger king crab) dengan jarak hujung ke hujung hampir 2 meter yang pernah dinaikkan di Lautan Pasifik. Ketam Varanger ini juga sering digelar sebagai “red king crab”.

 

 Amazonia, Brazil – Pirarucu (Arapaima gigas)

Arapaima gigas boleh dikatakan spesies legenda yang masyhur di kalangan pemancing. Jadi tidak hairanlah Lembah Amazon di Brazil ini mampu berbangga dengan spesies ikan naga sebagai rekod terberat pernah dinaikkan menggunakan rod dan kekili. Spesies yang dijinakkan oleh pemancing profesional tersohor, Jakub Vagner pada 2010 ini telah merekodkan angka 339 paun (154 kg) dan ianya juga diperakui oleh IGFA sebagai rekod rasmi.

 

Rio Negro, Brazil – Peacock Bass (spesies Cichla temensis)

Berhampiran dengan Lembah Amazon, Rio Negro memang terkenal sebagai lokasi pancingan peacock bass ditambah dengan sokongan daripada pihak negeri untuk menjadikan lokasi tangkap dan lepas. Pada tahun 2010, seorang pemancing warga Brazil iaitu Andrea Zaccherini, telah berjaya menaikkan seekor spesimen spesies C. temensis seberat 29.1 paun ketika trip memancing yang disertainya. Ini seterusnya memadam rekod lama seberat 28 paun yang direkodkan hanya kira-kira 10 bulan sebelum itu.

IKLAN

 

Texas, Amerika Syarikat – Alligator Gar

Spesies yang menyerupai haiwan pra-sejarah ini berjaya dijinakkan oleh seorang pemancing dari Texas iaitu Brent Crawford. Beratnya melebihi 300 paun dengan panjang berukuran 8 kaki 2 inci. Tangkapan Crawford dikatakan menjadi rekod terbesar alligator gar yang didaratkan dengan teknik pancingan busur (bow-fishing) mengatasi rekod lama iaitu 279 paun. Bagi rekod tangkapan alligator gar menggunakan rod dan kekili, rekod terberat ialah 365 paun.

 

Kona, Hawaii – Marlin

Marlin ini digelar marlin biru legenda Pasifik setelah ia berjaya didaratkan pada tahun 1984 di perairan Kona, Hawaii. Panjang marlin ini mencecah sehingga 17 kaki dan beratnya pula direkodkan seberat 1656 paun. Ia mengambil masa lebih daripada 2 jam bagi pemancing menaikkan gergasi ini. Begitu pun, ia dikatakan marlin kedua terberat yang pernah dinaikkan menggunakan rod pancing.

IKLAN

 

California, Amerika Syarikat – Salmon

Seorang pegawai hidupan liar telah menangkap seekor salmon yang dikatakan terberat di selatan California. Spesies salmon Chinook ini direkodkan seberat 85 paun dengan panjang mencecah 4 kaki. Ikan ini dikatakan berenang sejauh hampir 100 batu menuju ke hulu sungai untuk menghempaskan telur sebelum mati kemudiannya.

 

Lautan Artik – Sotong Gergasi

Sotong gergasi ini telah ditangkap di Lautan Artik dan direkodkan seberat 1089 paun. Ia telah mengatasi rekod berat sotong sebelum itu yang direkodkan di New Zealand iaitu 992 paun. Panjang sotong gergasi dari Lautan Artik ini mencecah sehingga 6 meter panjang. Bayangkan betapa besarnya gergasi ini!

IKLAN

 

Thailand – Pari Air Tawar

Pari air tawar yang terbesar pernah ditangkap telah direkodkan di Thailand. Dengan berat mencecah 770 paun ianya ditangkap oleh seorang warga British yang memancing di Thailand ketika membantu program tagging spesies berkenaan. Ukuran spesimen sekitar 7 kaki panjang dan 7 kaki lebar ini mengambil masa hampir 2 jam sebelum berjaya didaratkan.

 

Thailand – Patin Mekong

Pada Mei 2005, seekor patin Mekong (Pangasionodon gigas) telah berjaya didaratkan yang mana saintis percaya ia merupakan yang terbesar pernah dinaikkan. Saiznya sepanjang 9 kaki dan beratnya mencecah 646 paun hampir sebesar seekor beruang. Oleh kerana ia dikategorikan sebagai spesies terancam, nelayan di sana cuba untuk melepaskan kembali, namun sayangnya Mekong tersebut mati.

 

Maine, Amerika Syarikat – Lobster

Lobster yang terbesar pernah ditangkap direkodkan di perairan Maine, New England di Amerika Syarikat. Lobster ini seberat 27 paun dan besarnya kira-kira saiz kanak-kanak berusia 3 tahun. Ianya diberi nama ‘Rocky’ dan sepitnya sahaja mampu mencederakan lengan seorang lelaki dewasa. Beratnya tertumpu pada sepitnya dan ia dikatakan mampu mematahkan lengan jika disepit. Rocky telah dilepaskan kembali ke lautan beberapa hari selepas itu.