Hampir semua teknik memancing ikan spesies berparuh ini ialah di permukaan dan pertengahan air. Di antara kaedah utama memancingnya ialah menunda dan berhanyut.

 

Menunda (Trolling)

Menunda disifatkan cara mudah menjinakkan ikan berparuh seperti marlin dan layaran, dan ia diamalkan secara meluas di Australia serta beberapa negara lain. Kebanyakannya menggunakan umpan tiruan seperti skirt tundaan dan gewang replika ikan.

 

Bagi kaedah tundaan di negara kita, bot bergerak dengan kelajuan 5-12 knot. Jika menggunakan gewang replika ikan, kelajuan bawah 7 knot disyorkan sesuai dengan kelajuan standard bot nelayan kita. Gewang pula bersaiz 18 disyorkan. Jika bot dinaiki mampu memecut lebih dari 10 knot, gewang skirt tundaan disyorkan.

 

Jika anda menggunakan gewang replika tanpa lidah (bibless) sukar sedikit menjerat layaran kerana jenis gewang ini adalah selaman dalam. Menunda menggunakan ikan hidup atau mati (biasanya tongkol, kembong atau sotong jarum) banyak diamalkan oleh tekong berpengalaman atas faktor penyediaan umpan itu sendiri.

 

Taktikal Memancing Ikan Layaran & Marlin

 

Berhanyut (Drifting)

IKLAN

Cara ini paling digemari oleh ramai pemancing jika berada di kawasan unjam. Teknik hanyut dikaitkan dengan umpan hidup dan dibiarkan bebas berenang tanpa pemberat. Jika kelajuan arus keterlaluan, pemberat kecil bersama belon sering dipratik. Ia hanya sesuai bagi pemancing yang membarisi belakang bot.

 

Teknik pertengahan air dengan pemberat kecil ini banyak diamalkan oleh tekong dan diikuti pula oleh golongan pemancing. Walaupun pada dasarnya tekong tidak berminat dengan ikan berparuh kerana tujuan sebenar ialah untuk tenggiri, tetapi layaran atau marlin tidak terkecuali menjadi mangsa.

 

Cara ini sesuai diguna pakai oleh pemancing yang berada di haluan dan tengah bot. Tanduk adalah perlu untuk teknik ini. Pertengahan air boleh diertikan umpan berada pada para 7 hingga 10 depa dari permukaan.

 

Taktikal Memancing Ikan Layaran & Marlin

 

IKLAN

Peralatan

Jika berhajat untuk memancing ikan berparuh dengan tahap kepuasan paling optimum, gunakan peralatan kelas menengah (mid-action) dan disyorkan guna tangsi kekuatan tali utama 20 hingga 40lb. Jangan lebih kerana layaran terutamanya adalah spesies lemah di mana ia kuat hanya untuk beberapa kali loncatan ke udara.

 

Tapi jangan terlalu lama sangat bertarung bimbang ia terlalu letih dan sukar untuk dipulihkan semula. Tambahan pula jika ia mengeluarkan urat perut/usus berwarna merah maknanya ia sudah sampai di akhir jalan.

 

Perambut 50lb-60lb sudah memadai. Mata kail ketajaman kimia (chemical sharpness) yang mudah reput oleh air masin digalakan guna pakai. Saiz mata kail umumnya no. 3/0 hingga 7/0. Layaran banyak telan ke dalam perut umpan (teknik hanyut).

 

Taktikal Memancing Ikan Layaran & Marlin

IKLAN

 

Pengendalian

 

Elak keluarkan mata kail yang jauh tertelan ke dalam perut, potong sahaja perambut tanpa menaikkan ikan ini ke bot. Lakukan semua ini waktu ikan berada di dalam air. Bagi mengelakkan perkara ini amat disarankan menggunakan mata kail jenis lingkar.

 

Kerana ia dianggap sebagai salah satu ikan berprestij, maka sesi fotografi kadang kala memberi kesan yang amat besar. Namun pada masa sama kelekaan bergambar boleh menyumbang kepada kematian ikan ini. Seboleh bolehnya jika bergambar di atas bot, pastikan ia dilakukan kurang dari 2 minit dan sebaiknya adalah ketika ikan itu di dalam air (separuh badan).

 

Perlu diingatkan ini ini amat lemah tanpa air dan cepat kering kulit luarnya. Ramai lagi pemancing menanam cita-cita memperolehi lesen seumur hidup. Bergambar dengan mangsa terkulai kekeringan di atas bot adalah kepuasan bagi mereka. Pendamkan hajat bergambar ikan ini di atas bot.

 

Taktikal Memancing Ikan Layaran & Marlin

 

Kepuasan sebenar ialah pabila kita menewaskannya kemudian berjaya membenarkan ia berenang bebas semula kehabitat di mana ia ditakdirkan berada di situ oleh ketentuan alam.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI