Kebanyakan pengunjung menggunakan joran pole sendiri. Joran pole yang dibawa sendiri biasanya tidak menggunakan teknik pelampung seperti mana pole yang disediakan.
Kebanyakannya menggunakan teknik gelungan seakan-akan spring yang terletak antara hujung sambung joran dan tali utama. Namun bagi orang baru, biasanya menggunakan pelampung.
Dengan cara ini, getuan halus udang harimau lebih mudah dikesan. Cuma mata haruslah sering memerhatikan pergerakan pelampung.
Apabila menggunakan joran dilengkapi pelampung, anda disarankan mengukur semula kedalaman kolam, kemudian selaraskan semula dengan paras pelampung pada tangsi.
Ini kerana kedalaman air kolam berubah-ubah, kadangkala airnya rendah, kadangkala dalam. Jadi apabila kita dapat selaraskan kedudukan pelampung di tangsi dengan kedalam kolam, peratusan untuk sukses adalah tinggi.
Mata kail pula dari jenis Gamakatsu no. 8 (mata kail yang terdapat gelungan timah dililit pada tangkai mata kail).
Timah yang dililit pada tangkai mata kail untuk memastikan mata kail sentiasa tegak ke bawah, tidak terjungkit ke atas agar tancapan pada mulut udang lebih kukuh semasa sentapan dibuat. Selain itu ia juga bertindak sebagai pemberat.
Umpan isi udang, hati ayam atau perumpun boleh digunakan. Namun umpan perlulah dilabuhkan di tempat yang betul. Hotspot terbaik ialah sekitar penjuru kolam dan juga buih-buih bekalan oksigen.
Sudah menjadi kelaziman pemancing udang kolam akan berubah tempat untuk mencari port udang berkumpul. Jika dalam masa 5 minit tiada ragutan, mereka akan berpindah port. Sebaik saja umpan dilabuhkan, mata terus fokus pada pelampung.
Setelah kelihatan pelampung tenggelam, berikan sedikit ruang kepada udang untuk membawa lari umpan. Ketika ini tumpuan terhadap joran dan pelampung amat penting.
Perlahan-lahan angkat joran dan apabila terasa berat udang, lakukan sedikit sentapan bagi memudahkan mata kail tercangkuk kemas di mulut udang (kadang-kadang ada yang tercangkuk kaki atau ekor).
Pastikan sentapan dibuat berlawanan dengan arah udang membawa lari pelampung. Biasanya teknik mudah dan ringkas ini berjaya membuahkan hasil.
Tips tambahan
Teknik casting udang. Teknik ini digunakan untuk untuk menangkap udang yang pening-pening lalat dan berlegar-legar di permukaan kolam.
Biasanya apabila stok udang dimasukkan, udang-udang baru akan naik ke permukaan. Ketika inilah otai-otai kolam mempraktikkan teknik ini.
Mata kail tanpa umpan akan dihulurkan betul-betul di hadapan udang yang timbul. Apabila udang berenang ke hadapan, joran disentap keras untuk menusuk ke badan udang tadi.
Biasanya teknik ini dibenarkan oleh pemilik kolam kerana ia tidak dianggap sebagai menangguk udang.
Walaupun tiada bukti-bukti saintifik yang menyokong kenyataan ini, namun ramai pemancing berpengalaman mengakui kebanyakan ikan lebih aktif mencari makan pada waktu malam. Terutamanya ikan spesies nokturnal.
Hal ini mungkin terjadi akibat fenomena pasang surut dan fasa-fasa bulan yang menjadikan ikan lebih aktif dan giat mencari makan di waktu malam berbanding siang hari.
Ada juga yang berpendapat ikan menjadi lebih aktif kerana suhu air yang mulai sejuk di waktu malam. Dan ikan-ikan bersaiz monster lazimnya keluar sarang pada waktu malam.
Tak banyak saingan pemancing
Hal ini memang harus diakui kerana tidak ramai kaki pancing yang gemar berembun dan menahan kesejukan pada malam hari semata-mata untuk memancing.
Jadi, saingan anda semakin kurang terutamanya jika memancing di kawasan yang popular di kalangan kaki pancing. Justeru, potensi anda untuk mendapat hasil yang lumayan juga lebih tinggi.
Cabaran Yang Lebih
Bagi yang gemarkan cabaran, memancing di waktu malam mesti menjadi pilihan mereka. Faktor cahaya yang terhad dan faktor-faktor lain akan menjadikan aktiviti memancing di malam hari lebih mencabar.
Walau bagaimanapun, sebagai pemancing anda haruslah sentiasa mengutamakan aspek keselamatan walau di mana jua anda berada walaupun anda gemarkan cabaran memancing pada malam hari.
Selamat dari rentung
Umum mengetahui memancing di siang hari akan mendedahkan kaki pancing kepada ‘sunburn’ terutama jika tidak menggunakan pelindung muka dan tangan.
Dengan memancing di malam hari pula, potensi-potensi untuk ‘sunburn’ akan hilang sama sekali dan anda boleh memancing dengan tenang tanpa merisaukan kulit anda terbakar dek panahan matahari.
Panoroma yang lebih indah
Bukan senang nak melihat sendiri sotong berenang-renang di tepi bot dek limpahan cahaya lampu dan bukan juga senang nak menyaksikan kelip-kelip bila anda memancing di kawasan hutan dan paya bakau.
Semua ni dapat dilihat bila anda memancing di waktu malam. Jadi, kesempatan yang ada itu, anda hargailah dengan menyaksikan keindahan alam ciptaan tuhan.
Terasa lebih bebas
Inilah kelebihan sebenar pagi penggemar aktiviti memancing waktu malam. Perasaan ini sukar untuk dihuraikan.
Ramai yang inginkan kebebasan ini tetapi gagal memperolehnya berikutan larangan dari keluarga (isteri) dan terlalu takut terserempak dengan hantu atau sebagainya.
Selain itu, anda akan berasa bebas dari memikirkan soal kerja kerana majikan tidak akan mencari atau mempersoalkan kenapa anda berada di padang pancing, bukannya di pejabat.
Pakai pakaian yang sepadan dengan aktiviti dan geografi lokasi. Pastikan badan tidak terdedah dengan cuaca yang terlalu sejuk atau panas. Begitu juga dengan alas kaki. Sebaiknya pakailah alas kaki yang lebih selamat berbanding berselipar sahaja. Lebih-lebih lagi jika kita tidak pasti tahap kelicinan pelantar benda-benda tajam yang mungkin tersembunyi di permukaannya.
Jangan berasa segan jika ingin memakai jaket keselamatan. Terutamanya jika anda ada masalah gayat dan langsung tidak tahu berenang. Jika ingin memakai jaket keselamatan pilihlah jaket keselamatan dari jenis foam kerana selain daripada berfungsi di dalam air, ia juga boleh digunakan sebagai jaket pemanas badan pada waktu malam.
Selain membawa bekalan makanan yang mencukupi, apa yang lebih penting sebenarnya adalah bekalan air bersih untuk diminum dan tujuan lainnya. Tak mengapa kalau kelaparan tak cukup makanan tetapi kalau kehabisan air untuk diminum, ia tak boleh diganti dengan air laut.
Sama ada ingin memancing untuk tempoh yang lama atau beberapa jam sahaja, sebaik-baiknya biarlah berteman. Jangan sesekali memancing secara bersendirian. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku. Kadang-kadang kemalangan yang kecil sahaja boleh menyebabkan nyawa terancam.
Simpan segala barang-barang yang penting seperti handphone dan kunci kenderaan di tempat yang selamat. Khususnya selamat dari diterbangkan angin dan terkena tempias air masin. Kalau boleh biar diikat terus pada tiang jambatan. Setidak-tidak kalau tersepak pun tidaklah terus melayang ke air.
Jangan berada dalam keadaan terlalu selesa. Maksudnya, bila dah rasa selesa sangat kita akan lupa di mana sebenarnya kita berada. Kita jadi terlupa yang kita berada kawasan yang dikelilingi oleh air berarus deras. Bukannya berada di daratan sebenar.
Ia jarang berlaku tetapi pernah terjadi ada pemancing yang terperangkap di atas pelantar dan hampir dihanyutkan arus apabila dilanda peristiwa air pasang besar. Jadi, anda harus pantau jadual air pasang surut dan cubalah elak daripada memancing di bawah jambatan apabila berlakunya peristiwa air pasang besar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...