Aktiviti casting atau mengilat di kawasan pulau bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia memancing kita.
Pulau Sembilan di Perak contohnya pernah menjadi padang pancing yang bagi kaki mengilat melampiaskan ketagihan aktiviti ini. Malah sehingga kini Pulau Sembilan masih lagi menjadi lokasi pilihan.
Walaubagaimana pun kepada yang belum pernah mencuba teknik ini, berikut disediakan beberapa tip atau panduan untuk anda mencapai kepuasan maksima ketika mengilat.
➡ Sebaiknya gunalah peralatan ringan atau sederhana kerana ini boleh memberikan kepuasan kepada anda ketika bertarung.
Untuk kepuasan yang berlebihan boleh juga gunakan set ultra ringan namun ia lebih bersesuaian sekiranya anda mengilat bersama-sama rakan penggemar aksi ulra ringan.
Walaupun tepian pulau bukan bermakna ikan-ikan kecil saja yang ada, kadang-kadang GT bagak pun ada datang meronda.
Ads
➡ Joran berkuatan 10-20 lb atau PE 0.5-1.2 amat sesuai untuk melayan ikan-ikan gerepoh juvana atau talang remaja.
Malah jika terkena ikan yang agak besar ia masih mampu bertahan dan peratus untuk mendaratkan ikan masih ada.
➡ Sekiranya gewang disambar ikan besar, kawalan joran yang sempurna amatlah penting bagi mengelak kejadian putus terpaksa.
Pastikan joran sentiasa diangkat tinggi bagi mengekang ikan membenam masuk ke kawasan berbatu yang boleh menyebabkan tali utama atau perambut bergesel dan putus.
Ads
➡ Bagi mengatasi rintangan batu dan karang yang besar dan tajam, sebaiknya gunalah tali sulam berbanding tali mono (tangsi).
Tali sulam berketahanan 15-25 lb adalah disarankan bersama perambut atau leader fluorocarbon 20-30lb.
➡ Kawasan tepian pulau lazimnya didiami oleh pelbagai spesies, jadi gewang yang digunakan juga perlu dipelbagaikan.
Untuk menjerat ikan-ikan yang mendiami kawasan yang lebih dalam seperti kerapu, gewang selaman dalam sekitar 3-5 meterd dengan saiz 9-12 cm perlu digunakan.
Ads
➡ Bagi mencari spesies yang bermain di kawasan pertengahan dan permukaan air seperti gerepoh, talang dan cencaru kuda, gunalah gewang selaman cetek, sesudu atau gewang permukaan kecil seperti popper 9-12 cm untuk menduga mereka.
➡ Pemilihan warna gewang dan jig tidaklah terlalu teknikal. Asalkan ia memiliki warna asas biru dan berkilat, ia sudah boleh dipraktikkan.
➡ Kini, penggunaan jig ringan dan mikro jig lebih banyak dipraktikkan berbanding penggunaan gewang atau sesudu.
Teknik ini nyata lebih berkesan namun sifat jig yang tenggelam itu lebih mudah mendorong ia tersangkut pada batu atau karang berbanding pada mulut ikan.
Oleh yang demikian anda harus bijak menganggar kedalaman air dan struktur di dalam air untuk melakukan balingan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Bujuk merupakan jenis pembangkai. Anda tidak perlu bersusah payah memikirkan umpan apa yang sesuai. Sama ada umpan hidup atau umpan mati boleh dipakai. Kalau nak nak pakai gewang, gunalah gewang replika yang menyerupai sifat diet utamanya.
Habitatnya di kawasan air sedikit berarus. Dalam erti kata lain, peluang untuk memperoleh bujuk di kolam atau lombong yang tidak bersambung dengan sistem sungai amat tipis sekali. Begitu juga di kawasan jeram yang laju arusnya.
Habitat liar bujuk sememangnya mengelirukan. Jangan cepat terpedaya dengan parit kecil yang kelihatan seperti tak berpenghuni. Kebanyakan bujuk menghuni sungai atau parit yang dasarnya bertunggul, longgokan daunan, berlumut dan berair sejuk.
Air tanah gambut
Air yang berwarna gelap bukanlah bermakna kualiti air itu kotor atau kurang oksigen seperti air longkang. Paya tanah gambut yang lazim airnya berwarna hitam gelap jarang tidak dihuni oleh bujuk.
Kawasan redup
Jika anda menemui lokasi sebagaimana yang digambarkan, jangan sesegan untuk melontar umpan ke kawasan tersebut. Bujuk dipercayai gemar berlegar sekitar kawasan redup atau di bawah naungan pokok rimbun untuk memburu mangsanya.
Cepat mati
Walaupun kelihatan lasak dan tinggal di habitat mencabar tetapi apabila terkena mata kail, ikan bujuk cepat tertekan dan mudah mati. Daripada membiarkan ia mati secara perlahan-lahan selepas terkena mata kail maka lebih baik ia dibawa pulang dan dimasak.
Boleh menyerang manusia jika terdesak. Walaupun belum ada kes tetapi tidak perlulah menciptanya semata-mata untuk membuktikan ia sememangnya betul.
Perubahan warna.
Rasa-rasanya inilah fakta yang paling penting. Bukan ikan bujuk saja, ikan-ikan lain pun turut dipengaruhi oleh persekitaran terutamanya faktor air. Atas sebab itulah anda akan melihat warna badan ikan bujuk sedikit berbeza di lain-lain tempat.
Sekarang ini ramai pihak penganjur yang berlumba-lumba mengadakan pertandingan memancing dengan tawaran hadiah yang mampu memukau ramai pemancing untuk turut serta. Malah individu yang tak pernah pernah pegang joran nak join sama.
Sekiranya korang sudah biasa sertai pertandingan memancing tentu tidak akan berhadapan dengan banyak masalah (walaupun belum pasti tak kumpau). Tetapi jika korang tak pernah join walaupun pertandingan secara kecil-kecilan, korang kena luangkan sedikit masa untuk hadam panduan berikut supaya tak kumpau.
Sama ada pertandingan di kolam, tasik atau lombong, sebaiknya buat kajian serba sedikit tentang teknik memancing di lokasi pertandingan sebelum menyertai pertandingan yang diadakan. Selidik juga apa spesies ikan yang dipertandingkan dan umpan yang tepat untuk memancingnya.
Untuk memperoleh spot pancing berpotensi tinggi untuk strike, datanglah awal untuk pendaftaran dan dapat undian memasang pancang. Kemudian (jika dibenarkan) jagalah kawasan pancang (spot) agar tidak dicerobohi oleh pemancing yang lain.
Sebaiknya sertai pertandingan tersebut secara berkumpulan. Lagi ramai lagi bagus apatah lagi jika korang tak pernah menyertainya. Selain itu ia bagus untuk tujuan keselamatan dan peluang untuk peroleh strike dalam pertandingan juga lebih cerah.
Fahami betul-betul syarat pertandingan yang ditetapkan oleh penganjur. Ia sebenarnya langkah pertama yang teramat penting untuk difahami di supaya tidak berputih mata jika hasil tangkapan yang berjaya didaratkan tidak dibatalkan kerana melanggar syarat.
Perkara utama sebelum menyertai pertandingan adalah menguasai teknik balingan. Pastikan anda mampu membuatkan balingan dengan lurus dan tepat. Pastikan juga lubuk yang dilabuhkan umpan itu berada tepat di hadapan anda, bukannya tepat di hadapan muka peserta hujung sebelah kiri atau kanan anda.
Pastikan alatan pancing yang digunakan adalah bersesuaian. Joran, kekili, tali utama, perambut dan mata kail adalah berkualiti bagi mengelak daripada kegagalan fungsi ketika bertarung dengan ikan. Harus diingat, banyak kejadian kumpau disebabkan oleh perkara ini.
Jadilah pemancing yang sporting dan bertimbang rasa. Beri laluan kepada pemancing yang sedang cuba menaikkan ikan kerana perkara yang sama juga kita harapkan apabila berhadapan dengan situasi demikian.
Elakkan dari melakukan sebarang penipuan atau sabotaj semata-mata untuk memenangi pertandingan. Dan sebaiknya juga elaklah dari menyertai pertandingan yang jelas melanggar hukum syarak. Lagi parah kalau kumpau.
Seawal jam tujuh pagi, kami berempat berkumpul di gerai Kak Jenab di simpang jalan. Di sini aku sempat bertanyakan kepada beberapa orang pakcik yang duduk makan di situ tentang Sungai Selangor. Masing-masing mengakui memang banyak spesies ikan yang ada di situ termasuk baung, sebarau, tengas, lampam dan juga kelah. Cuma, kata seorang pak cik yang dikenali dengan nama Pakcik Dolah, kami dinasihatkan supaya berhati-hati. Kawasan hulu dikatakan agak keras dan misteri.
Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda. Jalan tanah merah dan berbukit menjadi cabaran pertama kami. Nasib baik tidak becak. Setengah jam melalui jalan merah yang berbonggol itu akhirnya kami tiba di hujung jalan mati. Hanya kenderaan seperti motosikal yang boleh melalui denai kecil yang ada di situ.
Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya hanya 200 meter dari situ. Memercik peluh jantan saya mengusung alatan memancing dan sebuah khemah bentuk A. Sebenarnya hajat kami untuk bermalam sekiranya hasil tangkapan memberangsangkan.
Haikal memilih sebuah kawasan lapang yang mempunyai batu besar di depannya. Sungai di kawasan hulu ini agak berbatu dengan airnya mengalir deras. Kesunyian hutan kadang-kadang dipecahkan dengan bunyi jeritan sang ungka berbulu merah yang galak bergayut dari dahan ke dahan.
Keletihan berjalan tidak melunturkan semangat kami untuk mencuba aksi penghuni di Hulu Sungai Selangor ini. Kami mencuba teknik mengilat di kawasan berbatu ini. Hasilnya memang tidak mengecewakan apabila masing-masing menaikkan sebarau yang seberat 800 gram-1 kilogram setiap seekor. Boleh tahan!
Gewang yang kami lontarkan memang tidak sia-sia sehingga kami rasakan bagaikan berpesta sebarau di situ.
Menjelang petang, kami berempat mengambil keputusan untuk bermalam. Saya menanak nasi manakala Budin pula membersihkan enam ekor ikan sebarau yang akan dipanggang dan di cicah sambal kicap yang telah disediakan oleh isteri Haikal.
Selesai menanak nasi, barulah aku mengambil wuduk di tepi anak sungai. Ketika itu kawasan sekitar sudah menjadi gelap dan agak suram.
Nasib baiklah aku sudah mengumpulkan ranting dan dahan kayu yang akan dibakar untuk menjadi unggun malam ini. Nak diharapkan pada pelita ayam yang dibawa, berapa sangat nak diterangkan kawasan yang ada.
Selesai solat Maghrib, aku menyediakan juadah. Tiga orang sahabatku sudah tidak nampak kelibat lagi. Mungkin mereka sedang berehat di dalam khemah. Aku tidak kisah sangat kerana aku tahu masing-masing keletihan dengan aktiviti yang padat hari ini.
Ketika sedang menyuap nasi yang terakhir, aku mula terbau wangi seolah-olah harum kemboja. Ada kalanya bau itu bertukar menjadi bau minyak atar dan bau kenanga putih. Aku tidak mempedulikan semua itu.
Ikan sebarau panggang berbaki seekor yang berminyak itu aku ambil untuk meratahnya lalu aku cubit isi dagingnya dan ku cicah dengan sambal kicap. Fuhh, memang nikmat, tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.
Ketika sedang melayan keenakan isi ikan sebarau itu, ekor mataku dapat menangkap satu lintasan orang yang berjalan bertongkat. Berderau darahku apabila mengangkat kepala, seorang nenek tua, memakai baju kebaya yang agak usang dengan berkain batik sedang memandang ke arah aku sambil tersenyum.
Dia menggenggam sebatang tongkat yang diperbuat daripada kayu cengal rasanya. Tongkat itu sedikit bengkok namun berbonjol bulat di atasnya.
“Jemput makan nek,” spontan aku bersuara walaupun sedikit gugup. Entah kenapa aku tidak rasa takut sedikit pun. Di dalam hati, aku mengulang-ulang membaca ayat Qursi tanpa henti.
“Makanlah cu. Terima kasih kerana tidak membuat onar di sini,” jawabnya perlahan dan agak tersekat-sekat. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Minta maaf kalau saya mengganggu kawasan nenek. Saya cuma mencari sedikit rezeki di sini,” kataku lembut. Aku perasan mata nenek bertongkat cengal ini agak merah dan ke dalam. Tudung putih yang dipakai pula bergoyang ditiup angin.
“Tak apa. Nenek izinkan. Kita semua makhluk Allah. Esok selepas cucu dapat apa yang cucu mahu, pulanglah dengan selamat”.
“Errrrr nek….” Aku segera memintas katanya. “Saya teringin nak makan ikan kelah. Di sini takde ikan kelah ke?” berani betul aku meminta.
Nenek tua itu tidak menjawab. Dia hanya senyum dan berjalan perlahan. Lima saat kemudian, dia hilang dari pandangan. Hanya kabus nipis yang tinggal di tempat akhir dia berdiri.
Aku tidak lalu makan. Perasaan mula berbaur. Rasa takut, seram, hairan mula menghantui di benakku. Hairannya tiga lagi orang kawanku seolah-olah tidur mati. Kenapalah aku yang dipilih untuk merasai kejadian aneh ini???
Aku tidur dalam keadaan gelisah. Bayangan nenek tua bertongkat yang aneh dan bau-bau harum membuatkan tidurku tidak tenang sepanjang malam. Namun syukurlah tiada lagi kejadian aneh yang berlaku selepas itu.
Usai solat Subuh, aktiviti memancing kami sambung semula. Sesuatu yang menghairan, pagi itu gewang aku dimakan oleh ikan kelah yang bersaiz besar. Peristiwa ini tidak berlaku pada tiga sahabatku yang lain. Aku memanjat kesyukuran di atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.
Kami berempat balik dengan tangkapan yang agak luar biasa hingga kami dapat menjual sebahagian hasil tangkapan dan mendapat untung yang lumayan. Sesungguhnya aku mengerti, di bumi ini kita memang berkongsi tempat dengan makhluk Allah yang lain. Dan aku, antara mereka yang sudah merasai pengalaman ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...