Lain lokasi lain panduan dan kaedah memancingnya walaupun memburu spesies yang sama. Begitu juga dengan situasi padang pancing popular Air Ganda di Gerik, Perak ini.
Berikut merupakan serba sedikit panduan & tip untuk korang yang kali pertama ke Air Ganda.
Penginapan
Khidmat memancing di sini berkonsepkan pakej casting harian. Jika kaki pancing bercadang nak memancing ekstra, perlulah menginap di hotel di pekan Gerik sebelum keesokan harinya datang semula ke Air Ganda.
Pancing layang
Selain casting menggunakan umpan tiruan atau gewang, Air Ganda juga menjadi kegemaran kaki fly fishing untuk bergasak dengan toman.
Malah jika korang berhasrat untuk memancing toman dengan menggunakan umpan keli pun bukanlah satu kesalahan.
Sesat
Ads
Korang juga boleh membawa bot sendiri sini, tetapi tidak ramai yang berani membawanya, lantaran landskap Air Ganda yang berliku-liku yang mampu menyesatkan. Jadi, gunakan saja khidmat guide yang ditawarkan.
Taktikal gewang
Pada awal pagi gunakanlah gewang jenis permukaan atau top water kerana toman lebih tertarik dengannya.
Selain itu pada ketika inilah korang berpeluang melihat sambaran-sambaran rakus gewang di depan mata.
Ads
Zon strike
Peluang untuk mendapatkan strike toman amat tinggi sekiranya gewang dilontar sehampir mungkin di bahagian hadapan atau sisinya.
Lontaran di bahagian belakang (bahagian ekor) agak sukar mendapat sambaran.
Penyelamat gewang
Alat penyelamat gewang atau lure retriever jangan sesekali terlupa bawa jika ke sini. Lebih-lebih lagi jika menggunakan gewang selam dalam atau kes tersangkut.
Ads
Tiada musuh
Populasi toman Air Ganda sentiasa membiak ekoran faktor makanan (ikan loma) yang banyak selain faktor dipenuhi bangkar-bangkar kayu dan tiada musuh.
Tapau
Makanan tengah hari perlu dibeli siap-siap dari luar atau bagi yang rajin memasak bolehlah membawa kelengkapan ringkas.
Sayangi nyawa
Bekalan air terutama air mineral juga perlu cukup kerana casting seharian memerlukan tenaga dan air yang banyak. Dan tentu saja jangan dilupakan jaket keselamatan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Selepas mengambil gambar tidak kira sama ada di laut mahupun darat, anda hendaklah sentiasa membersihkannya sebelum simpan di dalam beg kamera. Ia amat penting supaya kamera tersebut tidak termasuk pasir, air mahupun habuk.
Kamera amat sensitif dengan air terutamanya air laut mahupun air tawar. Jika terkena, segera lap dengan kain bersih dan kering.
Kamera yang terdedah dengan kelembapan tinggi akan menyebabkan fungus dan kulat membiak terutamanya lens yang boleh menjejaskan kualiti gambar.
Lilit, jangan gantung.
Lilitkan strap kamera anda di tangan berbanding gantung di leher. Ini kerana jika anda gantung di leher, ia akan menarik perhatian ramai untuk meragut. Jangan sesekali abaikan keselamatan kamera ini kerana sekali jatuh, memang menangis jawabnya.
Beli gel silika.
Gel silika digunakan untuk menyerap kelembapan kamera. Gel silika ni mudah didapati di pasaran. Harganya pun bukan mahal.
Kepentingan filter
Filter digunakan untuk melindungi lens anda dari sebarang calar. Sekiranya anda mempunyai 5 lens, seeloknya beli UV filter untuk melindungi lens tersebut.
Beg plastik
Kalau turun ke laut, sila pastikan anda membawa beg plastik atau kain batik atau tuala khas untuk kamera sahaja. Bukan tuala tersebut bercampur dengan peluh-peluh anda.
Ini adalah kerana tuala atau kain tadi dapat mengelakkan pasir masuk ke celah-celah lens. Balut kamera tersebut bila naik bot.
Cuci tangan
Cuci tangan bersih-bersih selepas anda memakai losyen, sunblock, minyak rambut atau sebarang produk penjagaan diri. Ini adalah kerana kamera amat sensitif dengan bahan-bahan ini.
Habitat dan lokasi untuk pancingan bujuk lazimnya di kawasan parit atau paya di pinggir hutan, antara perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah aspek keselamatan. Terutamanya kawasan pinggir hutan yang jauh dari jalanraya atau penempatan. Oleh yang demikian, aspek keselamatan seperti yang disenaraikan di bawah ini harus diutamakan.
Selain pakaian yang tahan lasak dan bersesuaian, pemilihan alas kaki juga penting. Sebaiknya elakkan memakai alas kaki yang banyak mendedahkan bahagian kaki seperti selipar atau sandal. Lebih baik sekiranya memakai bot getah tinggi separas lutut.
Sekiranya gewang atau ikan tersangkut pada sesuatu struktur di dalam air, sebaiknya jangan masuk ke dalam air terutamanya paya yang tidak dikenali pasti tahap kedalaman dan dasarnya. Putuskan saja tali pancing dan anggap saja bukan rezeki.
Berhati-hati dengan tempat berpijak sama ada di bahagian tebing ataupun batang-batang pokok tumbang. Pastikan tebing tempat berpijak itu tanah keras supaya tidak terjerumus ke dalam tanah lembik atau terpijak batang pokok yang reput.
Elakkan dari meniti batang kayu tumbang yang merentangi paya atau anak sungai. Jika tiada pilihan dan perlu meniti juga, selidik dulu tahap keteguhan batang kayu tersebut. Kemudian carilah dahan atau ranting pokok yang panjang sebagai pengimbang atau tongkat.
Sekiranya menggunakan katak sebagai umpan, pastikan katak tersebut disimpan di tempat yang selamat. Menggantung guni yang berisi katak pada pinggang sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kerana terdedah kepada serangan ular-ular berbisa yang turut memakan katak.
Sekiranya lubuk memancing jauh ke dalam hutan atau dalam kawasan ladang sawit yang luas, pastikan korang sentiasa ingat di mana korang berada dan jalan keluar. Ia dapat menyelamatkan korang daripada sesat. Lebih berisiko sekiranya korang baru sedar sudah tersesat apabila mencari jalan keluar tatkala hari sudah mula gelap.
Pastikan senjata seperti parang atau pisau ada diikatkan pada badan korang. Dan lebih penting lagi korang harus berani untuk menggunakannya apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti terserempak dengan binatang liar seperti ular, beruang dan sebagainya lagi.
Jangan tamak atau kedekut spot hingga sanggup pergi secara bersendirian. Carilah teman sekurang-kurangnya seorang kerana tiada siapa yang dapat menjangka sebarang kejadian buruk bakal berlaku. Apatah lagi di kawasan hutan terpencil yang terputus hubungan telefon.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...