Selalunya kawasan muara sungai antara spot pancing sembilang yang cukup digemari kaki pancing. Seperti spesies ikan baung, kumpulan ikan pemakan dasar ini biasanya bergerak secara berkumpulan dan cukup agresif memakan umpan jika ditemuinya.
Jika umpan dilabuhkan ke kawasan yang mempunyai ikan sembilang, selalunya umpan akan dijamah berterusan. Tidak hairanlah pancingan ikan sembilang tidak memerlukan anda menukar spot pancing dengan kerap.
Memancing spesies ini juga tidaklah sukar dan pemancing boleh memancing dengan lebih santai dengan penggunaan alatan pancing yang agak ringkas. Teknik dasar merupakan teknik pancingan terbaik bagi memancing spesies sembilang. Jarang sekali kedengaran spesies ini dinaikkan menggunakan teknik pancingan lain.
Ads
Selalunya waktu terbaik memancing ikan sembilang ialah ketika waktu pagi dan lewat petang terutama ketika air bergerak surut atau bergerak pasang. Jika mahu memancing sembilang, sebaiknya pilih ketika waktu baru lepas hujan di mana air agak keruh.
Keadaan air yang keruh merupakan waktu terbaik untuk memancing kumpulan ikan bermisai termasuk ikan sembilang kerana kumpulan ikan ini aktif pada keadaan air sedemikian.
Ads
Set pancing ringan sudah memadai dan set sebegini antara pilihan penulis jika memancing ikan sembilang. Beberapa teknik perambut boleh digunakan termasuk perambut asas satu mata atau perambut 2 atau 3 mata dengan batu ladung di bawah.
Ads
Pilihan penggunaan umpan pula agak banyak, tidak perlu risau kerana spesies ini tidaklah cerewet memakan umpan. Antara pilihan umpan terbaik memancing spesies bermisai ini termasuklah udang hidup, udang kopek, umpun-umpun, anak ketam nipah, isi kerang dan sebagainya.
Terpulang kepada pilihan anda sendiri, yang pastinya bila lama tak layan tarikan ikan sembilang, sekali turun memancing layan sembilang memang lain macam syoknya. Paling syok bila dah pulang memancing tu, layan nasi lauk sembilang lemak cili api pula. Fuhhh, sembilang dapat, sodap pun sodap, kenyang pun dapat.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan spesies demersal adalah ikan yang habitatnya (makan dan hidup) di dasar laut. Ia berlawan dengan sifat ikan pelagik. Terdapat pelbagai spesies ikan demersal namun dalam sukan memancing jigging perlahan yang berkonsepkan pancingan ikan dasar, terdapat beberapa spesies demersal yang menjadi sasaran utama atau target species para pengamal teknik pancingan yang berkiblatkan negara Jepun ini.
JENAHAK
Nama saintifik: Lutjanus Johnil
Nama Inggeris: Golden Snaper, John’s Snapper
Nama Tempatan: Jenahak, jenak, ungah
Nama Hokkien: Ang Zho
Ikan yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae ini merupakan spesies yang paling popular dalam 60 genus lutjanus yang memakai nama jenahak. Ikan jenahak boleh hidup sihat dan berenang bebas di kawasan laut beriklim tropika dan sub-tropika.
Ia mampu membesar sehingga satu meter panjang dan seberat 13 kilogram. Ia mudah dikenali dengan tompok hitam bulat di bahagian belakang badannya. Dalam disiplin jigging perlahan, ia merupakan ‘ikan sisik’ yang berada di ranking paling atas dalam spesies buruan utama.
Bahkan dalam sesuatu trip jigging perlahan, trip berkenaan boleh dianggap gagal atau kumpau jika gagal mendaratkan jenahak.
KERAPU
Nama saintifik: Epinephelus malabaricus
Nama Inggeris: Malabar Grouper
Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas
Nama Hokkien: Koay Gau
Kerapu atau boron ini mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter. Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang.
Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat. Dalam disiplin jigging perlahan, ia menjadi spesies buruan utama dari aspek saiz dan daya juangnya yang padu. Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan.
KAKAP MERAH
Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus
Nama Inggeris: Mangrove jack
Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong
Nama Hokkien: Ciak Zho
Ikan kakap atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan. Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.
Dalam disiplin jigging perlahan, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan. Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.
KACI
Nama saintifik: Diagramma pictum
Nama Inggeris: Grunts (sweetlips)
Nama tempatan: Kaci, mandi abu
Nama hokkien: Ka Chee
Ciri-ciri untuk mengenali kaci atau mandi abu ini memiliki 9-10 duri pada sirip dorsal, 20-24 tompok sinar lembut. Kaci juvana atau sub dewasa memiliki tompok atau jalur. Ia mampu membesar sehingga 100 cm namun saiz biasa yang ditemui sekitar 45 cm.
Dalam dunia memancing khususnya pancingan kolam air masin, kaci ini lebih merujuk kepada panggilan kakap merah. Sementara dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini hampir tidak tersenarai dalam buruan utama berikutan ia pernah dianggap tidak membaham jig kecuali jig yang ‘berumpan’.
Namun tentangan yang diberikan kaci sehingga ke permukaan membuatkan ia kini menjadi spesies yang ingin diburu.
MERAH
Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat
Nama Hokkien: Ang Sai, Ang Koi
Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu. Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.
Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig. Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan.
KERAPU SUNOH BARA
Nama saintifik: Plectropomus leopardus
Nama Inggeris: Common coral trout, leopard coral grouper
Nama tempatan: Sunoh, kerapu bara, kerapu bintang
Nama Hokkien: Ang Gau
Kerapu ini dapat dikenali menerusi badannya yang dilimpahi titik biru kecil. Bulatan cincin biru yang tersendiri di sekeliling mata. Dan sirip pektoral yang polos tanpa warna. Ia mampu membesar sehingga 120 cm panjang namun saiz yang lazim didapati sekitar 35cm sahaja.
Dalam disiplin jigging perlahan ia merupakan spesies tangkapan impian berikutan kesukaran untuk mendapatkannya, khususnya di perairan Selat Melaka yang merupakan padang pancing utama jigging perlahan.
Di Malaysia terdapat dua jenis ikan ebek yang sering dinaikkan dan boleh mengelirukan.
Kebanyakan pemancing tidak menyedari perbezaan ini dan memanggil kedua-duanya sebagai ebek saja.
Ebek yang dimaksudkan ialah ikan ebek kapak dan ebek bulat. Ebek kapak merupakan spesies Alectis indica manakala spesies ebek bulat pula merupakan spesies A. ciliaris.
Taksonomi Ebek Bulat
Kingdom:Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Family: Carangidae
Genus: Alectis
Species:A. ciliaris
Binomial name: Alectis indica (Bloch, 1787)
Sama tapi tak serupa
Perbezaannya pula dapat dilihat melalui bentuk badannya mana ebek kapak mempunyai bentuk badan yang lebih bersudut terutama pada bahagian kepala. Sementara kepala ebek bulat pula lebih membulat.
Dan ebek kapak juga mempunyai tompok hitam pada bahagian operkulum atas berhampiran dengan sirip pektoral sedangkan tanda hitam ini tidak hadir sama sekali pada ebek bulat sama ada spesimen juvenil atau dewasa.
Ebek bulat juga mempunyai badan yang lebih padat dan tebal berbanding ebek kapak. Ebek bulat mampu membesar panjang sehingga 150cm dan berat maksimum 30kg.
Sementara ebek kapak pula lebih panjang sehingga 165cm dan berat maksimum pula sekadar 25kg.
Selain itu sirip kaudal ebek bulat lebih panjang selain mempunyai sirip anal yang lebih panjang berbanding ebek kapak. Walaupun pada spesies dewasa, juraian sirip ini masih kelihatan pada ebek bulat.
Dalam pancingan, ebek bulat agak cerewet dengan umpan tiruan dan lebih mudah dinaikkan dengan menggunakan umpan sotong atau udang hidup manakala ebek kapak pula lebih mudah terpedaya dengan unjunan besi atau pancingan dasar.
Ikan pari berkait rapat dengan jerung. Ya, jangan pula tak tau ikan pari juga berkait rapat dengan keluarga jerung. Walau bagaimanapun, tidak seperti saudaranya jerung, ikan pari tidak mempunyai rangka bertulang. Badannya hanya terdiri daripada tulang rawan sama seperti yang ada pada hidung dan telinga manusia.
Ekornya yang panjang kebiasaannya mempunyai sengat di pangkal ekor yang sangat beracun. Ya, umum mengetahui bagaimana sengatan ikan pari mampu menumbangkan manusia. Banyak kes terjadi yang mana akibat tidak berhati-hati mengendalikan ikan pari menjadikan sengatnya hinggap pada kaki atau tangan manusia. Tetapi ada juga spesies pari yang tidak mempunyai sengat pada ekornya. Ikan pari bendera atau kelawar.
Ikan pari menjadikan kerang-kerangan dan udang sebagai diet utamanya. Atas faktor mulutnya yang berada di bawah badan menjadikan ikan pari lebih menjadikan spesies bercangkerang dan udang sebagai diet utamanya. Tetapi untuk lapangan memancing, umpan yang biasa digunakan untuk memikat pari selain udang hidup ialah ikan bolos, hirisan ikan dan juga sotong.
Ikan pari tidak menggunakan mata untuk mencari mangsa. Ya, disebabkan matanya berada di atas badan, mereka hanya menggunakan elektro-sensor yang dikenali sebagai ‘ampullae of lorenzini’ untuk mencari makanan.
Ikan pari biasanya hidup bersendirian, tetapi ada juga yang hidup berkumpulan. Tidak seperti sesetengah spesies yang hidup berkumpulan, ikan pari biasanya mengamalkan sikap solitary. Namun bagi spesies pari manta, mereka lebih mengamalkan hidup di dalam kumpulan yang lebih dikenali sebagai ‘schooling’.
Ikan pari melahirkan anak sekali setiap tahun setiap tahun, ikan pari betina mampu melahirkan anggaran 2 hingga 6 ekor anak yang mana ianya mampu hidup sekitar 15 hingga 25 tahun di dalam habitat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...