Candat atau squid jig merupakan alat yang direka khusus untuk menipu sotong agar menyambarnya.

Justeru apabila menyebut candat maka secara automatik ia akan dikaitkan dengan sotong.

Terdapat pelbagai jenis candat yang terdapat di pasaran kita dan masing-masing mempunyai satu persamaan iaitu untuk menjerat sotong pada dawai tajamnya.

 

CANDAT LIDI

 

Ada juga yang memanggilnya candat apollo kerana ia digunakan dengan kaedah perambut apollo atau ikatan paternoster rig.

Ia merupakan candat `killer’ masa kini berikutan penggunaannya dikatakan amat berkesan berbanding candat-candat lain.

Cara penggunaan sama saja dengan cara menggunakan candat mayat secara berangkai dan dibantu oleh candat twist sebagai pemberat.

 

CANDAT TWIST

 

Candat twist lazimnya berfungsi sebagai pemberat. Ia diperbuat daripada timah (ada juga yang mengubahsuai batu ladung), dan badannya dibalut dengan kain atau tali sulam yang berkilat terang atau mampu memantulkan cahaya.

Ia turut dilengkapkan dengan mata kail candat yang berfungsi sebagai penyangkut sotong. Selain berfungsi sebagai pemberat, ia turut sama berupaya untuk memerangkap sotong dan tersangkut pada mata kailnya.

 

CANDAT MAYAT

Candat mayat lebih merujuk kepada bentuk seumpama bentuk mayat yang dikafankan. Ia lazimnya diperbuat daripada plastik atau getah yang mampu menyerap dan memantulkan cahaya.

Badannya dibalut dengan fabrik nipis berkilau dengan pelbagai warna. Ia turut dilengkapi satu atau dua sisir mata kail.

IKLAN

Tanpa kehadiran pemberat, ia perlu digunakan bersama pemberat. Candat twist lazimnya digunakan sebagai pengganti pemberat.

 

CANDAT UMPAN

 

Candat umpan lebih merupakan alat yang diperbuat daripada besi atau dawai keras sebesar lidi kira-kira sejengkal dan bersisir dengan mata kail dibawahnya.

Sepadan dengan nama candat umpan, ia perlu dicucuk dengan ikan sebagai umpan untuk menarik perhatian sotong.

Dan penggunaan pemberat diperlukan bagi mempercepatkan proses ia tenggelam ke dasar laut.

 

CANDAT UDANG

 

Candat udang atau squid jig sebenarnya adalah gewang tiruan berbentuk udang yang dilengkapi mata kail bersisir, yang lazimnya digunakan untuk mencandat sotong mengabang.

Dalam masa yang sama ia turut berkesan untuk mencandat sotong torak atau sotong jarum.

IKLAN

Namun ia tidak sesuai digunakan secara berangkai (teknik apollo dua atau tiga candat) seperti mana candat mayat berikutan kehadiran pemberat akan menyebabkan ia mudah berpintal dengan perambut.

 

CANDAT IKAN

 

Candat ikan atau turut dikenali sebagai candat buntal lebih merupakan candat yang direkabentuk seperti ikan.

Ia mempunyai ciri-ciri ringan dan tiada pemberat. Badannya pula agak gemuk dan gempal. Berikutan keberkesanannya bergantung kepada kualiti penghasilannya, ia kurang popular

dan tidak banyak digunakan. Namun candat mayat yang berkualiti mampu mengatasi keberkesanan candat-candat lain.

 

CANDAT GEWANG

 

Candat ini dinamakan sebagai candat gewang kerana bentuknya hampir sama dengan gewang replika ikan yang digunakan untuk memancing ikan.

IKLAN

Jika tidak kerana gelungan dawai pada bahagian belakang candat, pasti ramai menyangka ia adalah gewang untuk casting ikan.

Walau bagaimana pun penggunaan candat jenis ini lebih tertumpu kepada casting sotong mengabang sahaja.

 

CANDAT PAYUNG

 

Bentuk dan konsep candat jenis ini hampir sama dengan candat mayat. Namun badan candat diberi nafas baru dengan dihasilkan dari getah sintetik yang bercahaya atau bersifat

luminous. Berikutan cahaya yang dipantul dari badan candat ia mampu menarik perhatian sotong dengan lebih efektif.

 

CANDAT LED

 

Candat ini merupakan inovasi terbaru dalam penciptaan candat untuk memikat sotong. Konsep yang dipersembahkan oleh candat lebih bersifat secara terus.

Iaitu menggunakan cahaya untuk menjerat sotong. Lampu LED yang dinyalakan di dalam candat dengan kuasa bateri merupakan senjata utama candat ini. Namun ia belum digunakan secara meluas untuk mengetahui sejauh mana keberkesanannya.

 

CANDAT BEKAS UMPAN

 

Sebenarnya saya sendiri belum pasti nama sebenar candat ini. Namun cara penggunaannya hampir sama saja dengan candat umpan atau candat besi.

Caranya ialah dengan memasukkan isi ikan di dalam bekas candat dan cara penggunaannya pun sama saja dengan cara menggunakan candat umpan.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI