
SOALAN:
Susah rupanya nak nak pancing ikan ebek ni! Sehingga sekarang saya masih belum lagi ada lesen ebek. Boleh tak admin kongsi sedikit tip untuk memancing ebek?
JAWAPAN:
Pada Asasnya, ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin dalam kitaran makanan lautan. Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krustasea sebagai mangsanya sekaligus menjadikan senarai tersebut sebagai diet makanan utama.
Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidak sesukar mana. Bermula dari kawasan muara sehinggalah ke laut lepas. Antara lokasi terbaik memancing ebek ialah di kebanyakan perairan Terengganu dan Pahang. Waktu sesuai untuk memburu ebek dikatakan sekitar bulan Februari hingga Jun setiap tahun.
Lubuk terbaik untuk memburu ebek ialah di kawasan yang mempunyai struktur seperti batu atau karang.
Selain dipancing dengan menggunakan umpan konvensional, ebek turut menjadi spesies idaman penggemar teknik jigging menggunakan kepingan besi atau jig. Tidak dinafikan dalam sukan memancing, ebek merupakan antara spesies buruan berikutan aksi pertarungan yang dipersembahkannya.
Ebek boleh dipancing dengan teknik dasar atau jigging/light jigging di kawasan berbatu. Jig yang dipilih sebaiknya warna silver, hijau. Tetapi warna jig yang terang seperti pink, juga boleh, namun bergantung juga kepada lokasi, air, kedalaman air.
Diet utama ebek ialah krustasea bergerak perlahan. Jadi umpan yang efektif yang mungkin anda boleh cuba ialah udang hidup. Selain itu, tamban, ketam angin dan sotong cumit juga boleh digunakan. Gunakan perambut yang panjangnya sekitar 3 kaki ke atas.
Trip Retro – Sejenak Di Kelong Abu

Kelong menjadi salah satu tempat pilihan yang mudah bagi para pemancing untuk beriadah bersama keluarga atau bersama kawan-kawan.
Melalui perbincangan bersama rakan-rakan, Abang Key, Saliman, Senyum, Din Bagak dan Ajied, kami berenam telah sepakat memilih untuk ke Kelong Abu sebagai tempat pilihan untuk memancing sambil menyaksikan keindahan pulau-pulau berhampiran dengan kelong tersebut.
Kelong Abu terletak di Pantai Siring, Melaka dan menjadi tumpuan pada kaki-kaki pancing untuk menghabiskan masa cuti bersama keluarga atau bersama rakan-rakan.
Kemudahan yang disediakan di kelong ini termasuklah tandas, bilik tidur, dapur memasak dan lampu untuk pancingan pada waktu malam.
Kami sampai di Jeti Nelayan Pantai Siring, Melaka pada jam 5 petang dan tanpa berlengah kami terus mencari En. Abu untuk menghantar kami ke kelong beliau.
Kemudahan tempat meletak kenderaan di Jeti Pantai Siring ini amat baik kerana kenderaan pemancing akan dijaga dengan bayaran dikenakan hanya RM2 sahaja.
Jadi pemancing boleh memancing dengan tenang tanpa memikirkan keselamatan kenderaan yang diletakkan di jeti. Perjalanan dari jeti ke kelong mengambil masa 10 minit menaiki bot fiber yang disediakan.
Bayaran yang dikenakan untuk memancing di kelong ini ialah RM30 seorang. Pada hari tersebut hanya group kami sahaja yang turun memancing, maka dapatlah kami memancing dengan penuh privacy.
Setibanya di Kelong, kami tidak membuang masa memasang semua kelengkapan untuk memancing. Umpan udang hidup dan udang mati menjadi taruhan. Kami tidak menunggu lama untuk umpan direnggut ikan tapi kami hanya berjaya menaikkan ikan duri, gelama dan beberapa ekor ikan ketuka sahaja.
Menjelang malam, cuaca yang sebelumnya cerah menampakkan bintang tiba-tiba bertukar gelap dan hujan lebat turun berserta angin kuat memaksa kami berehat sahaja di dalam bilik dan tidur.
Keesokan hari, seawal jam 5 pagi, kami telah memancing semula dengan harapan ada ikan yang bersaiz lebih besar sudi menjamah sarapan pagi yang kami sediakan. Mungkin disebabkan hujan dan angin kuat semalam telah membuatkan ikan-ikan bertempiaran lari bersembunyi di karang-karang kerana tiada berlaku renggutan ikan pada waktu pagi.
Setelah menunggu hampir 2 jam, akhirnya joran saya direnggut seekor ikan yang bersaiz agak besar. Seekor ikan tebal pipi atau nama saintifiknya ‘pomadasys kaakan’ berjaya dijinakkan di atas kelong. Dengan berjayanya menaikkan ikan ini, kami percaya memang terdapat ikan-ikan bergred A di kawasan sekitar Kelong Abu ini.
Trip kedua akan menyusul pada tarikh yang akan ditetapkan nanti. Kami berkemas-kemas untuk pulang memancing pada jam 10 pagi. Meskipun trip kali ini hanya seekor sahaja ikan yang bersaiz besar tapi kami tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.
Variasi Ikan Pancingan Yang Direkodkan!!

Swordfish (ikan todak atau pedang) terbesar yang ditangkap dan tercatat memiliki berat 1,182 lb. Louis Marron adalah pemancing yang berjaya menarik keluar swordfish raksasa dari Iquique, Chili Utara pada tahun 1953 menggunakan trolling dengan bonito sebagai umpan.

Selepas 15 minit bertarung, James M. Hussy berjaya mendaratkan seekor bluefish (ikan biru) seberat 31 lb 12 oz di perairan Hatteras Inlet di North Carolina, US.
Pada 13 Jun 1954, Cloyce Tippet berjaya mendaratkan seekor ikan roosterfish seberat 80lb di laut Cabo Blanco, Peru. Setting peralatan yang beliau gunakan ialah kekili Penn Senator, joran fiberglass Bob Kleiser dan tali pancing Ashaway.
Pada 26 Oktober 1962, Brian Batchelor berjaya memancing seekor bonefish seberat 19.5lb di perairan Zululand, Afrika Selatan.
Selepas bertarung selama 65 minit, Richard Lane berjaya menaikkan giant black sea bass seberat 557.3lb di perairan Catalina Island, California, AS. Kejadian itu berlaku pada 7 Januari 1962.

Pada 19 November 2010, Hideyuki Nemoto bertarung selama 40 minit untuk menewaskan seekor greater amberjack (aji-aji gergasi) seberat 156 lb 14 oz di perairan Iki Island, Nagasaki, Jepun.
Berlokasikan perairan Dampier Archipelago, Australia, Wayne Brown berjaya memancing narrow barred mackerel (tenggiri batang) seberat 80.3lb. Tarikh kejadian ialah pada 6 Ogos 2000 dengan menggunakan gewang garfish.

Sebesar mana aruan tasik yang pernah korang daratkan? Pada 9 Julai 1985, Petel Goulding berjaya menjinakkan cobia (aruan tasik) seberat 135.9lb! Kejadian itu berlaku di perairan Shark Bay, W.A., Australia.
Pada 14 Mac 1989, Dick Love berjaya mendaratkan cubera snapper (siakap merah) di Isla de Cano, Costa Rica seberat 51lb menggunakan umpan blue runner (sejenis ikan selar). Beliau mengambil masa 20 minit untuk menewaskan siakap merah gergasi itu.

Trip Throwback – Lubuk Merah Pelantar Minyak

Tepat jam 9.30 pagi, kami berlepas dari jeti Kampung Raja Besut. Namun selepas setengah hari bot meninggalkan jeti, perjalanan terpaksa dihentikan apabila hembusan angin barat tiba.Ia sekaligus membuatkan bot tidak boleh dikemudi dengan baik lantas mengundang olengan yang kuat.
Ketika ini, jalan terbaik adalah berehat di dalam kabin bagi mengelakkan mengganggu pemancing lain. Keselamatan juga lebih terjamin. Tetapi untuk mengelakkan trip ini membuang masa, Tekong menyarankan kami memancing dahulu di satu lubuk sementara menunggu angin reda dengan kedalaman air laut sedalam 60 meter.
Setelah menunggu selama setengah jam, kekili Command X-9 milik JohoNgail memecah kesunyian apabila umpan hirisan selar telah mengena umpan. Tewas seekor spesies ebek bersaiz 7 kg.
Angin masih bertiup kuat membuat bot kami hilang arah dan alunan yang tinggi membuatkan ramai yang tak tahan. Untuk tidak mahu mengambil risiko yang besar Tekong pun mengarahkan kami untuk bermalam sahaja di lubuk ini. Lagipun trip kami masih berbaki 2 hari di lautan. Kami meneruskan pancingan malam dengan teknik bottom dan juga teknik menghanyut umpan.
Dua teknik yang kami gunakan adalah dengan menggunakan teknik apollo dan pancingan hanyut. Teknik menghanyut umpan menggunakan leader kabel berkekuatan 40 paun ternyata berhasil apabila beberapa ekor aruan tasik berjaya didaratkan.
Umpan kembong dicangkok dengan mata kail bersaiz 4/0 dan dibiarkan hanyut di antara dasar dan permukaan air ternyata menarik perhatian spesies yang terkenal dengan larian padunya kerana bentuk badannya mampu membelah air umpama torpedo. Namun hasil spesies lain kurang memberangsangkan.
Hari kedua
Sebaik sahaja selesai bersarapan, Tekong membawa kami ke lubuk spesies merah. Setelah menghampiri lubuk, Tekong memberi nasihat agar bersiap sedia untuk menghulurkan umpan ke dasar. Perambut setengah depa dan mata kail bersaiz 3/0 dicangkok umpan sotong bersedia dilabuhkan.
Setelah menunggu beberapa minit sahaja, rod Baha telah disentap dengan kuat. Bimbang mangsa melarikan diri Baha membuat sentuhan setting pada kekili elektrik Banax Kaigen dan membiarkan sistem drag kekili elektriknya berfungsi sendiri.
Seekor merah bersaiz 8kg berjaya ditewaskan dalam masa pertarungan yang singkat. Selang beberapa minit kemudian, sekali lagi umpan yang dilabuhkan oleh Baha mengena lagi seekor merah.
Sememangnya spesies ini sedang kelaparan di dasar. Setelah berpesta selama 20 minit di lokasi pertama, Tekong membawa kami ke lokasi yang kedua. Perjalanan memakan masa cuma 10 minit sahaja. Kali ini giliran Ary berentap dengan seekor merah dan kerapu. Tidak disangka-sangka perambut apollo 2 mata buatan sendiri telah mengena dengan serentak.
Umpan yang digunakan hirisan ikan selar yang segar membuatkan spesies ini meragut dengan kasar. 2 lawan 1, itu yang mampu diungkapkan setelah Ary berjaya mendaratkan spesies merah dan kerapu ini.
Sementara itu, angin masih bertiup kuat dan kami tiada pilihan dengan mengambil keputusan untuk berehat di lokasi ini sehingga menunggu angin reda. Tepat pukul 7 malam, kami bertolak menuju ke Pelantar Jernih yang memakan masa selama 3 jam.
Kami memulakan sesi jigging dengan menggunakan jig luminus. Akibat dari pergerakan angin yang tidak menentu, ternyata tidak ramai yang melakukan teknik jigging disebabkan mabuk laut dan kepenatan.
Bad Zad dan Yaacob antara yang kekal setia untuk jigging. Hasilnya belasan ekor cupak berskala 3kg hingga 4kg berjaya dinaikkan.
Jika tidak menempuh alun yang kuat dan mabuk laut sesi pancingan dijangka meriah. Tetapi sifat lautan yang luas bukan perkara mudah untuk diduga.
Hari ketiga
Kesemua ahli trip mengambil kata sepakat untuk keluar dari kawasan Pelantar Jernih, untuk mencari spesies ikan merah. Lantas, Tekong menghala botnya ke satu lubuk kira-kira satu batu dari kawasan pelantar.
Sebaik sahaja sauh dilabuhkan, kami semua menurunkan pancingan masing-masing. Kali ini giliran awak-awak pula yang berjaya mendaratkan seekor lagi merah yang bersaiz 9kg. Namun selepas itu, tiada lagi getuan sang merah yang dicari. Agak pelik juga kerana biasanya ikan merah akan bergerak secara berkumpulan. Mungkin seekor ini tersesat agaknya.
Pada malam terakhir kami menyarankan kepada Tekong untuk turun semula ke Pelantar Jernih untuk bermain jigging dan popping. Dengan tenaga yang ada, 4 pemancing tetap menggunakan jigging dan selebihnya menggunakan teknik popping dan melontar ke arah tiang-tiang pelantar. Memang nak dijadikan rezeki, pada malam terakhir, kami berpesta cupak yang tidak henti menyambar umpan.
Secara keseluruhannya, ikan yang berjaya kami naikkan, merah bersaiz 5kg hingga 9kg – 5 ekor, kerapu bersaiz sekilo ke 5kg- 8 ekor, ebek 7kg dan 8kg – 2 ekor, aruan tasik 6kg – 2 ekor dan puluhan ekor spesies ikan unjam.
Kesimpulannya, trip ini boleh dikatakan berjaya juga, walaupun sasaran utama untuk menaikkan seberapa banyak spesies ikan merah agak kurang. Ini disebabkan alun yang kuat menyebabkan bot tidak boleh bergerak baik untuk berada di atas lubuk.