Secara jujur admin akui pernah berhadapan dengan perkara yang sama. Bezanya, saya hanya ditanya kenapa pakai tali braided, bukannya ditegur apatah lagi dimarahi. Lainlah kalau penggunaan tali braided menyalahi peraturan kolam. Sebenarnya, penggunaan tali tangsi ada kelebihan tersendiri berbanding penggunaan tali braided atau benang.
Tidak dinafikan masih ada sesetengah pemancing berstatus otai masih beranggapan tali braided akan menghasilkan dengungan di dalam dan dapat dilihat dengan jelas oleh ikan di dalam air. Atas faktor-faktor itu ikan tidak mendekati umpan. Jika benar anggapan begitu maka tiadalah pukat atau jaring dihasilkan oleh material selain tangsi sahaja. Sekaligus tidak akan memakan umpannya jika anda memancing berdekatan dengannya.
Ads
Hakikat sebenarnya tali sulam dicipta dengan teknologi terkini untuk membelah air sekaligus tidak menghasilkan dengungan atau buih berbanding tali tangsi. Malah soal ini langsung tidak timbul jika memancing di kolam yang hampir tiada arus.
Ads
Ads
Walau bagaimana pun penggunaan tali tangsi terbukti lebih berkesan berbanding tali braided. Penggunaan tali tangsi membolehkan mata kail tertancap kemas pada mulut ikan. Begitu juga dengan peratusan strike. Sifat tali braided yang tiada memori menyebabkan mata kail mudah terlucut.
Habitat dan lokasi untuk pancingan bujuk lazimnya di kawasan parit atau paya di pinggir hutan, antara perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah aspek keselamatan. Terutamanya kawasan pinggir hutan yang jauh dari jalanraya atau penempatan. Oleh yang demikian, aspek keselamatan seperti yang disenaraikan di bawah ini harus diutamakan.
Selain pakaian yang tahan lasak dan bersesuaian, pemilihan alas kaki juga penting. Sebaiknya elakkan memakai alas kaki yang banyak mendedahkan bahagian kaki seperti selipar atau sandal. Lebih baik sekiranya memakai bot getah tinggi separas lutut.
Sekiranya gewang atau ikan tersangkut pada sesuatu struktur di dalam air, sebaiknya jangan masuk ke dalam air terutamanya paya yang tidak dikenali pasti tahap kedalaman dan dasarnya. Putuskan saja tali pancing dan anggap saja bukan rezeki.
Berhati-hati dengan tempat berpijak sama ada di bahagian tebing ataupun batang-batang pokok tumbang. Pastikan tebing tempat berpijak itu tanah keras supaya tidak terjerumus ke dalam tanah lembik atau terpijak batang pokok yang reput.
Elakkan dari meniti batang kayu tumbang yang merentangi paya atau anak sungai. Jika tiada pilihan dan perlu meniti juga, selidik dulu tahap keteguhan batang kayu tersebut. Kemudian carilah dahan atau ranting pokok yang panjang sebagai pengimbang atau tongkat.
Sekiranya menggunakan katak sebagai umpan, pastikan katak tersebut disimpan di tempat yang selamat. Menggantung guni yang berisi katak pada pinggang sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kerana terdedah kepada serangan ular-ular berbisa yang turut memakan katak.
Sekiranya lubuk memancing jauh ke dalam hutan atau dalam kawasan ladang sawit yang luas, pastikan korang sentiasa ingat di mana korang berada dan jalan keluar. Ia dapat menyelamatkan korang daripada sesat. Lebih berisiko sekiranya korang baru sedar sudah tersesat apabila mencari jalan keluar tatkala hari sudah mula gelap.
Pastikan senjata seperti parang atau pisau ada diikatkan pada badan korang. Dan lebih penting lagi korang harus berani untuk menggunakannya apabila berlaku kejadian tidak diingini seperti terserempak dengan binatang liar seperti ular, beruang dan sebagainya lagi.
Jangan tamak atau kedekut spot hingga sanggup pergi secara bersendirian. Carilah teman sekurang-kurangnya seorang kerana tiada siapa yang dapat menjangka sebarang kejadian buruk bakal berlaku. Apatah lagi di kawasan hutan terpencil yang terputus hubungan telefon.
Kunjungan kali pertama saya ke kawasan tadahan air ini kebetulan untuk merasmikan enjin Mercury 5 kuasa kuda yang baru dibeli oleh Zaini. Kunjungan ini juga disambut dengan hujan seawal jam 9 pagi dan berlarutan hingga ke petang. Namun itu tidak melemahkan semangat kami bertiga pada hari tersebut.
Di beberapa suak kami menemui satu kawanan anak toman yang masih kecil dan kelihatan sepasang induk yang mengiringi kawanan tersebut. Tanpa berlengah lagi pelbagai gewang permukaan dan selaman dalam kami hulur namun tidak membangkitkan rasa amarah kedua induk tersebut malah langsung tidak mahu menghentam gewang-gewang kami.
Sehingga tengah hari kami masih lagi belum dapat menaikkan toman gadang kecuali saudara Apit yang berjaya mendaratkan seekor toman bujang berskala 1kg dengan kaedah yang kami gelar di sini ‘Drive Thru Casting’ iaitu dengan cara menghantar ‘buyun’ @ katak rambutan dan buzzbait sehampir yang boleh dengan tebing sambil bot dipandu secara perlahan menyusuri tebing tasik.
Apabila perut semakin berbunyi ditambah pula dengan kesejukan berhujan dari pagi, kami mengambil keputusan untuk berehat di spot yang saudara Zaini gelarkan ‘Port Air Terjun’ kerana terdapatnya sungai kecil berair terjun yang mengalir masuk ke kawasan tadahan air ini.
Sambil menghampiri spot tersebut secara perlahan-lahan kami turut menghantar gewang-gewang permukaan, manalah tahu sekiranya ada pemangsa yang sedang menghendap di sekitarnya.
Setelah mendarat di tebing, di satu sudut bereba kayu tumbang saya perhatikan seperti kelibat ikan yang baru disambar oleh sesuatu di dalam air.
Selepas beberapa ketika, seekor tilapia belang bersaiz dua tapak tangan yang hanya tinggal separuh timbul berhampiran reba tersebut dan sejurus itu juga saya terpandang sekilas ikan toman yang begitu besar saiznya timbul bersebelahan tilapia tersebut.
Saya tanpa berfikir panjang terus menghantar gewang Lucky Craft Gunfish 95 yang kebetulan memang siap tersedia diset pancing saya.
Satu sambaran kuat diperoleh sebaik sahaja gewang tersebut mencecah air namun sambaran tersebut tidak mengenai sasaran. Saya mainkan kembali gewang saya tersebut dan sejurus itu jugalah toman yang sama menyambar sekali lagi dan kali ini tepat mengenai gewang!
Berlakulah adegan tarik-menarik yang begitu mencemaskan daripada penghuni dasar dan saya menahan sedaya yang termampu.
Namun nasib tidak menyebelahi saya kerana hanya mampu bertahan selama 10 saat sahaja di mana shock leader berkekuatan 30lb saya putus begitu sahaja dikekah gigi toman gadang tersebut dan menelan gewang kegemaran saya. Lebur RM50!!!
Setelah selesai sesi mengisi perut dan solat, kami menyusuri semula sebahagian lagi kawasan tadahan air ini sambil ditemani basah hujan dan kesejukan. Di satu sudut berstruktur kayu tumbang, Apit yang menggunakan buzzbait menerima sambaran agak kasar.
Hampir 2-3 minit perlawanan seekor toman bunga berskala 1.5kg berjaya didaratkan. Setelah gambar dan hasil timbangan diambil, toman bunga tersebut dilepaskan semula ke habitat asalnya dengan senyuman lebar hingga ke telinga kerana telah berjaya mendapat lesen penuh bagi spesies kepala ular ini.
Sehingga lewat petang tiada lagi sebarang sambaran yang kami perolehi kecuali seekor toman bujang yang menghentam buyun saya, jadilah daripada ‘kumpau’ serta sebagai lesen saya di sini. Namun semasa bot perlahan-lahan menyusuri highway dalam perjalanan pulang, mata kami terpandang kepada satu kawanan anak yang agak besar kelompoknya.
Zaini dan Apit serentak menghantar gewang permukaan serta gewang selaman dalam namun kedua-duanya tidak memperoleh sambaran. Giliran saya pula menghantar pencil Combat Gigantes berwarna kuning apabila kawanan anak toman tersebut menimbul semula.
Sekali lagi, sebaik sahaja gewang mencecah permukaan air, 2 ledakan serentak yang begitu kuat menyambar dan tali utama terus tegang. Sistem tegangan kekili yang hampir 85% telah saya ketatkan terus-menerus memuntahkan tali dari gelendong. Hampir 5 minit pertarungan namun akhirnya memihak kepada induk toman tersebut kerana berjaya menyelinap di celahan kayu di dasar tasik malah menguncupkan mata tiga berkekuatan 3X.
Dua kali saya kempunan untuk mendaratkan toman gadang pada kunjungan pertama ini. Setelah kejadian rabut kedua tersebut tiada lagi sebarang sambaran kami terima dan kami pulang sambil menyimpan hasrat untuk kembali lagi ke sini.
Kunjungan ulangan dirancang tidak lama selepas kunjungan pertama dan kami bertiga kembali semula dengan misi yang sama untuk menumpaskan sang mama. Kebanyakan suak sama pada kunjungan yang lepas, kami ‘repeat’ semula dan turut menemui satu suak baru umpama nursery toman di mana banyak kelompok anak toman kami temui di sini.
Kunjungan kali ini berpihak kepada Zaini kerana berjaya mendaratkan dua ekor mama toman berskala 4-5kg dengan berpelurukan Rapala Fat Rap warna Fire Tiger. Apit juga berjaya mendaratkan seekor lagi kerandang yang agak kasar sekali lagi dengan menggunakan buzzbait jenama Ofmer.
Saya pula setelah rabut seekor mama pada awalnya namun akhirnya dapat juga mendaratkan seekor mama setelah mengacau kawanan anak toman yang masih merah yang menimbul berhampiran tebing di satu bahagian suak dan seekor lagi di tengah highway pada kunjungan ketiga saya di sini.
Kami begitu teruja kerana kunjungan ulangan kali ini membuahkan hasil yang begitu baik. Yang lebih membanggakan adalah kami tidak perlu memandu jauh hingga ke Temenggor ataupun Kenyir untuk mendapatkan hasil yang lumayan sebegini.
Minyak rohu semata-mata tidak boleh dijadikan umpan memancing rohu atau leekoh. Ia perlu diadun dengan campuran dedak dan bahan perisa lain terlebih dahulu.
Berikut merupakan salah satu contoh terbaik bagaimana untuk menggunakan minyak rohu sebagai adunan umpan.
Bahan-bahan umpan
300gm dedak 989 (dedak merah atau dedak udang)
1kg dedak 929 (dedak asas)
1 Bungkus serbuk NS Power pandan
11 penutup pes strawberi
Minyak rohu
Cara bancuhan umpan
Langkah 1
Masukkan 1kg dedak 929 dan 300gm dedak 989 ke dalam bekas bancuhan umpan. Gaul dedak-dedak ini sehingga sekata dengan sempurna.
Langkah 2
Campurkan pula sepaket serbuk NS Power pandan dan gaul sehingga ia sebati dan sekata.
Langkah 3
Gaul bahan tadi dengan sedikit air. Memadai kesemua bahan diserap air dan berkeadaan lembab saja. Biarkan sebati seketika.
Langkah 4
Tuang minyak rohu 30-50ml ke atas bancuhan dedak. Gaul minyak rohu dan bancuhan dedak hingga sekata.
Dedak yang sudah dilembabkan membolehkan minyak rohu meresap lebih meluas. Seterusnya boleh ditambah air untuk mendapatkan adunan yang sesuai dikepal pada spring perambut mata rohu.
Tip tambahan
Buat rumah sebelum memancing. Maknanya, lontar kepalan dedak yang dibancuh tadi ke kawasan yang dipercayai laluan utama ikan rohu sebelum melontar umpan bermata kail. Umpan rasuah ini akan memainkan penarik ikan rohu berlegar di kawasan umpan rasuah.
Basahkan juga roti dadu atau pelet yang dicangkuk pada mata kail bom dengan minyak rohu.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...