
Untuk pengetahuan anda, ikan PB merupakan ikan pemangsa berstatus pendatang. Sebagaimana sifat ikan pemangsa, sedikit sebanyak ia akan menjejaskan populasi ikan tempatan serta ekosistem perairan itu sendiri.
Anda juga perlu tahu setiap spesies mempunyai sifat dan habitat semula jadi (tempat tinggal) yang tersendiri dan ia telah pun dijelaskan secara saintifik. Habitat semula jadi ini merangkumi keseluruhan ekosistem sesebuah kawasan termasuk rantaian makanan, mangsa dan juga pemangsa.
Kesemua inilah yang akan mengekalkan kestabilan dalam sesebuah ekosistem. Spesies pendatang pula ialah apabila satu spesies dari habitat atau ekosistem lain masuk atau menumpang ke dalam habitat yang lain.
Spesies ikan peacock bass dikategorikan sebagai ikan pemangsa. Jadi, ia akan mengganggu kitaran asal sesebuah rantaian makanan di sesebuah habitat kerana keperluan dan nalurinya untuk hidup. Bila pertambahan spesies pemangsa dalam sesebuah habitat, ini akan mengecilkan jumlah mangsa dan tidak keseimbangan akan berlaku.
Ikan spesies pendatang ini bukan hanya berisiko memakan spesies asal sahaja, namun boleh berlaku kepada perebutan sumber makanan. Jika tidak dibendung, maka berkemungkinan spesies asal akan berkurangan dan hilang dari habitatnya adalah amat besar. Mungkin di atas sebab inilah kenapa ikan PB dibenci oleh sesetengah kaki pancing.
Soal Jawab Memancing – Cara Paling Mudah Nak Pakai Umpan Perut Ayam?

SOALAN:
Saya pernah dengar ada orang pancing patin guna perut ayam. Jadi… boleh tak admin tolong bagi tips cara untuk sangkut usus ayam pada mata kail dan ikan jenis apa yang sesuai untuk umpan ni?
JAWAPAN:
Usus atau perut ayam merupakan umpan memancing yang sudah diguna pakai sejak sekian lama untuk pancingan ikan air tawar. Sehingga sekarang pun masih ramai yang menggunakannya untuk memburu ikan air tawar tidak kiralah di sungai, tasik, lombong ataupun kolam.
Banyak cara yang boleh digunakan untuk memasang perut ayam ini pada mata kail. Sama ada dicangkuk terus pada mata kail dengan saiz yang kecil, atau cangkuk pada bahagian perut ayam dan dibiarkan berjuntai seolah-olah seperti seekor cacing.
Ada juga yang mencangkuk dan melilit perut ayam pada mata kail tapi cara ini menyebabkan perut ayam sangat mudah tertanggal bila ditarik ikan kecil.
Cara yang terbaik untuk memasang umpan perut ayam ialah dengan memasukkan mata pancing ke dalam perut ayam dan ikatkan hujung atau pangkal dengan tali perambut anda.
Cara pemasangan:
Gunakan perambut yang agak panjang kira-kira 1 kaki hingga 1 1/2 kaki.
Potong perut ayam dengan panjang 1 jengkal.
Masukkan mata pancing ke dalam perut ayam hingga ke hujung perut, tapi jangan melebihi panjang perut ayam.
Ikat hujung bahagian atas perut ayam dengan tali perambut.
Cara ini terbukti lebih baik kerana tidak mudah tanggal bila dimakan ikan kecil dan juga ikan mudah mengena.
Biasanya umpan perut ayam ini digunakan untuk memancing ikan patin, keli dan pacu. Namun ia juga boleh digunakan untuk memancing ikan tengas dan juga udang galah.
Rezeki Strike Jelawat Sungai

Spesies sasaran sebarau kebiasaannya galak mencari makan pada sebelah pagi. Kelihatan air agak keruh dan dalam menandakan hujan di sebelah hulu sebelum kedatangan kami ke sini. Apabila bias cahaya matahari menerangi sungai kami terus melontarkan gewang ke lubuk yang diberi nama Lubuk Putus.
Hampir setengah jam mencuba menggunakan teknik popper langsung tiada sambaran dan saya menukar kepada gewang sinking hot tiger. Balingan di celah kayu membuahkan hasil namun akibat terlupa sistem drag kekili di kunci maksima dan ketika itu sang sebarau membuat pecutan membuatkan ia rabut dari mata kail.
Apabila matahari semakin meninggi, tiada lagi sambaran yang kami terima dan mata mula pedih akibat mengantuk kerana perjalanan dari ibu kota yang mengambil masa empat jam. Kami memilih untuk menyewa homestay yang berdekatan kerana trip selama 4 hari memerlukan tidur yang cukup dan kemudahan yang baik seperti dapur dan mesin basuh untuk membasuh pakaian.
Pada sebelah petang kami mencuba di hulu lubuk kerana di kawasan hulu terdapat lebih banyak tunggul kayu dan pokok mati di dalam sungai. Hafiz Omar yang lebih mesra dipanggil Apek segera bergegas ke tepi sungai melontarkan gewang ke tebing seberang dan menarik di alur sebatang kayu yang tumbang melintang merentasi air sungai.
Dengan sekali balingan apek berjaya mengawal larian ikan sasaran dan terus mendaratkan spesies ini dengan jayanya. Pada sebelah malam kami mengambil keputusan untuk memasak hasil yang diperolehi. Kami hanya membeli keperluan asas di kedai yang berhampiran dan selepas itu kami lena akibat kepenatan dan kesejukan aircond homestay.
Air kelihatan mula jernih dan paras sedikit menyusut. Kami terus menuju lubuk-lubuk pada hari pertama. Disebabkan saya masih belum mempunyai lesen sebarang tangkapan, Amin menunjukkan lubuk yang pasti ada ikan.
Cuma lontaran gewang perlu tepat ke sasaran dan karauan mestilah mampu melintasi dua tunggul untuk mendaratkan sebarang spesies di lubuk ini. Dengan sekali balingan dan karau sahaja akhirnya gewang saya tersangkut Amin dengan lesen sebarau di lubuk pasti dapat.
Akibat tidak mahu ikan culas dan menyedari kehadiran kami maka giliran Amin pula membuat balingan. Dengan sekali balingan kelihatan ada sesuatu melekat pada mata kail. Memang benar kata Amin lubuk ini sentiasa didiami spesies sebarau cuma saya yang pertama kali bertandang masih belum mendapat rentak dan cara karauan mengikut lubuk.
Azrul yang turun ke hulu secara bersendirian juga berjaya membawa pulang lesen pertamanya sambil tersenyum. Saya bersama Amin meneruskan aktiviti memancing naik ke kawasan hulu. Beberapa kali kes rabut berlaku ikan menghentam gewang tetapi tidak lekat. Mungkin saiz atau culas dengan kehadiran kami.
Saya yang keletihan dan hampir putus asa hanya memerhati gelagat sahabat lain yang tidak jemu melontar gewang. Bosan menunggu mereka bergerak menukar lubuk saya menuju 100 meter dari jarak Amin memancing. Tiga kali lontaran dibuat, tiba-tiba gewang Senses disambut dengan kasar dan terus mengenjut ke hilir sungai.
Keadaan yang cukup kelam kabut mengawal larian daripada memasuki reba dan saya mengetatkan drag dan membuat karauan menentang larian ikan. Amin datang membantu memegang joran dan saya terpaksa terjun keranasaiznya agak mustahil untuk didaratkan menggunakan rod terus ke darat kerana tebing yang cukup tinggi.
Semasa ikan masih di dalam air kami sempat berteka-teki spesies yang hanya menampakkan sirip belakang. Kelihatan seperti sebarau tetapi tiada belang, ada juga seperti kelah tetapi warna silvernya amat terang.
Setelah saya terjun memegang ikan barulah spesies ini dapat dikenal pasti seekor jelawat sungai berjaya didaratkan. Apabila ditimbang beratnya 2kilogram sepanjang 52cm dan ukur lilit perutnya 30cm menandakan ia membesar dengan cukup makanan di sungai ini.
Hari ketiga dan keempat kami meneruskan aktiviti memancing. Air sungai masih lagi berwarna kekeruhan meskipun tidak hujan dan semakin surut. Pada hari keempat, sebelum kami berangkat pulang, pada sebelah paginya kelihatan sebarau menghentam anak ikan dan gelombangnya membuatkan kami terkejut. Puas memujuk namun sebarau yang bersaiz kasar tidak sudi menjamah umpan.
Rezeki kami setakat 8 ekor sebarau, 3 ekor baung, 3 ekor lampam dan seekor jelawat sungai sudah cukup memuaskan hati walaupun perjalanan ke sini bagi saya amat jauh dan memerlukan belanja yang cukup besar. Kenangan sepanjang trip 4 hari akan sentiasa dalam ingatan kami.
Trip Throwback- Lubuk Mantap Sungai Jimah Lama

Orang kata memancing di muara atau kuala sungai ni kurang syok! Iyelah, ikan yang biasa jadi sasaran pun dari saiz yang kecik-kecik, katanya la. Tapi itu hanyalah tanggapan orang yang tidak pernah mencuba sendiri.
Tahukah anda, ada masanya memancing di kuala sungai ini kadang-kadang syoknya lebih dari memancing di laut dalam mahupun kolam. Trip saya ke Kuala Lukut ini telah membuktikannya.
Perkenalan saya dengan Angah (tekong)di laman media sosial menjadi titik tolak kepada trip saya ke Kuala Lukut ini. Tiba saja tarikh yang dijanjikan, saya bersama dua lagi rakan terus menuju ke destinasi yang ditetapkan.
Pangkalan Nelayan Kampung Jimah Lama menjadi lokasi pertemuan kami dengan Angah dan kami terus sahaja menaiki bot yang dikemudikan Angah untuk menuju ke lokasi memancing di sekitar Sungai Jimah Lama dan Kuala Lukut.
Terus-terang saya katakan pada awalnya saya tidaklah begitu teruja memancing di kuala sungai ini. Mungkin kerana saya juga termakan kata-kata orang yang mengatakan memancing di Kuala Sungai Lukut ni tak best dan susah nak dapat ikan, tidak macam dulu.
Tapi itu semua berubah bila kami tiba sahaja di lokasi pertama untuk memancing. Entah mengapa bila melihat tekong Angah menjadi pembuka tirai menaikkan sembilang membuatkan keterujaan itu datang secara tiba-tiba. Iyelah, belum sampai seminit umpan dihulurkan sudah ada sambutan!
Selesai sahaja menyiapkan kelengkapan memancing kami pun terus melabuhkan umpan. Ya, memang benar! Begitu cepat untuk ikan di sini tertarik dengan umpun ruat dan sarang yang kami hidangkan. Satu demi satu sembilang bersaiz lengan budak kami naikkan sewaktu air mula menyusur surut.
Paez secara tiba-tiba menjadi pembakar semangat kami semua yang mulai hangat dipanah sang mentari apabila lenturan kuat joran yang diletakkan di hadapan bot berhasil menaikkan seekor gemang berskala sekilogram.
Tidak lama selepas itu, giliran Paez lagi menaikkan gemang yang kedua. Alamak, terbakar juga melihat aksi Paez yang berjaya memujuk 2 ekor sembilang bersaiz lengan budak sedangkan kami hanya puas melayan sembilang bersaiz lengan bayi.
Sesekali, ada juga kelibat sang blues-gang atau ikan belukang yang cukup gemar mencuri umpan yang kami hulurkan. Tiba sahaja kawanan blues-gang ini memang spesies ini saja yang kami naikkan. Melihat sahaja kawanan belukang bermaharajalela, tekong Angah terus mengarahkan kami semua menggulung tali untuk berpindah lubuk.
Apa yang menariknya turun memancing bersama tekong Angah ini, beliau begitu rajin berpindah lubuk jika suasana menjadi sepi. 15 minit menunggu, jika tiada sebarang getuan atau majoriti ikan pengacau yang membedal umpan, dia akan memberi isyarat akan berpindah.
Bagi kaki pancing, perkara sebeginilah yang disukai, rajin dan sentiasa berusaha mencari lubuk terbaik untuk pelanggan.
Apabila air mulai surut dan arus laju, ikan mulai kurang aktif menyambar umpan. Hanya ikan-ikan kecil seperti gerut-gerut dan mengkerong yang rajin mengintai umpan kami. Oleh yang demikian, kami mengambil keputusan untuk makan tengah hari dan berehat seketika di Jeti.
Sewaktu berehat ini dapat juga saya berbual panjang dengan tekong Angah mengenai ikan di Kuala Lukut ini. Menurutnya, ikan yang ada di sini memang tiada musim. Terutamanya sembilang, sentiasa sahaja ada. Cuma kena pandai sahaja mencari lubuk-lubuk permainannya. Jika kena pada lubuk, memang tak menang tangan.
Pengalaman dan kehandalan tekong Angah di Kuala Lukut ini memang tidak boleh disangkal lagi. Apa tidaknya, sejak kecil lagi beliau telah didedahkan dengan lubuk-lubuk yang ada di sini. Cuma apa yang merisaukan beliau ialah apabila melihat semakin banyak kawasan paya bakau dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Disebabkan itu, lubuk-lubuk permainan ikan di sini semakin berkurangan dan ini menjadikan hasil yang diperoleh juga semakin berkurangan jika hendak dibandingkan beberapa tahun dahulu.
Setelah berehat dan menjamah makanan tengah hari, kami menyambung semula aktiviti pancingan kami. Kali ini, kami cadangkan kepada tekong Angah, mencari spesies ikan sisik pula setelah puas memperoleh sembilang dan gemang pagi tadi. Untuk memburu ikan sisik, tekong Angah membawa kami ke kawasan berhampiran muka pantai yang dikatakan menjadi lubuk gerut-gerut.
Di lokasi ini, banyak kali juga joran kami digetu, tetapi kebanyakan dari gerut-gerut bersaiz kecil. Hanya Paez sahaja yang bertuah menaikkan seekor tetanda bersaiz tapak tangan. Melihat keadaan kurang memberangsangkan, kami berpindah lubuk lagi. Kali ini, kami masuk ke dalam kuala semula dan menuju ke lubuk kegemaran tekong Angah.
Sedang kami asyik bersembang, joran milik Basil tidak semena-mena di getu dan dengan pantasnya ikan membawa lari tali kailnya melawan arus.
“Sah ikan besar!”, kata Tekong Angah. Basil terus menyentap joran dan terus bergasak dengan spesies yang belum diketahui lagi.
Sayangnya, kesilapan kecil Basil untuk mengunci drag telah memberikan peluang kepada ikan tersebut melarikan diri ke reba di dalam sungai. Hampa juga kami melihatnya.
Menjelang petang, apabila air mulai pasang, kami menuju lagi ke lubuk kegemaran tekong Angah yang lain pula. Di sini, Basil yang hampa akibat rabut ikan besar tadi menjadi pemecah suasana apabila berjaya menaikkan tetanda bersaiz kasar.
Tidak lama selepas itu kami bersilih ganti melayan kawanan blues-gang yang semakin galak keluar mencari makanan sewaktu air jalan naik. Jadi stress juga dibuatnya! Tapi itu semua sementara sahaja apabila melihat joran Paez kembali diasak.
Kami menyangka ia datang daripada belukang bersaiz kasar, tetapi ia ternyata meleset apabila melihat kilauan perak di dalam air. Senangin! Dengan segera ikan tersebut dinaikkan ke dalam bot. Jelas terpancar kegembiraan di wajah Paez kerana beliau menjadi orang yang paling ong pada hari itu.
Menjelang lewat petang, sembilang kembali mendominasi tangkapan kami. Tapi sayangnya, sedang galak ikan makan, umpan kami pula kehabisan. Nak tak nak, kami terus menuju pulang ke jeti dan seterusnya kembali semula ke ibu kota untuk menghadapi realiti.