
SOALAN:
Salam admin… boleh tak berikan satu contoh besi pancang yang sesuai untuk memancing di pantai? Maklum sajalah kalau besi biasa tentu cepat berkarat sebab air laut kan masin. Kalau boleh ada cara tak untuk buat sendiri pancang ni?
JAWAPAN:
Tidak dinafikan lagi untuk memancing pantai, pancang adalah salah satu perkakas penting yang perlu dibawa. Malah wajib bawa. Tak boleh tak bawa. Tanpa pancang mustahil nak memegang joran yang panjang sepanjang masa.
Kadangkala pancang yang terjual tidak berapa kukuh bila dipacak ke dalam pasir. Untuk mengelakkan joran tumbang bila ditarik ikan, anda boleh mengubah suai pancang yang dibeli dari kedai atau membuat pancang khas untuk pancingan pantai mengikut kesesuaian joran anda.
Anda cuma perlu mencari besi bulat dan padat, panjang mengikut kesesuaian pemegang joran. Kemudian perlu sediakan batang paip sekurang-kurangnya 1 inci lebih atau mengikut ukur lilit pemegang joran.
Akhir sekali anda perlukan pelapik skru (washer). Anda boleh membuat pancang ini di kedai-kedai welding seperti kedai pembuat pagar dan sebagainya. Terangkan pada tukang besi jenis pancang yang anda ingin buat.
Sediakan gambarajah menerangkan cara untuk membuat pancang, cuba tunjuk pada tukang welding dan jelaskan padanya. Pasti mereka tahu bagaimana untuk membuatnya. Sebaiknya bawa sekali joran anda kemudahan bahan rujukan.
Dan bahan terbaik untuk elak berkarat tentu saja material stainless steel.
Korang Tanya UMPAN Jawab (S3S3) – Fungsi Sonar?

SOALAN:
Boleh tak admin ceritakan apa fungsi sonar yang digunakan untuk memancing?
JAWAPAN:
Perkataan sonar berasal daripada perkataan ‘SOund, NAvigation, Ranging’ (bunyi, panduan dan jarak). Jadi alat yang menggunakan bateri ini akan memaparkan apa sahaja yang ada di bawah bot termasuk ikan dan struktur muka bumi di bawah sana. Komponennya terdiri dari pemancar (transmiter), transduser, alat penerima dan skrin paparan.
Apabila ia di pasang, signal elektrik voltan rendah dari transmiter akan ditukar kepada gelombang bunyi oleh tranduser dan dipancarkan ke dalam air. Gelombang bunyi akan terpantul balik ke permukaan apabila mengenai objek dalam air. Sekali lagi gelombang bunyi ini akan ditukar kepada signal elektrik oleh alat penerima seterusnya dihantar kepada skrin paparan sama ada dalam bentuk hitam putih atau warna (lebih mahal harganya).
Sonar akan sentiasa menghantar dan menerima isyarat berulang kali dalam setiap saat. Ini kemudian akan memberi gambaran secara terus menerus pada skrin selagi pancaran bunyi dan signal elektrik tidak terganggu. Apa saja yang menghalang gelombang bunyi di dalam air akan dipaparkan pada skrin termasuk kedalaman air semasa.
Objek yang menghalang gelombang bunyi di pertengahan air sering diertikan sebagai ikan atau mungkin sampah dan sebagainya. Sonar berprestasi tinggi, merangkumi empat elemen penting iaitu pemancar berkuasa tinggi, transduser yang cekap, alat penerima sensitif dan skrin paparan beresolusi tinggi.
Di pasaran ketika ini terdapat pelbagai model dan terpulang kepada bajet anda. Bermula dari ratusan ringgit hingga mencecah ribuan ringgit. Ada yang berjenama, tidak kurang juga yang jenama ’cap ayam’. Pendek kata lagi mahal harganya, lebih tepat dan jelas kualiti paparannya serta terdapat fungsi lain yang disertakannya.
Dengan menggunakan sonar, pemancing boleh mengekplorasi lebih banyak lubuk. Tidak perlu lagi menunggu ikan datang untuk memakan umpan yang disuakan, sebaliknya anda terus menjejaki di mana ’rumah’ atau ikan yang banyak berkumpul. Bagi nelayan laut dalam, sonar, adalah alat terpenting bagi untuk mereka mencari rezeki.
Nasib & Masa Depan Ikan Sungai Pegunungan Malaysia!!

Selama ini, tengas telah menjadi hidangan untuk sesetengah masyarakat di Malaysia. Bukan begitu sahaja, cara masakan tengas juga berbeza mengikut kaum. Contohnya, kaum bumiputera suka menghidangkan tengas dengan masak lemak, goreng dan bakar; kaum cina pula, suka mengukus tengas dengan kicap soya.
Sesetengah responden juga menyatakan bahawa rasa kelah hijau daripada sumber air yang berkualiti dan kelah merah tidak jauh berbeza. Ini telah membuktikan bahawa tengas boleh diterima sebagai makanan untuk sesetengah penduduk di Malaysia.
Tambahan pula, jika pengusaha restoran boleh menyediakan tengas dalam beberapa jenis masakan yang menarik, ini akan mendorong ramai pengguna menikmati tengas. Lagi pun, terdapat beberapa jenis produk perikanan yang kini laris di pasaran juga dipromosikan melalui pengusaha restoran. Contohnya, udang lipan (mantis shrimp) bukan makanan yang komersial pada 3 dekad yang lepas dan diproses sebagai makanan untuk ternakan.
Selepas pengusaha restoran berjaya memperkenalkan beberapa masakan udang lipan yang menarik, kini ia adalah salah satu produk perikanan yang mahal di pasaran Malaysia dan negara-negara lain. Selain itu, tengas juga berpotensi untuk dijadikan ikan hiasan. Oleh sebab tengas adalah bersinar dan mirip dengan kelah, ramai pengguna suka membela tengas untuk penghiasan.
Kini benih tengas (lebih kurang 3 inci) berharga dalam lingkungan RM10 seekor dan boleh didapati di kedai akuarium. Ramai pengusaha restoran juga suka membela tengas di dalam restoran mereka untuk meningkatkan imej dan menambah baik suasana.
Potensi ketiga adalah dijadikan daya tarikan untuk rekreasi. Ini kerana terdapat ramai kaki pancing sanggup mengunjungi jarak yang jauh untuk mendapatkan ikan tengas yang saiz besar. Jika populasi tengas liar dipelihara dan kawasan berkenaan dijadikan sebagai santuari ikan, ini mungkin boleh menarik ramai pemancing dan keluarga untuk menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan tersebut.
Ini juga boleh merangsang ekonomi setempat kerana ini mewujudkan peluang pekerjaan baru untuk penduduk tempatan. Contohnya, mereka boleh menjual makanan dan peralatan, dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan, penginapan dan sebagainya kepada para pengunjung.
Menurut para responden, hampir semua tengas yang diperolehi adalah daripada sumber semula jadi, seperti sungai, tasik, kolam dan empangan.
Jika bekalan tengas daripada sumber semula jadi berterusan, populasi tengas berkemungkinan akan menjadi seperti kelah, patin, dan banyak spesies ikan air tawar yang mahal pada masa kini, iaitu terancam dan kian berkurangan. Tambahan pula, terdapat beberapa responden memaklumkan bahawa saiz dan bilangan tengas di sesetengah lokasi didapati kian kecil dan berkurangan.
Mereka percaya bahawa punca utama adalah daripada aktiviti pembalakan di kawasan sekitaran dan juga penangkapan tengas yang berterusan. Gejala ini telah memberi kita satu amaran bahawa tengas di Malaysia mungkin sudah terancam oleh kegiatan manusia.
Jika usahawan ingin membangunkan pasaran tengas, mereka harus bergantung kepada sumber yang lestari. Teknologi penternakan tengas juga perlu dijayakan oleh pakar-pakar perikanan; ini kerana buat masa sekarang masih tiada teknologi yang bersesuaian untuk menternak tengas.
Dengan memperkenalkan teknologi penternakan tengas yang lestari, para usahawan boleh menghasilkan tengas dengan kos yang minimum, berskala besar dan konsisten. Seterusnya, produk tengas yang dihasilkan adalah mampu ditanggung oleh para pengguna tempatan. Oleh itu, kajian ikan tengas dalam aspek pemasaran dan biologi adalah penting sebelum ini dikomersialkan.
Secara kesimpulannya, tengas berpotensi dijadikan makanan, ikan hiasan, dan daya tarikan untuk aktiviti rekreasi. Namun begitu, bekalan ikan tengas yang konsisten, berterusan, tidak mengancamkan sumber kehidupan asli, dan kos beroperasi yang minimum adalah persoalan utama.
Kajian pemasaran dan biologi yang lebih mendalam juga memang penting untuk menjayakan usaha ini. Jikalau tengas berjaya dikomersialkan di Malaysia, ini pasti boleh membawa pelbagai manfaat di pasaran.
Komplot Punggah Jenggo Batak Rabit

Sungai Teluk Intan, Perak tidak asing bagi peminat jenggo atau udang galah sepit biru. Bagi penggemar tarikan gemalainya, sungai ini menjadi tumpuan pemancing kerana udang di sini yang bersaiz 200 gram ke atas.
Tenaga udang galah bersaiz mega ini sering kali menjadi dambaan kerana tarikannya yang padu dan mampu membuat pemancing tepuk dahi jika ia terlepas di pertengahan air.
Jenggo Club telah mengadakan satu program hujung minggu untuk memburu jenggo di sungai ini. Kata sepakat diambil dengan memilih jeti Pak Musa Batu 5, Teluk Intan sebagai jeti pilihan. Ini kerana ia berdekatan dengan R&R Batu 5, Teluk Intan dan berada di sebelah jambatan ke Sitiawan.
Bagi melancarkan acara, jawatankuasa penganjur Jenggo Club yang telah ditugaskan telah menyusun bot mengikut senarai nama penyertaan. Menariknya lagi tentang pancingan di sini adalah kadar sewa bot di sini mengikut saiz enjin berserta minyak dan harga yang dikenakan adalah berpatutan.
Untuk trip ini kami menggunakan 14 buah bot enjin 2 hp, 4 buah bot enjin 5 hp, 3 bot fiber besar dengan enjin 5hp dan sebuah bot besar beserta tekong.
Sebelum bermula, sedikit taklimat telah disampaikan, terutama peraturan dan juga aspek keselamatan serta dan bacaan doa agar segala-galanya berjalan lancar. Program bermula dari pukul 8.30 pagi dan masing-masing menuju ke lokasi pilihan mereka.
Tepat jam 5.30 petang semua peserta berkumpul semula ke jeti dan merekodkan hasil tangkapan. Rata-rata peserta berpuas hati dengan penganjuran kali ini dan Insyaallah di masa akan datang akan ada penganjuran yang lebih besar untuk ahli-ahli Jenggo Club. Semoga berjumpa lagi di event akan datang.