
Setahu admin, sehingga kini belum ada satu standard bagi menetapkan saiz bagi mengkelasifikan sesuatu joran atau rod itu layak dipanggil joran pendek atau panjang.
Namun untuk keselesaan memancing dan casting, secara umumnya joran yang lebih panjang dari ukuran ketinggian badan memancing dianggap lebih sesuai untuk digunakan. Sebagai contoh, jika kita memiliki ketinggian 5 kaki maka joran yang ideal ialah 5 kaki 6 inci.
Sebenarnya dalam teknik casting ini kedua-dua joran pendek dan panjang boleh digunakan. Apa yang membezakan dalam pemilihan joran pendek atau panjang tertakluk kepada situasi dan lokasi.
Sebagai contoh, sekiranya anda casting secara menebing atau landbase casting maka joran yang ideal ialah joran yang lebih panjang dari ketinggian anda. Joran sepanjang 6 hingga 7 kaki lebih praktikal untuk capaian lontaran gewang yang lebih jauh.
Sekiranya anda casting di atas sampan atau bot pula tidak perlulah menggunakan joran melebihi 6 kaki panjang. Terutamanya jika terpaksa casting sambil duduk. Joran yang panjang akan menyulitkan keadaan untuk menggayakan gewang khususnya gewang permukaan. Begitu juga casting di kawasan lubuk yang sempit di mana tidak perlu melontar gewang dalam jarak jauh.
Jika ingin dibuat rumusan, secara peribadi saya mengesyorkan anda memilih joran 6 kaki hingga 6 kaki 6 inci. Ia tidak terlalu panjang dan tidak juga terlalu pendek serta boleh digunakan di pelbagai lokasi dan situasi.
DIY Gewang Spoon Premium

Bagi Mohd Khairul Amin Harizan, minatnya membuat sesudu sendiri bermula selepas dia melihat sendiri keberkesanan sesudu ciptaan Man Lampam, seorang kaki casting yang disifatkannya sifu di kampungnya yang membuat sesudu dari tong racun tembaga.
“Dialah yang mengajar saya cara membuat sesudu daripada mereka bentuknya, potong dan gilap. Agak susah juga kerana bukan benda mudah untuk memotong tong racun yang keras dan membentuknya.
“Kesukaran mencari tong racun tembaga berkenaan membuatkan saya terfikir apakah benda lain yang sesuai untuk membuat sesudu, sebelum ayah mencadangkan saya menggunakan kepingan cymbal drum yang telah rosak,” katanya yang bekerja sendiri.
Menurutnya Amin lagi, memandangkan bapanya merupakan pemain gitar kumpulan Sejati, jadi mudahlah dia mendapat bekalan cymbal drum milik kumpulan tersebut atau daripada rakan-rakan pemuzik bapanya yang tidak digunakan lagi.
Selepas membuat lakaran mengikut bentuk yang diingininya, peralatan grinder digunakan untuk memotong, mencanai, membengkok dan membuat lubang. Kemudian kepingan sesudu telah dibentuk itu akan dikilatkan menggunakan penggilap logam sebelum dilengkapkan dengan swivel dan mata kail.
Jelas anak sulung dari tiga orang adik-beradik ini, potongan sesudu bentuk lonjong paling diminatinya dan telah banyak sebarau ditumpaskannya menggunakan sesudu ini. Reka bentuknya yang nipis dan ringan amat sesuai digunakan di sungai-sungai yang berarus deras.
“Bila air sungai jernih atau tidak terlalu keruh, matahari bersinar terang adalah waktu yang amat sesuai mencari sebarau menggunakan sesudu ini. Paling penting sesudu mesti sentiasa berkilat supaya bersinar di dalam air.
“Sesudu pula mesti dimainkan secara sentap berulang-ulang kali hampir dengan reba kayu. Pasti sebarau tidak menolak jika ia ada di situ,” katanya yang merancang untuk mencari kepingan logam yang agak tebal untuk dibuat sesudu yang lebih berat.
Khidmat Tekong Yan’s Gelora – Tekong Kerapu Bara Tersohor

Nama penuh: Alpian b Anas
Nama fb: Yan’s Gelora
Usia:49 tahun
Port: Mersing
UMPAN: Sejak bila memancing dan mula menjadi tekong/guide?
YAN’S: Mula memancing sekitar tahun 90an… kemudian mula menjadi tekong pada 2012.
UMPAN: Kenapa anda memilih kerjaya ini?
YAN’S: Kerjaya ni sebenarnya bermula kerana hobi… tapi memandangkan ianya boleh menjana pendapatan yang lumayan, maka saya terus kan.
Selain itu saya ada perniagaan sendiri… Gelora Sport Fishing adalah syarikat kedua saya.
UMPAN: Pada pandangan anda, apa kriteria perlu ada untuk jadi tekong?
YAN’S: Banyak yang perlu ada untuk menjadi tekong/guide ni. Sikap sabar, bertolak ansur, serta pengalaman yang luas perlu ada.
Harus pandai bergaul dengan pemancing… tak lokek dengan ilmu yang ada… tu semua amat penting.
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi dan harapan anda dalam meneruskan kerjaya ini?
YAN’S: Untuk menjadi seorang tekong ni memang ada rintanganny. Bukan hanya perlu rajin… harus sentiasa berpikiran terbuka.
Sekarang ramai tekong terbaik yang menjadi pujaan ramai. Selain keadaan padang pancing serta lubuk yang kian banyak yang pupus… untuk mendapatkan strike bukan semudah dahulu.
Hasil yang semakin berkurang, dengan kos penyelenggaraan yang semakin tinggi, harap pihak pihak yang berkenaan lebih prihatin terhadap pengusaha bot pancing seperti kami.
UMPAN: Ceritakan pengalaman memancing (trip) yang manis / pahit?
YAN’S: Pengalaman pahit sewaktu membawa group pancing dalam tahun 2013. Sewaktu mencandat sotong di perairan Tioman terkena ribut.
Tak sempat lari berlindung… hanya berlindung sebalik pulau kecil. Sangkaan tempat tu selamat tapi ternyata di situ tempatnya angin/ombak bertemu dari dua penjuru pulau.
Terpaksa bertahan sepanjang malam kerana untuk beralih sudah terlewat keadaan angin yang kuat menyukarkan kami berpindah. Pengalaman manis pula berjaya membuat tangkapan yang dicari oleh penyewa (kerapu bara) dengan jumlah strike yang banyak.
UMPAN: Berikan sedikit tip untuk memperoleh hasil pada trip anda?
YAN’S: Untuk memastikan trip anda berjaya, sentiasa berkomunikasi dengan tekong. Ini kerana tekong lebih memahami padang pancing mereka.
Bawa set pancing yang bersesuaian dengan padang pancing dan ikan yang ingin didaratkan. Sentiasa meminta tunjuk ajar dari guide anda… InsyaAllah.
Pakej
Nama bot: Gelora Sport Fishing 1,2,3
Size: 33x10kaki
Enjin: 175hp x2
Harga sewa: RM1,400.00
Jumlah pemancing: 8 pax
Waktu memancing: 7pagi-7petang
Lokasi: Perairan Mersing
Jeti: Mersing (lubuk)
Khidmat Tekong – Abang Dan Dah Open Booking Toman Sungai Kedah

Shahidan Ismail dan lebih mesra dengan gelaran Abang Dan sememangnya tersohor di seluruh semenanjung Malaysia ini.
Tekong tersohor ini menamatkan trip 2019 dengan gemilang apabila berjaya membantu para pemancing yang melanggan perkhidmatannya mendaratkan lebih dari 100 ekor toman.
Apa kata kita imbas kembali temubual dengan tekong tersohor ini, lihat toman-toman yang didaratkan oleh pelanggannya dan segera tempah trip dengan beliau sebelum tempahan penuh!
UMPAN: Apa istimewanya Sungai Kedah dan toman sungai ini?
SHAHIDAN: Sungai Kedah ini dipengaruhi arus pasang surut sekali sehari… tapi di sini 100% fresh water walaupun bersempadan dengan muara laut. Induk toman di sini di katakan sangat kuat dari toman-toman yang biasa kita jumpa di tasik atau lombong.
Di Sungai Kedah, toman di sini sangat kuat kerana sejak dari kecil sampailah besar, ia biasa melawan arus sungai yang surut laju. Jadi tak hairanlah jika setiap musim di sini, selalu didengari ada rod yang high end patah. Kejadian reel yang loose drag pun biasa saja.
Ini kerana induk toman di sini bersaiz agak baik hingga mencecah saiz 10 atau 11kg. Namun kebanyakan yang naik antara saiz 3 hingga 9kg adalah yang paling kerap.
UMPAN: Sejak bila anda menjadi guide dan membawa pemancing?
SHAHIDAN: Bermula tahun 1992, saya dah mula memancing menggunakan sampan kayu. Sekarang ni saya dah upgrade sampan fiber 13 hingga 13.6 kaki yang saya gunakan untuk memburu sang toman yang rakus ini.
Tahun sudah 2018 saya bawa trip casting Sungai Kedah. Pada tahun itu saja hampir 180 ekor mama toman Sungai Kedah yang berjaya ditewaskan.
UMPAN: Anda mengamalkan konsep tangkap dan lepas atau bagaimana?
SHAHIDAN: Semua induk di sini, saya amalkan tangkap dan lepas. Ia supaya generasi masa akan datang akan dapat merasai kemeriahan yang sama. Rata-rata caster dari Thailand, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta Singapore, boleh dikatakan setiap tahun mereka akan menempah bot saya.
UMPAN: Apa pakej yang anda sediakan?
SHAHIDAN: Biasanya setiap trip saya selalu bagi tip-tip untuk setup mama Sungai Kedah supaya bila datang, kita dah tahu apa yang kita hajatkan.
Yang pertama sekali, saya akan bawa caster yang datang untuk mencari strike… itu matlamat utama saya!
Kos sewa bot yang dikenakan tak seberapa… hanya RM170.00 untuk sehari. Siap bekalan ais khas 1 atau 2 caster. Lokasi casting sekitar Alor Mengkudu, Alor Star.
UMPAN: Boleh berikan sedikit tip untuk menduga toman Sungai Kedah ni?
SHAHIDAN: Untuk menduga induk kat Sungai Keda… biasanya kita selalu gunakan gewang jenis crank atau deep. Top water biasanya kita guna untuk mencari toman bujang.
Contoh gewang seperti buzzbait dan jumpfrog. Saiz gewang dari 7-13 cm asalkan deep atau crank.