
Terdapat beberapa cara untuk kita menaikkan ikan ke darat atau sampan tanpa menggunakan alat bantuan seperti gancu, tangguk atau lip grip. Namun hanya tiga cara yang dianggap paling selamat. Sebelum itu pastikan anda meletihkan toman terdahulu agar lebih mudah pengendaliannya nanti.
Pertama, anda boleh menyeret ikan tersebut ke darat dengan menggunakan kekuatan tali pancing. Pegang leader dan tarik tanpa perlu mengangkatnya ke atas. Namun cara ini boleh dilakukan di tebing landai saja. Tidak sesuai jika tebing tinggi atau di atas bot.
Cara kedua, apabila toman sudah kelihatan dan berjaya ditarik ke gigi air, anda boleh mencekak jari ke dalam rongga mata toman. Cara ini mungkin berisiko sekiranya toman masih aktif namun ia tidak akan mencederakan ikan.
Cara ketiga dan merupakan paling selamat ialah dengan memegang bahagian bawah perut ikan. Bahagian perut bawah perut ikan merupakan kawasan yang agak sensitif dan boleh membuatkan ikan akan pasif apabila dipegang.
Kesemua caranya ini perlulah dilakukan dengan cermat dan penuh keyakinan kerana sebarang tindakan teragak-agak boleh menyebabkan kecederaan pada diri sendiri. Ini kerana walaupun kelihatan sudah lemah, toman kadang-kadang boleh bertindak agresif tanpa dijangka.
Antara Petua Mabuk Laut & Logik Akal!!

PETUA 1 : TAMPAL LADA HITAM
Letak beberapa biji lada hitam di dalam lubang pusat dan tutup dengan plaster atau apa-apa saja pelekat.
(Logiknya… mungkin lada hitam tersebut bertindak menyerap atau menyedut keluar angin yang terkumpul di dalam melalui pusat. Agaknya la…)
PETUA 2 : TAMPAL KOYOK
Tampal koyok yang biasa digunakan untuk menghilangkan sakit kepala pada pusat.
(Logiknya… koyok banyak diguna pakai untuk meredakan sakit kepala atau anggota badan lainnya. Jadi, ia mungkin dapat membantu meredakan pening akibat mabuk laut.
Namun saya sarankan tampal di kepala, bukannya di pusat.)
PETUA 3 – MINUM AIR LAUT
Minum beberapa teguk air laut atau mandi laut.
(Logiknya… memang tak nampak di mana logiknya kalau minum air laut.
Tapi kalau mandi laut tu mungkin juga sebab kalau lakukan aktiviti menyeronokan, secara tidak langsung hilang segala masalah termasuklah mabuk laut.)
PETUA 4 – MAKAN PISANG KELAT
Makan sebiji dua pisang mentah yang kelat rasanya.
(Logiknya… mungkin ada kesannya kerana itulah pisang disebut dalam pantun yang melibatkan pelayaran.
Tapi kalau anda percaya pada pantang larang membawa pisang ketika memancing di laut, susahlah nak makan pisang jawabnya.)
PETUA 5 – MAKAN KULIT LIMAU
Hidu buah limau nipis dan makan sedikit kulitnya.
(Logiknya… memang ada logiknya kerana sudah terbukti buah limau nipis sering di bawa dalam pelayaran.
Sifat rasanya yang masam dan baunya yang segar mampu menghilangkan rasa mual dan loya.)
PETUA 6 – SELITKAN KANGKUNG
Selitkan sayur kangkung pada pinggang atau di dalam poket pakaian.
(Logiknya… admin rasa ini lebih kepada lawak jenaka kerana langsung tidak nampak apa kesannya dengan cara menyelit kangkung pada badan.
Apa kuasa yang ada pada kangkung? Kalau kangkung tersebut dibuat goreng berkicap rasanya lebih berkesan untuk perut apabila kelaparan.)
PETUA 7 – MINUM AIR GAS
Minum air berkarbonat yang dicampurkan perahan limau nipis.
(Logiknya… memang ada logiknya. Malah admin sokong seratus peratus. Kalau takde limau nipis, boleh campur asam boi.
Kena pulak aiskerim soda campur asam boi… kemudian simpan dalam tong ais. Perghhhh… minum waktu panas terik. Nyaman betul.)
PETUA 8 – GIGIT CENGKIH
Gigit batang cengkih.
(Logiknya… mungkin ada kebenarannya juga kerana cengkih adalah rempah ratus yang bersifat pedas dan panas. Lagipun tak susah nak simpan cengkih atas bot.
Selit dalam poket seluar pun boleh. Bila rasa nak mabuk tu datang, bolehlah dicuba petua ini.)
PETUA 9 – TUMBUK HALIA BARA
Tumbuk lada hitam dan halia bara, kemudian sapu pada perut dan pusat.
(Logiknya… yang ini nampak macam berkesan tapi tak sanggup pulak admin nak bayangkan rasa pijor atau kepanasan kulit perut dan pusat bila ditampal dengan lada hitam dan halia bara.)
PETUA 10 – MAKAN KELEDEK MENTAH
Makan keledek mentah. Bukannya keledek goreng atau rebus.
(Logiknya… mungkin berkesan. Cuma ada pendapat mengatakan ubi ini boleh menyebabkan angin. Bukannya mengeluarkan angin.
Takut nanti ia menyebabkan angin berkumpul dalam badan susah untuk dikeluarkan. Lagi susah angin keluar maka lagi cepat kejadian mabuk berlaku).
PETUA 11 – MAKAN MADU
Makan 3 sudu madu yang dicampurkan secubit garam.
(Logiknya… memang ada logiknya. Rasanya semua orang tau bahawa madu merupakan penawar segala jenis penyakit.
Mabuk laut pun satu jenis penyakit jugak. Kalau tak cuba tak tau… lepas ni bolehlah cuba bawak madu ke laut.)
PETUA 12 – GUNA DAUN GUGUR
Tangkap daun yang gugur tanpa mencecah tanah dan kemudiannya selitkan pada pinggang atau simpan di dalam poket pakaian.
(Logiknya… admin rasa petua ni langsung takde logik. Bukan saja takde logik malah mengarut. Daripada bawa daun yang gugur tanpa sentuh bumi, baik tunggu durian gugur kemudian bawa durian ke laut.)
Jelajah Muara 2023 Azura & Amlie

Lokasi: Kuala Trong, Perak
Tekong: Joko @ Faiz Saad
Sampan sewa: Reduan Kamaruddin
Peralatan memancing: Sawa-D
Alhamdulillah… trip pembuka tirai 2023 berlangsung dengan penuh kegemilangan. Ikan pertama saya landkan siakap monster bersaiz 12.9 kg. Ia terjadi pada balingan kedua saya seawal 9.40 am. Balingan pertama saya strike siakap bersaiz anggaran 2 kg tapi lucut tepi bot. Amlie tak sempat sauk. Tekong Joko pulak baru nak ikat leader. Ikan pertama Amlie landkan siakap monster bersaiz 7.9 kg pada 9.50am.
Hasil trip pembuka tirai 4 ekor siakap, 2 ekor kerapu, 1 ekor Jenahak dan 1 ekor barracuda. Alhamdulillah… rezeki anak-anak kami.
Penantian saya selama menjadi penunggu muara setahun 4 bulan. Alhamdulillah Allah makbulkan untuk saya fight dan landkan siakap 12.9 kg dengan setup; rod Sawa-D Mantap, 8-17 lb, 6 kaki 2 pcs. Reel Sawa-D Signature150 Max Drag 8kg, mainline 50lb Boytep Submerged System X8+1. Leader Sawa-D Mantap Plus 100% Fluoro 60 lb dengan teknik casting.
Amlie pula menggunakan setup; rod Sawa-D Prototype PE3 6kaki 1pc, reel Sawa-D Signature150 Max Drag 8kg, mainline 30lb Boytep Submerged System X8+lb, leader Sawa-D Mantap Plus 100% Fluoro 50 lb, juga dengan teknik casting
Setup saya gunakan agak kasar kerana di muara kami bukan fight dengan ikan semata-mata. Kami fight dengan reba dan teritip. Drag Reel Sawa-D Signature150 yang berkekuatan 8kg saya full max LOCKED sebab kawasan high pressure yang penuh dengan reba.
Kekuatan set hook saya dibantu dengan drag yang dikunci 100%. Reason saya gunakan rod medium Sawa-D Mantap 8-17lb adalah kerana saya akan cast 2 hari berturut-turut. Penggunaan rod medium yang ringan dan liat dari Sawa-D membantu saya untuk tidak cepat letih untuk casting blind cast 2 hari berturut-turut di muara. Handling untuk rod medium juga berlainan. Apa-apa jenis rod yang kita gunakan, kita kena tahu keupayaan dan cara handling yang betul.
Perkongsian saya di TikTok mendapat pelbagai reaksi dan ada yang tidak percaya kami menggunakan teknik casting. Ada yang tidak percaya perempuan mampu fight siakap liar bersaiz 12.9 kg. Ada yang tak percaya Rod Sawa-D Mantap 8-17lb 6 kaki 2pcs mampu fight dengan siakap monster dan pelbagai lagi. Alhamdulillah semua ini dengan izin Allah jua.
Oleh: Azura & Amlie Fishing Adventures
Soal Jawab Memancing – Apa Beza Pari & Ketuka??

Walaupun mengenal ikan boleh dikatakan perkara asas untuk memancing tetapi percayalah masih ada yang memerlukan penjelasan mengenai perbezaan spesies ikan yang ada di Malaysia. Kita akan berbicara tentang perbezaan antara spesies pari dan ketuka memandangkan masih ada yang beranggapan bahawa ketuka itu ialah anak kepada ikan pari walaupun ia sebenarnya bukan.
Ada 2 perbezaan ketara yang bolen membezakan kedua-dua spesies ini iaitu saiz dan ekornya:
Ini adalah perbezaan yang paling ketara untuk menentukan beza pari dan ketuka. Tidak seperti spesies pari yang berekor panjang (kecuali pari kelawar), ketuka hanya mempunyai ekor yang pendek sahaja, iaitu kira-kira sejengkal dari jari manusia. Namun harus diingat kedua-dua spesies ini mempunyai sengat yang sama di pangkal ekor. Oleh itu sentiasalah berwaspada ketika mengendalikannya.
Umum tahu bahawa ikan pari mempunyai saiz yang besar berbanding ketuka. Ketuka sememangnya sejenis spesies yang tidak membesar seperti ikan pari. Menurut pengalaman peribadi penulis, ketuka yang paling besar pun sekitar 500 gram sahaja, tidak seperti pari yang mampu menjangkau saiz puluhan kilogram.