Admin, kalau nak memancing ikan sasaran maka kita kenalah tau diet pemakanannya. Saya masih ingat ayah ni sebab admin ada pernah beri tip pasal ni. Masalahnya sekarang, saya tak tau ikan apa yang ada pantai tempat saya memancing di Sabak Bernam nanti. Jadi, umpan apa yang sesuai untuk saya guna?
JAWAPAN:
Ads
Tahniah kerana anda memahami konsep untuk berjaya dalam memancing. Sememangnya pengetahuan diet ikan sasaran adalah penting bagi penyediaan umpan yang tepat. Namun, apa yang lebih penting lagi sebelum penyediaan umpan adalah pengetahuan tentang spesies ikan sasaran. Hal ini perlulah diambil tahu dan terdapat banyak cara untuk mengetahuinya tanpa perlu bertanyakan kepada admin.
Ads
Admin pun pemancing biasa juga yang mana masih banyak lagi padang pancing belum diteroka termasuklah di Sabah Bernam. Walaupun pernah beberapa kali memancing di perairan Sabak Bernam termasuklah di sungai dan juga sawah padi, namun admin belum pernah cuba pancingan pantai. Begitu pun tidak terlalu sukar untuk buat jangkaan spesies yang mendiami pesisir pantai Sabak Bernam.
Ads
Sebagaimana kebanyakan pesisir pantai sebelah barat semenanjung, pantai berlumpur ini lazimnya didiami spesies seperti pari, ketuka, gelama, sembilang, duri dan juga belukang. Dan kesemua spesies yang disebutkan ini boleh dipancing dengan menggunakan umpan udang, umpun-umpun dan juga hirisan sotong atau ikan.
Dan ia merupakan umpan lazim yang digunakan. Oleh yang demikian anda boleh menggunakan umpan-umpan ini apabila berkunjung ke Sabak Bernam nanti.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya berminat sangat nak pancing ikan-ikan liar terutamanya patin di sungai, tasik serta lombong. Masalahnya saya tak tau umpan apa yang boleh digunakan. Jadi boleh tak admin beri tips sikit umpan yang sesuai digunakan kat tempat macam ni.
JAWAPAN:
Ikan patin memang merupakan salah satu ikan yang popular di Malaysia terutama di Pahang, Perak dan juga negeri-negeri lain. Malah, boleh dikatakan patin merupakan ikan yang paling banyak dipancing di negara kita. Sama ada di habitat liar atau kurungan, ia adalah pancingan yang menghiburkan.
Walau bagaimana pun, memancing ikan patin di sungai lebih sukar berbanding pancingan patin kolam kerana faktor arus sungai. Jadi, kebanyakan umpan yang digunakan di kolam pancing berbayar tidak boleh digunakan kerana dibawa arus.
Biasanya pancingan spesies ikan liar dalam habitat semula jadi lebih tertumpu pada umpan semula jadi. Umpan seperti buah ara dan buah berembang merupakan antara pilihan, namun ramai juga pemancing menjadikan organ dalaman ayam sebagai umpan patin seperti hati ayam dan perutnya.
Selain itu, penggunaan umpan roti, pelet dan dedak sebenarnya boleh digunakan namun pastikan bancuhan umpan tidak peroi kerana mudah hilang dibawa arus sungai. Jika menggunakan campuran dedak dan pelet, pastikan lebih pekat dan gunakan teknik mata bom. Anda juga boleh bereksperimen dengan menggunakan roti canai atau bancuhan tepung.
Selain umpan, teknik persembahan umpan juga amat penting. Umpan perlu dipersembahkan seolah-olah makanan semulajadi yang hanyut di dalam sungai.
Saya nak minta pencerahan berkenaan single hook pada gewang top water / minnow dan depth. Untuk jenis snakehead (toman) adakah pengunaan single hook sesuai untuk kita guna pada gewang untuk memburu toman?
JAWAPAN:
Pada asasnya, kegunaan mata tunggal bagi menggantikan treble hook atau mata tiga pada gewang (termasuklah gewang permukaan, minnow, depth dan sebagainya) bagi mengatasi masalah sangkut. Ini kerana kebanyakan perairan air tawar di negara kita banyak memiliki struktur atau objek sama ada di permukaan atau di bawah air. Dengan menggunakan single hook maka ia dapat mengurangkan risiko sangkut berbanding mata tiga.
Bagi peratusan hook up pula tentu saja single hook lebih rendah berbanding mata tiga kerana ia hanya mempunyai satu mata cangkuk. Tetapi, dari segi faktor kejayaan pula, ikan yang tercangkuk pada mata tunggal amat tinggi peratusan untuk didaratkan berbanding mata tiga kerana lazimnya mata tunggal tahap cangkukannya lebih solid. Berdasarkan pada kenyataan ini anda bolehlah menilai sendiri mata kail jenis apa yang sesuai untuk digunakan pada gewang.
Saya secara peribadi menggunakan kedua-dua jenis mata kail ini untuk memancing toman. Untuk gewang crank atau selaman dalam, saya lebih gemar memilih mata tunggal. Sementara gewang permukaan dan selaman cetek pula saya gunakan mata tiga.
Selain menyambar gewang (dengan mulut), toman turut bertindak memukul gewang dengan bahagian kepalanya (tindakan menjaga kewilayahan), dengan menggunakan mata tiga maka peluang untuk ia tercangkuk pada anggota badan toman juga tinggi berbanding mata tunggal.
Salam admin… boleh tak berikan satu contoh besi pancang yang sesuai untuk memancing di pantai? Maklum sajalah kalau besi biasa tentu cepat berkarat sebab air laut kan masin. Kalau boleh ada cara tak untuk buat sendiri pancang ni?
JAWAPAN:
Tidak dinafikan lagi untuk memancing pantai, pancang adalah salah satu perkakas penting yang perlu dibawa. Malah wajib bawa. Tak boleh tak bawa. Tanpa pancang mustahil nak memegang joran yang panjang sepanjang masa.
Kadangkala pancang yang terjual tidak berapa kukuh bila dipacak ke dalam pasir. Untuk mengelakkan joran tumbang bila ditarik ikan, anda boleh mengubah suai pancang yang dibeli dari kedai atau membuat pancang khas untuk pancingan pantai mengikut kesesuaian joran anda.
Anda cuma perlu mencari besi bulat dan padat, panjang mengikut kesesuaian pemegang joran. Kemudian perlu sediakan batang paip sekurang-kurangnya 1 inci lebih atau mengikut ukur lilit pemegang joran.
Akhir sekali anda perlukan pelapik skru (washer). Anda boleh membuat pancang ini di kedai-kedai welding seperti kedai pembuat pagar dan sebagainya. Terangkan pada tukang besi jenis pancang yang anda ingin buat.
Sediakan gambarajah menerangkan cara untuk membuat pancang, cuba tunjuk pada tukang welding dan jelaskan padanya. Pasti mereka tahu bagaimana untuk membuatnya. Sebaiknya bawa sekali joran anda kemudahan bahan rujukan.
Dan bahan terbaik untuk elak berkarat tentu saja material stainless steel.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...