Untuk pengetahuan admin, saya ni kaki bottom sedangkan ebek selalunya naik kalau kita jigging. Pada pendapat admin boleh tak kita pancing ebek selain jigging?
JAWAPAN:
Ikan ebek merupakan salah satu daripada pemangsa marin dalam kitaran makanan lautan. Ebek sering menjadikan ikan kecil, sotong, obor-obor dan krustasia sebagai mangsanya sekali gus menjadikan senarai tersebut sebagai diet makanan utama.
IKLAN
Di Malaysia, akses lokasi atau lubuk untuk memancing ebek tidak sesukar mana. Bermula dari kawasan muara sehinggalah ke laut lepas. Antara lokasi terbaik memancing ebek ialah di kebanyakan perairan Terengganu dan Pahang.
Waktu sesuai untuk memburu ebek dikatakan sekitar bulan Februari hingga Jun setiap tahun. Lubuk terbaik untuk memburu ebek ialah di kawasan yang mempunyai struktur seperti batu atau karang.
IKLAN
Selain dipancing dengan menggunakan umpan konvensional, ebek turut menjadi spesies idaman penggemar teknik jigging menggunakan kepingan besi atau jig. Tidak dinafikan dalam sukan memancing, ebek merupakan antara spesies buruan berikutan aksi pertarungan yang dipersembahkannya.
IKLAN
Ebek boleh dipancing dengan teknik dasar atau jigging/light jigging di kawasan berbatu. Jig yang dipilih sebaiknya warna silver, hijau. Tetapi warna jig yang terang seperti pink, juga boleh, namun bergantung juga kepada lokasi, air, kedalaman air.
Diet utama ebek ialah krustasia bergerak perlahan. Jadi umpan yang efektif yang mungkin anda boleh cuba ialah udang hidup. Selain itu, tamban, ketam angin dan sotong cumit juga boleh digunakan. Gunakan perambut yang panjangnya sekitar 3 kaki ke atas.
Dan untuk pengetahuan anda, jigging merupakan teknik pancingan moden. Sebelum adanya teknik jigging, ebek diburu dengan teknik pancingan bottom khususnya berumpankan udang. Dan ia masih banyak diamalkan sehingga kini walaupun dalam trip jigging.
Setelah sekian lama spesies ikan patin atau patin Chao Phraya mendominasi podium kejuaraan dalam pertandingan memancing atau cabaran memancing bulanan yang dianjurkan oleh Kolam Seri Bayu Tekala, akhirnya ikan pacu (yang merupakan spesies sasaran suatu ketika dahulu) kembali merampas takhta dan berada di puncak podium.
Dalam pertandingan memancing, Cabaran Bulan Kemerdekaan (Ogos), anjuran kolam Seri Bayu Tekala yang dilangsungkan Ahad lalu menyaksikan ikan pacu yang didaratkan oleh peserta dari Labu, Negeri Sembilan yang mendaftarkan nama sebagai LBJ 21 seberat 14.460 kg, pada jam 11.12 pagi (kolam 5) muncul sebagai juara. Dengan kemenangan tersebut, LBJ 21 membawa pulang wang tunai sebanyak RM55,000.
Begitu juga dengan pemenang di tangga kedua. Seekor ikan pacu dengan berat 14.315 kg (hanya dibezakan 0.145 kg atau 145 gm) yang didaratkan di kolam 2 pada jam 11.44 pagi (berselang 32 minit) oleh peserta yang mendaftar nama sebagai DAUD ZARAH, terpaksa berpuas hati di podium kedua dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM12,000 ke Tanjung Malim.
Manakala di podium terakhir atau tangga ketiga dimenangi oleh peserta yang mendaftarkan nama sebagai POK CIK dari Petaling Jaya. POK CIK berjaya mendaratkan seekor ikan patin seberat 12.930 kg (kolam 2) sekali gus membawa pulang wang tunai sebanyak RM 5,000.
Kali terakhir saya mencari bahan cerita trip memancing di Pulau Pinang hanyalah setakat ke Bagan Ajam, Seberang Perai.
Lokasi memancing yang dituju juga tidak sampai ke bahagian sebelah pulau. Di tengah-tengah antara tanah besar dan pulau.
Bukan di atas jambatan, sebaliknya di bawah jambatan hubungan pertama.
Ketika itu jambatan hubungan kedua masih dalam pembinaan dan sudah pun dibuka secara percuma apabila kedatangan kali kedua saya ke Pulau Pinang ini.
Justeru, apabila ada rakan mempelawa saya untuk berkomplot di kelong di Pulau Pinang ini, tanpa banyak bertanya saya terus menyetujuinya.
Hanya ketika memandu ke sana barulah saya tertanya-tanya sendiri… ada ke kelong kat Pulau Pinang ni?
KELONG KE SANGKAR IKAN?
Berdiri di hujung jeti nelayan Teluk Bahang, saya merenung lemah ‘kelong’ yang dimaksudkan tersebut.
Salah saya juga kerana tak bertanya lebih jelas tentang kelong itu dan bukan juga salah orang di sana jika menamakan sangkar ikan sebagai kelong.
Saya tiada sebarang masalah untuk memancing di sangkar ikan cuma kelengkapan pancing yang dibawa lebih sesuai untuk kegunaan pancingan di kelong, bukannya di sangkar ikan.
Deretan sangkar ikan yang dapat dilihat dengan jelas dari jeti nelayan ini memerlukan masa kurang dari 5 minit sahaja untuk ke sana dengan bot fiber yang disediakan.
Sangkar ikan atau Kelong Keong yang merupakan sangkar ikan paling lama diusahakan di kawasan pantai berteluk itu menjadi pilihan untuk memancing ikan-ikan liar yang datang mencari makan lebihan makanan ikan yang diternak di dalam sangkar.
Ketibaan kami waktu itu sebenarnya umpama langkah kanan kerana tepat pada waktu ikan-ikan di dalam sangkar diberi makan.
Saranan daripada tauke sangkar itu supaya segera melabuhkan umpan tidak saya pedulikan sangat kerana belum bersedia untuk memancing.
Tumpuan saya lebih terarah kepada anjing-anjing dari spesies Rottweiler yang bertugas menjaga keselamatan di kawasan sangkar.
Walaupun diberi keyakinan anjing-anjing tersebut jinak dan tidak mengganggu, ia tetap juga adalah anjing… Rottweiler pulak tu!
Joran berumpankan udang dan belanak hidup dilabuhkan ke ruang sangkar yang tiada berjaring atau ruang kosong antara sangkar.
Setelah agak lama tiada sebarang sambaran, sebaliknya udang hidup banyak kehilangan kaki dan mata dikutis ikan-ikan kecil dan ketam, belanak pula keras di mata kail, saya
mengambil keputusan memancing ikan-ikan kecil saja menggunakan udang kopek dihiris kecil. Tak disangka pula umpan udang kopek dipotong tiga itu pula yang dikutip oleh siakap remaja sebesar tapak tangan.
UMPAN GAM
Cerita rakan tentang ikan tamok dan rabbitfish atau dengkis banyak berkeliaran di bawah kelong, mendorong saya untuk menyediakan umpan bagi memikat ikan-ikan tersebut.
Dedak bom, matsumoto udang antatika dan umpan gam dibancuh, dikepal pada spring dan digantung di pra permukaan air sebagai pemikat ikan.
Bancuhan dedak yang sama juga digentel pada mata kail bersaiz kecil untuk menjerat ikan yang datang. Hasilnya terbukti mengasyikkan.
Tamok, dengkis dan kitang banyak yang terpedaya namun tidak semua yang berjaya dinaikkan melalui celah-celah lubang lantai kelong.
Menjelang petang, ahli komplot bertambah dengan kedatangan pemancing-pemancing yang kerap bertandang ke Kelong Keong.
Sama ada secara kebetulan atau sudah mengetahui jadual ikan sangkar di bahagian belakang diberi makan, spot yang mereka pilih ternyata menjadi-jadi.
Setelah melihat mereka menaikkan beberapa ekor siakap dan GT juvana di spot yang sama, saya terpaksa juga meniti dari sangkar ke sangkar dan berselisih dengan Rottweiler-
rottweiler serta mengelak daripada terpijak najis-najis yang ditinggalkan oleh makhluk itu untuk ke spot tersebut.
LUBUK IKAN
Memang cuak juga apabila terpaksa berselisih dengan penjaga sangkar tersebut tetapi hasil ke spot tersebut amat menyenangkan hati.
Tidak perlu menunggu lama, udang hidup yang diturunkan ke ruang petak sangkar kosong itu segera disambut oleh pemangsa yang sedang berkeliaran mencari makanan.
Malah macam tak percaya pula dalam radius kecil itu banyak pula spesies yang menanti. Siakap, siakap merah, GT juvana, tetanda, jenahak dan kerapu seperti berkumpul di situ.
Cuma tidak boleh lama melayan tarikannya ekoran banyak rintangan di bawah kelong. Sama ada tali-tali pengikat sangkar atau jaring sangkar itu sendiri boleh menyebabkan ikan tersangkut dan berjaya melepaskan diri.
Sedar tak sedar, hari dah mula gelap dan umpan hidup turut kehabisan. Perancangan awal untuk bermalam di kelong tersebut terpaksa dibatalkan ekoran hasil tangkapan agar banyak dan tidak cukup ais pula untuk menyimpan ikan-ikan tersebut.
Keputusan terbaik, kembali semula ke darat, nikmati hasil tangkapan di kedai seafood, berehat dan kembali semula keesokan harinya ke sangkar yang sama dengan harapan membuahkan hasil yang sama juga.
Saya baru nak belajar memancing di tepi pantai atau surfcasting. Oleh yang demikian saya ingin tahu apakah setting yang sesuai dari saiz joran, mata kail, ladung, tali utama dan jenis umpan? Dan jika memancing di tepi tasik air tawar, adakah tekniknya sama dengan surfcasting?
JAWAPAN:
Untuk pancingan pantai atau surfcasting, kombinasi peralatan yang sesuai digunakan ialah joran minimum 12 kaki, kekili mendatar sekurang-kurangnya saiz siri 4000 (lebih baik jika kekili gelendung panjang atau surf cast reel, tali utama dari jenis sulam atau braided 20-40lb, batu ladung jenis gantung atau batu mati lonjong (saiz bergantung kepada kelajuan arus).
Perambut 30-50lb (bergantung kepada struktur dasar lokasi dan ikan sasaran) dan dipadankan dengan mata kail nombor 8 hingga nombor 2, atau 1/0 hingga 3/0 bergantung juga pada spesies sasaran. Umpan yang sesuai bagi newbie pula terdiri dari jenis umpan yang tidak mudah tertanggal dari mata kail ketika melakukan lontaran. Disarankan anda mencuba umpan seperti umpun-umpun, hirisan sotong atau hirisan ikan belanak.
Sebaiknya anda perkemaskan teknik lontaran terlebih dahulu sebelum memasang impian untuk menerima strike. Tetapkan satu jarak sasaran yang perlu dicapai dan lakukan berulang kali. Dalam pada masa yang sama turut memantau keadaan umpan selepas melakukan lontaran.
Kombinasi peralatan surfcasting ini juga boleh diaplikasikan di tasik air tawar. Terutamanya peralatan utama seperti joran, kekili dan tali utama. Namun teknik perambut, batu ladung, mata kail dan umpan perlu disepadankan dengan konsep pancingan ikan air tawar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...