Saya pernah diberitahu terdapat satu cara untuk melepaskan gewang yang tersangkut di dalam air jika tiada penyelamat gewang. Caranya ialah ialah dengan cara menjentik tali pancing. Ada juga yang menyebutnya menjentik gewang. Saya tidak pasti sama ada admin pernah mendengar perkara ini perkara ini atau tidak, yang pasti cara ini tidak berkesan pada saya.
JAWAPAN:
Ads
Sekiranya admin tidak memahami maksud teknik menjentik tali atau gewang sebagaimana yang dimaksudkan, sudah tentu admin menjentik dahi sendiri untuk memberikan pendapat. Jika menurut kefahaman admin, sebagaimana yang dijelaskan juga teknik menjentik tali bagi melepaskan gewang yang tersangkut, hanyalah satu usaha atau ikhtiar sahaja.
Dalam erti kata lain ia bukanlah satu formula yang terbukti berkesan. Tapi elok juga admin jelaskan sedikit kaedah ini khusus untuk sesiapa yang belum memahaminya.
Ads
Apabila gewang tersangkut (melanggar objek di dalam air), pemancing perlulah menegangkan tali pancing, kemudian dengan menggunakan jari tarik tali (seperti menarik getah lastik atau seperti memetik gitar) dan lepaskan kembali.
Dengan cara demikian, leader yang digunakan akan bertindak seperti spring untuk menendang keluar mata kail yang tersangkut pada objek. Namun terdapat beberapa perkara yang memungkinkan kaedah ini gagal.
Ads
Pertama, ia pasti gagal untuk dilaksanakan jika menggunakan tali mono atau tangsi sepenuhnya. Begitu juga jika menggunakan mata tunggal kerana lazimnya mata tunggal akan lebih solid benamannya pada objek.
Atau kita melakukan strike atau stroke yang kuat sewaktu gewang terlanggar objek atau reba kerana menyangkakannya ia disambar ikan. Atau objek yang menyebabkan gewang tersangkut bukanlah reba pokok, sebaliknya objek lain yang sememangnya sulit untuk dilepaskan seperti pukat atau karung guni.
Admin sendiri pernah berhadapan dengan situasi dan mempratikkan kaedah ini dengan hasil yang berbeza. Ada yang berjaya dan tidak kurang juga yang terpaksa merelakan pemergian gewang kesayangan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya merupakan seorang pemancing yang dibesarkan di bandar dan baru tahu buah ara boleh dijadikan umpan. Bagaimana nak mengenali buah ara dan di mana boleh mendapatkannya?
JAWAPAN:
Buah ara adalah buah hutan. Biasanya pokok ara tumbuh meliar di tebing sungai di kawasan kampung. Memancing ketika musim pokok ara berbuah adalah menyeronokkan kerana buahnya menjadi kegemaran pelbagai spesies ikan terutama sungai-sungai di Perak dan Pahang.
Sementara ikan-ikan seperti kaloi, lampam, tongsan sisik kasar, patin, lawang dan kekadang baung turut menggemari buah ara. Oleh yang demikian ketika buah ara masak ranum masa adalah terbaik untuk memancing ikan-ikan sungai ini.
Ketika ini ikan mudah mabuk kerana memakan buah yang gugur dan pada masa yang sama pemancing boleh memanfaatkan peluang menggunakan buah ara untuk memancing dengan dengan meletakkan buah yang dicangkuk pada mata kail.
Selain itu. anda boleh membelah atau memotong buah ara yang masak ranum untuk mengeluarkan aromanya supaya senang dicangkuk satu persatu sampai panjang lebih kurang sejengkal pada perambut.
Teknik ini sangat sesuai digunakan di lubuk yang agak jauh dari pokok ara yang kebiasaannya banyak terdapat di tebing sungai sekitar daerah Perak Tengah. Musim buah ara masak antara empat dan lima kali setahun.
Setiap kali masak boleh tahan seminggu namun begitu tidak semua buah pokok ara menjadi kegilaan ikan sungai. Biasanya yang berbau wangi dan warna merah hati menjadi pilihan pemancing sekitar daerah Perak.
Saya dah malas nak pergi ke kedai pancing tapi belum berani nak beli secara online. Apa tips yang boleh admin beri untuk beli barang pancing online?
JAWAPAN:
Shopping secara online sudah lama menjadi trending dan dalam industry memancing juga tidak terkecuali. Admin sendiri pun turut sama terjebak. Tetapi, sebelum terjebak tu elok juga anda buat homework sikit.
Kenal pasti dahulu maklumat si penjual. Sama ada dia aktif membuat jualan online. Kalau tak aktif, abaikan saja.
Sekiranya dia betul-betul penjual barangan pancing, periksa juga status rekod jualannya. Semak komen-komen dari rekod jualannya.
Kalau banyak yang negatif dari yang positif, elok abaikan saja.
Kenal pasti nilai sebenar barangan tersebut di pasaran sebenar. Tanya pada rakan yang arif. Kalau mahal melampau, buat apa nak beli.
Kalau murah melampau pulak, kemungkinan besar itu kerja penipu atau scammer.
Jika anda tidak berpuas hati dengan foto produk yang diiklankan, minta foto tambahan dari penjual. Lebih-lebih lagi jika penjual memaparkan foto yang dimuat naik dari internet.
Jangan segan untuk membuat tawaran harga yang berpatutan. Sebagai pembeli kita berhak untuk meminta pengurangan harga walaupun sepuluh sen.
Jika boleh, sebaiknya lakukan jual beli secara COD. Ia lebih baik bagi kedua-dua belah pihak.
Malaysia mengalami musim tengkujuh setiap tahun. Apakah musim tengkujuh juga merupakan faktor dan mempengaruhi spesies ikan di perairan yang mengalami tengkujuh?
JAWAPAN:
Terdapat dua musim atau monsun utama di Malaysia iaitu Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya selain dua inter-monsun yang berlaku di antara dua monsun utama tadi. Monsun Timur Laut yang berlaku sekitar November – Januari merupakan monsun yang memberi kesan besar terutama industri nelayan dan memancing di Pantai Timur Semenanjung.
Monsun atau musim tengkujuh ini juga mempengaruhi spesies di perairan terbabit. Permulaan musim, spesies ikan daripada kumpulan mackerel (tenggiri, alu-alu), threadfin (senangin, kurau dan lain-lain) dan juga croaker (gelama) lebih banyak sementara grouper (kerapu) akan berkurang kerana akan bergerak lebih jauh ke tengah laut.
Waktu terbaik untuk memancing akan kembali sekitar April selepas inter-monsun. Waktu ini spesies grouper dan snapper akan kembali menghampiri ke kawasan pantai dan pemancing boleh menikmati aktiviti memancing sehingga Oktober.
Dalam erti kata lainnya, musim tengkujuh akan mempengaruhi habitat ikan serta sedikit tabiat pemakanannya.
Lazimnya, suhu yang jatuh sedikit pada musim tengkujuh (jika hujan berterusan) akan membuatkan ikan kurang aktif memburu makanan. Begitu jugalah dengan aktiviti memancing pada musim tengkujuh perlu berehat seketika. Keadaan laut yang bergelora sama sekali tidak sesuai untuk meneruskan aktiviti memancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...