
SOALAN:
Saya merupakan seorang pemancing yang dibesarkan di bandar dan baru tahu buah ara boleh dijadikan umpan. Bagaimana nak mengenali buah ara dan di mana boleh mendapatkannya?
JAWAPAN:
Buah ara adalah buah hutan. Biasanya pokok ara tumbuh meliar di tebing sungai di kawasan kampung. Memancing ketika musim pokok ara berbuah adalah menyeronokkan kerana buahnya menjadi kegemaran pelbagai spesies ikan terutama sungai-sungai di Perak dan Pahang.
Sementara ikan-ikan seperti kaloi, lampam, tongsan sisik kasar, patin, lawang dan kekadang baung turut menggemari buah ara. Oleh yang demikian ketika buah ara masak ranum masa adalah terbaik untuk memancing ikan-ikan sungai ini.
Ketika ini ikan mudah mabuk kerana memakan buah yang gugur dan pada masa yang sama pemancing boleh memanfaatkan peluang menggunakan buah ara untuk memancing dengan dengan meletakkan buah yang dicangkuk pada mata kail.
Selain itu. anda boleh membelah atau memotong buah ara yang masak ranum untuk mengeluarkan aromanya supaya senang dicangkuk satu persatu sampai panjang lebih kurang sejengkal pada perambut.
Teknik ini sangat sesuai digunakan di lubuk yang agak jauh dari pokok ara yang kebiasaannya banyak terdapat di tebing sungai sekitar daerah Perak Tengah. Musim buah ara masak antara empat dan lima kali setahun.
Setiap kali masak boleh tahan seminggu namun begitu tidak semua buah pokok ara menjadi kegilaan ikan sungai. Biasanya yang berbau wangi dan warna merah hati menjadi pilihan pemancing sekitar daerah Perak.
Trip Retro – Trip belitong yang kumpau

Akibat terpengaruh dengan cerita penulis tentang keseronokan melayan dorado atau belitong dengan teknik jigging, satu komplot pemancing seramai 7 orang telah menyahut cabaran ini.
Kami seramai 8 orang pemancing akhirnya menuju ke Kuala Rompin memburu dorado tatkala ikan ikonik Rompin iaitu sailfish atau layaran sedang mula berlegar-legar di perairan rompin.
Sekali lagi khidmat tekong sport fishing terbaik Kuala Rompin, Mat Rompin, ditagih bagi menjayakan misi luar biasa ini.
Tentu saja luar biasa buat trip mencari dorado tatkala memasuki waktu puncak memburu layaran.
Untuk menjejak dorado tidaklah semudah mengesan kewujudan layaran. Justeru, spot-spot unjam luar yang menelan masa lebih 2 jam perjalanan dari jeti Kuala Rompin diselongkar satu demi satu satu.
Tiba di spot unjam pertama, misi luar biasa itu seperti begitu pantas akan menepati sasaran.
Teknik bijak yang dipraktikkan ketua komplot, menggantikan pemberat dengan jig pada Apollo ketika mengunjun mencari umpan hidup ternyata memerangkap seekor dorado.

Sudah jelas kelihatan dorado tersebut menyambar jig namun aksi akrobatiknya (yang tidak sempat dirakam) berjaya meluruskan mata kail pada jig sekali gus meloloskan diri.
Sama ada kebenarannya jika seekor dorado yang terlucut akan mempengaruhi kawanannya meninggalkan sesuatu kawasan, hakikatnya selepas kejadian itu tiada lagi dorado yang berjaya dijinakkan malah kelibatnya juga tidak lagi kelihatan.
Unjam ke unjam seterusnya, petanda akan kehadiran dorado terus menghampakan.
Teknik menghanyutkan umpan hidup (drifting) dan bottom memburu dorado mula dikurangkan apabila alu-alu mula mengerjakan umpan-umpan tersebut.
Sebahagian besar ahli komplot mula beralih angin dengan aksi jigging apatah lagi kawanan ikan aya atau tongkol begitu galak membaham anak-anak ikan di permukaan air.
Dengan mempraktikkan aksi casting jig, seekor demi seekor ayam kurik dan ayam hitam berskala kecil.
Dan apabila Mat Rompin mendaratkan seekor tenggiri dari hasil jigging, hanya Zuvaini saja yang meneruskan pencarian belitong menerusi keadah drift dan bottom umpan hidup.
Aboy, ketua komplot dorado gigih dengan aksi jiggingnya namun spesies sasaran mula diragukan.
Hanya tiada tenggiri atau aya yang beliau daratkan, sedikit menjelaskan sasarannya masih lagi dorado.
Tindakan tekong yang kerap berpindah dari unjam ke unjam tanpa menunggu lebih lama di sesuatu unjam mula menimbulkan sedikit keluh-kesah sebahagian ahli komplot.
Tambah pula jarak ke satu-satu unjam memakan masa yang lama juga. Kemudian, persinggahan di unjam pula lebih singkat berbanding waktu perjalanan ke unjam.
Begitu juga dengan hasil yang kurang memberangsangkan dari unjam ke unjam membuatkan banyak masa terbuang begitu saja.
Namun tiada yang mempersoalkan tindakan tekong kerana tetap yakin dengan reputasinya tambah pula dia lebih berpengalaman dalam misi memburu dorado.
Pindah punya pindah, hari kian semakin petang, akhirnya berlabuh di unjam tanpa penanda tidak jauh dari daratan.
Dengan dasar agak berlumpur maka boleh dikatakan tamatlah pemburuan komplot dorado. Malah misi kedua penulis untuk mencari sotong dan kerisi turut sama terkubur.
Walau bagaimana pun unjam terakhir itu agak menarik juga potensinya. Setelah Zuvaini berjaya menjinakkan seekor kurau, beberapa aksi jigging berjaya memberikan pertarungan sengit namun dimenangi oleh ikan yang tidak dikenal pasti spesiesnya.
Tamat pancingan di unjam darat itu makan berakhirlah komplot dorado dengan kegagalan mutlak.
Biarpun berjaya juga melihat kelibat dorado mempamerkan aksi akrobatiknya, namun tanpa mendaratkannya ia tetap dianggap sebagai gagal.
Rumusan dari trip kumpau ini, jangan sesekali buat trip khusus memburu dorado kerana spesies ini tidak dapat dipastikan dari mana ia datang dan ke mana ia menghilang.
Lebih baik buat trip jigging layaran tatkala sudah tiba musimnya. Jika gagal menjinakkannya dengan kaedah jigging, masih boleh memperbaharui lesen dengan kaedah konvensional.
Soal Jawab Mancing – Biar Betul Spinning Reel Tak Boleh Guna Untuk Casting?

SOALAN:
Saya baru nak belajar main casting tapi member saya cakap kena beli baitcasting reel dulu. Tak boleh ke kalau saya guna spinning reel je, admin? Saya rasa macam membazir pulak kalau beli reel BC sebab saya dah ada spinning reel. Lagipun saya tengok harga reel BC boleh tahan jugak mahal.
JAWAPAN:
Sebelum kita berbicara spinning reel boleh buat main casting atau tidak, sebaiknya kita fahami dulu apa itu casting. Casting atau lebih tepat lagi lure casting (mengilat) sebenarnya adalah salah satu cabang teknik memancing. Ia digelar atau dinamakan casting berikutan tindakan melontar dan mengarau umpan berulang kali.
Sementara umpan itu tersendiri tidak semestinya pula gewang atau artificial lures. Oleh yang demikian ia tidak mewajibkan penggunaan sesuatu jenis kekili atau umpan untuk mempraktikkan teknik casting. Jika hendak casting wajib guna kekili menegak (baitcaster reel) adalah mitos yang tidak dikenal pasti kewujudannya. Walau bagaimana penggunaan kedua-dua jenis reel ini ada keistimewaan tersendiri.
Berikut merupakan beberapa kelebihan penggunaan spinning reel ketika casting.
Tali pancing yang keluar daripada spool bergerak secara berpusing disebabkan spool statik dan tidak bergerak. Oleh itu ia tidak akan kusut dengan senang berbanding BC reel di mana pada jenis ini spool akan bergerak (berpusing). Dan sekiranya kita tak pandai kawal henti perjalanan tali ia akan mudah menjadi kusut atau birdnest.
Spinning reel lebih mudah untuk membuat balingan gewang ultra ringan dan mikro melawan angin berbanding BC reel.
Penggunaan spinning reel lebih senang dan tidak mengelirukan berbanding dengan BC di mana ia tidak mempunyai banyak alat dan fungsi tugas pada reel.
Spinning reel lebih senang dan berkuasa apabila membuat karau laju di mana pusingan spool yang lebih besar serta nisbah gear akan menyebabkan lebih berkuasa dan pantas.
Terdapat spinning reel yang mempunyai dua atau lebih spool apabila dibeli, oleh itu pemancing dapat membawa pelbagai tali dan saiz tali dengan satu kekili.
Kepaduan Sebarau Kolong

Memancing dengan teknik mengilat adalah salah satu seni dalam teknik memancing masa kini. Kelebihan teknik ini tentunya pemancing tidak perlu bersusah payah mencari atau membeli umpan hidup, cukup sekadar memiliki gewang atau sesudu untuk tujuan ini. Selebihnya perlu rajin mencari dan mengkaji lokasi sasaran, keadaan air, waktu yang tepat dan keseimbangan peralatan dengan ikan buruan.
Selepas beberapa siri perbincangan, saya, adik saya Mat Salleh, Asri dan adiknya Ayim, bercadang ke lokasi kegemaran kami yang digelar ‘Lubuk Bawah Kolong’ untuk menduga penghuninya.
Awal pagi tatkala matahari baru menjengah memancarkan sinarnya, kami berempat menyusuri laluan estet getah dan kelapa sawit ke lokasi yang terletak kira-kira 8 km dari rumah saya dengan motosikal masing-masing.
Sampai sahaja di lubuk yang dikenal pasti, peralatan segera dipersiapkan sambil mata meliar mengesan sebarang atau cakupan daripada sebarau yang menyambar anak-anak ikan. Lantas bersimpang siurlah gewang dan besi sesudu menerjah spot yang difikirkan berpotensi menghasilkan sesuatu.
Selepas beberapa percubaan, rezeki pertama berpihak kepada Ayim apabila lontaran sesudu Seahawk nya disambut sebaik sahaja mencecah air. Gandingan set mengilat kelas sederhana ringannya tiada masalah untuk mengekang larian mangsa dan beberapa minit kemudian seekor sebarau berskala 1.2 kilogram berjaya didaratkan.
Dalam pada itu lontaran gewang saya dan juga sesudu Salleh disergap sesuatu hampir serentak. Walau bagaimanapun mangsa di hujung tali saya berjaya melepaskan diri dan meninggalkan mata tiga yang terkangkang dikerjakannya.
Manakala Salleh terus melayan tarikan seekor lagi sebarau yang akhirnya berjaya dihela naik. Agak kecil sedikit kira-kira 600 gram yang kemudiannya dilepaskan kembali.
Tiba-tiba kedengaran drag kekili Asri berbunyi akibat sambaran sesuatu di bawah air. Asakan yang diterima agak hebat juga menyebabkan hujung jorannya melengkung menyentuh permukaan sungai.
Dengan berhati-hati Asri mengawal larian mangsa agar tidak terus membawa tali ke struktur berkayu di dasar sungai.
Salleh segera menghulurkan bantuan mendapatkan sebarau berskala 1.8 kilogram yang akhirnya terdampar kepenatan di gigi air. Terpancar senyuman kepuasan pemancingnya dengan hasil yang agak kasar ini.
Walaupun jam baru pukul 9.30 pagi, kami membuat keputusan menghentikan pemburuan kerana keadaan air sungai yang mulai bertukar kepada warna teh susu akibat kerja-kerja mengorek pasir haram di bahagian hulu sungai.
Kami pulang selepas tiada lagi minat sebarau mengejar sesudu atau gelekan gewang yang dipersembahkan. Walau bagaimanapun, kami bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.