
SOALAN:
Saya sebenarnya lebih berminat memancing ikan yang liar banyak terdapat di bekas lombong dan kolam ternakan terbiar berbanding ikan kolam berbayar. Biasanya banyak jenis juga ikan liar di bekas lombong tapi yang paling susah nak pancing ialah pacu. Jadi, boleh tak Team Umpan bagi sedikit tip terutamanya umpan yang sesuai untuk memancing ikan pacu.
JAWAPAN:
Ikan pacu adalah spesies omnivor atau maserba iaitu memiliki sifat memakan hampir apa saja makanan yang dijumpainya. Sama ada memancing di kolam terbiar, bekas lombong atau kolam pancing komersial, kebanyakan pemancing memilih teknik dasar berumpankan campuran dedak atau roti dadu berperisa.
Selain dedak dan roti, pacu juga jarang menolak umpan alami seperti cengkerik, cacing tanah mahu pun lipan. Turut dalam senarai umpan yang biasa digunapakai oleh pemancing ialah organ dalaman ayam seperti perut ataupun hati ayam.
Sekiranya anda penggemar teknik casting pula bolehlah cuba memikatnya dengan penggunaan gewang keras atau lembut (soft plastic). Gewang yang sesuai ialah jenis permukaan dan selaman sederhana bergantung kepada kedalaman padan pancing.
Sebaiknya juga gewang bersaiz kecil kerana pacu ialah ikan yang bermulut kecil. Seperkara lain, memancingkan pacu memiliki barisan gigi tajam, perambut kasar dan jenis sulam menjadi pilihan.
Trip Retro – Cendol GT Port Dickson

Apabila mendarat sahaja ikan gerepoh atau biasa disebut GT yang kedua, saya terus bersuara kepada tekong jigging 100% popular Port Dickson, Rozali Abd Rahim atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ali.
“Boleh buat story GT ni, Pak Ali…”
Saya sebenarnya sekadar bersahaja, bukan mendesak atau memberi tekanan kepada tekong untuk menggeledah lubuk-lubuk gerepoh atau GT bagi memenuhi permintaan saya itu.
Malah tujuan saya menyertai trip jigging bersama rakan-rakan yang banyak membantu saya mencari bahan untuk jurnal memancing saya lebih kepada trip santai.
Tak sangka pula Pak Ali menganggapnya sebagai `tugasan’ yang perlu beliau penuhi. Bersungguh-sungguh pula dia cuba untuk menjayakannya.
Ketika gerepoh kedua yang dinaikkan oleh Shahrul Amri, hari masih awal pagi. Sebelum itu saya terlebih dahulu mendaratkannya.
Memandangkan ia belum tengah hari dan kedua-kedua gerepoh tersebut dinaikkan dalam jarak masa yang agak rapat, maka saya begitu yakin misi untuk menghasilkan bahan cerita akan tercapai.
Namun tak sangka pula gerepoh terus menyepi walaupun beberapa lubuk gerepoh yang berpotensi digeledah oleh Pak Ali.
Gerepoh yang lenyap secara tiba-tiba tidak menjadikan aktiviti memancing kami turut menjadi sunyi.
Sebaliknya pelbagai kejadian yang berlangsung di atas bot membuatkan kami hampir terlupa kepada misi tidak rasmi iaitu mencari gerepoh.
Malah masing-masing ada misi tersendiri yang terpendam. Ada yang bergelut untuk memecah badi kumpau setelah beberapa trip berakhir dengan kegagalan. Ada yang bergelut dengan mabuk laut walaupun sudah banyak kali turun ke laut.
Ada yang bergelut dengan serangan alu-alu yang memutuskan perambut berkali-kali. Ada yang bergelut untuk memperoleh lesen agar tidak menjadi bahan kepada tekong.
Dan tekong sendiri turut bergelut untuk mendaratkan seekor spesimen haruan tasik belasan kilogram yang akhirnya dimenangi oleh si ikan dan sekadar berpuas hati dengan ikan talang sahaja.
Menjelang lewat petang, tinggal beberapa lubuk sahaja lagi untuk dicuba sebelum bergerak pulang, muncul Shahrulnizam menjadi penyelamat apabila berjaya mendaratkan seekor lagi ikan gerepoh yang lebih kurang saiznya.
Tiga ekor gerepoh itu sudah mencukupi untuk saya garap menjadi bahan jurnal memancing saya.
Tak lama kemudian Parman menjadi ia bahan yang sempurna apabila turut sama mendaratkan spesies gerepoh.
Beberapa minit sebelum trip berakhir, Hafizuliz Amri berjaya juga menyempurnakan trip apabila berjaya mendaratkan ikan kerapu.
Trip Sorok Memburu Si Temmy

Ikan peacock bass atau disebut ikan PB atau ikan raja memang telah lama diketahui, ia telah lama menjarah perairan kita terutama di tasik, lombong, tali air terutama di negeri Perak dan Selangor.
Namun, mungkin masih ada yang belum menyedari, di sebalik kerakusan ikan PB yang ada di perairan kita (majoriti spesies Cichla ocellaris), terdapat saudaranya yang lebih ganas dan rakus iaitu dari spesies Cichla temensis.
Perburuan Si Temmy
Pada awalnya, ramai rakan yang ingin turut serta, namun pada saat akhir, tinggal kami berempat sahaja yang turut serta. Setibanya di lokasi, rakan saya dan dua orang lagi rakannya menanti kunjungan kami. Sempat jugalah, rakan saya ini mengajar kami tentang gewang apa dan juga setup terbaik untuk memancing spesies yang rakus ini.
Setibanya di lokasi, kami berpecah kepada dua grup dan mengambil spot masing-masing. Masing-masing mempraktikkan cara pancingan dan bertukar-tukar jenis gewang dan beralih lokasi. Sayangnya, tiada sebarang sambaran bersaiz besar diterima, kecuali temensis juvenil.
Terdapat juga riak air menandakan ada kumpulan temensis bermain air terlalu jauh di tengah dan juga di celahan dahan pokok yang merimbun di tepi gigi air. Tetapi agak sukar untuk memujuknya. Kerap kali juga gewang tersangkut di celah pokok. Ada juga yang putus… aduh… nak buat macam mana, redha jelah.
Pukul 11 pagi, kami keluar dari spot berkenaan dan kami berkumpul di sebuah gerai makan. Rupanya grup satu lagi, sudah sukses dengan tangkapan temensis masing-masing. Malah ada juga mendapat ragutan kasar yang diterima oleh seorang rakan saya yang mencuba soft plastic (SP). Tetapi sayangnya rabut.
Ubah Spot
Lepas makan, kami menuju ke spot kedua. Kali ini, laluan untuk sampai agak jauh, perlu berkereta dan seterusnya berjalan kaki sekitar 20 minit untuk sampai ke kawasan berkenaan. Semasa memakir kereta di bahu jalan, terdapat beberapa buah kereta lain. Tahulah kami, bukan kami sahaja yang ada di kawasan ini, tetapi juga geng pemancing lain. Bahkan mereka lebih awal daripada kami.
Setibanya di spot kedua, masing-masing berpecah mencari spot di yang dirasakan ada potensi. Kebanyakan spot kami terpaksa meranduk air bagi memudahkan lontaran. Ini disebabkan semua tebing terdapat pokok. Apabila 10-15 minit tiada sebarang hasil, kami akan beralih lokasi.
Di satu lokasi, dari atas tebing saya sempat melihat seekor temensis yang pada anggaran saya 1-2 kg mengekori gewang saya. Namun hanya mengikut sahaja hingga ke tebing, sebelum saya menjatuhkan semula gewang ke dalam air dan disambar. Malangnya terdapat dahan pokok yang tumbang di dalam air menyebabkan ikan berkenaan berjaya menyelinap di situ sekaligus melepaskan diri.
Mungkin juga mata kail pada gewang berkenaan tidak tertancap kemas. Dek kerana kurang info apakah gewang-gewang yang sesuai semasa pergi, tidak banyak gewang yang saya bawa ke lokasi ini.
Salah satunya adalah jig. Ketiadaan jig menyebabkan gewang tidak dapat dihantar jauh ke tengah dan di bahagian dalam.
Keberkesanan lain penggunaan jig adalah semasa mata hari sudah tinggi kerana temensis akan mendiami paras air yang lebih dalam dan jig yang sampai ke dasar dan di unjun mampu menarik naluri spesies ini.
Walaupun dikatakan peluang menaikkan temensis menggunakan gewang bersaiz besar dan panjang (sehingga bersaiz 13cm), sambaran temensis sukar dijangka.
Ini kerana, kami yang membawa gewang bersaiz 5cm pun mendapat sambaran. Cuma, cubaan menggunakan SP agak kurang menjadi, meskipun saya diberitahu keputusan menggunakan SP juga ada kalanya menggalakkan.
Misi Selesai
Lewat petang kami berangkat pulang keluar dari lokasi berkenaan dalam keadaan hujan lebat yang diiringi guruh dan petir. Mujur tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Setelah berkunjung sendiri melihat dan merasai pengalaman memancing spesies yang lebih ganas dari PB ini, barulah tahu bagaimana dan apakah setup terbaik untuk memancingnya.
Saya tidak menolak untuk datang ke sini lagi ke lokasi ini, lebih-lebih lagi mendapat tahu pernah ada kaki pancing yang berjaya menaikkan temensis bersaiz besar dengan kaedah casting. Selain temensis, terdapat juga ikan zebra tilapia dan juga kelisa liar yang mendiami lokasi sama.
(Catatan: Alauddin)
Patin 12.235 kg, juara Tasik Metropolitan

Pertandingan memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) yang diadakan di Taman Tasik Metropolitan dekat Kepong pada hari ini berjaya menarik penyertaan seramai 1,126 kaki pancing anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi siri ke-6. Ini merupakan jumlah penyertaan tertinggi pernah dicatatkan sejak ia mula diperkenalkan.
Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zaharudin Basiron berkata, slogan `Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ khusus kepada warga kota menjadikan aktiviti riadah bersama keluarga dapat diterapkan melalui pertandingan memancing yang disediakan oleh DBKL.
Teruja dengan sambutan yang menggalakkan, beliau yakin produk Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) di bawah DBKL ini dapat mencapai matlamat agar perpaduan dan keharmonian melalui pelbagai lapisan masyarakat tidak kira peringkat usia mahupun agama disatukan melalui aktiviti riadah sihat ini.
Beliau berharap penganjuran JPKL dapat diteruskan lagi memandangkan program yang dilaksanakan amat baik untuk warga kota dan bagi tahun ini sebanyak 4 lagi siri JPKL menunggu kaki pancing termasuk siri akhir yang dijadualkan bulan Disember 2017.
Pada pertandingan kali ini, Razman Abu Hassan telah dinobatkan sebagai juara dan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000. Beliau yang memiliki pengalaman memancing selama lima tahun berjaya mendaratkan ikan patin seberat 12.235kg pada jam 9.26 pagi. Tempat kedua dan ketiga disandang Mohamad Ridwan dan Molik Yaakub yang masing-masing menaikkan ikan belida seberat 5.695kg dan 5.665kg. Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan RM1,000.