Boleh tak admin buat huraian perbezaan jika menggunakan nylon leader dengan fluorocarbon leader?
JAWAPAN:
Susah juga untuk menjawab persoalan ini kerana tidak dijelaskan bentuk perbezaan apakah yang diinginkan. Oleh yang demikian, saya jawab berdasarkan apa yang saya faham. Pada hemat saya, perambut yang dimaksudkan di sini ialah leader yang disambung bagi menghubungkan tali utama (tali sulam atau braided) dan bukannya perambut yang mengikat mata kail.
Ads
Ini kerana leader itu sendiri ada pelbagai jenis iaitu monofilament leader (perambut biasa), shock leader (perambut kejutan) dan floroucarbon leader. Selain material yang berbeza, kegunaannya juga berbeza-beza.
Terlebih dahulu kita perlu tahu apa kegunaan atau fungsi perambut tersebut. Penggunaan perambut atau leader bertujuan untuk menyerap regangan terutama jika menggunakan tali utama daripada jenis tali sulam.
Ads
Tanpa perambut ia akan memberi tekanan kuat pada mata kail, kekili dan joran yang boleh mengakibatkan kemusnahan. Sama ada mata kail akan melurus atau patah, joran akan patah atau gear kekili akan rosak.
Ads
Material perambut pula lazimnya terbahagi kepada beberapa kategori sama ada nylon atau polymer sepenuhnya, campuran nylon dan floroucarbon atau dan flourocarbon sepenuhnya. Berikutan bahan yang berbeza tentu saja sifat dan fungsinya juga berbeza. Paling ketara perbezaannya ialah perambut tangsi ini lembut dan fluorocarbon pula keras.
Kesan di dalam air pula, perambut tangsi yang didatangkan dengan pelbagai warna termasuklah berwarna jernih bersifat tampak manakala fluorocarbon pula lebih bersifat halimunan. Dari aspek aksi pula perambut tangsi lebih berbuai di dalam manakala flurocarbon lebih bersifat pegun.
Dan dari segi ketahanan pula, fluorocarbon ternyata lebih lasak menahan geseran dan tidak mudah kerinting atau hilang sifat regangan. Diharap penjelasan ini menepati soalan anda.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Boleh tak admin jelaskan tujuan atau fungsi penggunaan ‘tanduk’ yang biasa digunakan oleh pemancing laut dalam?
JAWAPAN:
Tanduk atau spreader rigs merupakan salah satu alatan terminal yang digunakan khususnya untuk pancingan dasar atau bottom, lazimnya bagi sesi pancingan laut dalam.
Ini bermakna tanduk amat penting sebagai sebahagian daripada aksesori lengkap peralatan pancing dan semasa memancing.
Biasanya tanduk diperbuat dengan pelbagai jenis dan bentuk serta material. Ada tanduk yuang diperbuat daripada besi tahan karat atau stainless steel, ada yang menggunakan bahan pvc atau getah, dan ada diperbuat daripada tanduk kerbau air yang asli!
Tanduk berfungsi untuk menghalang tali perambut dan umpan daripada terbelit pada tali sulam atau biasa disebut dengan istilah panjat pokok.
Sekiranya kejadian panjat pokok ini berlaku ia akan menyebabkan kita umpama menunggu buah yang tak gugur kerana ikan buruan pastiknya tidak berminat kepada umpan yang terbelit pada tali.
Selain itu tanduk juga dapat menghalang batu ladung daripada jadi terkubur dan menjadi batu karang.
Ini kerana jika tersangkut pada karang, perambut mata kail sahaja yang putus. Batu ladung malah tanduk juga masih selamat sekiranya tali utama yang menyambungkan tanduk tidak putus.
Nak minta tolong sikit kat admin. Aa tak cara terbaik nak cabut bahagian sambungan joran yang ketat? Ada masanya bahagian joran ini secara tak sengaja terhentak yang menyebabkan ia masuk padat dan susah nak keluar bila nak cabut.
JAWAPAN:
Masalah untuk menanggalkan bahagian sambung joran terutamanya joran 2 pieces sambungan tengah joran merupakan perkara yang biasa dan sering berlaku. Jika joran sambungan pada pangkal mungkin ia agak mudah untuk ditanggalkan.
Anda boleh gunakan apa saja cara untuk mencabutnya tetapi pastikan tidak memegang bahagian cincin (guide) bagi mengelakkan kerosakan pada bahagian cincin pula.
Untuk mengatasi perkara ini anda perlulah menggunakan sesuatu sebagai alas pada bahagian joran yang dapat mencengkam bahagian joran dengan baik. Sebagai contoh, anda boleh gunakan kepingan getah seperti tiub basikal atau motosikal.
Potong tiub kira-kira seinci lebar dan sepanjang enam inci. Kemudian lilit tiub itu pada bahagian atas joran. Lilit secukupnya sehingga dapat menggengam penuh telapak tangan padanya. Pegang dan putar joran sejajar dengan arah tiub yang membalut joran tersebut.
Pada masa yang sama, kuatkan pegangan sebelah tangan lagi pada bahagian. Lakukan sehingga joran dapat dipisahkan. Sekiranya anda mampu melakukan dengan sempurna, sekuat mana sambungan joran itu ia akan berjaya dipisahkan juga.
Selain tiub basikal atau motosikal ini, anda juga boleh menggunakan alas kepingan getah yang biasa digunakan untuk pelapik dashboard kereta. Pastikan anda menyimpan satu pelapik dashboard kereta ini di dalam kotak memancing.
Apabila membeli sesetengah gewang, kebanyakkannya sudah tersedia mata tiga. Soalan saya, bolehkah saya menukar mata tiga tersebut dengan mata tunggal.
JAWAPAN:
Secara mudah, untuk mengelakkan dari pelbagai kemusykilan, hampir keseluruhan gewang atau umpan tiruan yang terjual di pasaran sudah siap 100% untuk digunakan. Ia umpama membeli kereta juga. Kereta tersebut sudah boleh dipandu. Namun jika kita ingin menukar tayar atau sport rim, ia terpulang kepada kita tanpa sebarang persoalan.
Begitu juga kalau kita ingin menukar mata tiga pada gewang dengan mata tunggal. Ia tentu saja boleh dilakukan kerana ia bukanlah satu kesalahan. Persoalannya cuma, perlu ke tukar mata tiga tersebut dengan mata tunggal?
Secara logiknya, ramai mengatakan penggunaan mata tiga meningkatkan peratusan untuk hook-up. Saya tidak menafikannya, namun secara peribadi saya lebih memilih untuk menggunakan mata tunggal.
Antara sebabnya ialah, jika penggunaan mata tiga mempunyai peratus hook-up sebanyak 3 kali, maka peratus untuk tersangkut juga meningkat 3 kali terutama gewang selaman dalam.
Selain itu, mata tiga juga sering kali terjadi foul-hook di mana keadaan ini akan mencederakan ikan. Seterusnya ketika membuka mata tiga daripada ikan, kemungkinan untuk anda cedera juga agak tinggi berbanding mata tunggal.
Jadi, anda boleh menukar mata gewang anda kepada mata tunggal kerana saya tidak melihat menukar kepada mata tunggal merupakan satu langkah ke belakang. Tapi pastikan juga mata tunggal yang digunakan itu lebih kukuh berbanding mata tiga yang disediakan tersebut.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...