
SOALAN:
Saya harap dapat buat satu penjelasan penuh perihal spesifikasi line capacity yang biasanya tercetak pada spool reel. Saya rasa ramai pemancing baru tidak faham maksud sebenar line capacity ni.
JAWAPAN:
Line capacity – Istilah ini merujuk kepada panjang tali pancing (mono atau braided) yang boleh dimuatkan dalam gelendung kekili (spool). Kebanyakan reel terdahulu hanya menyatakan kekuatan (lbs) dan panjang (yard/meter) yang boleh dimuatkan dalam spool berpandukan tali tangsi (mono).
Kini, semakin banyak pula menyatakan berapa panjang tali yang boleh dimuatkan berdasarkan ukur lilit atau diameter tali tersebut, yang merujuk kepada penggunaan tali sulam atau braided. Semakin halus diameter, maka semakin banyaklah muatan tali yang boleh disimpan di dalam gelendung.
Terdapat beberapa jenis informasi yang biasa dicatatkan pada kekili atau kotak kekili iaitu lb/yd, lb/m atau dia/m. Untuk ib/yd (pound/yard) ia membawa makna kekuatan tangsi dalam pound dan panjang yang boleh diisi dalam yard atau ela.
Tali yang dimaksudkan di sini ialah tali mono, bukannya tali sulam kerana lazimnya tali mono mempunyai diameter yang sama. Sebagai contoh, 10/110 membawa maksud tali mono 10lb dapat dimuatkan sebanyak 110 yard/ela di dalam spool.
Begitu juga dengan kiraan lb/m. Sebagai contoh 10/100, tali mono 10lb boleh dimuatkan sebanyak 100meter di dalam spool. Manakala dia/m pula merujuk kepada ukurlilit tali (mono atau braided, lazimnya lebih merujuk kepada tali braided) yang boleh dimuatkan dalam meter. Umpamanya 0.5/200 bermaksud saiz tali berdimater 0.5mm boleh diisi sepanjang 200meter di dalam spool kekili.
Trip Redah Hulu Sungai Lembing

Selepas beberapa kali berbincang dengan Chilid, rakan yang membawa saya ke Hulu Berakit dahulu, akhirnya saya kembali lagi ke mukim ini. Kali ini kunjungan saya disertai beberapa orang rakan dari KL iaitu Hassan, Ramli, Pozi dan Zul yang teringin sangat merasai pengalaman memancing di dalam hutan.
Tapi kali ini ke lokasi baru iaitu Hulu Sungai Lembing yang terletak tidak jauh dari mukim yang sama. Menurut Chilid, Sungai Hulu Lembing ini dijumpai oleh rakan-rakannya yang gemar masuk hutan mencari spot-spot memancing baru selain hasil bantuan pekerja balak yang memberitahu terdapat sungai di lokasi berkenaan.
Dengan perancangan sama untuk bermalam, trip ini bukan semudah trip terdahulu. Laluannya terlalu banyak mendaki bukit yang sebetulnya sudah layak dipanggil gunung. Ini kerana ketika kami tiba dan melalui di satu laluan permatang, gegendang telinga kami berdengung kerana faktor ketinggian selain laluan berkenaan berkabus pada waktu tengah hari.
Keadaan jalan juga cukup teruk dan berbatu kerikil menyebabkan ada di antara motosikal kami terjatuh kerana kesukaran mengawal ketika menuruni bukit curam. Paling teruk, beberapa kali tiub motosikal Ramli dan saya sendiri bocor terus dan kami kehabisan tiub ganti.
Mahu tidak mahu, terpaksa sumbat daun-daun dan rumput sebagai ganti tiub untuk mengurangkan beban tayar. Selepas beberapa kali jatuh, akhirnya kami tiba juga di penghujung jalan balak, sebelum kami meninggalkan motosikal dan trekking pula selama sejam untuk sampai ke campsite.
Hujan Lebat
Walaupun cuaca sebelumnya baik, tetapi hukum alam tidak siapa dapat menghalang. Dalam keseronokan kami melayan tarikan tengas dan baung di hadapan khemah selepas makan malam, kami dikejutkan dengan dentuman guruh dan pancaran kilat di langit. Angin juga menderu kuat dan tidak lama hujan turut dengan selebatnya.
Dalam tempoh beberapa minit sahaja, air sungai menjadi semakin keruh dan tiba di tiang khemah. Serta-merta kami mengangkat khemah berkenaan dan menebas semak di atas bukit dalam keadaan hujan bagi mendirikan khemah baru. Habis terbantut usaha untuk memancing malam tersebut.
Keesokan paginya, air telah beransur surut, tetapi masih lagi keruh. Perancangan tetap diteruskan untuk turun ke bahagian hilir untuk casting dan juga bottom di lokasi yang berpotensi. Zul, Pozi, Azi, Chilid dan saya turun ke hilir, manakala Hassan dan Ramli terpaksa tinggal akibat terseliuh terjatuh dari motosikal semalam.
Sepanjang berjalan meniti di atas batu dan mendaki tebing berbatu, banyak spot menarik yang kami temui, sayangnya, air masih lagi keruh. Cubaan casting menggunakan sesudu bersaiz kecil lebih menjadi, berbanding sesudu besar.
Air Semakin Dalam
Sepanjang turun ke bahagian hilir, kami perhatikan airnya semakin dalam. Sampai satu tahap kami terpaksa terjun dan terus berpaut pada batu untuk ke tebing sebelah sana, kerana kaki sudah tidak jejak di dasar sungai.
Kira-kira empat jam perjalanan, kami memutuskan untuk berhenti kerana tiada cara untuk kami melintas sungai kerana airnya terlalu dalam dan deras. Tambahan pula tebing batu tinggi menyukarkan kami untuk turun lebih jauh.
Di lubuk dalam ini, kami mengambil keputusan untuk memancing dasar untuk tujuan mencari lauk makan malam. Apa yang boleh dikatakan, kami memang tidak menang tangan melayan tarikan tengas hanya menggunakan umpan cacing tanah yang digali di tebing sungai. Cuma tiadalah saiz-saiz XL.
Sesekali, anak kelah juga berjaya diperolehi, sekali gus membuktikan Sungai Hulu Lembing memang kaya dengan khazanah populasi ikannya. Puas melayan bottom, kami berpatah balik pulang ke khemah sambil terus memancing dasar dan juga casting di spot terbaik.
Malam itu, semua tengas saiz kasar kami salai untuk dibawa pulang dan selebihnya sebagai lauk makan. Menu asam pedas ikan tengas dan juga baung menyebabkan kami puas meratah ikan sampai habis.
Menurut Chilid, dia percaya bahagian hilir sungai ini ikan-ikannya saiznya lebih besar, tetapi halangan utama untuk sampai adalah jika mengikut terus jalan air dan agak berbahaya kerana berbatu licin dan deras.
Selain itu, sungai ini betul-betul melalui celah gunung kerana tiada langsung tebing berpasir ataupun mendatar jika mahu memasang khemah. Jika melalui jalan darat, akan mengambil risiko tinggi kerana tebingnya tinggi dan curam.
Korang Tanya Umpan Jawab – Konsep Kolam Pancing Berbayar?

Soalan:
Saya biasa mancing kolam di tempat saya di Sabah, jadi saya nak tahu sangat pasal peraturan pancing kolam berbayar kat Semenanjung.
Macamana dia punya peraturan untuk bawa balik ikan? Kena timbang dulu atau terus bawa balik??
Jawapan:
Sebagai makluman, biar kami jelaskan kategori kolam pancing berbayar atau kolam pancing komersial terlebih dahulu.
Kolam pancing komersial terbahagi kepada dua kategori iaitu kolam air masin dan kolam air tawar. Dan kedua-duanya mengamalkan konsep yang agak berbeza.
Bagi kolam pancing air tawar terbahagi kepada beberapa konsep; konsep berlauk, konsep pancing dan timbang, konsep bayar balik duit ikan, konsep ranking dan jackpot dan konsep tangkap dan lepas sepenuhnya.
Bagi konsep berlauk ia lebih konsep konvensional iaitu bayar yuran memancing untuk beberapa jam dan hasil tangkapan boleh dibawa pulang sepenuhnya.
Konsep pancing dan timbang pula pemancing akan dikenakan yuran memancing rendah (contoh: RM10 untuk sehari) dan sekiranya ingin membawa pulang ikan yang dipancing akan dikenakan caj bayaran tertentu (contoh; tilapia RM5 per kilogram).
Konsep pancing bayar balik duit ikan pula lebih kepada konsep tangkap dan lepas, pemancing tidak boleh membawa pulang ikan dan perlu membayar yuran memancing
(contoh RM 30 untuk 3 jam) namun setiap tangkapan pemancing akan ditimbang dan akan dibayar (contoh patin RM 1 per kilogram).
Konsep ranking dan jackpot juga konsep pancingan tangkap dan lepas, pemancing tidak boleh membawa pulang ikan dan perlu membayar yuran memancing (contoh RM30 untuk 6
jam), dan sekiranya hasil tangkapan merupakan ikan terberat dalam senarai ranking tangkapan atau mencapai sasaran maka bonus atau hadiah wang tunai dalam kadar tertentu akan diberikan kepada pemancing.
Sementara konsep tangkap dan lepas sepenuhnya lebih kepada konsep sport fishing yang mana pemancing perlu membayar yuran untuk memancing ikan sukan atau game fish (contoh RM100 untuk 3 jam) dan tidak akan menerima sebarang imbuhan.
Begitu juga dengan pancingan kolam air masin, peraturan dan syarat mungkin berbeza namun konsepnya tidak jauh berbeza.
Yang penting, sebelum memancing di mana-mana kolam, ada baiknya korang fahami dulu peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh pihak kolam.
Korang Tanya Umpan Jawab – Persoalan Beza Gewang??

Pertama, teknik casting boleh dipadankan dengan joran yang panjangnya 2 hingga 2.5 meter. Ini bergantung kepada lokasi dan jarak yang diperlukan untuk melontar gewang ke sasaran. Selain itu, joran casting mesti ringan dan mempunyai rintangan yang baik.
Kedua, kekili multiplier lazimnya dicirikan sebagai kekili untuk trolling dan bottom fishing. Sementara kekili untuk casting dilabel sebagai baitcasting. Sekiranya anda maksudkan baitcasting untuk digunakan dalam teknik jigging, jawapannya boleh.
Namun ia lebih sesuai untuk light jigging dan pastikan baitcasting tersebut sesuai untuk kegunaan air masin.
Ketiga, bergantug kepada jenis jigging juga kerana terdapat beberapa kategori jigging dari micro jigging hinggalah heavy jigging. Oleh yang demikian kekuatan tali juga berbeza-beza. Oleh yang demikian kekuatan tali yang perlu digunakan dari 10lb hinggalah 100lb.
Keempat, jenis selaman gewang bergantung kepada reka bentuk lidah gewang. Jika lidah gewang besar dan menirus 30 darjah ke bawah bermakna ia adalah selaman dalam. Bagi selaman cetek, saiz lidah adalah kecil dan menegak ke bawah sehingga 80 darjah. Kadangkala ia berbentuk L kecil.
Terdapat juga gewang yang memiliki spesifikasi biasa tertera pada kotak pembungkus. Deep runner membawa maksud selaman dalam, floating pula menunjukkan gewang terbabit adalah aksi permukaan dan manakala shallow pula membawa maksud selaman cetek.