Ada soalan sikit nak tanya ni. Soalannya… apakah faktor cuaca mempengaruhi selera ikan ketika memancing? Kalau pengaruh, cuaca yang macam manakah yang paling sesuai untuk memancing?
JAWAPAN:
Sememangnya cuaca serta suhu amat memainkan peranan besar pada ikan untuk bergerak aktif, makan dan membiak. Jadi kita perlulah mengetahui serba sedikit tentang kelakuan ikan pada keadaan sekitar.
Ads
Sekiranya cuaca panas dan suhu air suam, ikan akan aktif mencari makan, sekiranya cuaca mendung dan suhu air masih suam ikan masih aktif. Tetapi sekiranya air bertukar menjadi sejuk sungguh pun cuaca panas, ikan lebih pasif dan tidak galak mencari makan.
Bagi cuaca pula ikan akan lebih aktif sebelum dan selepas hujan. Apa yang penting adalah suhu pada air sekiranya air sejuk maka susah sikit ikan nak makan umpan. Harus diingat, perubahan 1 darjah air sahaja pun sudah cukup besar pada kehidupan marin seperti ikan.
Ads
Pada hari yang panas ikan akan banyak berada di kawasan redup atau berlindung seperti di bawah pohon kayu atau bayang pokok, batu atau bukit di kawasan air tawar dan akan berada di permukaan air atau pertengahan air di laut.
Ads
Pada hari hujan ikan akan berada di dasar sungai dan akan selalunya bergerak ke kawasan adanya air yang masuk ke sungai untuk mencari serangga yang hanyut ke dalam sungai.
Bagi laut pula banyak ikan akan bergerak ke pertengahan air untuk mencari “Thermal Line” (kawasan arus air yang suam di dalam laut).
Bagi saya sekiranya saya pergi memancing cuaca tidak banyak memainkan peranan yang besar tapi apa yang saya perhatikan adalah suhu pada air. Kalau air itu sejuk saya tidak pergi kerana ikan tidak aktif. Jadi sebelum pergi memancing celup tangan dalam air, sekiranya sejuk tak payahlah pergi memancing pada hari itu.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya belum dapat keyakinan untuk memancing menggunakan umpan tiruan seperti gewang ikan atau udang. Boleh tak admin beri perangsang kepada saya?
JAWAPAN:
Terdapat beberapa faktor yang membuatkan ikan menyambar umpan tiruan seperti gewang. Pertamanya, oleh kerana ikan direka cipta tanpa anggota tangan dan kaki, maka ia menggunakan mulut atau anggota lain untuk menyambar, menyerang atau memeriksa gewang tersebut. Atau erti kata lainnya, ikan menyambar gewang bukanlah kerana satu sebab sahaja.
Antara faktornya ialah kerana lapar, sifat kewilayahan, tindakan pelindung, marah atau sifat cemburu. Tidak dinafikan kebanyakan ikan pemangsa menyambar gewang kerana menyangkakan gewang tersebut adalah makanannya. Oleh kerana itulah gewang direka cipta menyamai sifat-sifat ikan, udang, katak atau serangga lain yang menyerupai diet permakanan ikan pemangsa.
Faktor mempertahankan kawasan atau kewilayahan akan menyebabkan ikan bertindak dengan serangan sama ada dengan menggigit, memukul dengan kepala atau memukul ekor terhadap gewang. Justeru itu banyak terdapat kes gewang mengenai badan pemangsa dan bukan kesemuanya berada di dalam mulut.
Selain itu ikan pemangsa bertindak terhadap gewang kerana menyangka gewang tersebut adalah pemangsa yang akan memakan anak-anak jagaannya. Selebihnya adalah kerana sifat ingin tahu atau curiga. Dalam tindakan menyiasat dengan menggunakan mulut atau anggota badan yang lain itulah mata kail yang ada pada gewang menyebabkan statusnya sebagai pemangsa bertukar menjadi mangsa.
Jika ingin casting atau trolling ikan toman, adakah perlu gewang disambungkan dengan perambut dawai sebagaimana teknik yang digunakan untuk memancing ikan bergigi tajam di laut?
JAWAPAN:
Memang tidak dinafikan penggunaan perambut dawai atau kabel adalah satu kemestian jika ingin memburu spesies bergigi tajam seperti tenggiri, alu-alu, toman atau pacu. Faktor utama kenapa perambut dawai ini digunakan kerana bimbang pemangsa-pemangsa bergigi tajam ini akan menelan umpan atau gewang hingga boleh memutuskan tali perambut.
Oleh yang demikian penggunaan perambut dawai adalah kemestian terutamanya bagi pancingan menggunakan umpan (termasuk pancingan dasar memancing toman menggunakan umpan keli). Ia juga perlu digunakan untuk casting dan trolling di laut kerana tidak pasti spesies apa yang bakal menyambar gewang tersebut.
Namun untuk tujuan casting atau trolling di air tawar walaupun untuk menyasarkan ikan toman, tidak perlulah menggunakan perambut dawai. Tidak salah jika ingin menggunakannya tetapi peratus untuk menerima strike lebih rendah berbanding tidak menggunakan perambut dawai. Ini kerana aksi renang gewang yang disambungkan dengan perambut dawai akan terjejas.
Apa yang menyebabkan kaki casting sering membuat trip casting memburu sebarau sewaktu musim tengkujuh di Tasik Kenyir? Apa yang special sangat?
JAWAPAN:
Bagi beberapa spesies ikan sungai pergunungan seperti sebarau, waktu musim tengkujuh ialah waktu spesies ini mengawan dan akan naik ke kawasan hulu sungai untuk melepaskan telurnya.
Apabila selesai fasa ini, ikan ini akan lebih aktif mungkin kerana kelaparan dan perlu mencari makanan bagi menggantikan tenaga yang banyak dihabiskan untuk membawa telurnya.
Sewaktu musim tengkujuh, kebanyakan kawasan rendah akan mulai tenggelam dan serangga yang melata di permukaan tanah, berhabitat di kawasan rumput akan panik dan banyak yang jatuh dan dihanyutkan ke dalam air.
Ketika inilah sebarau akan berpesta makanan. Banyak aktiviti kawanan sebarau meligan mangsa yang dinamakan frenzy atau boiling akan kelihatan.
Aktiviti boiling inilah yang dicari oleh para pemancing untuk mengesan sekaligus memancing sebarau.
Ketika boiling inilah apa saja gewang yang jatuh di dalam kawasan boiling akan dibaham oleh sebarau. Sedangkan, pada waktu lain selain tengkujuh, aktiviti ini amat sukar ditemui.
Jadi inilah faktor mengapa musim tengkujuh, ramai kaki casting akan berkunjung ke tasik-tasik di negara kita.
Selain dari Tasik Kenyir, Tasik Temenggor turut sama menjadi tumpuan para caster apabila hujan turun dengan amat lebat untuk tempoh beberapa haris sehingga menaikkan para air di tasik.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...