
SOALAN:
Saya masih keliru pasal mata kail dan perambut untuk mancing udang galah. Boleh tak admin beritahu saiz mata kail dan perambut yang sesuai untuk memancing udang galah?
JAWAPAN:
Pada kebiasaannya, perambut udang galah ialah menggunakan perambut tangsi atau monofilament line. Perambut fluorocarbon juga boleh digunakan namun ramai yang lebih gemar menggunakan perambut tangsi saja. Kekuatan perambut biasa digunakan dari 6lb hingga 12lb.
Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12lb boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50gram hingga 500gram.
Panjang perambut yang biasa digunakan sekitar 15cm atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis perambut tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu terasa beban ketika mengunyah umpan.
Kelebihan perambut tangsi juga ia dapat membuai di dalam air. Ada sesetengah pemancing udang berpengalaman menggunakan perambut yang lebih panjang sehingga 50cm. Namun ia lebih sesuai ketika arus laju dan mudah berpintal jika tidak cekap membuat lontaran.
Sama ada perambut satu mata kail atau dua mata kail boleh digunakan bergantung kepada struktur lubuk.
Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail no 2 hingga no 6 kerana saiz ini paling sesuai.
Banyak jenis dan saiz mata udang yang boleh di temui di pasaran tempatan. Mata kail berduri pandan adalah lebih baik daripada tanpa duri pandan.
Memburu Snakehead Hutan Banat

Teruja dengan spesies bujuk dan haruan palas yang sebenarnya boleh dikategorikan spesies yang semakin sukar di kebanyakan tempat di kawasan semenanjung Malaysia ini, saya telah dijemput oleh sahabat dari pemburu spesies ini ‘Southern Snakehead’ yang menjadikan spesies kepala ular ini sebagai sasaran utama mereka.
Bagian selatan tanah air, terutama di kawasan utara dan timur negeri Johor yang masih mempunyai hutan-hutan yang masih ‘dara’ dan di gazetkan sebagai hutan simpan, spesies ini masih mudah ditemui. Namun bagi sesetengah tempat spesies bujuk ini semakin pupus dan jarang dilihat di sungai-sungai atau parit sekitar sawah padi.
Untuk meneroka lubuk lubuk yang berpotensi kenderaan pacuan 4 roda ataupun lebih mudah menggunakan motosikal bagi lubuk yang jauh. Itu pun sekiranya terdapat laluan yang boleh dilalui dengan kenderaan.
Jika tidak, jalan kakilah jawabnya. Perancangan awal dibuat mengenai kelengkapan yang perlu dibawa semasa trip berlangsung dan umpan umpan yang boleh diguna pakai di kawasan ini.
Seawal jam 9 pagi kami memasuki pintu hutan selepas melalui jalan laluan balak yang sedikit basah dan terdapat becak di beberapa kawasan. Beberapa kali motosikal kami menggelongsor keluar dari laluan kerana jalan yang agak licin. Mujurlah tiada sebarang kejadian yang tidak elok berlaku dan selamat tiba di lokasi yang dituju.
Di hilir sungai kawasan balak yang baru di tebang kelihatan kawasan sungai yang cetek yang airnya mengalir sederhana deras. Bila sahaja nampak air, kami semua memang tidak sabar melontar umpan soft plastic (SP) keluaran Zman ke bahagian reba yang berselirat di dalam air. Addy menerima sambaran pertama selepas tiga kali lontaran SP miliknya disambut oleh seekor haruan palas sekitar 300 gram.
Kami kemudiannya terus menyusuri anak sungai sambil melontar umpan ke kawasan yang diyakini terdapat spesies yang dicari. Landskap yang cantik sepanjang sungai membuatkan saya lebih teruja dan menikmati keindahan alam secukupnya.
Adakala kami terpaksa merentasi titian balak yang kecil untuk menyeberang bagi mendapatkan lubuk-lubuk terbaik. Penggunaan gewang mata kail yang tersimpan atau mata kail tunggal lebih sesuai digunakan kerana di sini kerana akar kayu dan reba yang berselirat mampu membuatkan kami berputih mata.
Walaupun umpan katak, adalah lebih laju untuk mendapatkan spesies ini, bagi saya ia kurang thrill berbanding umpan tiruan. Pada saya cukuplah dulu-dulu saya dah guna katak hidup semasa memancing di sawah padi, sekarang adalah masa terbaik menggunakan umpan tiruan.
Sungai yang lebarnya lebih kurang 4 meter dan adakala surut dan dalam di beberapa kawasan membuatkan kami tertumpu di bahagian yang dalam sahaja kerana kehadiran kami mudah dikesan bagi kawasan yang cetek.
Setelah 1 jam berjalan kami terserempak dengan binaan pondok di atas pokok yang di tinggalkan oleh orang asli atau petugas-petugas hutan di tepi sungai. Pondok yang dibina tinggi dari tanah lebih selamat berbanding di bawah kerana kehadiran binatang berbisa ataupun binatang buas mampu mengundang bahaya.
Di satu selekoh saya mengamati terdapatnya buih-buih kecil yang banyak di permukaan air. selepas diperhatikan, kelihatan anak-anak bujuk yang masih kecil bermain di atas air.
Saya menghulurkan umpan yang sama seperti digunakan oleh rakan lain, lalu melontarkannya ke arah buih-buih halus dan kawanan anak bujuk tadi. Jarak saya dengan anak-anak bujuk yang tidak jauh menyebabkan saya hanya mampu mengenjut umpan SP Zman tersebut seperti bermain jig.
Tanpa menunggu lama, satu sedutan dan henjutan kasar dirasakan di hujung rod namun ‘hook up’ yang dibuat tidak kemas dan menyebabkan ibu bujuk melarikan diri. Puas saya melontarkan SP semula ke arahnya, namun ia tetap culas dan terpedaya. Tidak mengapalah, bukan rezeki jelas saya di dalam hati.
Awang dan Steve bergerak secara berdua di belakang saya memperlihatkan melalui kamera dan telefon bimbit tangkapan beberapa ekor spesies bujuk yang ada di lepaskan semula ke habitatnya bagi menjamin populasi yang semakin berkurangan.
Ujar Awang, bujuk yang paling besar pernah didaratkan di kawasan ini sekitar 1.5 kilogram dan saiz-saiz sekitar 500 gram adalah saiz yang mendominasi kawasan ini.
Selain bujuk, haruan palas dan haruan, ujar Steve pula, terdapat juga spesies lain seperti sebarau dan kelisa. Namun spesies yang dikategorikan sebagai spesies minoriti ini terpaksa survival hidup bersaing dengan spesies snakehead yang lebih banyak mendiami sepanjang sungai.
Soal Jawab Mancing – Boleh Ke Makan Ikan Yu Bodoh?

SOALAN :
Saya pernah mendaratkan ikan yu pasir (yu bodoh) dalam anggaran 2 kg. Saya ingin melepaskan ikan tersebut, namun ada rakan saya mengatakan ikan berkenaan amat sedap dijadikan lauk. Persoalan saya benarkah ikan ini boleh dimakan? Jika ya, bagaimanakah cara untuk memotong ikan ini?
JAWAPAN:
Dalam dunia memancing ikan yu bukanlah spesies dambaan kaki pancing terutamanya spesies berskala kecil seperti yu bodoh atau yu bodoh. Ia lebih dianggap sebagai ikan pengacau umpan yang disediakan untuk spesies pemangsa gred tinggi.
Namun bagi spesies yu berskala besar, ia mampu menghadirkan perlawanan hebat kepada pemancing. Meskipun tidak ramai tetapi ada juga pemancing yang mengkhususkan buruan spesies ini disebabkan kekuatannya itu disebalik reputasi yang menggerunkan berkait dengan kekuatan rahang dan ketajaman giginya.
Semua jenis ikan yu boleh dimakan sekiranya kita mahu memakannya. Saya pernah menghadiri sebuah kenduri tidak dulu di mana sebuah keluarga menyediakan lauk pauk berasaskan ikan yu. Saya sempat melihat bagaimana ia diproses (siang) dan saya amat gemar kari ikan yu serta isi ikan yu yang digoreng dengan kunyit hidup.
Cara untuk memotongnya serta menguruskan daging ikan ini adalah untuk melapah kulitnya dari atas belakang ikan ini kerana ia tidak mempunyai sisik dan kulitnya amat kasar sekali. Selepas dilapah maka isinya boleh dikatam mengikut cita rasa.
Cara Menjerat Tenggiri Sejak Berkurun

Kerana ingin sangat mengetahui teknik memancing tenggiri, pernah dalam masa sebulan saya berulang alik ke Kuala Kemaman pada setiap minggu hingga empat minggu berturut-turut, mengikuti seorang nelayan yang merupakan seorang tekong tersohor di Kg. Geliga.
Beliau banyak memancing tenggiri berbanding lain-lain ikan. Pernah satu hari apabila kami tiba di lubuk, belum sempat saya siapkan set pancing, beliau sudah daratkan dua ekor tenggiri tidak sampai 5 minit!
Masa itu saya terkial-kial memasang perambut dawai! Apabila siap menurunkan umpan, berulang kali beliau menyarankan pada saya agar jangan pakai joran sebab lambat.
Kalau betul-betul nak pakai juga joran, pastikan sentiasa dalam gengaman. Kerana nak belajar cara pancingan moden, akhirnya saya kena 11-0. Sebelas kali strike, 3 putus, 6 tidak sempat balas dan 2 rabut akibat lambat mengarau tali.
Kunjungan ketiga saya mula mengunakan koyan dan diajar melabuhkan umpan dengan teknik yang betul. Tidak sampai setengah jam tunggu sentapan mula dirasakan. Tangan basah dan tangsi licin pula mengganggu kelajuan karauan dan lambat maknanya hasil lenyap.
Tapi banyak kes sentapan saya terpaksa menyerahkan koyan pada tekong kerana tidak tahan jari ‘manja’ menggenggam tangsi. Dah banyak kali jari luka akibat geseran tangsi keluar dengan laju. Paling mahal dapat merasai sendiri sentapan tenggiri ketika tali dalam genggaman tangan.
Paling seronok melayan tenggiri ialah semasa saya mengadakan trip memancing di Pulau Jarak. Ketika itu kami berlabuh di karang tenggara dengan kedalaman air puncak karang 150 kaki dan paling dalam 300 kaki.
Bot besar mempunyai cahaya terang dan menarik perhatian pemburu berlegar di kawasan paling luar dengan cahaya lampu bot. Waktu itu juga saya malas nak mancing dasar kerana ramai memilih teknik pancingan dasar. Air terlalu dalam juga membuatkan saya memilih pancingan hanyut.
Kebetulan kami membawa kira-kira 3kg kembung segar dan 50kg pelaling. Saya mula perasan kehadiran ikan pemburu berlegar di keliling bot apabila terlihat banyak objek berkilat akibat pantulan cahaya lampu. Senyap-senyap saya cilok kembung yang bakal digunakan sebagai lauk.
Menggunakan perambut dawai 60lb, mata kail Gamakatsu 4/0 Octopus dan perambut tangsi 50lb 2 depa. Kembung dihanyutkan di belakang bot tanpa pemberat. Kembung berkulit hijau cerah mengundang pemburu dengan cepat. Tidak sampai 15 minit semua mata tertumpu apabila saya dah daratkan 2 ekor tenggiri dengan hampir 8kg dan 10kg. Lepas itu ramai menyertai saya memancing hanyut.
Bot besar memberi keselasaan 6 orang pemancing berada di belakang pada satu-satu masa. Bila ramai umpan kembung tadi diberi perhatian serius. Sejam berlalu kembung habis dan kami sudah menjerat 6 ekor tenggiri tidak termasuk berbelas kali putus dan rabut.
Di penghujung trip kami kehabisan perambut dawai selain umpan kembung walaupun pelaling menjadi pilihan kedua. Acara memburu tenggiri ditukar apabila yu sirip hitam dikesan mendominasi sentapan berbanding tenggiri yang mula memencilkan diri.
Jika ramai yang bijak manfaatkan peluang saya rasa lebih dari 30 ekor dapat ditewaskan. Sentapan rakus dan banyak masa perlu bertahan apabila tidak mampu mengepam tangsi masuk dan akhirnya tangsi utama banyak yang putus.
Ramai di antara kami leka dan membiarkan terlalu lama deringan pengera lantas memberi kelebihan ikan meloloskan diri. Banyak lagi kelemahan perlu diperbaiki ketika itu. Satu kenangan cukup indah buat saya.