Saya agak keliru dengan tali pancing terutamanya tali sulam atau braided. Terdapat jenis tali yang poundage sama namun diameter berbeza. Boleh tak admin jelaskan serba sedikit soal ini?
Jawapan:
Saya faham dengan jelas kekeliruan yang saudara maksudkan. Ketika nisbah penggunaan tali tangsi mengatasi tali sulam, persoalan ini sudah pun timbul. Namun ia tidak begitu ketara berbanding ketika ini di mana penggunaan tali sulam menguasai pelbagai segmen pancing.
IKLAN
Itu belum campur dengan persoalan kenapa tali sulam ini leper dan tali sulam itu bulat. Semuanya membuatkan pemancing semakin celaru pemikiran untuk memilih tali yang sesuai.
Untuk permudahkan situasi ini kita hanya perlu faham perkara yang paling asas. Boleh dikatakan pelbagai jenis tali terutama tali sulaman mempunyai kekuatan (poundage) yang sama namun diameter berbeza mengikut sulaman dan tetapan jenama masing-masing.
IKLAN
Justeru itulah kenapa tali sulam keluaran A berkuatan 30lb memiliki diameter 0.22 mm, sedangkan tali sulam keluaran B memiliki kekuatan 30 lb tetapi diameter 0.18 mm. Ini cuma sebagai contoh sahaja.
Sebagaimana yang telah dinyatakan, perbezaan ini berlaku dari aspek diameter sahaja tetapi poundagenya tetap sama.
IKLAN
Biasanya tali buatan US dan Eropah memiliki diameter yang lebih tebal berbanding buatan Jepun. Namun ini tidak menjadi masalah kerana kekuatannya tetap sama.
Bagi perbezaan diameter tali pula, perbezaan ini perlu disesuaikan dengan kadar muatan tali pada spool kekili anda selain mempengaruhi jarak balingan. Biasanya, pada spool kekili akan ada label menunjukkan kadar muatan tali mengikut diameter.
Logiknya, tali berdiameter lebih kecil akan memuatkan muatan tali yang lebih panjang, namun tetap bergantung kepada kedalaman spool kekili.
Saya biasa beli main line 300 meter kadang-kadang 150 meter. Persoalannya, boleh ke main line yang balance ni disambung dengan balance main line? Iya la… Nak buang sayang… beli 300 meter, masuk spool dalam 220 meter je. Jadi, balance 80 meter tu boleh sambung tak dengan tali yang lain. Kalau ada, ikatan apa yang terbaik untuk elak tali lucut?
JAWAPAN:
Admin faham dengan jelas persoalan yang anda kemukakan. Lebihan tali selepas dimasukkan ke spool merupakan perkara umum yang berlaku kepada pemancing yang membeli tali pancing dengan cara ini. Dan menggunakan lebihan tali tersebut yang disambungkan dengan tali lain juga bukanlah sesuatu yang asing malah dipraktikkan oleh ramai pemancing.
Begitu pun admin nasihatkan, sebaik-baiknya lebihan tali tersebut dijadikan tali spare bagi menggantikan tali yang digunakan sekiranya ia putus. Dalam soal penyambungan tali (sekiranya tali asal putus), sebaiknya pastikan dulu tali mana yang lebih panjang.
Sekiranya tali utama lebih panjang dari tali spare maka tali spare tersebut haruslah disambung pada bahagian belakang. Ini bagi mengekalkan bahagian sambungan berada di dalam spool terutamanya ketika sedang bertarung dengan ikan.
Sekiranya ingin menyambung lebih tali itu dengan tali yang lain, sebaiknya pastikan tali lain itu sama diameter dengan tali lebihan. Begitu juga dengan kapasiti tali yang ingin disambung tersebut.
Sekiranya ia lebih panjang maka jadikan lebihan tali berada di bahagian belakang sebagai back up. Cara ini lebih selamat agar bahagian sambungan tidak berhadapan dengan risiko terlucut ikatannya.
Banyak ikatan yang boleh digunakan untuk penyambungan tali. Begitu pun admin sarankan anda aplikasikan ikatan double uni knot. Ia terbukti berkesan walaupun menyambung tali berbeza diameter.
Saya harap dapat buat satu penjelasan penuh perihal spesifikasi line capacity yang biasanya tercetak pada spool reel. Saya rasa ramai pemancing baru tidak faham maksud sebenar line capacity ni.
JAWAPAN:
Line capacity – Istilah ini merujuk kepada panjang tali pancing (mono atau braided) yang boleh dimuatkan dalam gelendung kekili (spool). Kebanyakan reel terdahulu hanya menyatakan kekuatan (lbs) dan panjang (yard/meter) yang boleh dimuatkan dalam spool berpandukan tali tangsi (mono).
Kini, semakin banyak pula menyatakan berapa panjang tali yang boleh dimuatkan berdasarkan ukur lilit atau diameter tali tersebut, yang merujuk kepada penggunaan tali sulam atau braided. Semakin halus diameter, maka semakin banyaklah muatan tali yang boleh disimpan di dalam gelendung.
Terdapat beberapa jenis informasi yang biasa dicatatkan pada kekili atau kotak kekili iaitu lb/yd, lb/m atau dia/m. Untuk ib/yd (pound/yard) ia membawa makna kekuatan tangsi dalam pound dan panjang yang boleh diisi dalam yard atau ela.
Tali yang dimaksudkan di sini ialah tali mono, bukannya tali sulam kerana lazimnya tali mono mempunyai diameter yang sama. Sebagai contoh, 10/110 membawa maksud tali mono 10lb dapat dimuatkan sebanyak 110 yard/ela di dalam spool.
Begitu juga dengan kiraan lb/m. Sebagai contoh 10/100, tali mono 10lb boleh dimuatkan sebanyak 100meter di dalam spool. Manakala dia/m pula merujuk kepada ukurlilit tali (mono atau braided, lazimnya lebih merujuk kepada tali braided) yang boleh dimuatkan dalam meter. Umpamanya 0.5/200 bermaksud saiz tali berdimater 0.5mm boleh diisi sepanjang 200meter di dalam spool kekili.
Saya pernah mendengar pasal jig tengkorak atau bahasa rasminya madai… kalau tak salah la. Boleh tak admin jelaskan sedikit apa itu jig madai dan bagaimana cara untuk memainkannya?
JAWAPAN:
Madai jigging merupakan satu teknik memancing (jigging) yang mana jig yang digunakan adalah meniru aksi renangan sotong.
Teknik pancingan yang berasal dari negara Jepun ini mula popular di negara kita sekitar lebih 10 tahun yang lalu. Jig yang berupa kepala sotong dengan rambu-ramba ini turut dikenali sebagai jig tengkorak.
Madai jigging juga adalah satu cara yang bagus untuk menjerat ikan dasar. Cara menggunakan madai ialah dengan perlahan sekali tetapi tidak perlu menghenjutkan joran kita.
Selepas madai diturunkan dan sampai ke dasar, kita hanya perlu mengangkat joran kita naik ke atas dengan cara yang paling perlahan sekali dan turunkan joran untuk madai sampai ke dasar dan mengetuk dasar.
Cara ini perlu dimainkan dengan cara yang paling perlahan dan mengetuk dasar.
Selaku jig yang dimainkan di dasar, tentu saja ikan sasaran adalah dari spesies bersisik terutamanya jenahak dan kerapu.
Hari ini, madai jigging sudah kurang dipraktikkan setelah ditenggelami oleh populariti jigging perlahan yang mana ia ternyata jauh lebih berkesan memburu spesies demersal berbanding madai.
Terkini, teknik tai rubber yang diadaptasi dari madai jigging terbukti lebih berkesan berbanding madai jigging sekaligus seperti menutup ruang sepenuhnya ke atas madai jigging.