
SOALAN:
Saya ada dua soalan. Pertama, selain ikan sembilang, duri dan ketuka apakah spesies lain yang mempunyai sengat? Benarkah apabila air pasang dan gelombang besar, ikan tidak makan umpan?
JAWAPAN:
Selain sembilang, duri dan pari atau ketuka, ikan depu, baji, dengkis, kitang, kitang lada dan pelbagai jenis ikan yang jarang dijumpai mempunyai sengat sama ada yang jelas kelihatan atau tersembunyi di sebalik sirip dan badan.
Ikan sembilang, duri, mayong, jahan dan belukang memiliki sengat keras terserlah di atas badan, sisi kiri dan kanan. Sengat pari dan ketuka pula terdapat di bahagian ekor sama ada di pangkal, tengah atau hujung ekor.
Ada antara pari seperti pari kebas atau pari serban tidak memiliki sengat tetapi senjata utama ialah getaran arus elektrik dialirkan ke badan yang menyentuhnya. Terdapat juga pari memiliki hanya satu sengat keras dan ada yang mempunyai dua sengat keras di ekor.
Ikan lain yang dikategorikan berbisa memiliki sengat atau duri kecil yang tajam di badan (depu dan baji) selain sengat antara sirip dorsal dan sirip pelvik. Sengat yang berbisa ini tersembunyi berbahaya jika terkena tangan. Pari umpamanya perlu dikendalikan dengan betul. Pastikan sengat dibuang terlebih dulu jika ingin bergambar.
Kebanyakan ikan aktif ketika air pasang dan kawasan yang berarus. Kawasan yang tenang kurang didiami ikan pemangsa kerana sukar mendapat mangsa buruan. Di kawasan terdapat gelombang (bukan jenis yang terlalu besar hingga puluhan kaki) selain anak ikan turut bermain ombak, kumpulan ikan pemangsa (predator) turut mengikuti dari belakang.
Trip SuperRetro – Penangan Siakap Klang!!

Beberapa tahun yang lalu, ajakan dari seorang rakan kerja untuk mengikuti pak ciknya memancing di Klang memang tidak saya lepaskan. Peluang sebegini memang datang hanya sekali sekala. Apatah lagi trip ini terdapat otai-otai yang turut serta.
Kami hanya memakai umpan udang hidup yang dibeli pangkalan jeti. Saya hanya membawa set pancingan ringan dan sederhana dari jenis seperti Toman X-Series dan Exori untuk joran, manakala Pioneer dan Abu Garcia untuk kekili.
Di lokasi pertama, ikan gelama mendominasi tangkapan dengan banyaknya. Puas melayan gelama, kami beralih tempat dengan harapan ada spesies lain yang boleh dipancing.
Alhamdulillah kami berjaya mendapat tarikan dari pari, ketuka, malong, mengkerong, senangin, mayong dan ikan duri. Bersyukur saya dengan tangkapan yang diperolehi.
Sebelum pulang ke jeti, kami singgah di muara sungai untuk menghabiskan saki baki umpan udang hidup.
Unggas dan nyamuk antara ‘rakan’ yang tidak diundang tetapi mereka tidak segan silu menghisap darah kami. Itu semua tidak mematahkan semangat saya.
Selang 30 minit kemudiannya, rod saya membengkok menandakan adanya sentapan dari ikan. Dengan berhati-hati, saya mengarau tali dan hasilnya seekor ikan daun baru.
Dalam pada masa yang sama, terdengar satu kocakan air dan pak cik kawan saya memberitahu itu kemungkinan siakap yang mengejar anak-anak ikan.
Saya dengan segera mencangkuk umpan udang hidup dan membaling ke arah kocakan air tadi. Tidak sampai pun 10 minit, rod saya melentur kuat diselangi bunyi drag menandakan tali dipaksa keluar.
Walaupun menggunakan joran berharga ekonomi, saya cukup sayangkannya dan apa yang penting sekali, ia mampu menahan asakan dari makhluk air ini.
Tali semakin banyak keluar dan drag diketatkan sedikit demi sedikit. Apabila ikan keletihan dan timbul di permukaan air, dengan badannya yang berkilat, saya dengan spontan menjerit… siakap!
Ia merupakan rekod pertama kali saya mendapat siakap. Walaupun badan, kaki,dan tangan bengkak-bengkak dikerjakan oleh unggas dan nyamuk, tapi dengan tertewasnya seekor siakap berskala 2.1kg, membuatkan saya cukup ceria malam itu.
Sampai di jeti pada pukul 3 pagi dan tanpa berlengah lagi saya terus memandu pulang ke rumah kerana pada pukul 8.30 pagi nanti saya terpaksa menjalani rutin harian sebagai seorang pekerja pejabat.
Badan letih adalah lumrah selepas memancing satu hari suntuk tetapi tangkapan yang dibawa pulang terutama tangkapan ’istimewa” pengubat kepada segala keletihan tersebut. Trip bersama otai-otai akan diulangi di masa depan.
Korang Tanya UMPAN Jawab – (S1Q7) – Hukum Pertandingan Memancing? ©

SOALAN:
Apakah hukumnya menyertai pertandingan memancing yang menawarkan hadiah termasuk dalam kategori judi?
JAWAPAN:
Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah dari pengajur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil dari sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan dari individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya haram. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini. Pertamanya kerana menyertai pertaruhan,yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) dari penganjur atau agensi yang menaja.
Ibnu Qudamah al-Maqdisiy menjelaskan bahawa, “Setiap permainan yang terdapat pertaruhan (al-qimar) di dalamnya, ia adalah haram walau apa jenis permainan sekalipun kerana ia tergolong di dalam al-maisir (perjudian) yang diperintahkan Allah agar dijauhi oleh orang beriman”. (al-Mughni, Ibnu Qudamah al-Maqdisiy, 14/154).
Firman Allah yang bermaksud, “Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi (al-maisir), pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, (semuanya) adalah kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (al-Maidah: 90)
Para mufassir di dalam memberi makna menegaskan bahawa, al-maisir (judi) di dalam ayat di atas merangkumi semua jenis pertaruhan (al-qimar).
Jumhur ulama berpendapat bahawa semua jenis pertaruhan (al-qimar) adalah haram mengikut Islam.
Yang dimaksudkan pertaruhan (al-qimar) itu ialah dua pihak atau lebih masing-masing mengeluarkan wang atau harta, kemudian pihak yang bernasib baik akan memperoleh wang itu, sementara yang tidak bernasib baik akan menanggung kerugian (hangus wang pertaruhannya).
Sedangkan Islam menegah unsur-unsur penindasan ke atas orang lain biarpun duit ditaruhkan atas nama yuran penyertaan dan pengurusan.
Dalam pertandingan memancing atau sebagainya, ada unsur pertaruhan atau jika membabitkan hadiah atau pemberian.
Walau bagaimanapun tidak semua hadiah akan menjadi judi atau pertaruhan. Ada yang menjadi hibah (hadiah) yang dihalalkan oleh syarak. Justeru, bagi mengelak hadiah itu menjadi judi atau pertaruhan, ia hendaklah menepati salah satu dua keadaan berikut:
- Hadiah itu diambil daripada pihak luar yang tidak terlibat dalam pertandingan (mendapatkan tajaan dari mana-mana pihak kerajaan atau swasta).
- Hadiah itu ditawarkan oleh satu pihak sahaja daripada pihak-pihak yang bertanding. Sebagai contoh, seorang berkata kepada kawannya, “Ayuh berlumba denganku. Jika kamu menang, aku akan beri hadiah kepadamu RM50. Adapun jika kamu kalah, tidak perlu kamu memberikan apa-apa hadiah kepadaku.”
Maksudnya penganjur pertandingan memancing menawarkan hadiah tanpa mengenakan wang pertaruhan.
Kedua-dua keadaan di atas, hadiah akan menjadi hibah, bukan hasil judi atau pertaruhan.
Adapun jika hadiah diambil dari wang yang dikeluarkan oleh peserta-peserta yang bertanding sama ada dalam bentuk yuran penyertaan, bayaran penyertaan atau sebagainya, maka ia akan menjadi judi atau pertaruhan dan syarak mengharamkannya.
Secara umum, bagi pertandingan yang dianjurkan, hendaklah memenuhi perkara-perkara berikut:
- Jenis pertandingan adalah harus, tidak haram.
- Tidak membabitkan pertaruhan yang berupa perjudian.
- Hadiah bukan datang dari sumber yang haram seperti dari syarikat arak, judi atau sebagainya.
- Tidak melalaikan dari kewajipan syarak; solat dan sebagainya.
- Tidak melibatkan larangan-larangan syarak yang lain seperti percampuran lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Korang Tanya Umpan Jawab – Cara Terbaik Mancing Ikan Limbat??

Keli limbat atau ikan limbat merupakan salah satu spesies ikan daripada genus Clarias. Nama spesiesnya pula ialah C. nieuhofi dan biasanya mempunyai ukuran badan yang lebih panjang berbanding keli biasa dan warna badannya ialah kuning.
Spesies ini semakin sukar didapati namun biasanya lokasi pancingan sesuai bagi spesies ini termasuklah kawasan sawah, kawasan air yang sedikit mempunyai struktur kayu atau belukar dan juga kawasan yang tidak terlalu dalam.
Umpan yang sesuai bagi memancing limbat termasuklah cacing, serangga, cengkerik dan juga hati ayam. Untuk lebih mudah, anda boleh menggunakan teknik dan umpan yang sama dengan pancingan keli kerana sifat pemakanan bagi spesies ini masih sama dengan spesies daripada genus Clarias yang lain.
Untuk keterangan yang lebih lanjut berkenaan info spesies ikan limbat ini anda bolehlah layari laman web www.umpan.com.my dan buat cari IKAN LIMBAT dalam segmen IKAN AIR TAWAR. Anda juga boleh ketahui taktik & teknik pancingan ikan ini dalam segmen Tip & Info.