
SOALAN:
Saya memohon tunjuk ajar secara ringkas dan mudah difahami untuk mengumpan ikan kelah. Umpan-umpan apa yang bagus dan bagaimana umpan-umpan nak dipersembahkan supaya menarik perhatian ikan kelah?
JAWAPAN:
Memancing kelah memang memang agak cerewet oleh kerana sifatnya yang amat sensitif. Namun segala usaha yang dilakukan terasa berbaloi apabila seekor ikan kelah berjaya didaratkan.
Secara ringkas, perkara pertama ialah kenal pasti lubuk berpotensi dan aktiviti memancing sebaiknya dilakukan dengan meminimumkan pergerakan atau bunyi. Adalah lebih baik jika secara bersendirian atau dalam kumpulan yang kecil.
Umpan sawit peram atau hirisan sate sawit adalah umpan yang sinonim dengan spesies ini. Caranya cangkukkan sebiji pada 2 atau 3 mata kail atau pun sawit potong dan cangkukkan pada mata. Guna tali mono sekitar 20lb sebagai tali utama dan perambut sekitar 15-30lb. Lebih digalakkan andai anda merasuah sawit peram di bahagian hulu lubuk dan biarkan dalam tempoh 4-6 jam atau lebih dari itu sebelum mula memancing di lubuk tersebut.
Sesetengah lokasi, ada pemancing yang menggunakan umpan lain seperti ubi kayu masam, buah epal yang dipotong dadu, hirisan isi ikan dan sebagainya. Malah ada juga yang menggunakan umpan katak dan juga ketam sungai yang dibakar terlebih dahulu. Anda sememangnya boleh mencuba!
Lesen Haruan Kenduri Kahwin!!

Kami berempat bertolak dari Gombak dan tiba di majlis sekitar jam 2.00 petang. Selesai makan kenduri, kami tidak bercadang untuk terus pulang ke Gombak.
Rugi pulak pergi jauh-jauh ke kampung orang kalau tidak cuba melontar gewang di mana-mana padang pancing berdekatan.
Berbekalkan maklumat dari sahabat yang baru menamat zaman bujangnya, kami meredah padang pancing sekitar Senggarang.
Tujuan asal kami adalah untuk casting siakap. Namun tidak temui spot siakap yang dipetakan. Padang pancing yang kami temui agar menarik juga. Kawasan pantai bertebing tinggi yang memanjang dan bersebelahan pula dengan parit yang juga panjang.
Berikutan sukar untuk menuruni tebing tinggi, kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib mengilat haruan di sepanjang parit yang menjadi sumber pengairan kebun sawit.
Saya percaya parit itu menjadi padang pancing kepada pengilat tempatan yang kerap kelihatan meronda dengan motosikal bersama joran dan softfrog mini pada hujung joran.
Setelah meninjau dan berjalan di sepanjang tebing parit itu saya temui satu spot yang kelihatan agak berpotensi.
Ada kelibat seperti haruan meneguk udara di kawasan lapang yang dipenuhi rumpair. Lontaran soft plastic (SP) yang pertama segera disambut namun sambarannya tidak lekat.
Menyedari keinginan seorang sahabat yang kepingin lesen haruan, saya segera memberi ruang tersebut kepada beliau.
Saya yakinkan beliau ada haruan yang menunggu di spot tersebut dan perlu memujuknya berikutan kes rabut tadi. Malah saya beri beliau guna SP yang gunakan tadi.
Beberapa minit memujuk, haruan tadi kembali menyambar namun tidak mengenai tepat pada sasaran. Karan pertama yang beliau rasai itu membuatkan adrenalinnya melonjak.
Saya yakinkan beliau lagi haruan tersebut akan kembali menyambar. Beliau terus tekun melontar dan memujuk dan akhirnya… sukses!
Seekor haruan anggaran 1kg didaratkan dengan selamat. Selesai sesi bergambar, haruan tersebut kami lepaskan semula ke habitatnya.
Kejayaan itu mendorong rakan lain untuk merasai tarikan haruan Senggarang. Sehinggakan ada yang sanggup meredah lebih jauh parit tersebut. Hasilnya, seorang lagi sahabat berjaya juga memperolehnya walaupun bersaiz curut.
Jika tidak kerana hari semakin senja dan kami perlu pulang ke Gombak, mungkin seorang lagi sahabat atau saya sendiri turut sama dapat merasai karan haruan parit Senggarang.
Korang Tanya Umpan Jawab – Sebarau makan gewang je ke?

SOALAN:
Hai admin… saya ni baru lagi memancing ni. Saya minat nak pancing ikan sebarau tetapi belum pandai teknik casting. Boleh tak pancing ikan sebarau selain teknik casting?
JAWAPAN:
Jawapan ringkas lagi tepat untuk jawapan ini cuma satu perkataan iaitu… boleh! Memang boleh sangat-sangat dan bukan melalui teknik casting sahaja ikan sebarau boleh dipancing.
Teknik casting yang menggunakan umpan tiruan sebagai umpan hanyalah salah satu cabang dari cara-cara untuk memancing sebarau.
Sebarau masih boleh dipancing dengan teknik konvensional menggunakan umpan yang menjadi diet makanan sebarau.
Sebagaimana yang diketahui, ikan sebarau menjadi ikan-kecil yang lebih kecil, krustasea serta serangga sebagai diet makanannya.
Oleh yang demikian kita boleh gunakan saja diet-diet makanan sebarau ini sebagai umpan.
Malah telah ramai pemancing yang menggunakan umpan seperti cacing dan cengkerik berjaya mendaratkan sebarau setanding atau lebih baik berbanding dengan hasil teknik casting.
Keadah untuk memancing sebarau menggunakan umpan hidup seperti yang disenaraikan juga pelbagai.
Ia boleh diaplikasikan melalui teknik pancingan dasar, apung atau berhanyut.
Selagi ia berlandaskan konsep memancing yang sebenarnya, apa saja teknik boleh diamalkan tanpa rasa malu segan.
Trip Throwback – Sesi Casting & Jigging Pulau Sembilan!!

Hampir 8.15 pagi, barulah kami berlepas selepas laut kembali tenang. Semua ahli trip menggunakan jig dari saiz 18gm hingga 60gm. Bagi casting pula, kami menggunakan spoon, bulu ayam serta gewang seperti Jackson Pintail dan sebagainya.
Peralatan yang digunakan semuanya adalah dari jenis ringan bersaiz 1000 ke 3000 dengan tali 15lb ke 20lb.
Perambut kejutan (shock leader) pula hanyalah sekitar 30lb. Lubuk pertama kami ialah sesi casting di kawasan berbatu. Tanpa menunggu lama, saya dan Tompok menerima sambaran hampir serentak namun lucut semasa beraksi.
Ia angkara todak yang kelihatan agak banyak dan agresif. Tekong menyarankan kami agar menukar mata tiga kami kepada saiz yang lebih besar bagi memastikan ia tidak rabut lagi.
Setelah menukar mata tiga, rakan saya, Jemik telah membuat lontaran pertama dengan gewang Yozuri bersaiz 12 cm. Sepantas kilat satu sambaran kasar berlaku dan drag terus berbunyi nyaring. Ikan telah lekat dan beliau berhempas pulas mengawal larian dan loncatan todak tersebut. Akhirnya todak yang agak kasar itu berjaya juga dinaikkan.
K.I yang mencuba dengan Pintail turut mendapat sambaran kasar selepas Jemik. todak ini dilihat lebih agresif dan besar ketika meloncat dalam usaha untuk melepaskan mata kail. Akhirnya setelah 3 kali meloncat tinggi, tali perambut kejutan tangsi terputus ketika ia membuat pecutan terakhir dan berkuburlah gewang Pintail K.I.
Mat Rafi kemudiannya mengalihkan bot ke kawasan lain pula kerana kami telah berhanyut jauh dari sasaran. Kebetulan satu ‘boiling’ berlaku kira-kira 20 meter dari bot. Saya yang telah bersedia, tanpa berlengah melontar jig Yozuri Metallic Sardine dan terus menerima asakan kasar ketika baru menutup ‘bail arm’.
Tali mencurah-curah keluar telah memaksa saya mengawal dengan berhati-hati kerana saya menggunakan set ringan Ryobi Zauber 1000 dengan tali 20lb. Aksi tarik menarik berakhir dengan seekor GT tumpas. Walaupun tidak besar, aksinya masih mendebarkan kerana menggunakan set ringan.
Di sini juga beberapa jig termasuk jig dari Jepun jenama Ima Gun kami berkubur kerana terdapatnya karang yang tinggi. Ketika masing-masing mengunjun jig, saya pula mencuba casting dengan spoon.
Teknik tarikan perlahan berjaya memikat seekor lagi todak. Walaupun amat agresif dengan larian serta loncatan, saya berjaya juga menumpaskannya. Sekali lagi, adrenalin yang dicari tercapai.
Kami berpindah lagi ke satu kawasan yang dipanggil Tukun Jepun. Baru sahaja jig dijatuhkan dan di unjun 2 kali, K.I mendapat sambaran padu.
Jorannya dihenjut-henjut ke bawah. Ketika itu, tiada siapa dapat meneka jenis ikan kerana amat berlainan sekali lariannya. Kelibat jehahak mula kelihatan dan semua bersorak gembira walaupun belum lagi dinaikkan.
Jenahak skala 2kg tersebut tumpas setelah ditangguk. Bertambah semangat semua untuk meneruskan sesi pancangan kali ini!! Saya dikejutkan dengan satu tarikan ketika leka berbual sambil jigging. Tarikannya mudah dikawal. Tanpa disangka, seekor cencaru kuda pula berjaya dinaikkan.
Kami beralih ke Batu Putih pula untuk mencari ‘boiling’ cencaru kuda kerana waktu ini arus air kelihatan amat sesuai. Ketika tiba sambil berpusing-pusing, kelihatan banyak burung sedang mengejar sesuatu di permukaan laut.
Kami bergegas ke situ. Tak sampai seminit, kejadian “boiling” pun berlaku. Masing-masing yang sememangnya telah bersedia, terus sahaja membaling mikro jig. Serentak 3 orang sekali mendapat sambaran. Suasana bertukar kecoh kerana kami perlu menukar poisi kedudukan kami agar tali tidak bersilang.
3 ekor telah tumpas dan misi seterusnya terus menanti ‘boiling’ kedua. Ia berlaku di belakang bot pula. Hanya saya dan Tompok berjaya membaling jig dan saya telah berjaya menaikkan spesies terbesar, anggaran 2kg. Ketika bot mula menghampiri kawasan berbatu, Jemik yang menggunakan gewang berjaya menaikkan seekor lagi cencaru.
Selang 10 minit, K.I pula bertarung dengan ikan. Penggunaan joran halus menyukarkan K.I untuk menarik secara kasar. Seekor delah muncul tanpa disangka dan terus sahaja diangkat masuk ke dalam bot. Oleh kerana telah penat dan jam hampir ke-2 petang, kami memutuskan untuk berehat sambil makan tengah hari di pulau.
Hampir 2 jam juga kami berehat sambil tertidur beralaskan tikar yang dibawa. Badan kembali segar setelah mandi air bukit yang segar. Saya mengajak Mat Rafi ke lubuk sotong mengabang. Pesan saya kepadanya, cukup 3 ekor sahaja yang dicari untuk saya buat lauk anak-anak.
Di sini, hanya candat Yamashita sahaja laku. Kami berlabuh dengan mengikat tali ke boya di situ. Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan 3 ekor mengabang saiz ‘selipar no 8’ yang diidamkan dalam tempoh 30 minit sebelum berpindah ke lokasi lain.
Kami meneruskan kembali aktiviti jigging di satu kawasan yang agak dalam. Selepas 3 kali berhanyut, barulah ada sambaran dan kali ini, Mat Rafi yang kena. Agak lama juga bermain tarik tali sebelum seekor lagi talang berjaya dinaikkan.
Kami berpindah lagi. Mat Rafi juga yang membuka tirai sambaran ketika kami masih lagi terkial-kial hendak mengunjun. Seekor lagi talang skala 3kg dinaikkan. Tompok turut mengena ketika baru sahaja Mat Rafi menyimpan ikan tersebut ke dalam tong.
Kami memutuskan untuk mencuba di kawasan berbatu sebelum berangkat pulang. Bulu ayam, gewang serta spoon kembali menjadi taruhan. Balingan kedua K.I disambut, aksi yang tampak agresif pada mulanya berakhir dengan mudah. Seekor todak kecil dinaikkan.
Menurut Mat Rafi, keadaan air jernih telah menyebabkan Talang nampak pergerakan mata kail gewang atau bulu ayam tersebut dan tidak akan membahamnya ketika casting. Kami berpindah sebanyak dua kali lagi tetapi hanya todak sahaja yang diperolehi. Tepat jam 6 pm, kami mengajak Mat Rafi pulang.