Faktor yang menyebabkan trip ini lewat berlangsung disebabkan sukar untuk mencari setting tarikh yang sama untuk mengambil cuti, ekoran berlainan batasan kerja masing-masing.

 

Semuanya cukup teruja, apabila menjejakkan kaki di Jeti Kuala Tahan tanggal cuti Hari Malaysia tersebut.

Maklumlah majoriti ahli komplot belum pernah sampai, kecuali dua orang sahaja yang pernah sampai sebelum ini.

 

Hampir pukul 9.00 pagi, usai sarapan, memunggah barangan ke dalam bot dan mengambil permit di pos kawalan Perhililitan di Sungai Tahan, bermulalah perjalanan menongkah arus Sungai Tembeling.

Masing-masing sudah terbayangkan akan sang badong dan juga kelah besar, meskipun realitinya semua ahli trip telah dimaklumkan awal yang Sungai Keniam ketika ini sebenarnya tidak lagi sehebat masa lampaunya.

Pun begitu, Sungai Keniam masih lagi boleh dianggap padang pancing camping dan trekking yang berada dalam kelasnya tersendiri.

 

Dalam sedar tak sedar, tepat jam 1.30 tengah hari, perahu panjang yang membawa kami akhirnya tiba di Lata Said. Jelas berbeza ujar Abang Rom yang mengatakan, sekiranya

musim kemarau, sekitar jam 4 @ 5 petang nanti barulah sampai di Lata Said, akibat terpaksa banyak kali menolak bot.

 

Petang tersebut, usai memasang khemah dan makan bermulalah aktiviti memancing sekitar lubuk berhampiran sebelum ia terbantut apabila langit tiba-tiba sahaja gelap dan hujan turun dengan begitu lebat membawa hingga ke larut malam.

Dalam kesejukan berada di dalam khemah, masing-masing berdoa agar hujan segera berhenti.

 

Hari Kedua

 

Awal pagi, kelihatan air keruh bak teh tarik mengalir deras di hadapan khemah kami. Jauh bezanya dengan hari semalam yang begitu jernih.

Rakan yang sudah merancang untuk trekking, tergamam melihat warna air. Bukan sahaja keruh, tetapi parasnya juga tinggi.

Menurut Abang Rom, walaupun keruh yang teruk, jika tidak hujan pada hari tersebut, esok ia sudah kembali pulih.

IKLAN

 

Semasa sarapan, kami berbincang di mana sekumpulan rakan bersama beberapa boatman yang lain bertekad untuk cuba trekking ke bahagian hulu untuk casting dan juga mencuba pancingan dasar.

Ini kerana dengan menuju ke bahagian hulu, keadaan air pasti akan pulih dengan cepat.

 

Penulis pula, pudar hati untuk trekking melihatkan air yang keruh bak teh tarik ini. Untuk tidak membuang masa, penulis bersama Rul, John, Mazuan dan Bahar bersetuju mengikut

Abang Rom dan tiga orang boatman lagi (menggunakan dua buah bot) mudik ke bahagian hilir sehingga ke Lubuk Rawa.

Harapannya tidak lain tidak bukan memancing baung sambil berharap ada spesies lain, terutamanya sang tenggalan akan diperolehi.

 

Hendak dijadikan cerita, sehingga ke tengah hari, kami memang berpesta baung akar sahaja. Cukup banyak sampai tak menang tangan menjaga dua batang joran.

John yang memancing sekitar Lubuk Rincing pula mendapat bonus seekor udang galah.

 

Kembali ke Lata Said pada sebelah petangnya, kami menantikan rakan yang pulang dari trekking.

Beberapa ekor kejor berjaya diperolehi melalui kaedah casting dan pancingan dasar oleh boatman.

IKLAN

 

Sebarau paling mendominasi tangkapan, tetapi tiada bersaiz badong berjaya didaratkan.  hanya Udin yang tersenyum lebar, kerana berjaya memperoleh kejor menggunakan sesudu.

Geng tekong yang membantu memancing kelah melalui kaedah pancingan dasar, juga gagal.

 

Post mortem yang diadakan pada malam itu merumuskan keadaan air yang masih keruh membantutkan usaha untuk casting dengan baik.

Air yang dalam dan deras turut membataskan mereka yang trekking berjalan lebih jauh dan pantas kerana perlu berhati-hati memijak batu yang tidak kelihatan dan licin.

 

Hari ketiga

Ketika menikmati makan malam, Lata Said dibasahi hujan lagi. Tetapi tidaklah lebat. Paginya masing-masing bersemangat untuk memulakan trekking kerana keadaan air sudah kembali pulih walaupun ia berstatus ‘air bulu monyet’.

 

Disebabkan ramai yang ingin turun casting, terpaksa berpecah kepada dua grup. Satu grup akan bermula casting dari Lubuk Batu Terubung menghala ke Lata Said.

Manakala satu grup lagi dengan ditemani dua boatman lagi menghala naik lebih atas lagi menuju ke Keniam Kecil. Saya memilih untuk naik ke atas bersama Zul, John dan Bahar.

 

IKLAN

Di bahagian atas, keadaan air amat cantik. Banyak sebarau kami berjaya perolehi dan mana yang bersaiz juvenil dilepaskan kembali.

Di satu lubuk yang terletak tidak jauh antara satu sama lain, Zul berjaya memperoleh seekor sebarau bersaiz 1.5 kg menggunakan sesudu Bakau (warna tembaga), manakala

penulis berjaya memperoleh seekor kejor yang beratnya hampir 1 kg menggunakan gewang Senses Savior 50s, Rasengan Limited.

 

Berdasarkan gewang yang digunakan, warna gewang yang natural dan mirip ikan seluang lebih ‘mencakup’ berbanding warna garang dan terang seperti oren, fire tiger dan sebagainya.

 

Berdasarkan pemerhatian dan juga bertanyakan kepada tekong yang kaki casting, sebaiknya jika hendak lebih potensi menewaskan sang badong, kejor bersaiz 2-3 kg ke

atas atau kelah (nasib-nasib boleh dapat) Sungai Keniam, saiz gewang yang perlu digunakan perlu bersaiz besar iaitu 9-11 cm bukannya gewang atau sesudu bersaiz kecil dan mikro. Mata tiga juga perlu ditukar kepada saiz yang lebih kuat.

 

Menurut Abang Rom, jika hendak pemangsa bersaiz besar, perlu menggunakan gewang bersaiz besar dan warna pilihan terbaik adalah warna natural dan tidak terlalu terang.

Katanya lagi, Rapala X-Rap bersaiz 11 cm adalah kesukaan badong mahupun kejor di sini.

 

Hari terakhir

 

Hari keempat adalah hari terakhir kami di Sungai Keniam. Ternyata 2 yang lalu hari adalah hari yang kami ‘pulun’ betul-betul memancing dan bakinya adalah lebih kepada perjalanan pergi dan pulang.

Sekitar jam 10 pagi, kami meninggalkan Lata Said dan lebih kepada sesi casting sebarau secara berhanyut sambil boatman mendayung bot (tidak hidupkan enjin) sehinggalah sampai di Lubuk Rincing.

 

Dalam trip ini, masing-masing mendapat pengalaman yang berharga ketika menjejakkan kaki kali pertama ke Sungai Keniam.

Tiada istilah serik, sebaliknya geng ini akan cuba mencari tarikh yang sesuai untuk menjejakkan kaki lagi ke sini dan sasaran utama adalah seawal yang mungkin selepas musim tengkujuh berakhir sekitar Mac nanti.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI