
SOALAN:
Saya terpanggil untuk bertanyakan soalan berkaitan badong. Setahu saya, badong itu adalah sebarau… tetapi kenapa ia dipanggil badong? Setahu saya juga, sebarau besar akan dipanggil badong tetapi saiz sebesar mana yang boleh dipanggil badong?
JAWAPAN:
Dah beratus soalan yang dikemukakan dan inilah satu-satunya soalan yang admin tidak dapat nak jawab dengan fakta. Namun saya bersetuju dengan saudara bahawa badong itu merujuk kepada spesimen sebarau yang bersaiz besar.
Atau dalam erti kata lainnya sebarau dan badong adalah spesies ikan yang sama, bukannya spesies yang berbeza sebagaimana yang masih dipertahankan oleh sesetengah pemancing. Walau bagaimana pun saya tiada sebarang jawapan untuk menjelaskan kenapa sebarau bersaiz besar dinamakan badong.
Kalau dari segi motif pula, pada pendapat admin ia tiada tujuan selain untuk bermegah-megah. Jika itu tujuannya maka matlamatnya dikira tercapai kerana sekadar menyebut BADONG sahaja sudah dapat merasakan aura kemegahan dan keperkasaannya. Ini kerana apabila menyebut badong, secara tidak langsung ia seperti terkait secara sendirinya dengan badang.
Sementara saiz sebesar mana yang layak dipanggil badong juga tiada siapa yang dapat menjawabnya dengan tepat. Namun, berdasarkan kesepakatan ramai pemancing, dikatakan spesimen sebarau yang melebihi berat 2 kg, sudah boleh dianggap sebagai badong.
Bagaimana pun, kejayaan mendaratkan badong tidak menjanjikan apa-apa pangkat atau status pemancing tersebut untuk bermegah dengan badongnya itu.
Korang Tanya UMPAN Jawab (S2S29) – Persoalan drag kekili? *

SOALAN:
Mohon jawab admin… jika kekuatan sistem drag kekili adalah 4 kilogram, adakah kekili dapat bertahan hanya pada saiz ikan maksimum seberat itu?
JAWAPAN:
Ramai yang masih keliru tentang kekuatan drag (daya seretan) kekili dengan saiz ikan yang boleh dipancing. Untuk makluman, drag kekili bukanlah seperti alat timbang untuk mengukur berat ikan sebaliknya ia adalah untuk mengukur tahap kekuatan atau daya ikan menyeret tali pancing keluar dari kekili.
Sistem tegangan (drag) dicipta supaya ia dapat memberi jangka hayat lebih lama kepada logam gear di dalam kekili. Oleh itu, gear diberi perlindungan supaya tidak haus atau rosak apabila tekanan dan beban yang dikenakan melebihi kekuatan yang ditetapkan.
Sebagai contoh, 4kg bersamaan 8.81 lb dan gelendung kekili dimuatkan dengan tangsi kekuatan 15lb. Lazimnya kita akan set sistem tegangan pada skala 1/3 daripada kekuatan muatan tangsi iaitu kira-kira 5lb . Untuk lebih tepat korang perlu gunakan skala pengukur dan tarik keluar tangsi dari gelendung dan perhatikan bacaan skala apabila tali keluar.
Jika bacaan kurang daripada 5 lb, ketatkan sedikit demi sedikit sehingga bacaan akhir tangsi mula keluar ialah pada tahap lb paun. Apabila sudah tepat, biarkan kekunci sistem tegangan pada tahap ini. Walaupun sistem tegangan maksimum ialah 4kg tetapi seboleh-bolehnya dinasihatkan supaya jangan dikunci tegangan tali pada tahap ini. Biar kurang daripada paras itu supaya kita tidak memaksa kekili sentiasa beroperasi pada tahap maksimum kecuali sesekali dalam keadaan yang memaksa.
Selepas ini jika ikan melebihi 4kg memecut, sistem tegangan akan membenarkan tangsi keluar. Biarkan ikan lari selama nama yang dia mahu kerana konsep ini ikan tidak akan dapat memutuskan tali kecuali terkena objek tajam digigit atau bergesel dengan karang. Layan saja larian ikan sehingga ia letih. Semakin banyak ikan membuat larian, ia akan semakin letih kerana terpaksa menggunakan kudrat untuk menarik keluar beban 5lb sepanjang masa.
Apabila tali semakin banyak ditarik keluar, beban yang asalnya 5lb menjadi semakin berat. Ini kerana lebih banyak tekanan diperlukan untuk menarik keluar tali yang setengah isinya berbanding tali yang penuh di dalam gelendung.
Sistem tegangan akan menjadi berganda apabila 80 peratus tali asal keluar dari gelendung. Konsep asas – semakin kurang tali dalam gelendung semakin tinggi tekanan diperlukan untuk sistem tegangan beroperasi. Percaya atau tidak, tali 5lb boleh menewaskan ikan seberat 30lb!
Indahnya Mancing Puyu Zaman Kanak-Kanak Riang

Setiap kali membaca atau menulis tentang ikan puyu ini, secara tidak langsung ia seperti mengimbau kenangan zaman kanak-kanak. Sedikit demi sedikit memori indah berpuluh tahun lalu menjengah di fikiran.
Ketika masih di sekolah rendah dahulu, cuti sekolah dan musim tengkujuh amat dinanti-nantikan. Bersebelahan dengan pagar rumah merupakan sebidang tanah kebun yang diusahakan oleh arwah nenek.
Namun sudah tidak diusahakan agak lama dan menjadi rawa tempat bermain. Parit-parit kecil keliling kebun dan sebuah perigi tanah yang menjadi nadi pengairan di kebun itulah yang menjadi padang permainan utama.
Ketika musim kemarau ia akan kering kontang tetapi ketika musim tengkujuh, ia bukan saja digenangi air bahkan turut dibanjiri ikan-ikan darat yang entah dari mana datangnya. Sepat ronggeng, puyu, keli kampung dan haruan dalam beberapa hari selepas banjir sudah muncul di parit tepi pagar rumah.
Alatan pancing seadanya saja. Hanya 20 sen sudah mencukupi untuk membeli mata kail. Tali tangsi yang entah dari mana datangnya atau tali benang layang-layang sedia ada boleh digunakan.
Sementara buluh Cina atau ranting pokok jambu batu dijadikan joran. Selaku anak dari keluarga pelaut, cara mengikat mata kail sudah lama diperturunkan oleh orang tua. Pelampung pula cari di tangga rumah. Jikalau tiada selipar yang sudah tidak digunakan, bahagian hujungnya akan menjadi mangsa.
Umpan pula sekadar gali di belakang dapur rumah atau di perdu pokok pisang. Cacing langsung tiada masalah untuk dicari. Cuma umpan terbaik untuk puyu susah dicari ketika musim tengkujuh. Jikalau ada belalang boleh dikatakan seratus peratus akan dapat puyu.
Sekurang-kurangnya 5 batang tajur akan dipasang pada sepanjang parit di tepi pagar rumah. Jikalau hari tidak hujan, saya akan menunggu di atas rumah pokok. Memang seronok menanti di atas rumah pokok kerana dapat melihat pelampung tenggelam timbul apabila ada mangsa yang mengena.
Walaupun sasaran utama ialah puyu, kadang-kadang sepat ronggeng dan keli kampung yang mengena. Jikalau sepat yang mengena, sepat itu kemudian akan dijadikan umpan haruan pula. Sepat itu akan dicangkuk pada mata kail yang hanya bertali dan berpelampung.
Ia dibiarkan hanyut dibawa sepat sehinggalah disambar haruan. Namun jarang-jarang ditemui pelampung yang mengena haruan. Kebanyakannya sama ada umpannya hilang atau semuanya hilang tanpa dapat dikesan.
Ikan keli yang mengena mata kail akan disimpan di dalam tempayan berasingan. Apabila jumlahnya agak banyak, saya berikan pada arwah nenek atau kepada sesiapa yang inginkannya kerana kami sekeluarga kurang menggemari ikan darat. Kecuali puyu.
Itu pun saya akan pastikan ia dicuci dengan pucuk daun jambu batu dan air beras sehingga hilang bau hanyir. Digaul garam kunyit dan digoreng dengan garing umpama memakan keropok.
Bab menyiang ikan puyu satu hal juga. Nak tunggu ia mati sendiri, dibiarkan atas darat seharian pun tak mati-mati. Dibiarkan lima minit atas darat pun tau-tau dah hilang. Dah berjalan masuk ke parit semula. Nak disiang hidup-hidup memang tidaklah.
Bukan sebab kasihan pada ikan tetapi pada diri sendiri. Sedangkan menyiang yang mati pun calar balar tangan dibuatnya, inilah pula menyiang yang masih hidup. Mahu tak mahu terpaksalah pejam mata mengetuk kepalanya dengan dahan pokok jambu batu sehingga pengsan.
Hari ini, sekiranya pulang bercuti di kampung ketika musim tengkujuh, memori itu pasti terimbau dengan sendirinya. Namun, bukan sahaja puyu, sepat ronggeng, haruan atau keli kampung sudah tidak ada. Suasana kampung itu sendiri pun seperti sudah tidak lagi.
Parit, tanah kebun, rawa dan perigi tanah sudah lama ditimbus dan ditambun. Taman permainan pada zaman kanak-kanak itu kini menjadi laman perumahan dan permainan kanak-kanak zaman kini.
Trip Retro: Terjah Lubuk Kenyir!!

Selepas dua bulan merancang, akhirnya hujung bulan Mac lalu, satu trip trekking ke hulu Sungai Terenggan, Tasik Kenyir, lokasi kunjungan terdahulu Mus menjadi kenyataan.
Tujuh orang telah terlibat dalam trip yang begitu mengerah kudrat; berjalan kaki sekitar 6-8 jam meredah hutan dan sungai.
Manakala guide semestinya Karim, tekong yang tidak pernah miss dalam pilihan sepanjang tujuh tahun mengenali Tasik Kenyir. Selain Karim, trip kami turut dibantu oleh anak Karim, iaitu Yo.
Kami tiba di campsite kira-kira jam 4 petang, selepas 5 jam mengharungi perjalanan menaiki speedboat dari Jenagor sebelum berjalan kaki menghulu Sungai Terenggan. Lokasi campsite ini, sebenarnya bukanlah campsite yang pernah Mus bermalam dahulu.
Ia sebenarnya masih jauh. Disebabkan kami kesuntukan masa (agak lewat akibat beberapa perkara tidak dapat dielakkan), keputusan bersama telah diambil untuk berkhemah di sini dan esok perjalanan ke sebelah hulu akan disambung.
Sebelum menjelang malam, kebanyakan daripada kami cuba untuk casting di lubuk-lubuk yang dianggap berpotensi.
Kebanyakan spot memang menarik, tetapi hasilnya tidak memberangsangkan. Saya, Zul dan Mus cuba casting di bahagian bawah campsite, tetapi turut pulang hampa. Hanya sebarau bersaiz remaja dan anak bujuk sudi menyambar gewang.
Selesai sarapan, kami bersiap untuk memulakan trekking ke bahagian hulu. Kami bercadang untuk pergi sejauh mungkin iaitu tiba di port ‘Hulu Berdengung’, lokasi Mus mendapat banyak strike semasa kunjungan tahun lalu.
Hanya Padi dan Ayie yang tidak ikut. Padi yang baru sahaja selesai melakukan pembedahan tumor mengambil keputusan untuk cuba casting di bawah. Manakala Ayie meneruskan pancingan dasar di hadapan khemah selain ditugaskan untuk memasak.
Perjalanan naik ke hulu memang mencabar. Kami terpaksa meranduk air yang deras dan penuh dengan batu-batu licin.
Jika meredah hutan pula, ada kalanya trek baru terpaksa dibuat, kerana trek lama langsung tidak kelihatan. Mujurlah, kami tidak membawa beban beg seperti hari semalam.
Ujar Karim, di bahagian hulu ini, teramat jarang kaki-kaki pancing datang berkunjung, kerana faktor jauh dan kebanyakan jejak yang ada dibuat oleh penceroboh haram yang datang untuk mencari kayu gaharu yang dipercayai dilakukan warganegara Thailand.
Buktinya kami memang terjumpa bekas penempatan di dalam hutan, tidak jauh dari sungai.
Sepanjang perjalanan, kami cuba casting di lubuk-lubuk yang berpotensi. Semasa melalui kawasan jeram yang berarus deras, Wan yang berada paling hadapan menerima sambaran.
Lontaran sesudu Abu Island II, 12 gram, disergap rakus oleh makhluk yang berada di bawah sana. Sehingga terpaksa dia melompat ke batu dan meranduk air, lantaran larian pemangsa cukup laju.
Selepas 5 minit barulah nampak kelibatnya dan akhirnya muncul tengas dalam skala 1.2 kg. Walaupun ia hanyalah tengas, tetapi pada skala ini, ia sudah cukup memuaskan hati.
Zul yang setia dengan sesudu Abu Island II, 7 gram, paling banyak menaikkan tengas dalam sekitar 700 gram. Saya tidak terkecuali dan skala ini semuanya kami lepaskan semula.
Penat berjalan, akhirnya kami tiba juga di lokasinya. `Hulu Berdengung` yang dimaksudkan ialah sebuah jeram panjang yang terdapat lubuk-lubuk dalam dan juga cetek airnya.
Ketika kami tiba, airnya sedikit keruh. Batuan di dasarnya langsung tidak berapa kelihatan. Sekian lama cuba untuk casting, kelibat penghuninya, tidak kelihatan. Yo yang cuba untuk pancingan dasar, turut tidak mendapatkan hasil.
Sedikit perasaan kecewa membelenggu kami. Apa lagi yang mampu dilakukan, selain cuba juga untuk casting dan terus casting.
Menurut Karim, berkemungkinan faktor hujan di kawasan hulu yang membuatkan air keruh dan sejuk, punca utama mengapa, penghuninya tidak aktif.
Mus yang melalui situasi menggembirakan tahun lalu, juga turut ralat kerana kunjungannya berbeza benar.
Jelasnya di Hulu Berdengung inilah, banyak tengas bersaiz kasar dan juga kelah tewas dengan gelekan sesudu. Bahkan akan nampak penghuninya mengejar walaupun hanya batu yang dilontarkan.
Walaupun sudah merancang sebaik mungkin, faktor ketentuan tiada siapa yang mampu menghalang. Bagi saya, inilah faktor alam yang semua kaki pancing tidak boleh jangkakan.
Mungkin juga ikannya berhijrah semasa musim tengkujuh lalu atau dikaut banyak dengan cara tidak bertanggungjawab.
Jam 3.30 petang, kami mengambil keputusan untuk turun semula ke bahagian hilir, menuju ke khemah dalam keadaan hujan renyai-renyai selepas sasaran casting kelah di Hulu Berdengung tidak kesampaian.
Kali ini, Karim mengurangkan memasuki semula trek jalan hutan, sebaliknya lebih banyak menyusuri sungai bagi membolehkan kami casting di lubuk-lubuk yang berpotensi yang tidak dilalui pagi tadi.
Di aliran jeram yang deras, giliran Zul mendapat tuah, apabila lontaran sesudunya disambut lagi. Karauan dilakukan, tetapi beberapa detik kemudian, lariannya beransur lemah.
Rupa-rupanya sang sebarau yang menyapa. Tidak kurang juga, ada tengas mengejar sesudu sebaik karauan laju dibuat, tetapi akhirnya berpatah balik apabila ternampak kami.
Kami tiba di campsite bila hari sudah senja. Padi menyambut kami dengan tersenyum lebar, kerana dia turut berhasil juga menaikkan tengas dengan casting, bermodalkan Siam Spoon 10 gram. Jadilah lesen katanya, walaupun kecil sedikit daripada saiz lengan orang dewasa.
Malam terakhir kami gunakan sebaik mungkin. Selesai menjamah hidangan makan malam, Mus, Karim dan anaknya mengambil keputusan memancing di bahagian hilir khemah. Selebihnya memancing di satu kawasan lata yang mengalir tenang di bahagian hulu.
Ragutan demi ragutan diterima oleh kami, tetapi kebanyakannya ikan tengas yang saiznya masih belum memuaskan hati. Banyak yang dilepaskan semula.
Lewat malam saya, saya dan Zul berpindah lokasi dan bergabung dengan Karim, Mustakim dan Wan. Hasil terbaik diperoleh di sini, apabila joran milik Wan yang diletakkan di pancang di depan matanya terbang ke dalam air. Mujur lampu pendaflour stick menjadi penanda bila joran sudah tenggelam dalam air.
Bergasak sekitar 4-5 minit, akhirnya tewas juga tengas saiz kasar hampir 2kg di tangan Wan. Umpan isi ikan nyata tidak mengecewakan, walaupun terpaksa menunggu lama.
Bahkan dengan umpan inilah juga kami menaikkan banyak baung akar. Tidak perlu susah payah bawa umpan tapa.
Sekitar jam 12 malam, giliran joran Mus dan saya sekali telah dikejutkan dengan joran terbang masuk ke dalam air. Akhirnya tengas yang saiznya sekitar lengan dewasa masing-masing tetap berjaya dinaikkan.
Hari terakhir.
Walaupun saya tidak berjaya menaikkan tengas atau kelah bersaiz kasar menggunakan casting, sekurang-kurangnya, saya tidak kumpau walaupun dengan kaedah pancingan dasar.
Tahniah kepada Wan, Mus dan Zul yang akhirnya berjaya juga menaikkan ikan tengas yang saiznya sudah cukup memuaskan dengan kaedah casting.
Sekali gus trip sejauh ini ‘ada bahan’ untuk kami kongsikan kepada pembaca. Semasa pulang, kami melalui banyak lubuk-lubuk yang berpotensi yang sesuai untuk pancingan
dasar dan casting kerana semasa balik, kami pulang dengan keadaan lebih rileks dan tidak lagi perlu mengejar masa serta mengikut langkah tekong yang sememangnya macam lipas kudung walaupun di dalam hutan.
Azam saya, saya akan kembali lagi ke sini dan perbincangan demi perbincangan memang ada kami suarakan semasa perjalanan pulang.
Mungkin semasa hari betul-betul musim kemarau dan tibanya musim buah neram gugur nanti.
Tapi bila musim kemarau, bermakna Sungai Terenggan sudah begitu cetek dan maknanya perjalanan trekking juga akan bertambah. Kenalah kerap berjogging lagi gamaknya.