Boleh tak admin senaraikan jenis-jenis batu ladung yang sesuai untuk memancing di laut dalam. Lagi satu nyatakan saiz batu ladung yang sesuai dan berapa banyak yang perlu dibawa jika pergi trip 3 hari 2 malam sebagai contoh.
JAWAB:
Tidak dinafikan batu ladung merupakan terminal tackle yang wajib ada jika memancing teknik dasar di laut dalam. Ada banyak aspek yang perlu diketahui dalam penggunaan batu ladung ini. Antaranya ialah hubungan atau kaitannya antara lokasi dan kelajuan arus laut.
Ads
Malaysia mempunyai dua pesisir pantai atau perairan utama iaitu pantai barat dan pantai timur. Kedua-dua perairan pantai ini memiliki struktur bumi yang berbeza. Pantai barat atau perairan Selat Melaka lebih sempit berbanding pantai timur atau perairan Laut China Selatan.
Kalau di pantai barat, had maksimum saiz batu ladung yang biasa digunakan ialah bersaiz #32 atau berat metrik 1.5kg. Manakala di pantai timur pula had maksimum saiz batu ladung ialah #24 atau berat metrik 1kg. Berbezaan ini disebabkan perbezaan arus di pantai barat lebih deras berbanding di pantai timur berikutan laluan yang sempit.
Ads
Begitu juga halnya di Sabah dan Sarawak, di mana arus lautnya lebih kurang sama seperti Pantai Timur Semenanjung kerana ia berkongsi laut yang sama iaitu Laut China Selatan.
Ads
Kebiasaannya, memancing di laut dalam hanya perlu membawa batu ladung mati bersaiz dari #8 hingga ke #24 atau #32 jika memancing di pantai barat.
Berapakah jumlah yang perlu dibawa? Jumlah batu ladung yang perlu dibawa pula bergantung kepada durasi waktu memancing dan yang penting ialah sentiasa mempunyai batu ladung tambahan sebagai langkah keselamatan.
Ia sebagai bekalan jika berlaku kejadian tali pancing sangkut atau putus akibat dari gigitan ikan, terkena karang yang tajam, tersimpul dengan tali rakan-rakan yang terpaksa diputuskan atau kehilangan yang tak diduga.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya amat meminati pancingan di muara dan gemar memburu ikan-ikan bersengat seperti sembilang. Baru-baru ini akibat kurang berhati-hati saya telah terkena sengat ikan sembilang ini dan bisanya terpaksa saya tanggung selama beberapa hari. Bolehkah admin kongsi bersama saya dan pemancing yang lain antara petua untuk menghilangkan bisa akibat sengatan ikan bersengat ini?
JAWAPAN:
Ikan bersengat ni ada bermacam-macam jenis. Sembilang, duri, pari, usat-usat dan belukang antara ikan bersengat yang perlu dikendalikan dengan berhati-hati bila menaikkannya. Bisa akibat sengatan ini memang boleh memakan masa untuk sembuh dan ada juga kes yang boleh membawa maut. Cara moden yang biasa digunakan ialah mendapatkan suntikan di klinik mahupun hospital.
Namun, ada juga petua orang-orang lama yang boleh kita gunakan jika terkena sengatan ikan bersengat seperti sembilang ini. Antara petua yang paling popular digunakan ialah dengan meletakkan asam jawa pada tempat yang terkena sengatan tersebut dan biarkan untuk beberapa minit. Insyaallah kesakitan akan beransur hilang.
Cara lain yang boleh digunakan ialah gunakan 2 atau 3 sudu serbuk kopi dan campurkan air panas yang mendidih. Kemudian, ambil kain dan sapukan di tempat yang disengat. Jika kesakitan masih berterusan, cepat-cepatlah dapatkan rawatan selanjutnya di klinik ataupun hospital.
Saya bukanlah kaki kolam tapi bila ada masa saya turun la memancing ke kolam berbayar air tawar. Masalahnya, orang lain pancing asyik tarik ikan terutamanya rohu, tetapi saya asyik membangau. Padahal saya pun guna umpan dedak dan roti sama seperti mereka. Apakah saya sudah terkena badi kumpau?
JAWAPAN:
Berbanding pancingan sungai atau laut, pancingan di kolam berbayar sebenarnya paling mencabar. Malah memancing ikan air tawar terutamanya ikan patin dan spesies lain seperti tongsan atau rohu sememangnya sangat teknikal dan berseni.
Perkara asas nombor satu yang perlu dilakukan jika ingin memancing di kolam berbayar ialah bertanya. Jangan segan atau malu untuk bertanya sama ada kepada pemancing lain atau pemilik kolam sendiri. Tanyalah umpan apa yang harus digunakan.
Harus diingat, dedak atau roti hanyalah bersifat makanan ikan. Ia umpama nasi. Tentu saja kita tidak mahu makan nasi kosong saja. Tanpa lauk, nasi tidak bermakna apa-apa walaupun ia tetap akan mengenyangkan perut. Begitu juga dengan ikan, perlu ada bahan perisa ditambahkan pada umpan roti atau dedak bagi menarik deria bau ikan tersebut.
Lazimnya pemancing lain tidak akan mendedahkan seratus umpan (perisa) yang mereka gunakan. Ia bergantung kepada kebijaksanaan anda untuk memperoleh rahsianya. Namun pada kebiasaannya perisa pandan dan strawberi merupakan bahan asas yang banyak digunakan oleh pemancing bagi menyediakan umpan.
Selain umpan, teknik yang digunakan juga perlu diperhatikan. Lazimnya mana-mana pemancing kolam tidak akan berahsia soal teknik. Apatah lagi korang boleh lihat sendiri teknik yang digunakan. Jika pemancing lain mengamalkan teknik apung, maka kita gunalah teknik apung. Kalau teknik dasar lebih berkesan, maka kita gunalah teknik dasar. Selebihnya, bergantung kepada nasib dan rezeki.
Antara teknik casting menggunakan gewang pintail dan jigging menggunakan jig, teknik manakah yang lebih berkesan dan seronok apabila memancing tenggiri?
JAWAPAN:
Ikan tenggiri merupakan antara ikan yang boleh dipancing dengan pelbagai cara. Selain teknik konvensional menggunakan umpan ikan hidup, ia juga boleh dipancing dengan umpan tiruan. Dari aspek keberkesanan ternyata penggunaan umpan ikan hidup yang merupakan diet sebenar ikan ternyata lebih efektif berbanding penggunaan umpan tiruan.
Sebaliknya jika inginkan sesi pancingan yang berbeza maka pancingan tenggiri menggunakan umpan tiruan adalah lebih mencabar dan menyeronokkan. Terdapat empat teknik menggunakan gewang tiruan bagi memancing tenggiri iaitu casting, popping, jigging dan trolling.
Apabila ditanya teknik manakah yang lebih syok atau seronok, tentu saja setiap teknik itu ada cabaran dan keseronokan tersendiri. Begitu jugalah jawapan pada perbezaan keseronokan antara jigging dan casting.
Secara peribadi pulak, admin lebih menggemari teknik popping kerana melalui ini kita akan dapat menyaksikan secara langsung tenggiri menghentam popper. Aksi tenggiri terbang keluar dari aksi sewaktu menyambar popper, sama ada tersangkut pada mata kail atau tidak, ia tetap satu keseronokan yang tidak dapat disaksikan melalui teknik.
Namun keseronokan sebenar ialah berjaya memperoleh hasil. Sekiranya kumpau, apa saja teknik yang dilakukan sama ada jigging, casting, popping, trolling atau menggunakan umpan ikan hidup, semuanya langsung tidak menyeronokkan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...