Sekurang-kurangnya 300 kaki pancing telah mengesahkan penyertaan termasuk lapan dari Korea Selatan, tiga dari Singapura dan Indonesia, Amerika Syarikat dan Austria masing-masing seorang peserta, dan selebihnya adalah peserta tempatan yang akan bertanding dalam Asian Monsun Casting Tournament (AMCT) 2017 yang akan bermula pada 30 November hingga 3 Disember ini di Tasik Kenyir, Terengganu.
Menurut Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak di sidang akhbar dan majlis penyerahan penajaan sempena AMCT yang berlangsung di Duyong Marina, Kuala Terengganu. Program kendalian Sekretariat MCT dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi kali ketiga itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM65,000 berupa enjin bot, bot aluminium, bot gentian kaca, motor elektrik dan aksesori memancing hasil sumbangan 47 badan penaja.
Ads
Turut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Pengurus Pelancongan Ke tengah, Ahmad Fathil Abdul Ghani, Penasihat AMCT iaitu Ibrahim Anon atau lebih dikenali sebagai kartunis Ujang dan Pengerusi AMCT sendiri iaitu Azri Ngah, wakil-wakil penaja utama seperti Mercury Marine, Pure Fishing, Trojan Gigamate serta Khairol Fiber.
Ads
Menurut Azri Ngah, sebanyak 15 buah rumah bot dan 150 bot laju akan digunakan sepanjang kejohanan ini bagi merebut sembilan kategori yang dipertandingkan. Antara kategorinya ialah King OF Sebarau, King Of Toman serta King Of AMCT 2017
Ads
Selain itu, empat orang pemancing terbaik dari kejohanan ini akan berpeluang menyertai International Bass Fishing 2018 yang akan diadakan di Tasik Andong Korea Selatan melalui Anglers Exchange Programme.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan baji tidak mendiami satu kawasan pada satu-satu masa, ia juga bergerak satu tempat ke satu tempat mengikut perubahan arus dan paras pasang surut air. Ini bermakna ia mampu meneroka satu-satu kawasan buruan mengikut pergerakan pasang surut air.
Baji mempunyai persamaan dengan spesies ikan sebelah dan ikan lidah dari segi sifat, penyamaran dan cara memburu mangsa.
Ikan baji adalah pemangsa dasar (bottom feeding). Ia boleh dikaitkan dengan spesies dasar yang lain seperti bebolos, sebelah dan lidah yang mana hanya tertumpu makanan dasar dan amat jarang menerkam mangsa yang lebih dari sekaki atas dari dasar.
Teknik memancing sama seperti mana memancing ikan dasar seperti bebolos. Umpan harus berada di dasar dan menggunakan perambut pendek memberi kelebihan untuk memerangkap ikan ini.
Jika bebolos, penggunaan mata kail halus dipraktikan, sebaliknya untuk baji, mulutnya yang leper mampu membuka luas mata kail kasar bersaiz 1/0, 2/0 tidak menjadi masalah untuk memerangkap ikan pemalas ini.
Mangsa utama baji adalah ikan-ikan kecil yang melintas di hadapan mulutnya. Manakala perumpun, udang dan sotong digunakan secara meluas oleh pemancing di negara ini. Diet baji sering dikaitkan dengan pergerakan mangsa lalu di hadapannya. Oleh itu menggunakan umpan mati lebih berkesan jika umpan tersebut dihenjut lembut setiap masa untuk mengelirukan baji.
Satu cara lagi memancing hanyut. Ramai yang tidak suka teknik menghanyut umpan di dasar kerana keberangkalian sangkut pada reba dan sebagainya amat tinggi di kebanyakan lokasi. Selain umpan yang disebutkan tadi, satu lagi umpan yang jarang sekali di pratik di negara kita ialah umpan tiruan dari plastik lembut. Cara ini banyak diamalkan secara meluas di Australia.
Walaupun gigi tajam, bentuknya tidak mampu memotong tangsi perambut 20Ib. Baji biasanya menelan mangsa setelah dicengkam rakus. Kebarangkalian mata kail tertelan di dalam perutnya amat jarang berlaku kerana ia melarikan diri setelah menyambar umpan.
Fenomena mangsa sudah tersangkut hanya disedari setiap kali umpan diperiksa disebabkan ia tidak banyak bergerak setelah meragut umpan.
Setelah berehat hampir sebulan setengah di dockyard, selepas kembali dari Laut Andaman, Sea Splash kembali bergerak keluar dari muara Kuala Kedah. Namun kali ini Sea Splash kembali ke laut lepas dengan pelbagai pembaharuan. Segala kekurangan dan kelemahan pada Sea Splash telah diperbaiki dan dinaik taraf.
Bagi kejayaan dan kelancaran trip singkat ini, Dato Shukri telah mengundang beberapa orang tekong tersohor dari Kuala Kedah yang berpengalaman luas dengan lubuk-lubuk di sekitar Tukun Perak dan beberapa orang juruteknik yang mahir membaik pulih enjin dan pendawaian. Walaupun kesemua ahli trip percubaan pertama ke Tukun Perak melebihi 20 orang, namun ruang di Sea Splash masih selesa bagi menampungnya.
Sekitar jam 5 pagi barulah Sea Splash dapat berlepas ke Tukun Perak. Dengan jarak melebihi 80 batu nautika dari Kuala Kedah, dan dengan kelajuan 7-8 knot ia memakan masa lebih dari 10 jam untuk sampai.
Hampir separuh perjalanan bot terpaksa berlabuh di satu kawasan unjam berikutan mengalami sedikit masalah teknikal. Nampaknya gangguan teknikal ketika ke Burma Banks dahulu seperti mahu berulang kembali.
Sementara menanti juruteknik membaik pulih masalah yang dihadapi, dapatlah juga kami membuat sedikit warm up dengan berjigging. Namun lokasi tersebut bukanlah lubuk yang berpotensi. Tiada seekor ikan pun yang berjaya dinaikkan.
Jam 6 petang barulah kami tiba ke Tukun Perak. Sebaik saja sauh bot dilabuhkan dengan jarak lebih 200 meter dari sisi pulau, kelihatan gerombolan gerepoh atau GT boiling di bahagian hadapan pulau. Apa boleh buat… boleh tengok sajalah. Memandangkan bot sudah dilabuhkan, maka aktiviti memancing segera dilakukan.
Ada yang melabuhkan umpan dengan teknik dasar, ada yang berjigging dan saya pula bersama dua orang pemancing yang lain mengambil tempat di platform bahagian atas bot untuk popping. Dengan harapan gerombolan gerepoh dengan saiz kasar itu bergerak ke arah kami.
Tidak menunggu lama rakan yang memancing dengan cara jigging dan bottom menerima habuan masing-masing apabila umpan dan jig disambar tongkol dengan saiz anggaran 5-8 kilogram. Melihat pada hasil tersebut timbul pula rasa kesal kerana memilih untuk popping.
Ketika hampir berputus asa dengan usaha popping itu dua orang rakan yang turut popping di bahagian bawah bot menerima habuan berpenat lelah. Namun kedua-duanya berpihak kepada gerepoh apabila rabut ketika sedang bertarung. Sementara saya pula hanya sempat merasa sambaran namun tidak lekat. Setelah itu kelibat gerepoh hilang begitu saja.
Tukun Perak Waktu Malam
Bila malam menjelma saya lebih banyak jadi pemerhati kerana kesempitan ruang. Pemancing-pemancing bottom mengambil tempat masing-masing. Sesekali saja menyelit dengan mengaplikasikan teknik slow pitch jigging. Itu pun tak lama kerana arus agak laju yang menyebabkan jig digunakan mengganggu tali pancing pemancing lain.
Tambah pula struktur dasar berbatu dan berkarang membuatkan saya mengambil keputusan untuk gantung joran selepas seketul jig berkubur begitu saja.
Setelah mengisi perut saya terus masuk tidur sehinggalah terjaga sekitar jam 3 pagi apabila terdengar keriuhan pemancing mendaratkan ikan. Geram pula bila melihat ada pemancing yang berjaya mendaratkan ikan idaman jigging perlahan saya iaitu siakap merah.
Melihat pada lubuk yang agak berpotensi saya turut sama memancing dasar menggunakan set pancing jigging perlahan sehingga terbit matahari. Namun langsung tidak menerima sebarang getuan.
Apabila matahari mula menampakkan dirinya, salah seorang tekong mengambil keputusan untuk berhanyut mengelilingi pulau. Ia cukup menggembirakan kami para pengamal sport fishing. Keputusan yang bagus untuk mencari gerepoh dengan aksi popping.
Tekong yang berpengalaman itu merapati tebing pulang pada jarak yang selamat. Selepas dua kali mengelilingi pulau tanpa sebarang hasil, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menamatkan sesi memancing di Tukun Perak ini dan bergerak ke Pulau Payar dan memancing di tuas-tuas kepunyaan mereka.
“Perjalanan dunia memancing saya bermula dari kecil lagi. Bak kata orang ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Ketika kecil saya sering menemani arwah bapa menjala dan ke laut di Pantai Punggol. Tangkapan hasil menjala seperti ikan, ketam, udang dan lain-lain dijadikan lauk-pauk kami sekeluarga.
Selepas pemergian arwah bapa, minat ke laut bertukar menjadi hobi mengail dan mula menggunakan ambo (koyan).
Kemudian saya mula minat untuk mencuba gunakan joran dan kekili. Saya terpegun dengan ketekunan seorang wanita tua memancing dan melalui beliau saya belajar cara-cara memancing dan membuat perambut.
Saya mula berkawan dengan kawan-kawan yang ‘gila’ memancing dan hampir setiap hari walaupun penat selepas bekerja, dapat memancing dua tiga jam pun dah kira seronok.
Port yang sering saya dan kawan-kawan kunjungi di sekitar Singapura adalah Tanjong Rhu, Fort Road, Pantai East Coast, Punggol, Sembawang, Labrador, Hyundai, Changi dan Pasir
Ris. Untuk ke tempat ini memang tiada masalah bagi saya kerana tinggal di kawasan timur.
Menerusi laman sosial, saya peroleh lebih ramai kenalan pemancing dan dapat mendalami teknik memancing.
Bila tertubuhnya pelbagai kelab memancing di laman sosial, saya amat tertarik dan menyertai Team Gill’s Paradise Fishing W/Friends (GPFWF).
Tim ini bukan sahaja tertumpu pada teknik pancingan pantai atau surfcasting, malah turut turun ke laut memancing dengan bot, kolam dan juga sangkar.
Uniknya dari tim GPFWF ini mereka tidak kisah dan tidak kedekut untuk berkongsi pengalaman, ilmu, tip, lubuk dan bermacam macam lagi.
Kekuatan ahli ini terletak dari pengasasnya yang tidak suka mengongkong ahlinya.
Saya juga ada menyertai pelbagai tim lain yang mengundang saya memancing walaupun saya seorang sahaja pemancing wanita yang berani menyahut undangan dan tidak mengenali di antara satu sama lain.
Sebaliknya saya berbesar hati menerima pelbagai tawaran daripada pemancing dari tim yang lain tidak saya kenali.
Mungkin disebabkan saya membesar di kalangan kawan-kawan lelaki, tambahan pula adik beradik saya semuanya lelaki jadi saya tidak berasa kekok, malahan selesa dan lazimnya secara spontan saya terima tawaran memancing daripada pihak yang mengundang saya.
Setiap event atau aktiviti memancing sama ada di pantai, sangkar atau laut dalam sering sahaja membuat saya teruja kerana tidak tahu spesies ikan apa yang akan memakan umpan.
Apatah lagi apabila saya dapat mendaratkan ikan yang bersaiz mega. Kenangan yang paling tidak dapat saya lupakan ialah dapat menaikan ikan yu kemejan.
Lebih teruja ketika itu saya menggunakan set ringan atau setup light tackle. Saya masih ingat joran yang digunakan ialah Hammer II Jig PE2-4 dipadankan dengan kekili ATC
Valour SW5000 dan tali sulam Dr. Braid Extreme x8 (30lbs). Suasana ketika itu tegang dan kelam-kabut namun atas panduan teman yang juga penganjur trip, Hafiz dari Team Spike
Buntalz ANGLERS (SBA), saya berjaya menaikkan ikan itu. Akibatnya empat hari kemudian saya terpaksa ambil cuti sakit kerana sakit.
Dari situ saya mula meluaskan wilayah memancing ke luar negara pula khususnya Malaysia dan Indonesia.
Ada banyak lagi padang pancing di luar negara yang ingin saya terokai jika berpeluang untuk menambahkan lagi pengalaman memancing dan mendaratkan pelbagai spesies yang mampu memberi cabaran sebenar.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...