SHARK DODOO ANGLERS merupakan group memancing yang menghimpunkan pemancing hampir dari serata negeri.
Objektif utamanya adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan ahli serta berkongsi teknik dan kemahiran memancing.
trip 2018
Atas tujuan itu, penganjuran pertama trip memancing Shark DoDoo Anglers telah diadakan pada tahun lepas (8 dan 9 September 2018) dengan mempraktikkan sepenuhnya teknik light jigging.
Event ini melibatkan dua buah bot dengan penyertaan seramai 12 orang.
Ads
trip 2018
Bagi menjadikannya sebagai aktiviti tahunan, penganjuran kali ke-2 telah dirancang. Penyertaan ahli juga semakin bertambah.
Maka pada 27-28 April 2019 telah berlangsungnya penganjuran siri ke-2 trip memancing Shark DoDoo Anglers di Rompin, Pahang melibatkan penyertaan seramai 19 orang dengan 3 buah bot.
Pada sebelah petang 26 April kebanyakan daripada kami mula sampai di Kuala Rompin, Pahang. Kebanyakan daripada kami adalah dari daerah dan negeri yang berbeza.
Ada yang datang dari Pengkalan Hulu, Perak, Johor, Nilai N.Sembilan, Melaka, Kelantan, Selangor & Kuala Lumpur.
Ads
Kami menginap di salah sebuah homestay yang tidak jauh daripada jeti Tok4, Rompin. Jeti di mana kumpulan kami akan berkumpul pada keesokkan harinya.
Jeti ini sememangnya tidak asing bagi pemancing yang pernah turun memancing di Kuala Rompin.
Ads
Aktiviti pada malam tersebut adalah mempersiapkan dan memperkemaskan kelengkapan memancing. Kemudian undian telah dibuat untuk menentukan bot masing-masing.
Alhamdulillah sepanjang 2 hari kami bersama, ada juga hasil untuk dibawa balik. Berdasarkan potensi yang memberangsang, Shark DoDoo Anglers bercadang untuk melangsungkan edisi ketiga tahun 2020 akan dibuka untuk penyertaan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Perjumpaan semua geng lama diadakan di Tasik Kenyir sambil santai memancing untuk aktiviti selingan. Perjumpaan selepas hampir berbelas tahun berpisah membawa haluan masing-masing adalah terdiri daripada kalangan ahli gunung yang beralih minat seperti mana saya iaitu memancing.
Mengimbau kembali 20 tahun lampau ketika kami bertandang ke Tasik Kenyir bukan kerana tarikan ikan tetapi kerana tarikan Kenyir Ecofest Gagau Challenge.
Mengimbau kenangan lama, perlumbaan mendaki Gunung Gagau dan aktiviti mendaki gunung adalah riadah utama bagi kami semua. Malah sepanjang trip di Kenyir ini banyak menceritakan suka-duka perlumbaan tersebut. Menjadi pasukan terakhir berlepas seawal pagi tidak merisaukan pasukan kami.
Setiap pasukan dianggotai 3 orang lelaki dan seorang wanita sudah berlepas ketika kami masih leka memamah sarapan nasi goreng berlaukkan baung yang dipancing pada malam hari. Selesai sarapan kami masih bersandar di batang pokok sambil menghembus asap rokok di tengah kawasan yang nyaman.
“Kau orang bila nak bergerak dah lewat lewat sangat ini,” ujar pengurus pasukan dan tukang membuat nasi goreng.
Diringkaskan coretan dari kedudukan tercorot kami mengejar satu persatu pasukan di hadapan dan tiba di garisan penamat pada jam 4.00 petang di tangga kelima dari hampir 30 pasukan. Macam tak percaya pulak. Masa itu tenaga kuat dan kami jenis manusia ‘trekking’ macam orang gila, tak reti nak berhenti.
Di tapak khemah bersebelahan dengan sungai menyaksikan beberapa ekor kelah mega dinaikkan boatman sebagai hidangan peserta pada malam berikutnya. Dari situ ramai di kalangan kami berkata pasti suatu hari nak bertandang untuk memancing pula.
Berubah Fizikal
Melihat paras rupa geng yang dah masuk pencen ini menampakkan perubahan ketara di kalangan kami. Perut lebih menonjol tapi masih mampu mendaki gunung tanpa bantuan. Gelak ketawa separuh perjalanan sebelum sepi melelapkan mata di separuh lagi perjalanan bot menuju ke kawasan kuala Sungai Cacing.
Kuala sungai sudah dipenuhi bot yang tiba lebih awal dari kami. Terpaksalah berlabuh agak jauh sedikit di muka dua kuala Sungai Cacing dan Sungai Terenggan.
Ada yang mula menyiapkan peralatan pancing manakala selebihnya lebih teruja melihat panorama sekeliling. Nasib baik ada juga di kalangan kami yang minat gewang. Setidak-tidaknya ada ‘partner’ memancing sepanjang 3 hari berikutnya.
Kami merancang untuk cuba sungai dahulu dan selepasnya meninjau suak-suak yang begitu lama tidak bertandang. Ketika ramai masih bersantai atas boathouse, saya bersama Husin masuk ke sungai hingga hujung kawasan larangan taman. Air semakin mengeruh teruk bila tiba di cabang sungai cetek dan aktiviti mengilat kurang sesuai.
Begitu pun gewang tetap dilontar di kawasan sekeliling setelah menyedari riak-riak sebarau menghambur di permukaan di kawasan air keruh. Dari hulu hingga menghala ke muara sungai kami pulang di boathouse dengan berpeluh kosong. Kosong dengan hasil dan berpeluh untuk hidupkan enjin yang semput.
Memandangkan ramai geng kami adalah jenis santai memancing, janji joran di air tanpa mempedulikan sangat bab joran. Suasana boathouse lebih menyerlah berbanding siang. Tidak kira kekerapan getuan ikan pada paras sederhana atau tiada langsung mereka ini tidak kisah.
Kopi ‘O’ cicah dengan biskut kering sambil berborak pasal kisah silam mendaki gunung sambil sesekali terhenti apabila baung dan lampam mengena mata pancing. Juadah yang sama juga ketika berkhemah di tepi sungai, lereng gunung mahupun puncak gunung, minuman panas dengan biskut untuk tenaga meneruskan perjalanan keesokan hari.
Kerana tiada kuasa persaingan untuk keluar memancing, awal pagi menjadi tidak begitu awal bagi kami yang lebih tertumpu pada mengilat. Bahagian yang paling malas ialah menghidupkan enjin sangkut yang uzur dimamah jam perjalanan sebelumnya. Seumpama senaman otot lengan pagi hari untuk hidupkan enjin yang semput.
Dari berdua kini bertiga bergerak mencari suak-suak yang berpotensi untuk mengilat. Memang sukar mengesan sebarau di kala air menyusut lebih dari 30 kaki. Sebarau lebih banyak merayau di kawasan terbuka berbanding suak bila musim hujan yang lewat tiba.
Begitu pun tak salah mencuba dan mencuba di serata spot hingga persimpangan ke Gua Bewah. Sambil bergurau kata nak beriadah dan lepak di Kenyir jadi ikan soal kedua.
Kalau dapat melihat aksi lenturan joran sekadar hiburan buat penggemar mengilat. Pening juga memilih jenis dan aksi gewang sesuai di kala ikan tidak begitu galak.
Ketika ini gewang yang pernah menerima sambaran dipilih kerana dirasakan peluang lebih tinggi. Dari puluhan gewang dilontar, tiga mendapat sambaran dan dua berjaya lolos dari mata gewang.
Ketika beberapa sambaran mengena saya sebenarnya sudah perasan kesan tapak kaki baru berdekatan gigi air. Saiz tapak gadang dan saiz kecil menunjukkan kawanan gajah bersama anak baru melepasi suak tersebut. Cuma diamkan diri sambil mengawal sampan ketika dua orang rakan saya melontar gewang.
Namun mata tetap memerhati sekeliling kawasan. Sekian lama berlalu barulah mereka berdua perasan mengenai kewujudan tapak kaki berkenaan. Apabila disergah oleh mereka jangan cari pasal barulah tangan mencapai ‘starter’ enjin sangkut. Mana tidak kalau ia menerpa enjin pulak tak mau hidup tidak ke menjadi kes naya!
Balik berehat dan bersantai di boathouse lebih elok pada tengah matahari memacak di kepala. Petang pula kami meneruskan saki baki waktu terluang dengan memancing bersama geng-geng yang sedang bersantai di atas boathouse.
Seramai enam pemancing yang menaiki sebuah bot fiber berjalur merah, biru dan hitam dikhuatiri hilang di perairan Pulau Pinang selepas tidak pulang sejak keluar pagi kelmarin.
Pengarah Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot itu yang dikendalikan tekong dikenali sebagai
Khairul Anwar bersama lima lagi pemancing tempatan berlepas dari Jeti Tanjung Berembang, Nibong Tebal di sini, kira-kira pukul 8 pagi kelmarin.
Bagaimanapun, menurut beliau, abang tekong itu yang dikenali sebagai Hasbullah membuat laporan polis selepas adiknya tidak pulang sehingga kini dan gagal dihubungi.
Enam identiti pemancing yang dikhuatiri hilang di perairan Pulau Pinang selepas keluar memancing dari Jeti Nelayan Kampung Datuk Keramat terdiri dari Mohd Khairul Anuar
Mohd Salleh, 30 (tekong), Mohd Azmil Abdul Rahman, 31, Mohd Faiz Ibrahim, 30, Lee Chee Sen, 49Mohd Rajis Jamil, 35, dan Khairil Hafidzi Tajuddin, 31.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superitendan Shafee Abd Samad, berkata polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini menggerakkan aset untuk operasi mencari dan menyelamat pemancing berkenaan.
“Kita menerima laporan daripada abang salah seorang pemancing yang memaklumkan adiknya tidak pulang ke rumah selepas keluar memancing pada Sabtu lalu dan gagal dihubungi.
“Usaha mencari dan menyelamat kini sedang digiatkan,” katanya.
Kami menaiki sebuah bot pancing antara yang terbesar di Kota Kinabalu yang boleh memuatkan seramai 14 kaki pancing dengan selasa. Bot besar dengan kabin berhawa dingin memudahkan kami berehat sewaktu 6 jam perjalanan menuju destinasi. Sasaran utama trip kali ini ialah ikan amberjack. Masing-masing ingin mencatat personal best untuk ikan amberjack yang terkenal di Sabah.
Tiba di lokasi, jig segera diturunkan sehingga mencecah dasar. Lantas henjutan demi henjutan dilakukan untuk menarik minat amberjack di bawah laut sana. Pelbagai jenis, warna dan saiz jig dihenjut namun sambutan adalah suram sekali. Mungkin masih awal petang lagi kami membuat andaian.
Di sudut lain, beberapa ekor kerapu dan merah kecil menjadi hiburan kaki dasar. Cuma Zul lebih beruntung apabila seekor kerapu dewasa menelan umpan sotong. Kagum melihat geng Sabah ini yang boleh jigging berterusan tanpa menunjukkan tanda-tanda keletihan atau kehampaan apabila tiada sambaran.
Amberjack pertama anggaran 3 kg memulihkan kembali kekuatan yang kian pudar untuk ramai kaki jig kembali beraksi. Serangan amberjack tidak lama mungkin ia menyambar ketika laluan amberjack tepat dengan unjun jig.
Joran Jigging Master PE3-PE6 yang dipadankan dengan Shimano Stella 10000 menerima sambaran amberjack kedua. Itupun setelah tuannya beberapa jenis dan warna jig ditukar ganti. Kegelisahan akhirnya terpadam tatkala saat matahari mula hampir terbenam apabila beberapa ekor amberjack mula tumpas di tangan kaki jigging yang rajin mengunjun jig.
Kami berhenti memancing sambil bersembang ketika menikmati makan malam. Bertukar cerita dan merangka pelan aktiviti memancing untuk keesokan hari. Ada yang memilih untuk berehat di kabin dan sebahagian kami memilih untuk sambung aktiviti memancing.
Letih jigging kami menukar tumpuan memancing dasar pula. Memancing dasar pada waktu yang tiada arus membuatkan pemancing lebih banyak termenung, terduduk, terperosok mencari tempat redup daripada tiupan angin, setiap getuan terjadi pada selang masa agak lama.
Saat mata hampir terlelap terganggu apabila satu kekili menjerit. Rupanya umpan selayang yang dihanyutkan menerima sambaran. Hasilnya seekor tenggiri 5 kg tumpas. Menyedari kehadiran tenggiri kami mula tukar strategi dari memancing dasar ke pertengahan dan bawah permukaan air. Pada saat itu masing-masing semuanya merasa sambaran tenggiri.
Menjelang awal pagi tenggiri mula menyepi, tapi geng Sabah ini pulih kembali tenaga untuk kembali jigging. Syam membuka tirai awal pagi kedua apabila menerima sambaran padu sebaik sahaja jig dihenjut dari dasar.
Menyedari apa spesies yang membaham jig tersebut, joran jigging yang tersadai semalaman dicapai kembali. Sah amberjack dikesan berlegar di bawah bot kami pada kedalaman 120 meter.
Tatkala Syam masih lagi melayan kerenah amberjack, Plabuk dan Zul turut mengena sasaran. Ketiga-tiga beradik kaki pancing tegar dari Ranau ini bagai enggan mahu mengalah. Saiz amberjack kali ini lebih besar daripada petang hari pertama.
Bot berpindah spot apabila amberjack kembali sunyi sebaik sahaja matahari meninggi. Yang berjaga malam masuk beradu dan yang masuk shift siang membuat persiapan memulakan sesi hari kedua.
Bila waktu petang tiba, masing-masing mula mengambil tempat. Joran dasar rata-ratanya sudah disimpan kerana sambutan yang diterima hanyalah anak-anak ikan sahaja. Aktiviti jigging sahaja ditumpukan berdasarkan ikan lebih berminat menyambar objek yang bergerak tatkala air kekat.
Seperti kebiasaan tiga beradik Sabah ini terlebih dahulu strike. Kerajinan mereka menjadi titik tolak yang lain untuk turut sama berjigging. Bunyi kekili berteriak kasar memeriahkan lagi suasana untuk merasai kepuasan dengan membuat masalah dengan amberjack. Semua ini tidak berpanjangan kerana serangan amberjack hanya seketika dan sepi bila perubahan pasang surut terjadi.
Waktu malam kami sekali lagi menyasarkan tenggiri namun hanya lewat maam gerombolan tenggiri mula menyambar umpan. Ramai ketika itu sudah dibuai mimpi. Untungnya penggunaan umpan dan jig kedua-duanya berkesan ketika itu.
Tapi masalah timbul waktu ini kerana sewaktu semuanya strike serentak, tiada siapa yang membantu menggancu ikan. Disebabkan kedudukan bot yang tinggi, banyak tenggiri lucut dan putus sewaktu ingin dinaikkan. Ikan semakin galak dan ramai yang turut menyertai sesi pancing menjelang masuk Subuh.
Hari ketiga masih ada yang belum menemui sentuhan turut mencuba nasib terakhir. Lazimnya Syam akan membuka tirai diikuti oleh Zul dan Labuk. Masing-masing tahu waktu amberjack bakal hentam jig.
Akhirnya barulah peserta terakhir tersenyum apabila amberjack idamannya tewas. Bila semua merasai ikan buruan, kami memberi isyarat pada tekong untuk menamatkan misi trip Sabah kali ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...