Kelmarin, agak kecoh di media sosial terutamanya di grup Facebook memancing di mana seorang pemancing meviralkan khidmat servis tekong mencandat sotong.
Posting tersebut mendapat pelbagai respon positif dan negatif. Berikut merupakan posting asal netizen tersebut.
“Pesanan untuk rakan2 yang hendak pergi mencandat sotong yang bercadang turun dari Jati Pulau Kapas Marang agar berhati hati memilih bot dan tekong, geng kami terkena
baru2 ni, dapat tekong yg paling tak berguna sekali, janji turun dari jati 5.30 ptg terus mencandat semalaman dan ke esokan paginya ke tengah hari memancing ikan sehingga jam 12 tgh hari.
Apa yg berlaku kepada group kami sampai di tempat mencandat, tekong terus tido sepatah pun tak bercakap dgn kami semua, bila kita minta beralih tempat kerana sotong dah tak
makan dia marah serta merunggut, dan bawa kami ketempat yg tiada orang mencandat di situ, sedangkan bot candat yg lain semua berada di tempat lain, kami nampak ada dlm 10
bot lain lagi berbaris di satu tempat, bila kami minta beralih tempat kerana tempat kedua tu lebih teruk lagi, dia terus marah dan langsung tak nak beralih dan terus tido sampai
pagi, dia bangun pagi kul 7 terus matikan lampu dan terus bawa kami balik ke jeti, tiada pancing ikan pun, tekong yg tiada bahasa ni, harap berhati hati kepada semua, kita bayar bkn free, bot nya ber no TRF169, ada tulisan besar 69 pada botnya”
Ads
Ini pula jawapan yang diberikan oleh tekong berkenaan kepada wakil Majalah Umpan.
“Untuk pengetahuan semua… pada malam tu, tempat yang pertama candat tu sotong ada dah. Dapat dalam linkungan 20kg dalam masa 3 jam.
Lepas itu, salah seorang daripada penyewa tu ajak beralih ke tempat yang banyak bot yang sedang candat sotong.
Konon-kononnya tempat yang banyak bot itu ada banyak sotong la. Lepas tu kami pindah ke tempat yang banyak bot sedang candat itu.
Ads
Bila sampai tempat tu dan berlabuh dalam masa 2 jam tak dapat seekor pun sotong. Itu yang penyewa tak puas hati dan dia ajak pindah lagi ke tempat yang pertama tadi.
Saya selaku tekong bot bagitahu tempat yang pertama tadi dah ada sotong. Tapi kenapa nak beralih lagi. Padahal ada dah sotong kat tempat pertama tadi. Nak cari balik tempat yang pertama tadi payah dah.
So saya tak beralih dah… 2 kali bersauh dah malam tu. Penyewa patut tahu sotong bulan gelap payah sikit. Pasal ngail pulak… yang sebenarnya tiada dalam perjanjian pun masa candat tu. Memang confirm takde… fitnah tu pasal ngail tu.
Ads
Semua sekali malam tu yang dapat ada dalam 20kg lebih. Tak termasuk lagi yang dimasak atas bot tu. Banyak juga dah tu kalau ikut musim bulan gelap.
Satu lagi penyewa kena faham sotong bulan gelap lain rentak sikit dengan bulan cerah. Saya selaku tekong banyak tahun dah bawak orang candat ni.
Ni je baru viral pasal bot saya. Sebelum ni tak pernah lagi orang viralkan pasal bot ni.
Sesiapa yang pernah pergi candat sotong dengan bot ni tahulah macam mana keadaan dia. Saya pun biasanya kalau takde sotong masa candat tu saya akan beralih juga.
Tak payah penyewa tu bagitahu pada saya. Memang saya akan beralih jugak cari sotong untuk dibuat lauk-pauk untuk santapan makan malam.
Jadi saya selaku tekong bot mintak maaf jika ada terkurang tersilap kata dari semua pihak.”
Sebagai pemancing, admin biasanya akan berpihak kepada pemancing juga. Tetapi dalam soal ini, admin percaya ada ketikanya pemancing ada khilaf tersendiri.
Pendapat korang pula macam mana?
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kami tiba di lubuk pertama pada waktu senja. Lubuk pertama merupakan sebuah unjam yang banyak terdapat di timur Pulau Similan.
Menurut tekong, Pulau Similan yang terletak di Laut Andaman mempunyai struktur laut yang unik. Di sebelah timur pulau, lautnya amat cetek dengan kedalaman hanya 50–80 meter sahaja.
Di kawasan ini banyak terdapat unjam dan tukun tiruan yang dibina oleh nelayan tempatan. Kawasan ini kaya dengan lambakan sotong dan ikan-ikan karang. Kelihatan berpuluh-puluh bot pukat dan sotong sedang beroperasi di kawasan tersebut.
Pada sebelah barat Pulau Similan pula, keadaan lautnya amat berbeza. Hanya kurang satu batu nautika dari pulau tersebut, kedalamannya mencecah drop off sehingga 300 meter.
Di kawasan inilah terdapatnya kerapu hitam yang kami sasarkan. Ruby snapper, tuna dan banyak lagi spesies ikan laut dalam juga boleh dipancing di kawasan ini.
Selepas singgah di lubuk pertama di sebuah unjam. Tekong Sai Yan berhubung dengan bot nelayan berhampiran untuk membeli umpan segar.
Ikan tongkol dan sotong segar dibeli dengan kuantiti yang banyak sebagai bekalan umpan kami.
Di unjam, kumpulan kami mengamalkan pancingan dasar di hadapan bot dan jigging di belakang bot. Tanpa menunggu lama, pelbagai ikan bersaiz kasar yang berjaya dinaikkan.
Ikan ebek kelihatan banyak terdapat di kawasan unjam ini selain ikan merah dan kerapu. Selepas semalaman memancing di unjam, pelbagai jenis ikan yang berjaya dinaikan oleh kumpulan kami.
Antara ikan-ikan tersebut ialah kerapu (Malabar grouper, Epinephelus malabaricus), ebek (Diamond trevally, Alectis indica), merah (Lutjanus erythropterus), kakap merah (Mangrove jack, Lutjanus argentimaculatus) dan banyak lagi spesies ikan lain.
IKAN SASARAN, KERAPU HITAM!
Awal-awal pagi lagi tekong mula bertolak ke kawasan drop off di sebelah barat Pulau Similan untuk memancing ikan kerapu hitam. Kami segera membuat persediaan untuk memancing sepanjang perjalanan ke sana.
Perambut appollo berkekuatan 100-120lb diikat bersama mata kail 4X circle hook bersaiz 7/0. Penggunaan ‘bangla’ atau kekili elektrik amat digalakkan kerana mampu menyimpan tali utama lebih 500 meter.
Batu ladung yang akan digunakan untuk memancing di kawasan sedalam ini seberat 2kg. Pasti pemancing akan keletihan jika menggunakan kekili manual apabila berhadapan situasi seperti begini.
Semasa memancing ikan kerapu hitam, hanya sebelah kanan bot sahaja dibenarkan untuk memancing. Ini kerana kami akan memancing secara berhanyut kerana bot tidak mampu melepaskan sauh di tempat yang begitu dalam.
Apabila tekong memberi isyarat, kami segera menurunkan umpan. Umpan tongkol yang dibeli oleh nelayan semalam terus disambar ikan dengan rakusnya.
Bangla kepunyaan kami terpaksa berhempas pulas melawan asakan ikan kerapu supaya tidak lari ke dalam lubang yang menjadi tempat persembunyiannya.
Selepas beberapa ekor ikan kerapu berjaya ditawan, tekong akan berubah tempat ke lubuk yang lain.
Bot hanya berhenti seketika sahaja di setiap lubuk. Aktiviti sedemikian kami lalui sehingga petang.
Masa seakan-akan berlalu dengan pantas kerana kami sentiasa sibuk memancing ikan kerapu ini dan hasilnya berbelas-belas ekor ikan kerapu hitam yang berjaya kami perolehi.
UNJAM DI HARI KEDUA
Selepas seharian memancing ikan kerapu, tekong bergerak menuju ke kawasan unjam sebelum hari menjadi gelap. Selepas selesai menikmati makan malam.
Kami menyambung semula aktiviti memancing. Kami amat bertuah pada malam kedua di unjam. Lambakan sotong jarum banyak terdapat di sini. Kami berpesta mencandat sotong di sini.
Kehadiran sotong-sotong yang banyak ini juga menarik pelbagai ikan pemangsa di kawasan unjam. Selain mencandat, kami juga berpesta dengan acara jigging.
Ikan alu-alu, ikan cupak, skipjack tuna dan amberjack banyak dinaikkan melalui teknik jigging. Bagi yang suka memancing dasar, banyak ikan karang yang berjaya diperoleh.
Sotong yang di candat oleh kumpulan kami serta merta dijadikan umpan hidup untuk pancingan dasar.
Banyak ikan kerapu karang/boron yang bersaiz lebih 7kg berjaya kami perolehi. Tekong Sai Yan juga tidak melepaskan peluang turut serta jigging bersama-sama kami ketika kumpulan kami sedang berpesta ikan.
Walaupun kami dalam keletihan dan tidak cukup tidur, semuanya hilang akibat seronok berpesta dengan ikan-ikan yang tidak henti-henti memakan umpan hingga ke subuh.
KENA BULI
Waktu pagi seterusnya, tekong bergerak semula ke lubuk ikan kerapu hitam. Kali ini tekong Sai Yan akan membawa ke lubuk yang didiami ikan kerapu yang lebih besar berbanding semalam.
Berbekalkan pengalaman semalam, kumpulan kami tampak lebih bersedia. Umpan diturunkan selepas tekong memberi isyarat.
Seperti semalam, umpan tongkol terus disambar oleh ikan. Tetapi kali ini tekanan yang kami hadapi lebih hebat. Mesin bangla kami tidak mampu membuat karauan.
Sekali sekala kami terpaksa mengarau secara manual. Mulanya kami ingatkan umpan kami telah sangkut di struktur berbatu di dasar laut, tetapi disangkal oleh tekong Sai Yan. Beliau mengatakan tekanan yang hebat berpunca daripada kerapu hitam yang besar.
Keadaan ini sering berlaku apabila umpan dimakan oleh kerapu bersaiz besar dan sentiasa disangka seperti tersangkut oleh pemancing.
Kali ini tekong Sai Yan dan awak-awak beliau terpaksa turun padang membantu kami menewaskan kerapu ini.
Tali utama ditarik menggunakan tangan secara perlahan-lahan. Tempoh beberapa minit diambil untuk memujuk kerapu yang memakan umpan keluar dari lubang yang menjadi tempat perlindungannya.
Selepas terasa ikan telah keluar dari kawasan lubang, kami segera membuat karauan dengan pantas supaya ikan tersebut tidak berpatah balik masuk semula ke dalam lubang.
Memang benar tekaan kami, ikan kerapu hitam yang bersaiz gergasi kelihatan di permukaan air. Saiz ikan yang lebih besar daripada semalam amat mengujakan kami.
Kemudian beberapa ekor lagi kerapu gergasi berjaya kami tawan di lubuk-lubuk berhampiran menggunakan teknik yang sama. Kami dibuli teruk pada kali ini.
Beberapa orang ahli kumpulan kami terpaksa berhenti memancing akibat tali utama putus sepanjang 200 meter.
Walaupun kami menggunakan bangla atau kekili elektrik yang mengarau secara automatik, kami bagaikan kehabisan tenaga akibat menarik tali utama secara manual untuk memujuk ikan keluar dari lubang sebelum membuat karauan menggunakan bangla kami.
Puluhan lubuk yang kami terokai bersama tekong Sai Yan tidak mengecewakan. Puluhan kilo kerapu hitam berjaya kami sumbat di dalam tong ikan.
PUAS HATI
Selepas 3 hari 2 malam kami melakukan aktiviti yang sama, kami bersiap sedia untuk pulang ke jeti. Keletihan amat terasa sekali. Tong ikan yang dibawa oleh kami semuanya telah penuh diisi dengan ikan bersaiz kasar.
Selepas mengemas segala peralatan yang kami bawa. Kami melelapkan mata akibat keletihan sepanjang aktiviti memancing.
Perjalanan pulang ke jeti akan mengambil masa 6 jam lagi. Selepas itu perjalanan mengharungi 1200km untuk pulang ke rumah akan kami tempuhi sekali lagi.
Walaupun keletihan, kelihatan semua ahli sangat berpuas hati dengan trip ini. Kesimpulannya, trip ekplorasi pertama kali di perairan Laut Andaman di Pulau Similan boleh dikategorikan sebagai trip first class dan berjaya dengan jayanya.
Pelbagai pengalaman pahit manis yang kami telah lalui bersama tekong Sai Yan. Apa yang pasti, sayalah orang yang paling gembira atas kejayaan trip ini kerana impian untuk memancing di Laut Andaman telah pun dipenuhi.
Setibanya di jeti nelayan Ujong Batu, Bagan Dalam, kami segera mencari pengusaha bot yang menyediakan servis menghantar pemancing ke pelantar di bawah Jambatan Pulau Pinang.
Tidak sukar untuk mencari pengusaha bot ini kerana ramai yang sedia menanti di jeti.
Dalam masa yang sama juga serba sedikit info dapat diperolehi bagi menentukan tiang jambatan yang mana akan dituju nanti.
Selain servis menghantar dan mengambil pemancing dari bawah jambatan, pengusaha bot turut menghantar menyediakan servis menghantar makanan dua kali sehari.
Sebelum berlepas, kami mengisi perut dan membawa bekal untuk makan malam sekali kerana tiada sebarang kedai makan di bawah jambatan, yang ada hanyalah tiang dan pelantar kosong.
Semangat untuk ke bawah jambatan kian meluap-luap bila melihat ada pemancing yang baru pulang membawa hasil seekor siakap mega.
Segala gambaran mistik tentang hantu air, cik ponti hanyut atau mayat orang bunuh muncul dari air dan macam-macam lagi lenyap begitu saja.
Terbayang pula aksi-aksi bertarung dengan ikan-ikan mega yang lebih 30 tahun mendiami lubuk-lubuk di bawah jambatan.
Namun bayangan itu tak kekal lama apabila terbayang pula sekiranya terpaksa menggunakan tangga untuk naik ke pelantar yang tinggi dari paras air.
Daripada lebih 80 tiang menghala Georgetown dan lebih 80 lebih lagi menghala ke Seberang Prai yang sesuai untuk memancing, kami memilih tiang bernombor 40 menghala ke Seberang Perai.
Tiang ini tiang merupakan rebutan kerana sering menaikkan ikan-ikan mega dan kami bernasib baik kerana ia belum berpenghuni.
Bertambah lega kerana tidak perlu memanjat tangga yang didirikan dari atas bot kerana pelantar sekadar beberapa kaki saja dari paras air.
Agak memakan masa juga untuk membiasakan diri berada di atas pelantar tanpa pengadang dengan angin timur yang bertiup kencang tanpa henti. Terutamanya pada malam hari.
Biarpun masih tempias cahaya dari lampu jambatan, namun pergerakan seperti terbatas. Terasa cuak sekiranya tersilap langkah.
Sementara menanti ragutan ikan, apa yang mampu dilakukan hanyalah membaringkan tubuh beralaskan tikar kecil di belakang tiang sambil menggigil kesejukan.
Masuk hari kedua barulah penulis dapat menyesuaikan diri sepenuhnya. Hilang sudah rasa gayat dan boleh menumpukan perhatian sepenuhnya pada memancing.
Umpan hidup tidak bermasalah di tiang 40 kerana agak mudah juga untuk mendapatkan kasai dan bilis dengan menggunakan apollo.
Hanya sambaran ikan saja agak kurang. Dan hampir setiap kali ada rentapan kasar pula, larian ikan ke tukun dan ke bawah pelantar pula menyebabkan tali utama bergeser dengan teritip dan putus.
Hanya seekor jenahak dan kerapu berskala remaja saja yang berjaya ditarik keluar dan selamat didaratkan.
Tiada sebarang tangkapan mega sepanjang tempoh lebih 50 jam memancing dan menggigil kesejukan sepanjang dua malam tidur di bawah jambatan.
Mungkin nasib tidak menyebelahi ditambah pula set pancing yang digunakan kurang bersesuaian.
Sekiranya menggunakan set pancing yang lebih kasar dan lasak menangani tukun dan teritip, kemungkinan besar ada tangkapan mega didaratkan.
Yang pasti bawah Jambatan Pulau Pinang masih ada banyak ikan mega dan wajar dimuatkan dalam kalendar trip memancing.
Dan penulis juga selamat dari dipertontonkan adegan mistik atau insiden bunuh diri.
Yang banyak kelihatan hanyalah sampah-sampah berterbangan dari atas jambatan yang turut menyumbang kemusnahan hidupan laut.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Ada yang memanggilnya jenak, ada yang menggelar unga, tetapi lebih ramai lagi yang mengenalinya sebagai jenak – si golden snapper bernilai emas. Selaku pemancing rekreasi, saya sudah memburu spesies dari selatan tanah air sehinggalah ke melepasi sempadan tanah air.
Anehnya, perairan Sungai Besar yang terletak di Lembah Kelang, yang merupakan padang pancing yang dianggap berdekatan tidak pula dikunjungi. Perairan Sungai Besar sebenarnya bukanlah destinasi baru dalam dunia pancingan jenak.
Spesies bersisik emas ini sudah sekian lama dipancing dengan kaedah tradisional dan bot-bot pancing yang beroperasi kebanyakannya bot kayu. Justeru apabila munculnya operator atau tekong jigging menggunakan bot laju fiber, dalam masa singkat khidmat operator yang kecil bilangannya ini menjadi rebutan ramai penggemar sukan memancing jigging perlahan.
Saya sendiri bersama beberapa orang rakan seangkatan terpaksa menunggu agak lama untuk mendapatkan khidmat tekong jigging Sungai Besar ini. Berbanding perairan laluan kapal Port Dickson atau Pelabuhan Klang, waktu terbaik untuk memburu jenak di perairan Sungai Besar adalah ketika arus lemah.
Atau menghampiri air mati. Justeru itu kami terpaksa menunggu hampir tiga bulan untuk mendapatkan waktu tersebut sebagaimana yang disarankan oleh tekong.
Lubuk atau spot jigging juga berbeza. Bukan lubuk berkarang tebal atau jurang dalam yang menjadi sasaran, sebaliknya dasar rata dengan sedikit lubang cetek pula yang menjadi taruhan. Lubuk-lubuknya hampir sama sebagaimana lubuk pencarian kerapu atau tong gas di perairan Pulau Jarak.
Di perairan ini juga jig-jig aksi perlahan bersaiz 200 gm dan ke atas, dengan pelbagai warna yang telah banyak mengorbankan nyawa jenak di perairan lain seperti hilang taring. Sebaliknya jig yang lebih ringan dari 40 gm hingga 100 gm dengan warna asas keperakan ternyata lebih berkesan.
Bukan jenak saja yang menggemarinya, kerapu-kerapu saiz hidangan meja juga berselera membahamnya. Malah bapak tenggiri bersaiz 10 kg turum sama menggonggongnya.
Sama ada ikan-ikan di perairan Sungai Besar menyukai jig kecil atau faktor arus lemah mempengaruhi persembahan jig, panorama memancing pada hari dipenuhi dengan kilauan emas yang mempersonakan.
Pesta menuai jenak dimulakan oleh tekong sendiri. Setelah lebih dari sekali tekong menaikkan jenak dan spesies lain dengan jig ringan, kami tidak tertangguh lagi menyimpan jig-jig berat. Selain menukar kepada jig yang lebih ringan, aksi dan gaya tekong berjigging turut kami copy & paste.
Tatkala kebanyakan trip jigging perlahan kebelakangan ini amat kurang hasilnya dan menghampiri kumpau, maka kejayaan kami mendaratkan 8 ekor jenak (tidak termasuk spesies lain), bolehlah dianggap sebagai satu pesta!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...