UMPAN: Sejak bila memancing dan mula menjadi tekong?
WAN: Memancing sejak dari zaman remaja lagi dan mula berjinak-jinak menjadi tekong pada usia 30tahun.
Maknanya sudah 6 tahun saya jadikan tekong sebagai kerjaya sampingan atas dasar minat yang mendalam dalam bidang ini.
UMPAN: Pada pandangan anda, apa kriteria perlu ada untuk jadi tekong?
WAN: Perlu yakin dengan kemampuan diri sendiri. Perlu juga berani… laut bukanlah untuk orang-orang yang lemah.
Dan perlu juga bersabar dengan kerenah pelanggan serta sentiasa cuba yang terbaik untuk memuaskan hati pemancing.
Ads
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi dan harapan anda dalam meneruskan kerjaya ini?
WAN: Dalam berurusan dengan laut, sudah tentu faktor cuaca yang sentiasa dibimbangi.
Saya sentiasa berharap agar tidak berhadapan dengan cuaca buruk yang bukan saja boleh menjejaskan sesi memancing tetapi juga mengancam nyawa para pelanggan.
UMPAN: Ceritakan pengalaman memancing (trip) yang manis / pahit?
WAN: Saat paling manis adalah ketika dapat memuaskan hati para pemancing. Tiada apa yang lebih manis dari melihat senyuman puas para pemancing yang menggunakan khidmat servis Tekek Boat Charter.
Ads
Sementara kenangan pahit pula apabila nyaris kehilangan nyawa apabila mengharungi ombak ganas ketika musim angin utara dan juga angin barat.
Dan juga sewaktu terjun ke laut saat memancing untuk mencapai peralatan memancing yang tercampak ke laut hampir maut disebabkan kederasan arus di dasar.
UMPAN: Berikan sedikit tip untuk memperoleh hasil pada trip anda?
WAN: Sentiasa mendengar pandangan tekong. Apa yang tekong suarakan bukanlah untuk menunjuk pandai tetapi hanya usaha untuk para pemancing beroleh hasil.
Dalam pada masa yang sama pemancing perlulah rajin berusaha dan bersabar.
Ads
Pakej memancing
Nama bot: TEKEK BOAT CHARTER
Saiz: 32kaki
Enjin: HONDA 175hp
Harga sewa: RM600-RM1500
Jumlah pemancing: 6 orang
Waktu memancing: 8.00 pagi hingga 6.00 petang
Lokasi memancing: Perairan Pulau Tioman, Pahang.
Jeti: Kg. Tekek, Pulau Tioman
Pakej: Menyandat sotong, jigging, casting, bottom
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Maldives atau nama rasminya Republik Maldives merupakan sebuah negara pulau di perairan Lautan Hindi. Terletak tidak jauh dari negara India atau sekitar 700kilometer ke barat Sri Lanka. Dari segi sejarahnya, nama Maldives dikatakan berasal dari perkataan ‘Malai teevu (Gunung Pulau atau Seribu Pulau) dalam bahasa Tamil, ‘Maladvipa’ (Susunan pulau-pulau) dalam bahasa Sanskrit.
Secara terperincinya pula, terdapat 26 terumbu karang besar atau atoll telah diwartakan sebagai wilayah yang mengandungi gugusan 1192 buah pulau. Tetapi hanya 200 buah pulau sahaja yang didiami penduduk iaitu kira-kira 300,000 orang. Pulau selebihnya terdiri daripada pulau percutian eksklusif yang dimiliki hotel-hotel antarabangsa, taman negara dan juga untuk pertanian.
Sektor pelancongan kini adalah penyumbang terbesar pertukaran mata wang asing dengan kunjungan pelancong mencecah 600,000 orang setahun. Menyedari alam semulajadinya dan hidupan marinnya mampu menjana ekonomi negara, kerajaan Maldives telah mengambil pendekatan drastik dengan menghadkan penggunaan jaring secara komersial oleh para nelayan.
Bahkan, pihak berkuasa di sana menentapkan tiga bulan (April-Julai) dalam setahun sebagai tempoh berehat dari sebarang aktiviti penangkapan ikan berstatus game fishing. Ia bagi memastikan stok-stok ikan besar sentiasa terpelihara. Tetapi tiada halangan untuk pemancing untuk tidak datang ke bulan ini, kerana pemancing biasanya tetap berpeluang merasai menaikkan ikan bersaiz besar walaupun hanya dari pesisir pantai.
Bagi kaki pancing di seluruh dunia, Maldives adalah lokasi dambaan yang sentiasa diidam-idamkan untuk dikunjungi. Malah, kaki pancing adalah pecahan pelancong kedua terbesar berkunjung ke sini, selain untuk bercuti atau berbulan madu.
Di perairan Maldives, apa sahaja ikan jenis sub tropika dari dari bersaiz kecil sehinggalah ikan bersaiz monster boleh ditemui.
Bayangkan, untuk mendapatkannya, tidak perlu pergi jauh-jauh sepertimana kita perlu memancing hingga di kawasan pelantar minyak untuk mendapatkan GT bersaiz bagak atau tuna sirip kuning 20 kg hanya cukup beberapa batu nautika dari pantai, atau mengelilingi atol dan juga terumbu karang boleh bertemu saiz begini.
Di sini, pelbagai pakej memancing boleh ditempah, sama ada memancing dan menginap terus dari kapal persiaran ataupun memancing sambil bermalam di chalet-chalet.
Bagi kaki fly, inilah lokasinya untuk beradu tenaga menguji kekuatan diri dan juga peralatan dengan spesies-spesies yang jarang didapati di negara seperti bonefish, GT, tarpon dari pantai.
Ikan lain seperti dorado, bluefin, dogtooth, redbass, aya budak, siakap, kerapu, tenggiri, wahoo, segala jenis marlin dan banyak lagi ikan yang mungkin belum pernah ditemui di Malaysia, boleh didapati di sini.
Mereka yang gemarkan kaedah pancingan jigging dan popping, pastinya GT monster, aji-aji, ruby snapper dan lain-lain lagi ikan menjadi sasaran utama mereka. Peralatan seperti rod, kekili yang cukup baik dan lasak menjadi taruhan sama ada berjaya atau tidak menaikkan spesies ini.
Tidak dinafikan kos memancing di luar negara memang tinggi, terutama dari segi perbelanjaan tiket kapal terbang, sewa bot, upah tekong, makan. Pendek kata, kos trip boleh cover trip dua atau tiga kali ke pelantar minyak. Tetapi ada baiknya survey dengan rapi dahulu sebelum mengadakan trip dan jalan terbaik adalah pergi secara berkumpulan kerana harga biasanya disertakan dengan pelbagai pakej.
Walaupun dianggap mahal sehingga mencecah lebih RM10,000, bagi kaki pancing yang inginkan pertarungan big game, usaha mencukupkan kewangan memang akan dilakukan bersungguh-sungguh asalkan dapat menjejakkan kaki ke salah satu lokasi memancing terbaik di dunia.
Ketika ini, sudah ramai kaki-kaki pancing dari Malaysia yang telah berjaya sampai ke sana. Apa yang penting, jika telah bersedia tahap kewangan, perlu sentiasa dapatkan info dari pihak tekong bilakah waktu dan lokasi yang paling sesuai untuk memancing di sana.
Profil Maldives
Ibu Negara: Male
Bahasa Rasmi: Bahasa Dhivehi
Keluasan: 298 km2 (115 batu persegi)
Penduduk: 309,000 (Bancian 2009)
Mata wang: Maldivian Rufi yaa (MVR)
Negara pulau batu karang dikenali sebagai mutiara timur.
Populasi sekitar 300,000 orang dengan gabungan etnik masyarakat India, Islam, Perancis, Cina dan Sri Lanka.
Majoriti penduduknya beragama Islam.
Ajaran Islam dikatakan telah sampai ke sini pada tahun 1153. Portugis pernah menjajah negara pulau ini pada tahun1510 sebelum dijajah Belanda antara 1598 hingga 1710.
Perancis pula menjajah pada 1715 dan British pada 1890 hingga merdeka, (1968).
Negara ini menyertai Komanwel pada 1968 dan diisytihar sebagai republik pada 1992.
Setiap kali turun memancing laut dalam menggunakan bot memancing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan Rompin, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memancing atau lebih tepat lagi diistilah sebagai mencandat sotong mengabang.
Kawasan unjam bahkan juga bekas tapak unjam lazimnya akan menjadi kediaman atau ‘kandang’ sotong mengabang serta sotong lainnya dalam jumlah besar berikutan ia turut menjadi kediaman ikan-ikan kecil yang merupakan sumber makanannya.
Namun di Selat Melaka, terutamanya perairan Pelabuhan Klang, saya tidak berpeluang untuk mengamalkan salah satu teknik memancing yang menjadi kegemaran saya ini. Selain ketiadaan unjam, sotong mengabang dikatakan sukar untuk ditemui, mencandat sotong itu sendiri umpama sesuatu yang ganjil jika dilakukan di Selat Melaka.
Sehinggalah apabila mendapat perkhabaran dari tekong-tekong bot memancing kurangnya hasil jigging berikutan kehadiran sotong jarum yang agak banyak. Secara tidak langsung ia merangsang saya untuk lakukan sesuatu dari situasi tersebut.
Justeru apabila ada trip jigging bersama rakan dalam tempoh tersebut, saya tidak tertangguh lagi mencubanya walaupun pada awalnya ia menjadi bahan gelak rakan-rakan.
Untuk mencandat di Selat Melaka, saya ubah sedikit tekniknya. Saya tidak mencandat sotong secara langsung dengan kaedah lazim candat dan pemberat. Sebaliknya saya gantikan pemberat dengan jig lengkap mata kail. Dalam erti kata lain ia lebih kepada konsep 2 dalam 1.
Candat udang untuk memancing sotong dan jig untuk memancing ikan. Konsep ini sebenarnya agak besar belanjanya kerana apabila ia tersangkut pada karang atau sesuatu di dasar laut sehingga mengakibatkan tali utama putus, maka bertambahlah kos kerugiannya.
Setelah dua kali tersangkut dan putus, saya hampir-hampir berputus asa sehinggalah apa yang saya dambakan menjadi kenyataan. Setelah menemui kandangnya, seekor demi seekor sotong jarum saiz yang agak kasar berjaya saya naikkan.
Selain sotong jarum, sotong kurita dan sotong mengabang yang dikatakan agak sukar diperolehi turut sama didaratkan.
Setelah percubaan pertama berjaya, saya luaskan teknik ini ke mana saja saya turun memancing di Selat Melaka. Untuk menggayakan teknik 2 dalam 1 ini lebih kurang sama sahaja dengan teknik jigging perlahan.
Namun untuk mengesan sama ada sotong sudah mengena agak sukar sedikit apatah lagi dalam keadaan berarus dan jig melebihi 200 gram digunakan. Yang pasti teknik 2 dalam 1 ini sudah terbukti bukan sekadar berkesan untuk mencandat sotong malah sudah berjaya mendaratkan spesies ikan juga.
Boleh dikatakan semua pemancing mengenali ikan sembilang dan ikan keli.
Namun begitu, di kalangan mereka yang tidak biasa dengannya, mungkin mereka masih keliru antara ikan keli dengan sembilang ini.
Apatah lagi di beberapa kawasan, ikan keli turut dikenali sebagai sembilang atau sembilang darat.
Penulis sendiri pernah mendengar ikan keli disebut sebagai sembilang di Negeri Sembilan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bentuk kedua-dua jenis ikan ini sangat mirip.
Sekali imbas mungkin ia kelihatan sama.
Ikan sembilang merupakan ikan yang popular di kalangan pemancing yang gemar menunggu di tepi pantai dan muara.
Sememangnya ikan ini mempunyai taburan yang meluas dari laut, muara hinggalah ke sungai-sungai berair payau.
Kadangkala ia turut ditemui di kawasan berair tawar yang bersambung dengan laut.
Tetapi jika kita perhatikan, terdapat dua perbezaan yang ketara. Pertama, ikan sembilang mempunyai tiga sengat atau spina.
Pada kedua-dua sirip pektoralnya terdapat satu sengat dan satu lagi pada sirip dorsal.
Sebaliknya ikan keli hanya memiliki sepasang spina iaitu pada kedua-dua sirip pektoralnya. Pada sirip dorsalnya spina ini tidak hadir.
Kedua, ikan keli memiliki sirip kaudal yang terpisah dari sirip anal dan sirip dorsalnya. Sedangkan sirip kaudal pada ikan sembilang adalah bersambungan dengan sirip anal dan sirip dorsal keduanya.
Merujuk kepada sirip kaudalnya yang bersambungan seperti mana sifat pada ikan belut, sembilang digolongkan dalam keluarga belut bermisai atau catfish eel atau dengan nama keluarga Plotosidae.
Walaupun ia hanya terdiri dari dua spesies, ia dikatakan sebagai ikan bermisai atau catfish yang paling luas taburannya berbanding taburan spesies catfish dari famili lain.
Manakala ikan keli pula tergolong dalam keluarga Clarias.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...