“Betul-betul… bila orang perempuan memancing, pemancing lain di hujung dapat ikan, mulalah dia suruh pindah tempat. Sedangkan itu rezeki orang tu. Adoiii… apa pun tak boleh. Nak bising karang merajuk pulak.”
STYLO ABNI
Boleh… boleh je asalkan dia cangkuk sendiri umpan dan cabut mata kail daripada mulut ikan sendiri. Hahahaha. Ada berani?”
G WAN LEBO
“Betul… menyampah. Mintak tolong ikat itu la ini la. Mintak tolong pasang umpan la… hishhh! Macam-macam deme ni sudahnya awak langsung tak boleh aman nak memancing.”
Ads
AYIE AYIE
“Setuju! Pendapat paling tepat. Bagi saya, asalkan wanita tu tahu cangkuk umpan, tahu buat perambut, boleh tarik ikan… itu pun dah cukup. Jangan sampai mata kail pun tak tahu nak ikat tapi nak jugak memancing. Tu yang aku rasa nak je sepak ke laut. Hehehe…”
PAKLONG PAKLANG
“Betul tu. Nak-nak lagi kalau wanita nak masuk hutan… menyusahkan. Sebab bahaya ada di mana sahaja. Kalau setakat memancing di kolam tu lain ceritalah.”
Ads
MOHD AZULFITRI
“Benar… kalau org rumah ikut, siapa nak jaga anak? Kalau membangau je nanti tentu dapat gelaran ‘couple bangau berlangau ‘. Hahaha… jangan marah ya.”
PIDUT MFA
“Leceh la orang perempuan ni. Malam-malam tak boleh memancing. Sekejap nak balik la… nak berak la… macam-macamlah. Mata kail aku yang pasang, dapat ikan aku yang buka. Nak baling pun aku jugak. Sudahnya aku tak mancing terus.”
Ads
AMBER JACK
“Orang perempuan ni paling sesuai duduk kat rumah je… tunggu hasil memancing dari lelaki. Itu lagi bagus dari ikut orang lelaki pergi memancing.”
ABU SAGEN
“Memang tak sesuai tu bukan apa… nanti takut hitam pulak kulit tu. Kan tak cantik pulak. Tengok la kulit orang lelaki yang memancing… jarang sangat nak jumpa kulit cantik. Rentung banyak la.”
AHMAD SUKRI
“Faham-faham sajalah… atas bot memang payah nak kencing. Orang lelaki takpe sebab boleh kencing dalam botol. Hahahaha.”
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Bayangkan di kawasan berhampiran anda ada sebuah spot memancing yang agak luas kawasannya yang boleh anda casting ataupun bottom hari-hari. Terdapat pelbagai spesies yang menghuni di spot berkenaan.
Spesiesnya pula bukan calang-calang, semuanya boleh dikatakan ikan-ikan gred a seperti siakap merah, siakap putih, jenahak, tanda, pari, kurau, baby gt, kerapu, talang hinggalah ikan kitang, gelama, bulan, belanak. Malah ikan yang semakin sukar ditemui, tirusan pun ada!
MPG atau nama penuhnya Mukah Power Generation, itulah spot yang menjadi kebanggaan buat warga kaki pancing di bahagian Mukah, Sarawak. Di sini, baik kaki casting mahupun kaki bottom boleh dikatakan hari-hari mengunjungi spot tersebut.
Apa itu MPG?. Ia merupakan stesen jana kuasa arang batu yang berfungsi membekalkan tenaga elektrik ke seluruh wilayah Sarawak melalui sistem grid yang disambungkan ke seluruh stesen jana kuasa yang lain. Jana kuasa ini mula dibina pada tahun 2006 dan siap sepenuhnya pada tahun 2008.
Bersebelahan MPG inilah terdapatnya satu kolam tadahan besar yang berkeluasan kira-kira 1 km persegi bertindak sebagai cooling pond untuk sistem stesen jana kuasa berkenaan.
FAKTOR IKAN BANYAK
Kolam tadahan ini mendapat sumber air dari laut yang diambil melalui Sungai Bedengan, terletak kira-kira 3km dari MPG. Apabila air laut pasang, ikan-ikan dari laut terus memasuki kunci air dan terus ke kolam tadahan. Apabila air surut, ikan-ikan ini tidak kembali ke laut dan menjadikan kolam tadahan ini habitat baru mereka.
Tambahan pula, apabila air pasang, anak-akan ikan seperti belanak terutamanya terperangkap, sekali gus terdapat rantaian makanan untuk ikan pemangsa terus mendiami kolam tadahan ini. Di samping itu, dasar dan tebingnya yang dipenuhi timbunan batuan, serta perairannya ada cetek dan dalam, telah menjadikan kolam tadahan ini sebagai sarang baru buat ikan-ikan di sini.
Saya berkesempatan berkunjung ke sini bersama rakan-rakan casting dari Mukah Anglers Group serta beberapa orang rakan dari Matu Daro Fishing. Awal pagi adalah waktu terbaik untuk menduga, iaitu ketika bunga air sedang pasang. Selain itu, waktu petang menghampiri senja ketika air sedang pasang juga waktu terbaik untuk menduga ikan-ikan pemangsa.
Sebenarnya bukan mudah untuk cuba casting di sini jika tidak tahu di manakah spot-spot terbaik melainkan ada rakan yang arif dan biasa di sini. Menurut Lai Malie, terdapat beberapa spot yang sering menjadi pilihan antaranya kawasan culvert, water pump & cooling pump, Tanjung L dan Batu Hampar.
“Apa yang penting, perlu tahu bila waktu air pasang penuh paras tebing, faktor hari hujan selain kerap perhatikan riak air tanda anak ikan melarikan diri. Set pancing juga terutama pemilihan gewang dan warna juga perlu dititikberatkan.
“Biasanya bagi mereka yang kaki casting sasaran utama adalah ikan siakap dan siakap merah, kerana spesies ini banyak terdapat di sini. Saiz siakap yang biasa kami perolehi antara 1-3 kg. Manakala ikan sasaran lain termasuklah kerapu, tanda dan sebagainya ,” katanya.
Jelas Lai Malie lagi, siakap putih masih lagi mengungguli rekod tangkapan di MPG ini sedikit masa dulu iaitu 16 kg dan dia percaya masih terdapat siakap bersaiz mega di sini belum berjaya dinaikkan.
PANCINGAN BOTTOM.
Dalam kunjungan penulis ke sini juga, terdapat ramai kaki bottom yang memancing pada sebelah petang. Cuma pada sebelah pagi agak kurang, mungkin disebabkan faktor bekerja atau hanya lebih ramai pada hujung minggu.
Spot yang sering menjadi pilihan adalah water pump & cooling pump, ini kerana di bahagian ini adalah tempat yang paling dalam dan terdapat banyak makanan seperti anak udang, obor-obor, anak ketam sekali gus ia menjadi tumpuan ikan-ikan pemangsa.
Umpan yang terbaik untuk pancingan dasar adalah udang hidup, hirisan isi ikan dan juga belanak. Biasanya umpan seperti belanak boleh diperolehi dengan menjalanya di tebing kolam tadahan ini.
Saya berpeluang melihat sendiri seekor ikan tirusan berjaya diperolehi menggunakan umpan udang hidup oleh seorang kaki pancing remaja. Setelah bersusah payah cuba menaikkannya (ekoran tebing konkrit tinggi), akhirnya ikan yang anggaran beratnya 8kg berjaya dinaikkan.
Ikan tirusan atau disebut ‘berb’ oleh masyarakat Melanau di sana tergolong dalam spesies yang semakin sukar ditemui. Kewujudannya di kolam tadahan MPG ini merupakan petanda baik, bahawa MPG sebenarnya telah menjadi habitat baru buat ikan-ikan yang sebelum ini mendiami persekitaran liar.
Menurut Lai Malie lagi, spot water pump & cooling pump memang menjadi tumpuan kaki-kaki bottom. Ada juga yang mencuba nasib memancing waktu malam, tetapi atas faktor keselamatan, waktu malam amat jarang tempat ini dikunjungi.
“Pernah seorang kaki pancing berjaya menaikkan pari seberat 6 kg selain ada juga berita yang didengari ikan pari yang tidak berjaya dinaikkan dengan set berat,” katanya.
Tidak lama dulu, saya bersama beberapa orang rakan caster telah menyertai satu trip ke perkampungan Orang Asli di Taman Negara Endau-Rompin.
Tujuan kami adalah untuk meneroka ke kawasan berkenaan di samping cuba bermalam semalaman di sana.
Selepas bertolak dari Kluang, kami akhirnya tiba di perkampungan orang asli di situ dalam anggaran jam 4 petang.
Setibanya kami di sana, kami terus membuat keputusan untuk turun ke sungai sambil casting, malangnya tiada satu pun spesies yang dapat dinaikkan.
Bila hari sudah semakin gelap. Cikgu Kadir meminta kami semua membuat khemah untuk bermalam di tepi sungai.
Selesai mengalas perut, kami melakukan aktiviti memancing dasar dengan harapan dapat mendaratkan kelah atau ikan lain dengan menggunakan umpan cacing dan juga kelapa sawit.
Tapi, hampa kerana tiada seekor pun yang berjaya kami daratkan walaupun seekor baung.
Mungkin port tak kena agaknya. Perasaan kecewa itu membuatkan kami semua rasa mengantuk dan tidur kerana esok kami mengambil keputusan menaiki bot menuju ke hilir.
MISI SEBENAR BERMULA
Pagi-pagi lagi selesai sarapan, kami telah pun bersiap berkemas untuk meneruskan perjalanan.
Affizi telah berjaya mendaratkan ikan parang sungai pertama menggunakan set fly. Untuk ke hilir, kami mengambil keputusan cara untuk berhanyut.
Tidak sampai beberapa minit berhanyut, saya telah berjaya menaikkan seekor anak sebarau bersaiz 300 gram.
Tidak lama kemudian, seorang demi seorang daripada kami mula menaikkan hasil. Selain dari berhanyut, kami turut berhenti di tebing spot berpotensi dan mula melontarkan gewang dan juga sesudu.
Ada satu kejadian di mana saya dan Izzy terjatuh dari bot kerana Izzy terlalu gembira kerana lontaran sesudu ke sisi kayu balak melintang di tebing sungai disambar rakus kerandang.
Dek kerana terlalu gembira, bot yang dibawanya melanggar tebing sungai. Mujur kerandang tidak terlepas.
Cikgu Kadir pula terlepas seekor sebarau yang agak besar sehinggakan rod miliknya patah.
Selain itu, banyak juga kes rabut berlaku selain sebarau yang galak mengejar tetapi tidak mahu menghentam gewang. Mungkin di sebabkan air sungai yang agak jernih ia culas.
Ketika di satu lubuk yang tenang, Izzy gagal mendaratkan spesies yang tidak dapat dipastikan. Mungkin mama toman.
Tali Ryujin 20lb putus akibat geseran di celah-celah kayu. Gewang milik Izzy terkorban dan kami cuba menyelam untuk mendapatkannya kembali, tetapi gagal.
Saya sendiri hanya berjaya memperoleh sebarau dan juga toman. Jealous juga melihatkan Izzy dan Affizi kerana masing-masing berjaya mendapatkan kerandang dalam trip ini. Takpe… belum rezeki lagi. He….he…
CABARAN
Ketika berhanyut ke hilir, ia bukanlah perkara mudah walaupun nampak macam mudah.
Ada ketikanya tiba di kawasan air cetek, kami terpaksa turun dari bot dan menolak bot untuk melepasi kawasan cetek. 2-3 kali jugalah kami berbuat demikian.
Selain itu, tunggul kayu yang banyak turut menyukarkan perjalanan kami. Sesekali bot turut melanggar tunggul dan juga batu kerana gagal dikawal akibat arus yang deras kerana enjin bot yang kami gunakan hanyalah berkuasa kecil.
Jadi kami terpaksa berhati-hati agar bot tidak ditimpa kemalangan.
Secara keseluruhan, kami berjaya mendaratkan hampir 20 ekor sebarau termasuk toman. Kesemua ikan toman dilepaskan dan hanya beberapa ekor sebarau sahaja dibawa pulang.
Kami naik semula ke jeti pada pukul 6 petang. Ternyata pengalaman berkhemah dan menaiki bot bersama rakan-rakan caster yang lain tidak akan saya lupakan kerana banyak ilmu yang saya pelajari.
Saya pasti akan kembali semula untuk memburu sebarau mega di situ.
SELALU KITA DENGAR TERMA ‘OVERFISHING’ ATAU TANGKAPAN BERLEBIHAN. SEDAR ATAU TIDAK, TANGKAPAN BERLEBIHAN MERUPAKAN SALAH SATU ANCAMAN UTAMA TERHADAP SUMBER PERIKANAN, YANG JUGA MERUPAKAN SUMBER PALING PENTING BAGI KAKI PANCING. SEBAGAI PEMANCING YANG BERETIKA DAN BERILMU ANDA PERLU TAHU 9 FAKTA YANG MEMBIMBANGKAN TENTANG ‘OVERFISHING’ INI.
BOT DAN KAPAL BESAR ‘MEROMPAK’ LAUTAN
Kapal dan bot-bot besar yang moden dengan kelengkapan teknologi sonar hari ini mampu mengesan lokasi kawanan ikan dengan tepat. Setelah ikan ditangkap, kapal ini akan dijadikan pula sebagai ‘kilang terapung’, dengan kelengkapan memproses hasil tangkapan dan sistem pengawetan. Ini dilakukan selepas mendapat hasil dari menunda pukat dan menggunakan enjin yang sama. (Ref: Greenpeace)
POPULASI PEMANGSA LAUTAN TURUN MENDADAK
Dalam tempoh masa 55 tahun, 90 % pemangsa utama lautan hilang akibat kerakusan aktiviti manusia. Populasi ini termasuk jerung, marlin, tuna sirip biru, swordfish dan king mackerel. (Ref: Oceana)
Kehilangan populasi spesies pemangsa ini boleh mengubah keseluruhan ekosistem laut di mana secara komersialnya ikan bernilai tinggi berganti dengan ikan pemakan plankton. Tidak mustahil obor-obor akan menggantikan ikan seperti yang kita makan hari ini. (Ref: Greenpeace)
PIRAMID MAKANAN DI LAUTAN TERGANGGU
Jika pengurangan ikan besar bernilai tinggi yang juga pemangsa utama seperti tuna atau marlin, tumpuan akan teralih kepada tingkat bawah pemangsa utama dalam sistem piramid makanan. Ini bermaksud, penangkapan ikan akan terarah kepada spesies yang semakin kecil dan kurang bernilai di serata ceruk lautan. (Ref: Overfishing.com)
OVERFISHING TELAH BERLAKU SEJAK SEKIAN LAMA
Penangkapan berlebihan atau overfishing telah didokumentasikan sejak awal 1800-an ketika manusia menangkap populasi paus untuk mendapatkan lapisan lemaknya (whale blubber) untuk dijadikan bahan api lampu. Pertengahan 1900-an, spesies Atlantic cod, herring dan sardine California ditangkap sehingga ke tahap hampir pupus. Risiko kepupusan spesies lautan dianggap malapetaka ketika lewat abad ke-20. (Ref: National Geographic)
PUKAT TANGKAPAN MENANGKAP LEBIH DARI SEPATUTNYA
Spesies yang ditangkap namun bukan spesies buruan dipanggil tangkapan sampingan (bycatch). Banyak spesies laut yang menjadi mangsa tangkapan sampingan seperti penyu, ikan lumba-lumba, jerung dan sebagainya tertangkap oleh pukat atau alat tangkapan lain. Spesies ini kebanyakannya akan mati walaupun dilepaskan semula. (Ref: Bycatch)
KITA TELAH MENGAMBIL TERLALU BANYAK DARI SUMBER LAUT
Tahun 1989, waktu itu jumlah tangkapan tahunan daripada hasil laut sahaja mencecah angka 90 juta tan metrik. Waktu itu juga industri perikanan dikatakan telah mencapai tahap paling tinggi dari segi hasil tangkapan dan sejak itu graf hasil tangkapan industri terus menjunam. (Ref: National Geographic)
PUKAT TUNDA MEMBUNUH LAUTAN
Pukat tunda di lautan boleh diibaratkan sebagai menarah hutan untuk pembalakan. Kapal akan menarik pukat yang besar, berat sehingga beberapa tan sehingga ke dasar laut untuk menangkap apa yang ada di sepanjang laluannya. Dalam proses tersebut, pukat tunda ini akan memusnahkan segala yang ada dalam laluannya termasuk organisma, struktur dasar laut dan pelbagai hidupan dasar laut yang sensitif. (Ref: Oceana)
SEKTOR AKUAKULTUR TIDAK MAPAN
Dalam akuakultur, sesetengah makanan untuk ikan ternakan menggunakan ikan yang ditangkap. Untuk membesarkan 1lb ikan salmon ternakan, sekitar 4-11lb ikan baja perlu diberi. Ini menjurus kepada tangkapan berlebihan untuk mendapatkan ikan baja bagi kegunaan akuakultur. Jika pola ini berterusan tanpa kawalan, pengkaji meramalkan sektor akuakultur akan berkembang melebihi penawaran ikan baja pada tahun 2020. (Ref: Oceana)
BERSEDIA UCAPKAN SELAMAT TINGGAL KEPADA PERIKANAN
Satu jurnal kajian ke atas data tangkapan yang diterbitkan pada tahun 2006 meramalkan bahawa, jika kadar tangkapan terus pesat seperti hari ini, industri perikanan akan lumpuh sepenuhnya pada tahun 2048. (Ref: National Geographic)
Jika ini berlaku, bermakna sumber lautan telah diterokai dan dieksploitasi sepenuhnya sehingga ke tahap laut akan mati. Sebagai komuniti pemancing, kehabisan sumber bermakna aktiviti memancing juga akan mati. Jadi, bersediakah kita ucapkan selamat tinggal kepada aktiviti memancing jika keadaan ini berlaku? Renung-renungkan dan katakana ‘TIDAK’ pada overfishing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...